Thursday, September 17, 2009

Ramadhan dan Al-Qur'an


Salam Ramadhan sekali lagi. Semoga kita dalam tempoh motivasi tertinggi untuk beramal. Ramadhan yang berkah sudah menjengah ke separuh kedua bermakna hayat kita bersama ramadhan tahun ini semakin singkat. Cukupkah bekal kita untuk melonjakkan kita pada ahli lailatul Qadar? Marilah kita pertingkatkan amal di samping menjernihkan niat hanya mengharap redha Allah.

Ramadhan seperti yang kita diberi tahu bulan bumi ini menadah penurunan al Quran jadi tidak hairanlah bulan berkah ini seperti bulan pesta umat Islam mentartilkan ayat-ayat Allah yang suci lagi menjadi petunjuk. Pembaca al Quran adalah mereka yang beroleh nikmat yang sangat banyak kerana janji-janji Allah dan RasulNya telah diberikan dalam pelbagai ayat al Quran dan hadits antaranya ALlah menjanjikan hijab bagi org yang membaca al Quran dari golongan kafir. Manakala rasul menjanjikan setiap huruf satu kebajikan. Nah, beruntunglah org yang membaca al Quran dalam hayatnya. Apatah lagi di sepanjang bulan Ramadhan yang Allah janjikan amalan akan digandakan dalamnya.

Telah menjadi kebiasaan Surau dan Masjid-Masjid menganjurkan tadarrus dan program penghayatan al Quran sepanjang Ramadhan. Ini sangat mengembirakan kita sepatutnya. Kerana tidaklah hidup sebuah kebaikan melainkan ALlah memberkati khalayak berikut dengan rahmat yang banyak. Antaranya kita dapat melihat ramai yang bertatih-tatih dalam pembacaan al Quran kembali mendekati kitab Allah itu. Mereka yang diberi kelebihan pula mesra mengembangkan nikmat kepada khalayak yang terdekat. Secara tidak langsung kita telah menjalinkan persaudaraan melalui al Quran.

Ramadhan yang berkah ini bukanlah beerti maksiat telah sifar. Ini saya nyatakan bukan untuk menghebahkan kemungkaran tetapi sekadar mengingatkan bahawa gerak kerja dakwah mesti juga dijalankan walaupun kesibukan kita dalam meningkatkan amal kita sebagai meraikan kehadiran Ramadhan. Ini bersesuaian dengan Sunnah dakwah. Sedangkan Badar berlaku dalam Ramadhan pertama. Maka sejak awal lagi kita diajar bahawa walaupun dalam Ramadhan dakwah tetap merupakan agenda utama umat ini. Al Quran yang kita baca perlu dihayati dan diperaktiskan dan peraktis yang paling utama adalah dakwah iaitu penyebaran kandungan al Quran itu sendiri.

Jadi marilah sama-sama kita realisasikan Ramadhan sebagai bulan Quran dan mengambil peluang menghadham tuntutan al Quran itu setiap detik ramadhan kita. Salam Tilawah dari saya,

"sumuu waf thiruu bilkhoir. Ramadhan Kareem"

BERDAKWAH DENGAN MATA PENA


Oleh : Nur Khalida Osman.

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah kita berjumpa lagi dalam Al-Khattab edisi ke 6 ini. Untuk kali ini, mari kita berkenalan dengan salah seorang novelis muda yang maju bertapak dalam bidang penulisan dan juga pendidikkan di Malaysia sekarang. Saya tidak berkesempatan menemu ramah beliau kerana kesibukkan beliau yang baru menjawat jawatan Pensyarah di UM. Walaubagaimanapun, beliau dengan murah hatinya berkongsi hasil temu ramahnya dengan seorang pelajar jurusan dakwah yang sedang membuat ‘project paper’ tahun akhirnya di UM dengan tema berdakwah dengan novel. Dia mengambil karya-karya berunsur dakwah Fatimah Syarha sebagai ‘case study’.Tujian Fatimah Syarha berkongsi temu ramah ini adalah untuk menyalurkan impian dan suara hatinya buat para penulis dakwah sekalian. Semoga perkongsian yang dititipkan ini dapat dijadikan sumber semangat untuk kita turut terjun ke medan yang sama yang telah dilalui oleh para penulis Islam yang lebih awal menyusun jejak mereka dalam menyebarkan dakwah melalui wadah penulisan ini.

Biodata Penulis

Fatimah Syarha Binti HJ. Mohd Noordin. Dilahirkan pada 17 Oktober 1984 di Kuala Terengganu. Kini menetap di Kuala Lumpur bersama suami tercinta, Dr.Farhan Hadi bin Hj. Mohd Taib. Merupakan graduan UIAM, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, pengkhususan dalam Fiqh dan Psikologi. Kemudian mengambil Ijazah Bacaan Quran bersanad dan Daurah Bahasa Arab di Universiti Syeikh Ahmad Kiftaro, Damsyiq , Syria . Menyambung pengajian peringkat 'Master' di UIAM dalam bidang Fiqh dan Usul al-Fiqh. Beliau juga berkhidmat sebagai editor dan penulis di Syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd.

Berpengalaman menjadi Peer Tutor di UIAM, Naqibah Study Circle UIAM, Fasilitator Pro-CAST Consultancy Sdn. Bhd, Ketua Pengarah Kumpulan Panel Editor UIAM, Ustazah di Sekolah Rendah Ibn Kathir, Gombak, Eksekutif Komunikasi Korporat di Kolej Teknologi Darul Naim dan sebagainya. Kini berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Universiti Malaya di Jabatan Sains Gunaan dan Pengajian Islam.

Pernah dinobatkan sebagai novelis Sayembara Mengarang Novel Remaja DBP 2006. Antara karyanya yang terkenal ialah Seindah Mawar Berduri, Tautan Hati, Syabab, Musafir Kasih, Petua Membuat Orang Jatuh Cinta dan Duhai Teman Sejatiku. Mula berkarya dengan Telaga Biru Sdn. Bhd. pada Disember 2005.

Hasil temuramah Fatimah Syarha bersama pelajar tahun akhir jurusan dakwah di UM.




1.Apakah kayu ukur untuk menilai penerimaan novel dalam masyarakat di Malaysia?
Bagi syarikat penerbitan, kayu ukurnya ialah jumlah jualan.

Bagi penulis, kayu ukurnya ialah sokongan dan respon-respon pembaca melalui sms, e-mail, ym, friendster, surat dan sebagainya.
Bagi remaja pula, penerimaan novel sering diukur pada sejauh mana kawan-kawannya memperbincang tentang hal ini tidak kira melalui perbualan harian atau perbincangan dunia maya.

2.Menurut pandangan akak, apa prestasi penerimaan / sambutan terhadap novel dalam masyarakat pada masa kini?

Baik dan memberangsangkan.

3.Mengapa akak berkata demikian? (merujuk jawapan akak no. 2)

Masyarakat hari ini sedang dilanda tren semasa iaitu kecenderungan terhadap novel. Bahang kejayaan novel Ayat-Ayat Cinta dari Indonesia yang memaparkan unsur-unsur Islamik mungkin menjadi salah satu penyumbang ke arah tren semasa ini. Biarlah sambutan terhadap novel ada pasang surutnya, yang penting Islam yang diketengahkan dalam novel-novel Islamik akan cuba membuka minda pembaca agar menjadikan kehidupan beragama itu bukan satu tren semasa, sebaliknya satu penghayatan dalam cara hidup. Kesan pada masa akan datang yang diharapkan, mesej Islam akan terus memancing minat mereka tidak kira ia disampaikan dalam medium apa sekalipun.

4.Apakah kesan daripada membaca novel atau tidak membaca novel? (perbezaan yang boleh dilihat daripada orang yang suka membaca novel dengan orang yang tidak suka membaca novel)

Novel biasanya medium yang dekat di hati remaja. Ia mempunyai kuasa dan pengaruh tersendiri dalam kehidupan mereka. Ramai juga yang mengatakan ia menjadi ‘turning point’ kearah sesuatu perubahan. Kesedaran membaca memang wujud di kalangn mereka cuma masih keliru memilih bahan bacaan yang berfaedah. Mereka perlu dipandu. Remaja yang suka membaca novel cinta dusta, akan cenderung untuk menghampiri zina. Remaja yang langsung tak membaca novel pula, cenderung mencari bahan bacaan berbentuk hiburan dan gosip. Remaja yang mempunyai kesedaran untuk membaca novel-novel Islamik, bukan sahaja membantunya mendapat satu inspirasi hidup malah memperkayakan ilmu, bahasa dan sastera.





5.Bagaimana ingin menanam minat menulis novel? (dari sudut pandang novelis / da’ie)

Pertama sekali, nak jadi apa sekalipun, atau nak buat apa sekalipun, perlu ditanam
minat nak mengamalkan dan menyebarkan Islam. Kemudian, jika dikesan seseorang itu mempunyai banyak impian atau kisah hidup yang boleh diambil pengajaran, sedarkan mereka peri pentingnya menyalurkan pengalaman atau imaginasi itu kepada masyarakat supaya mereka memahami Islam dalam bentuk realiti.
Sama ada mereka mula menulis blog atau cerpen, itu satu permulaan yang baik dalam dunia penulisan. Yang penting Islam dapat tersebar. Huruf demi huruf yang ditaip akan berkembang menjadi ayat, kemudian berkembang lagi menjadi perenggan seterusnya menjadi satu cerpen.
Hanya perlukan sedikit lagi kesabaran untuk memperkembangkan cerpen tu menjadi beberapa cerpen yang dinamakan bab, maka terbentuklah novel. Mudah bukan? Ia ibarat kita ingin membuat sebuah ladang. Pokok demi pokok perlu ditanam sebelum mebentuk satu dereten pokok, seterusnya terbentuklah beberapa deretan pokok dan
akhirnya barulah menjadi ladang. Rasa mulia dengan usaha nak Bantu Islam bukan terlalu memikirkan natijah. Nanti tak siap novel tu kerana dibelenggu bisikan negatif dalam diri.

6.Bagaimana ingin menanam minat membaca novel? (dari sudut sasaran pembaca / mad’u)

Kalau mad’u tu dekat dengan kita, boleh hadiahkan kepadanya untuk merangsang minatnya membaca. Promosi oleh pihak syarikat pula melalui akhbar dan majalah banyak menyumbang ke arah minat sasaran pembaca. Selain itu, promosi tidak langsung oleh pembaca-pembaca sendiri melalui perbincangan di dalam forum, diskusi, internet dan sebagainya turut merangsang minat pembaca.

7.Apakah langkah yang perlu diambil oleh novelis untuk menarik minat masyarakat terhadap pembacaan novel ?

Novelis-novelis Islam perlu bangkit serentak beramai-ramai dalam mewujudkan gelombang novel-novel Islam hingga masyarakat menyedari kewujudannya dan tergerak hati untuk mengenali bahan bacaan itu dengan lebih dekat. Gelombang ini sedikit-sebanyak boleh melenyapkan bahan bacaan yang tak berfaedah kerana pembaca mula mengetahui mereka mempunyai alternatif. Oleh itu, saya menyeru anda, bukan orang lain tapi anda, untuk mula berkarya hari ini! Ayuh, kita bangkit serentak! Kalau bukan hari ini, bila lagi?








8.Apakah ciri-ciri novel yang dikira bermutu pada pandangan akak?

Akak memberi pandangan sebagai seorang da’ie bukan sebagai seorang hakim penilai DBP, maka bagi akak, apa-apa sahaja novel yang boleh menyerlahkan kefahaman
Islam yang jernih, itulah novel yang bermutu. Masakan tidak, tiada yang lebih bermutu melainkan mesej Islam. Sesuatu yang lebih diperjuangkan oleh seorang da’ie ialah matlamat bukannya cara. Cara itu mesti kreatif dan pelbagai serta teguh dengan panduan al-Quran dan al-Sunnah. Jika hakim penilai DBP, mungkin mereka akan melihat banyak faktor seperti bahasa, semangat nasionalisme, sejarah bangsa dan sebagainya. Apapun, jika elemen-elemen ini dapat diselarikan, ianya mungkin lebih baik untuk dakwah.

9.Apakah persediaan awal / kemahiran yang perlu dikuasai untuk menghasilkan sebuah novel yang baik?

Kemahiran untuk amal, ikhlas dan istiqamah paling penting. Jangan lupa sentiasa menambah ilmu dalam apa jua bidang. Ianya akan memberi kekuatan mesej dan roh dalam sesuatu novel. Memahirkan diri dengan kefahaman Islam dan penghayatannya jauh lebih penting daripada memahirkan diri dengan urusan-urusan teknikal yang lain.

Kemahiran-kemahiran lain dalam penulisan novel seperti bahasa, format gaya DBP, ejaan, struktur ayat, metafora dan lain-lain akan menyusuli sebaik sahaja kita mula mengangkat pena untuk menghunus kalam kebenaran. Kita nak sampaikan Islam dengan novel, sudah tentu kita akan termotivasi untuk menambah ilmu tentang gaya penulisan novel mengikut format yang diiktiraf. Banyak kursus-kursus penulisan yang boleh diikuti.

Nasihat akak kepada penulis novel yang lain atau bakal novelis suatu hari nanti dan pembaca novel atau mereka yang baru ingin berjinak dengan novel ataupun tiada hati untuk membaca novel dan buat mereka yang ingin memperjuangkan agama Allah, berdakwah dengan mata pena, maka ingatlah, Allah telah bersumpah dengan mata pena dan apa yang ditulis dalam surah al-Qalam ayat 1-2. Jadikan sumpah Allah ini sebagai satu motivasi penggerak kerana Allah tidak akan bersumpah dengan sesuatu melainkan kerana kepentingannya. Ketauhilah, langkah jihad ini tak maju dek puji, tak mundur dek keji tapi kan tetap melangkah memburu reda Ilahi.

Kepada mereka yang baru berjinak dengan novel, jika di situ ada Islam pasti di situ ada kebaikan. Ketahuilah bahawa Islam agama yang syumul, mempunyai alternatif dalam semua perkara. Tinggalkan novel yang tak bermanfaat kepada novel berfaedah sebagaimana perlunya meninggalkan hiburan melalaikan kepada hiburan islamik. Jadilah ‘full time’ Muslim bukan ‘part time’ Muslim. Ayuh, baiki diri dan serulah orang lain.

PENGARUH TASAWUF DALAM PEMIKIRAN ISLAM


Oleh : aLox’s_2d ibn Shafiee


Tasawauf mempunyai pengaruh yang sangat kuat di dalam disiplin ilmu Islam. Ia merupakan benih keharuman dalam Islam. Kerana, menjadi inti cahaya Muhammad, merupakan pelajaran jiwa dan rohaniNya. Ia juga mempunyai sumbangan yang cukup besar dalam mengungkap makna-makna Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w.

Di dalam pengetahuan Islam sendiri, Tasawuf merupakan kekuatan yang besar, meskipun harus menghadapi serangan bertubi-tubi dari sayap kanan dan kiri. Tasawuf merupakan khazanah besar sepanjang penggalian pengetahuan alam.

Dapat dikatakan bahawa Tasawuf telah berhasil mematahkan fahaman materialisme yang melanda dan menyerang dunia Timur. Menghentikan gelombang kekufuran, fahaman-fahaman sesat yang telah menakluki alam Islam sejak kemunculanNya lagi.

Tasawuf telah berhasil menyumbangkan sahamNya yang tidak sedikit dalam perluasan Islam. Ia ikut menakluki bangsa-bangsa yang selama itu masih belum disentuh Islam (hal tesebut memang diperlukan pada zaman awal Islam, kerana pada ketika itu mereka yang menjadi sasaran dakwah masih asing melihat Islam, dan cenderung memusuhinya), atau belum dapat didirikan pusat dakwah di tengah-tengah mereka. Lambat-laun kaum Sufi berjaya menembusi jantung Afrika, dataran Asia, dan hampir merata di Kepulauan laut Teduh. Merekalah yang telah berjaya menempatkan Islam di hati umat manusia, dengan lemah-lembut dan kasih-sayang yang mereka tampilkan. Merekalah yang berdiri di hadapan umat, mengubati gangguan mental, dan meringankan bencana hidup, serta meyelamatkan umat manusia dari jurang kesesatan dan kebimbangan. Mereka berani menghadapi khalifah-khalifah, juga pegawai-pegawai kerajaan untuk menegakkan keadilan di antara pemimpin-pemimpin tersebut.

Dalam bukunya “Filsafat Islam”, Edward Ross mengatakan; “Munculnya kumpulan Sufi yang meluas di dalam Islam, ini adalah kerana terdapatnya pemahaman hubungan rindu yang kuat dengan Tuhan yang Pengasih dan Penyayang, yang mengalirkan cinta.”

Tanggapan yang tepat. Ini kerana Tasawuf merupakan media yang mengajarkan kepada manusia tentang cinta, menunjukkan hati akan adanya rindu, serta setia kepada Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang. Adalah suatu hal yang ganjil apabila melupakan budaya Tasawuf Islam yang sangat jelas mempersembahkan nilai positif yang tinggi. Tasawuf merupakan pengisi sisi kosong kalbu Muslim, mengajarkan cinta, membentangkan kemurnian dan melarutkan kesucian dalam kehidupan.

Tasawuf benar-benar berjaya mendirikan perguruan tinggi di jantung dunia Islam lebih awal beratus-ratus tahun sebelum perguruan lainnya berdiri. Dengan demikian, madrasah atau perguruan-perguruan milik tokoh-tokoh Tasawuf dan pengikutnya menjadi madrasah atau perguruan contoh yang bergerak sendiri di planet bumi. Ia merupakan akademik ilmiah, dimana guru-gurunya menerima cahaya daripada Allah S.W.T. Mereka terbangkan hati ke langit cinta. Di dalam akademik tersebut juga mereka tuangkan ilmu kepada pengikut-pengikut yang sekali gus sebagai muridnya.

Tidak berlebihan jika dikatakan bahawa kaedah pendidikan mental dan akhlak setiap tokoh-tokoh Sufi dan pengikutnya di perguruan tinggi mereka itu, menjadi kaedah pendidikan tertinggi di dunia. Sebab , pendidikan mereka mempunyai tujuan yang paling terpuji, sejak terbentuknya pengajaran dan pembelajaran antara guru dan anak didiknya.

Penyair-penyair Tasawuf telah berjasa dalam mengangkat puisi sebagai salah satu bentuk diantara disiplin ilmu yang ada. Puisi-puisi karya mereka menjadi senjata dalam kegiatan dakwah, memperbaiki warna kehidupan, serta sedikit demi sedikit merendam kekejaman, Vandalisme dan kebiadapan serta setiap gerak yang mengarah kepada perilaku tidak bermoral.

Khazanah Tasawuf dalam bentuk prosa merupakan suatu kebanggaan tersendiri pula, yang pena-pena lain tiada mampu menyainginya. Kerana, karya-karya mereka benar-benar cemerlang, mencakup seluruh arah hasil karya penulis prosa lainnya.

Penulis cerita misalnya, banyak mengambil bahan daripada kehidupan Rabiah Al-Adawiyah. Sudah lebih lima puluh buah buku cerita mengupas tentangnya. Juga hikayat Al-Hallaj dan kematiannya. Pertualangan Muhyiddin Ibnu Arabi, dan perubahan drastik yang terjadi pada diri Ibrahim bin Adham, dari seorang yang serakah dunia dengan segala macam kegemaran negatifnya, menjadi tokoh Iman dan Amal Soleh.

Pelajar ilmu Jiwa dan Sosial telah menemukan perilaku sempurna pada diri Al-Jilani dan Al-Busthami, yang menentukan taat dan maksiat, keluar dari satu sumber dalam bentuk yang berbeza. Dia juga menentukan Risalah Cinta bagi setiap yang hidup, bahkan juga terhadap benda-benda mati. Tidakkah pada benda-benda mati itu terdapat pula kehidupan? Tidakkah benda-benda mati itu juga memuji dan menyucikan Tuhannya? Tidakkah batu-batan juga ada rasa takut terhadap Allah S.W.T.

Pada Ibnu Al-Farid, Al-Junaid, Zunnun ada orang-orang yang meneladani mereka, terdapat getaran Iman, sukacita Makrifat dan mabuk cinta.

Tasawuf adalah dunia sempurna. Didalamnya terdapat ilmu Akhlak, Pengetahuan, Fisalat, Feqah, Ushul, Kisah-kisah serta segala macam yang diperlukan bagi mendalami ilmu, budi pekerti, kelazatan, ketenteraman dan kebahagian yang harum. Darinya mengalir cinta dan sukacita.

Tasawuf adalah tatakrama yang mementingkan adab sopan santun yang tinggi lagi sempurna. Ilmu yang tidak memendam keraguan, bahkan menjadi cahaya petunjuk, taat dan iman.

Pernah Abu Muhammad bin Yahya mendengarkan perbincangan orang-orang Sufi. Dia lantas keluar dari forum seraya berbisik : “kata-kata mereka itu datang daripada Allah S.W.T. Ada unsur paksaan daripada Zat yang tiada pernah berbohong.”

Perhatikan salah satu catatan Hasan Al-Bashri di bawah ini;

“…. Sesungguhnya Allah Azza wa jalla mempunyai hamba-hamba. Sebagaimana orang yang melihat ahli Syurga kekal di dalamnya, atau orang melihat ahli Neraka, yang juga kekal di dalamnya. Hati mereka sedih, perilaku jahat mereka selamat terkendali, keperluan mereka ringan, jiwa mereka bersih, bersabar pada sejumlah hari yang pendek, kemudian disusul kelegaan yang panjang. Adapun malam hari, adalah saat-saat mengheningkan cipta, air mata meleleh membasahi pipi sambil berdoa kepada Allah S.W.T. “Ya Tuhan…Ya Tuhan.” Sedang pada siang hari, mereka adalah orang-orang Arif yang Alim. Orang-orang yang suci lagi bersih seperti kucup bunga. Orang menyangka mereka sedang sakit, meskipun mereka sebenarnya tidak sakit atau menganggap fikiran mereka sedang kacau. Benar , mereka memang sedang kacau. Kacau oleh cintanya kepada Tuhan dan mengingat akhirat. Dan hal itu adalah luhur.”

DIA SETIA DI SISIMU


Oleh : Abu Nur
“Carilah ilmu dan hikmah dalam setiap ketentuan Allah, supaya timbul rasa kesabaran dan kesyukuran. Setiap yang payah pasti ada kesenangan. Setiap kesabaran pasti ada ganjaran. Jika sesuatu sudah ditakdirkan untuk kita, tiada siapa yang boleh memberi halangan. Namun, jika sesuatu ditakdirkan bukan untuk kita, pasti dan pasti tidak akan dapat walaupun sudah berada dalam genggaman..”
Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekalian, semoga Allah merahmatiku dan kalian, serta dipimpinNya bersama orang yang bertaqwa. Memadailah kita dengan hanya mempercayai ketentuan dan ketetapan Allah s.w.t. sama ada yang baik dan yang buruk sesuatu perkara, bahagia dan derita, jodoh pertemuan dan ajal kematian. Kita tidak akan terasa nikmatnya hidup, tidak akan terasa nikmatnya sihat dan tidak akan terasa nikmatnya bahagia kecuali dengan hanya kita merasakan derita, kesulitan dan musibah yang berada disebaliknya. Namun Nabi s.a.w melarang mendalami dalam persoalan takdir, disebabkan perbuatan tersebut mengandungi bibit-bibit bahaya dan banyak mudharat sebenarnya.
Rasulullah s.a.w sebagai Sang Murobbi yang agung, pembawa kepada jalan kemuliaan. Selalu membawa kita untuk bahagia di dunia dan di akhirat. Maka, kita hendaklah mengerah diri kita untuk mematuhi perintah Allah s.w.t dan menjauhi tegahanNya dengan petunjuk Rasulullah s.a.w. Kemudian hendaklah kita sentisa bertaubat atas kecuaian kita dalam melaksanakan segala perintah dari Allah s.w.t. Kata al-Habib Munzir al-Musawwa dalam mau’idzah hasanah beliau: “Bila kita terjebak dalam hal yang hina disisi Allah, perindahkanlah dengan taubat dan istighfar, nescaya Allah menggantikan itu semua menjadi pahala dan keluhuran, Mereka yang bertaubat, beriman, beramal soleh, Allah s.w.t akan perbaiki dirinya dengan hal yang mulia semampunya. Allah gantikan dosa-dosa mereka menjadi pahala.” Baginda s.a.w juga mengajarkan doa dan selalu mengajarkan munajat dalam segala hal. Yang mana kehidupan ini tidak akan pernah terlepas dari doa-doa. Bukankah Allah s.w.t telah berfirman; “Berdoalah padaku, nescaya Kuperkenankan permintaan kalian”. Justeru jangan kita sia-siakan peluang yang Allah s.w.t kurniakan ini hinggalah kita mendapatkan kesan positif seperti yang dijanjikan itu. Ayuh segera kembali ke pangkuan rahmat Allah s.w.t.!
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (al-Baqarah: 186).
Sekiranya datang ujian mahupun musibah di hadapan kita. Pertama sekali perlulah seseorang hamba itu bersangka baik terhadap Sang Pencipta dengan meyakini ia merupakan tarbiyah dari Allah s.w.t. Juga asbab dosa seseorang itu diampunkan dan darjatnya di sisi Allah s.w.t insyaAllah akan ditingkatkan. Seterusnya perlulah bersabar dan kuatkan kesabaran tersebut disamping mengerjakan sembahyang untuk memohon pertolongan dari Allah s.w.t. Dengan hanya kepada Allah s.w.t kita bertawakkal setelah berusaha maka cukuplah Allah s.w.t sahaja bagi kita untuk menentukan segalanya. Kita perlulah sentiasa merasakan iman dan dan amal kita masih belum sempurna dengan meningkatkan perkara tersebut ke arah kesempurnaan. “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (al-Ankabut:2-3).
Imam Syafie r.a. dalam wasiatnya berkata: “Cubaan hidup itu sering sekali datang, mempengaruhi hati para pemuda. Namun ketika mereka bertaqwa, Allah s.w.t akan berikan jalan keluarnya.”, kata Imam kita r.a. lagi berkaitan redha terhadap qadha’ dan qadar : “Biarkanlah hari-hari berlalu. Lapangkanlah jiwamu apabila menerima keputusan qadha’. Jangan bosan bersabar apabila dirtimpa musibah, kerana di dunia ini tidak ada derita yang abadi. Tidak ada kebahagiaan dan penderitaan abadi, seperti halnya kekayaan dan kemiskinan.” Hidup di perantauan ini akan selalu dilanda gelisah dan musibah, takut bagai dikejar perompak. Tapi kalau terambil sedikit masa untuk mengingati kembali keluarga dan tanah air, mungkin rasanya ingin segera terbang menuju ke tanah air tercinta semula. Tapi, niat asal dan tujuan utama masih membara di dalam jiwa untuk mencicip titisan ilmu dari lautan ilmu yang terbentang luas.
Ketahuilah, masa akan datang yang ada tujuan mungkin terasa begitu jauh untuk sampai kepada destinasi tersebut, tetapi masa yang sudah berlalu, hari demi hari, bulan demi bulan dan tahun demi tahun pasti akan terasa seperti baru sahaja terjadi semalam. Benar atau tidak ternyata kita perlu juga melalui detik-detik waktu yang sedang bergerak ini. Masa usia kita jangan disia-siakan kerana masa yang yang berlalu tidak akan kembali lagi, dikhuatiri akan kita akan menyesal dan menangis di kemudian hari, pada waktu tersebut kalau boleh menangis hingga mengalirkan air mata darah sekalipun tidak akan berguna lagi. Ingatlah! Manfaatkanlah setiap detik-detik waktu yang sedang dilalui ini kerana Allah s.w.t telah bersumpah dengan masa : “Demi Masa ! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” Mufassirin mengatakan bahawa semua manusia berada dalam kerugian tanpa sebarang pengecualian melainkan.. Siapa? Seseorang yang memiliki 4 sifat yang termaktub dalam surah al-Asr sahaja iaitu :


1) Beriman
2) Beramal soleh
3) Berpesan-pesan dengan kebenaran
4) Berpesan-pesan dengan kesabaran.

Mungkin sesekali mutiara jernih akan mengalir keluar dari kelopak mata, terasa sejuk bagai embun pagi yang melalui di atas permukaan pipi. Kenapa ya? Barangkali 1001 perkara yang direnungi dan dihayati hingga membuatkan keadaan tersebut terpaksa dilalui. Cuma sekarang hanya perlu berdoa dan bertawajjuh kepada Allah kerana di hadapan kita terdapat nafsu al-ammarah bis suu’ dari pelbagai fitnah dunia dan syaitan dari kalangan jin dan manusia dan fitnah yang mengganggu kita, ahli keluarga kita dan sahabat-sahabat kita yang bakal menjadi mangsa fitnah tersebut. Apabila kita meminta kepada Allah, pasti Dia akan menolong kita. Bila kita minta rahmat Allah, pasti Dia akan merahmati kita. Bila kita berlaku jujur kepada Allah, Allah pasti akan bantu kita. Yakinlah! Allah s.w.t sesekali tidak akan menzalimi dan membebani hamba-hambaNya melainkan dengan kesanggupan seseorang hamba itu.
Semoga Allah s.w.t menghiasi jiwa kita dengan keindahan, mewarisi jiwa kita dengan sifat syukur. Ya Malikul Mulk, Tuhan yang maha menerbitkan matahari kebahagiaan, terbitkanlah matahari kebahagiaan dalam hari-hari kami di dunia dan di akhirat, zahir dan batin. Jadikan jiwa kami selalu terang-benderang dengan cahaya kesejukkan namaMu, jadikan jiwa kami selalu tenang dalam cahaya kenikmatan dan kesejukkan namaMu, Jadikan hari-hari kami selalu dalam kebahagiaan dunia dan akhirat. Ya Rahman, Ya Rahim, padaMu kami bermunajat atas segala doa dan harapan, dari segala hajat kami yang kami ketahui dan yang tidak kami ketahui, jauhkan kami dari segala musibah dan kesulitan yang kami ketahui dan tidak kami ketahui. Limpahkan untuk kami segala kemudahan dan anugerah yang kami ketahui dan yang belum kami ketahui.." amin Allahumma amin..
“Bila kau diuji dengan kekecewaan dalam menuntut ilmu, Allah tahu betapa engkau mencuba sedaya upayamu. Bila tangisanmu berpanjangan dan hatimu dalam kedukaan, Allah mengira setiap titisan air matamu. Bila engkau merasakan hidupmu ketinggalan dan masa telah meninggalkanmu, ketahuilah ALLAH MASIH SETIA DI SISIMU”
Wallahua’lam..

BERSELAWATLAH...

Oleh: Noor Azma Mohamad Khassim

Berselawatlah kerna
ia mengamankan
hari ini juga hari depan

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Berselawatlah kerna
ia menyelamatkan
di hari insan ketakutan

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Berselawatlah kerna
ia cahaya gemilang
sirna kegelapan kelam

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Berselawatlah kerna
ia merungkaikan kekusutan
meringan segala beban

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Berselawatlah kerna
ia menyuburkan yang gersang
menghangatkan kedinginan

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Berselawatlah kerna
ia bukti cinta
Berselawatlah nescaya
tidak ada yang kecewa
Berselawatlah kerna
dengannya pasti bahagia

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Berselawatlah
moga dengannya Baginda tidak lupakan kita
moga dengannya beroleh Syafa'at 'Uzma
moga dengannya akan damai di sana
moga dengannya kita ummat bahagia

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Wahai Rasulku, tolonglah jangan lupakan aku, berilah syafaatmu kepadaku...
Insya Allah, akan ku lakukan... (Mafhum hadith Tirmidhi)

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Tapi ya Rasul, bagaimana aku dapat bertemu denganmu di saat hiruk pikuk begitu?
Carilah aku, kerna aku hanya berada di tiga tempat, tidak selainnya. Itulah:
"Sirat (titian), Mizan (timbangan), haud (telagaku)" (mafhum hadith Tirmidhi)

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Saat semua manusia berkata nafsi-nafsi
Baginda tetap melantunkan ummati-ummati

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

"Pergilah kepada Nabi Nuh", kata Adam
"Pergilah kepada Nabi Ibrahim", kata Nuh
"Pergilah kepada Nabi Musa", kata Ibrahim
"Pergilah kepada Nabi Isa", kata Musa
"Pergilah kepada Nabi Muhammad", kata Isa

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Seraya mendengar pengaduan ummat
lantas Baginda menuju arasy
tersungkur sujud di kakinya...lama amat
tangis penuh harap
sarat beban kesulitan ummat
seketika disingkap hijab-hijab
ditajalli sifat-sifat al-Rahman
mengkagumkan

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu yang mulia itu
pintalah apa sahaja, pasti Ku beri
pohonlah apa jua, akan Aku penuhi
"Ummatku Ya Allah, Ummatku Ya Allah" (mafhum hadith Syufa'ah, Bukhari dan Muslim)

Allahhumma solli wa sallim wa baarik
'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad

Berselawatlah kerna dalamnya terkandung cinta
Cintakan Allah dan RasulNya.


Rujukan: Bediuzzaman Said Nursi: Anwar al-Haqiqah, Luma'at 4, Luma'at 11.
VCD Habib Umar ben Hafiz tentang kelebihan Ummat Muhammad s.a.w
VCD Habib Ali al-Jufri tentang kewafatan Rasulullah s.a.w
Al-Qaradhawi, al-Sunnah Masdaran lil Ma'rifah wal Hadharah.

Ummul Mukminin, Sayyidatuna Khadijah binti Khuwailid r.a


Oleh: Al-Fanshuri

يَانِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ

“Wahai isteri-isteri Nabi, (kedudukan) kalian bukanlah seperti wanita-wanita yang lainnya.”
(al-Ahzab: 32)
النَّبِيُّ أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ

“Nabi itu lebih berhak untuk dicintai kaum mukminin daripada diri mereka sendiri, sedangkan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka (kaum mukminin).”
(al-Ahzab: 6)

Menurut pendapat yang paling shohih, pada tanggal 11 Ramadhan, 3 tahun sebelum hijrahnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ke Madinah, Ummul Mukminnin Sayyidatuna Khadijah binti Khuwailid رضي الله عنها kembali kerahmatullah. Suatu peristiwa yang amat menyedihkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sehingga tahun tersebut dinamakan ‘’Ammul Huzn (Tahun Kesedihan) - [dimana dua orang yang menjadi tonggok kekuatan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dalam penyebaran Islam diperingkat awal telah wafat – Abu Tholib dan Sayyidatuna Khadijah binti Khuwailid رضي الله عنها].

Beliau رضي الله عنها wafat pada usia 65 tahun. Dimakamkan di Perkuburan Ma’ala yang lebih dikenali dengan nama al-Hajun.

Sayyidatuna Khadijah binti Khuwailid رضي الله عنها adalah wanita pilihan kerana beliau merupakan isteri kepada Rasul pilihan. Kalau kita membaca kitab Shohih al-Bukhari, كتاب بدء الوحى إلى رسول الله maka di sana kita akan dapati hadith menceritakan bagaimana peranan besar Sayyidatuna Khadijah binti Khuwailid رضي الله عنها dalam menenangkan suami beliau, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ketika mendapat wahyu pertama. Dan di dalam kitab shohih itu juga ada menyebutkan bab mengenai kelebihan bonda Khadijah رضي الله عنها.


Perhatikan kata-kata beliau رضي الله عنها:
فرجع بها رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يرجف فؤاده فدخل على ‏ ‏خديجة بنت خويلد ‏ ‏رضي الله عنها ‏ ‏فقال ‏ ‏زملوني ‏ ‏زملوني ‏ ‏فزملوه حتى ذهب عنه ‏ ‏الروع ‏ ‏فقال ‏ ‏لخديجة ‏ ‏وأخبرها الخبر لقد خشيت على نفسي فقالت ‏ ‏خديجة ‏ ‏كلا والله ‏ ‏ما يخزيك ‏ ‏الله أبدا إنك لتصل الرحم وتحمل ‏ ‏الكل ‏ ‏وتكسب ‏ ‏المعدوم ‏ ‏وتقري ‏ ‏الضيف وتعين على ‏ ‏نوائب ‏ ‏الحق فانطلقت به ‏ ‏خديجة ‏ ‏حتى أتت به ‏ ‏ورقة بن نوفل بن أسد بن عبد العزى ‏ ‏ابن عم ‏ ‏خديجة ‏ ‏

" ..... kemudian kembalilah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dengan wahyu tersebut dalam keadaan hatinya gemetar, hingga beliau masuk ke rumah Khadijah رضي الله عنها seraya berkata: Selimuti aku, selimuti aku! Maka diselimutkan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, hingga hilang daripada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم rasa ketakutan, kemudian berkata Baginda صلى الله عليه وآله وسلم kepada Khadijah seraya menceritakan kepadanya perkara yang berlaku, (akhirnya Baginda صلى الله عليه وآله وسلم) berkata: Sesungguhnya aku takut (ke atas diriku). Maka sahut Khadijah رضي الله عنها: Tidak sekali-kali! Demi Allah, tiada dihinakan engkau selamanya kerana engkau suka menghubungkan silaturrahim dan engkau seorang yang suka menanggung kepayahan hidup, dan engkau suka mengorbankan tenaga kerana orang yang lemah (tidak berdaya) dan suka memuliakan tetamu dan menolong atas yang hak dari cubaan dan bala. Kemudian pergilah Khadijah رضي الله عنها bersama Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin ‘Abdul Uzza iaitu anak bapa saudara Khadijah …….. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim dan lainnya)



Beliau رضي الله عنها adalah orang pertama yang beriman kepada kerasulan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم.
اللهم انشر نفحات الرضوان عليها، وأمدّنا اللهم بالأسرار التي أودعتها لديها، اللهم صل على زوجها الأمين، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين



Nasab Ummul Mukminin Sayyidatuna Khadijah رضي الله عنها dari jalur ayahnya: Telah berkata Ibn Ishaq: Khadijah adalah anak perempuan kepada Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luai bin Ghalib bin Fihr

Nasab Ummul Mukminin Khadijah رضي الله عنها dari jalur ibunya: Telah berkata Ibn Ishaq: Ibu Khadijah bernama Fatimah binti Za’idah bin al-Aslam bin Rawalah bin Hajar bin Abd bin Ma’ish bin Amir bin Luai bin Ghalib bin Fihr. Ibu kepada Fathimah adalah Qalabah bin Su’aid bin Saad bin Sahm bin Amr bin Hushaish bin Ka’ab bin Luai bin Ghalib bin Fihr

Gelaran yang diberikan kepada beliau رضي الله عنها: Sayyidah az-Zakiyyah, Sayyidah at-Thohirah dan al-Kubro (wanita agung)

اللهم انشر نفحات الرضوان عليها، وأمدّنا اللهم بالأسرار التي أودعتها لديها، اللهم صل على زوجها الأمين، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Keutamaan Ummul Mu’minin Sayyidatuna Khadijah bin Khuwailid رضي الله عنها

Isteri yang paling disayangi dan diingati oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pernah bersabda (maksudnya): “Allah tidak memberi kepadaku pengganti isteri yang lebih baik dari dia (Khadijah رضي الله عنها). Ia beriman dikala semua orang mengengkari kenabianku. Ia membenarkan kenabianku dikala semua orang mendustakan diriku. Ia menyantuni diriku dengan hartanya dikala semua orang tidak mahu menolongku. Melalui dia Allah menganugerahi anak kepadaku, tidak dari isteri yang lain.” (Ibn Abdil Barr di dalam al-Isti’ab)
Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya) :"Khadijah beriman kepadaku ketika orang-orang mengingkari. Dia membenarkan aku ketika orang-orang mendustakan. Dan dia memberikan hartanya kepadaku ketika orang-orang tidak memberiku apa-apa. Allah mengurniai aku anak darinya dan mengharamkan bagiku anak dari selain dia." (Hadits riwayat: Imam Ahmad dalam "Musnad"-nya, 6/118)
Diriwayatkan dari Sayyidatina‘Aisyah رضي الله عنها , katanya: Kecemburuanku kepada isteri-isteri Nabi صلى الله عليه وآله وسلم tidak sebesar kecemburaanku kepada Khadijah, meskipun aku tidak pernah melihatnya. Sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وآله وسلم seringkali menyebut-nyebut namanya dan setiap kali menyembelih korban Nabi صلى الله عليه وآله وسلم akan menyisihkan sebahagian untuk dikirim kepada wanita-wanita yang menjadi shahabat kepada Khadijah. Terkadang aku berkata kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم: Sepertinya di dunia ini tiada lagi wanita selain Khadijah. Maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Sesungguhnya dia demikian .. dan demikian (banyak kelebihan Khadijah), dan darinya aku memperoleh anak-anak.”
Diriwayatkan dari Sayyidatina‘Aisyah رضي الله عنها, beliau berkata: “Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم hampir tidak pernah keluar dari rumah sehingga Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menyebut-nyebut kebaikan tentang Khadijah dan memuji-mujinya setiap hari sehingga aku menjadi cemburu maka aku berkata: Bukankah ia seorang wanita tua yang Allah telah menggantikannya dengan yang lebih baik untuk engkau? Maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم marah sampai berkerut dahinya kemudian bersabda: Tidak! Demi Allah, Allah tidak memberiku ganti yang lebih baik darinya. Sungguh dia telah beriman di saat manusia mendustakanku, dan menolongku dengan harta di saat manusia menjauhiku, dan dengannya Allah mengurniakan anak padaku dan tidak dengan wanita (isteri) yang lain. Aisyah رضي الله عنها berkata: Maka aku berjanji untuk tidak menjelek-jelekkannya selama-lamanya.”
Dan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berkata membela dan memuji Khadijah binti Khuwailid رضي الله عنها ketika ‘Aisyah رضي الله عنها cemburu kepadanya:“Sesungguhnya aku diberi rezeki iaitu mencintainya.” (Hadits riwayat: Imam Muslim, hadits 6228 kitab Fadha`ilus Shahabah, bab Fadha`il Khadijah Ummul Mukminin رضي الله عنها)
اللهم انشر نفحات الرضوان عليها، وأمدّنا اللهم بالأسرار التي أودعتها لديها، اللهم صل على زوجها الأمين، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Allah Ta’ala mengirim salam melalui Jibril kepada beliau رضي الله عنها dan menjanjikan mahligai di syurga buat beliau رضي الله عنها

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رضي الله عنه katanya: Jibril datang menemui Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dan berkata: Wahai Rasulullah! Khadijah telah datang kepadamu dengan membawa bekas yang terdapat di dalamnya lauk-pauk dan makanan. Apabila beliau sampai kepadamu, sampaikan salam kepadanya daripada Tuhannya dan daripadaku. Sampaikan berita gembira kepadanya mengenai sebuah rumah di dalam syurga yang dibuat dari mutiara, di dalamnya tidak ada kebisingan dan kesusahan. (Hadits riwayat: Imam al-Bukhari dan Muslim)
Hadits Abdullah bin Abu Aufa رضي الله عنه: Diriwayatkan daripada Ismail katanya: Aku bertanya Abdullah bin Abu Aufa: Tidakkah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pernah menyampaikan berita gembira kepada Khadijah رضي الله عنها mengenai sebuah rumah di dalam syurga. Beliau menjawab: Ya, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menyampaikan berita gembira kepadanya mengenai sebuah rumah di dalam syurga yang diperbuat dari mutiara, di dalamnya tidak ada kebisingan dan kesusahan. (Hadits riwayat: Imam Muslim)
Hadits dari Sayyidatina‘Aisyah رضي الله عنها katanya: Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menyampaikan berita gembira kepada Khadijah binti Khuwailid mengenai sebuah rumah di dalam syurga. (Hadits riwayat: Imam Muslim)
Dari Sayyidatina‘Aisyah رضي الله عنها katanya:”Saya tidak cemburu kepada seorang perempuan seperti cemburunya saya kepada Khadijah. Sesungguhnya Tuhan telah menyuruh Nabi untuk menyampaikan berita gembira kepada Khadijah yang akan memperoleh rumah di dalam syurga.” (Hadits riwayat: Imam al-Bukhari)
اللهم انشر نفحات الرضوان عليها، وأمدّنا اللهم بالأسرار التي أودعتها لديها، اللهم صل على زوجها الأمين، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Sayyidatuna Khadijah al-Kubro رضي الله عنها adalah antara wanita terbaik
Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pernah bersabda yang bermaksud: "Empat wanita yang terbaik ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, dan Asiah binti Muzahim isteri kepada Firaun."
(al-Tabari, Dhakha'ir al-Uqba fi Manaqib Dhawi al-Qurba; al-Hakim dalam al-Mustadrak).
Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Tholib رضي الله عنه katanya: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Sebaik-baik wanita adalah Mariam binti Imran dan Sebaik-baik wanita juga adalah Khadijah binti Khuwailid.
(Hadits riwayat: Imam Muslim)
اللهم انشر نفحات الرضوان عليها، وأمدّنا اللهم بالأسرار التي أودعتها لديها، اللهم صل على زوجها الأمين، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Demikianlah sedikit coretan mengenai Ummul Mukminin Sayyidatuna Khadijah رضي الله عنها. Kata ulama, ketika kita menyebut kisah para sholihin, Allah menurunkan rahmatNYA. Moga-moga Allah menurunkan rahmatNYA kepada al-Faqir dan sekelian pengunjung al-Fanshuri dengan berkat menyebut sekelumit kisah insan yang dikasihi Allah dan RasulNya dan semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk mencontohi perjuangan dan pengorbanan mereka, dan menghimpunkan kita kelak bersama mereka, para kekasihNYA. Ameen.
اللهم انشر نفحات الرضوان عليها، وأمدّنا اللهم بالأسرار التي أودعتها لديها، اللهم صل على زوجها الأمين، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

الفاتحة ألى حضرة حبيبنا وشفيعنا رسول الله محمد بن عبد الله صلى الله عليه وسلم وآله وأصحابه، ثم إلى روح سيدتنا الحبابة خديجة الكبرى وجميع أمهات المؤمنين .. الفاتحة

ERTI TAQWA

Oleh : Exco BKKS

Merujuk kepada Ayat 183 surah al Baqarah :
Wahai orang yang beriman ! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu , semoga kamu bertaqwa kepada Allah s.w.t.
( Surah al Baqarah : Ayat 183 )

Ayat di atas jelas menegaskan bahawa perkara asas yang ingin dicapai melalui ibadah puasa yang difadhukan ini ialah Taqwa. Tanpa taqwa ertinya ibadah puasa yang dilakukan oleh kita tidak mencapai objektif yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Maksud yang seerti dengannya ialah puasa kita gagal apabila kita gagal mendapatkan taqwa melalui aktiviti puasa di sepanjang bulan Ramadhan ini . Sebab semua orang memahami bahawa kejayaan dalam sesuatu kerja atau urusan ialah melihat kepada hasil atau objektif perlaksanaannya sejauh mana ia dicapai. Inilah yang biasa disebut sebagai ‘management by objective’ .

Prof. Doktor Wahbah az Zuhaili . ( di dalam Tafsir al Munir : Juzuk kedua /muka surat 130 . Cetakan Darul Fikri Damsyik ) ketika menafsirkan ayat ini menyebut bahawa Ibadah Puasa melahirkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t melalui beberapa faktor :

1. Puasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah swt, dalam keadaan sembunyi atau terbuka. Lantaran itu tiada siapa yang memantau atau memerhati orang yang berpuasa melainkan Allah swt. (Seseorang boleh makan lalu berpura – pura lapar di hadapan manusia tetapi tidak di hadapan Allah s.w.t. Justeru Allah s.w.t adalah Tuhan yang Maha Mengetahui .)

2. Mengekang keterlanjuran syahwah dan meringankan pengaruh serta penguasaannya. ( lantaran puasa melemahkan gelora nafsu .)

3. Mencetus naluri yang peka ( sensitive ) dan bersifat belas simpati terhadap insan yang lain. ( Lapar sewaktu berpuasa adalah mengingatkan kita kepada mereka yang miskin dan tidak bernasib baik )

4. Ibadah puasa memahamkan kita pengertian persamaan kedudukan taraf orang – orang kaya dan miskin .( di sisi Allah swt.)

5. Meletakkan kehidupan Insan dan pengurusannya di atas sistem ( yang benar dan menepati fitrah ) dan mendisiplinkannya.

6. Memulihkan struktur dalaman tubuh , menguatkan kesihatan dan membebaskan jasad dari sebarang unsur yang memudharatkan jasad .

Definisi Taqwa :

Kalimah ‘Taqwa’ asal maknanya adalah mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.

Menurut Syara’, ‘Taqwa’ bererti : “Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat”.[1]

Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda Baginda :

“Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”.
( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha. )[2]

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”.

Jawab Umar : “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa”.[3]

Menurut Ibnu Abbas r.a. : “Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal mentaatiNya”.[4]

Menurut Hasan al-Basri : “Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka”.[5]

Berkata Abu Yazid al-Bustami : “Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah”.[6]

Martabat Taqwa .

Menurut Al-‘Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri, taqwa ini mempunyai tiga martabat;[7]

Martabat pertama : Membebaskan diri dari kekufuran .

Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan “Kalimat at-Taqwa” dalam firmanNya :

“…lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mukmin dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa …”.
( Surah Al-Fath . Ayat : 26 )

Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah : Dua kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau punca kepada taqwa.[8]

Martabat kedua : Menjauhkan diri dari segala perkara yang membawa kepada dosa.

Martabat ketiga : Membersihkan batin (hati) dari segala yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah s.w.t.

Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah;

“ Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah s.w.t ).”
( Surah Ali Imran. Ayat : 102 )

Muslim yang Berjuang dan Bertaqwa .

Merentasi era peradaban moden yang menyaksikan keruntuhan akhlak , moral dan aqidah ummah kini di paras bahaya , memerlukan kuasa taqwa yang tinggi untuk kembali membina struktur asas umat Islam yang kian runtuh .

Taqwa adalah formula tepat untuk memproses penawar bagi memulihkan kecederaan iman yang sangat parah dewasa kini, khasnya dikalangan mereka yang mengaku muslim .

Kecederaan teruk di bahagian iman inilah yang meletakkan umat Islam turut terjebak dalam kancah perlecehan akhlak , moral dan aqidah.

Saksikanlah , bagaimana dunia kini amnya dan Negara kita khasnya dilanda kehancuran peradaban Insaniyyah , sehingga hilang peri kemanusiaan sebaliknya perangai kebinatangan menguasai minda sebahagian besar umat manusia .

Menyedari realiti dunia dan ummah hari ini , marilah kita mengambil kesempatan daripada ibadah puasa yang dijalani sebulan di bulan Ramadhan untuk membina syakhsiyyah muslim yang berjuang dan bertaqwa dengan mendidik jiwa , minda dan seluruh pancaindera agar tunduk dan patuh kepada Allah swt. serta siap untuk menjunjung tinggi segala tanggungjawab mempertahan dan memperjuangkan Islam di persada alam ini .

Kitalah selayaknya memikul tanggungjawab sebagai pejuang untuk menyelamatkan diri, dunia dan ummah dari bahana syahwah yang menyimpang jauh dari Manhaj Ilahi .

Pejuang yang dilengkapi sifat taqwa yang mantap sebagai alat keselamatan dan asas kekuatan diri demi memenangi pertembungan antara iman dan kufur, hak dan batil serta islam dan jahiliyyah .



Kurniaan Allah kepada Pejuang yang Bertaqwa

1. Pejuang yang bertaqwa akan mendapat kejayaan dunia dan akhirat
Pejuang bertaqwa akan dikurniakan kejayaan, kebahagiaan dan kemenangan oleh Allah di dunia ini dan juga di akhirat nanti.

“….maka bertaqwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu beroleh kejayaan”.
( Surah Al – Maidah. Ayat : 100 )

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa mendapat kemenangan”.
( Surah An-Naba’: Ayat 31 )

Kejayaan yang dimaksudkan itu ialah kehidupan mereka akan dilimpahi berkat oleh Allah dan terbukalah pintu rezeki seluas-luasnya kepada mereka serta terhasillah kepada mereka segala sebab yang membawa kebahagiaan dan ketenteraman hidup biarpun kehidupannya sebagai seorang pejuang sering dihalang dan diganggu oleh musuh – musuh Allah s.w.t.

Renungkanlah firman Allah ini :

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya”.
( Surah Al-A’raf : Ayat 96 )

Menurut para mufassirin , yang dimaksudkan dengan keberkatan dari langit ialah turunnya hujan dan keberkatan dari bumi pula ialah tumbuhnya tanam-tanaman dan buah-buahan.

Termasuklah keberkatan tersebut segala macam nikmat dan rezeki, begitu pula segala perkara yang menyebabkan wujudnya kesejahteraan dan keamanan di atas bumi . Adalah menjadi dasar yang diakui oleh al-Quran bahawa adanya keimanan yang sejati dan agama yang benar akan menyebabkan pula wujudnya kebahagiaan di dunia. Kebahagiaan di dunia itulah yang dinikmati oleh orang-orang yang mahu beriman dan bertaqwa kepada Allah.[9]

Kemuncak kejayaan dan kebahagiaan bagi orang-orang bertaqwa ialah di akhirat iaitu mereka akan dikurniakan kenikmatan syurga oleh Allah. Bahkan syurga itu sendiri sememangnya disediakan Allah untuk mereka yang bertaqwa sebagaimana firmanNya:

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa”.
( Surah Aali Imran : Ayat 133 )

“Dan sekiranya Ahli Kitab beriman dan bertaqwa, tentulah Kami tutup (hapus) kesalahan-kesalahan mereka dan tentulah Kami masukkan mereka ke dalam surga yang penuh kenikmatan”.
( Surah al-Maidah: Ayat 65 )

2. Pejuang yang bertaqwa dihapuskan kesalahan dan diampunkan dosa oleh Allah.
Antara kurniaan Allah kepada orang-orang bertaqwa ialah pengampunan dosa. Kesalahan-kesalahan mereka akan dihapuskan oleh Allah dan dosa-dosa mereka akan diampunkanNya.

Ini adalah janji Allah yang termaktub di dalam al-Quran sebagaimana firmanNya:

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan kepadamu furqan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar”.
(Surah al-Anfal: Ayat 29 )

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar”.
( Surah Al-Ahzab: Ayat 71 )

Menurut Imam An-Nasafi : Kesalahan-kesalahan yang dihapuskan Allah dari orang-orang bertaqwa itu ialah dosa-dosa kecil mereka , dan ada pun pengampunan yang Ia kurniakan kepada mereka ialah ke atas dosa-dosa besar.[10]

Berkata Imam asy-Syaukani : “‘Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu’ maksudnya ialah Ia menutup kesalahan-kesalahan kamu sehingga tidak kelihatan (kepada orang lain) dan Ia mengampunkan dosa-dosa yang kamu lakukan.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan ‘kesalahan-kesalahan’ ialah dosa-dosa kecil dan yang dimaksudkan dengan ‘dosa-dosa’ ialah dosa-dosa besar.

Menurut Imam Ibnu Kathir; “Allah berjanji kepada mereka (yakni orang-orang bertaqwa) bahawa ia akan mengislahkan amalan-amalan mereka (yakni memberi taufik kepada mereka untuk melakukan amal-amal soleh) dan Ia akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang lalu dan adapun dosa yang dilakukan oleh mereka pada masa hadapan, Ia akan mengilhamkan kepada mereka taubat”.[11]

3. Pejuang yang bertaqwa sentiasa akan mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah.

Orang-orang bertaqwa akan senantiasa dikurniakan hidayah dan petunjuk oleh Allah. Mereka senantiasa berada di atas jalan yang benar dan terhindar dari kesesatan atau membuat pilihan yang salah dalam urusan hidup mereka. Firman Allah;

“Wahai orang-orang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (pertunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah…”.
( Surah Al-Anfal: Ayat 29 )

“Hai orang-orang yang beriman (kepada para rasul), bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, nescaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bagian, dan menjadikan untukmu cahaya (yakni hidayah dan pertunjuk) yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
( Surah Al-Hadid: Ayat 28 )

Kata Imam Ibnu Kathir; “Orang yang bertaqwa kepada Allah dengan melaksanakan arahan-arahanNya dan meninggalkan tegahan-tegahanNya, ia akan diberi taufik (pertunjuk) oleh Allah untuk mengenal yang hak dari yang batil.

Inilah yang menjadi punca ia beroleh kemenangan, keselamatan dan jalan keluar (yakni jalan penyelesaian) dalam urusan-urusan duniawinya serta menjadi punca kebahagiaannya di akhirat, jua punca pelupusan segala dosa-dosanya dan punca ia beroleh pahala yang besar dari Allah”.[12]

Kitab al-Quran yang diturunkan Allah hanya orang-orang bertaqwa sahaja yang dapat mengambil petunjuk darinya. Ini kerana hanya mereka sahaja yang menyedari betapa tingginya nilai al-Quran dan bagaimana untuk mengambil manfaat dari ajaran dan hukum-hakamnya.[13]

“Kitab (Al Qur'an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa”.
( Surah al-Baqarah: Ayat 2 )

“(Al Qur'an) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa”.
( Surah Aali Imran: Ayat 138 )

4. Pejuang yang bertaqwa akan sentiasa dibantu dan diberi pertolongan oleh Allah

Orang-orang bertaqwa adalah kekasih Allah. Allah Ta’ala sentiasa bersama dengan mereka; membimbing, menjaga, memelihara dan membantu mereka.

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa”.
( Surah At-Taubah : Ayat 4)

“…dan ketahuilah bahwasanya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa”.
( Surah At-Taubah : Ayat 36 )


Orang yang menjadi kekasih Allah, ia tidak akan diabaikan Allah. Apabila ia berada dalam kesusahan atau kesempitan, Allah akan mengurniakan pertolongan kepadanya dan membuka jalan penyelesaian yang terbaik bagi masalah yang dihadapinya.
Bahkan orang-orang bertaqwa dikurniakan rezeki oleh Allah dari jalan-jalan yang tidak disangkanya.
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya) nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”.
( Surah Ath-Thalaq: Ayat 2-3 )

“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuwatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Yaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa”.
( Surah Yunus : Ayat 62-63 )

Kata Ibnu Abbas; “Orang yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan menyelamatkannya dari segala bala dan kesusahan dunia dan akhirat”.

Menurut Abu ‘Aliyah; “Orang yang bertaqwa , Allah akan bukakan untuknya jalan keluar (yakni jalan penyelesaian) bagi segala macam kepayahan/kesusahan yang dihadapinya”.[14]

Apabila berhadapan dengan musuh, orang-orang bertaqwa akan sentiasa dinaungi dan dijaga oleh Allah sehingga perancangan jahat dan tipu-daya musuh-musuh mereka tidak akan mampu memudaratkan mereka sedikitpun.

“Jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan”.

CUCU KESAYANGAN INSAN MULIA


Oleh : Syeikhulislam
Disunting dan diringkaskan oleh : Aishahtur Raadhiyah Azman Shah

Sesungguhnya kehidupan dan kematiannya merupakan gambaran yang indah dari insan yang mulia, penuh pengorbanan, iffah, suci, jiwa yang tenteram dan bersih. Patut baginya memperolehi kedudukan yang tinggi di dunia dan di akhirat, kerana dia adalah cucu Rasulullah SAW putera Saidina Ali ra. dan Fatimah Az-Zahrah, serta saudara kandung Husein, penghulu para syuhada. Layak pula baginya memperolehi tempat yang mulia di antara orang-orang soleh, kerana beliau meninggalkan jabatan khalifah dengan cara bermandikan darah para syuhada. Beliau mengutamakan serta meninggikan bendera Islam sebagai ganti mengumandangkan teriakan perang. Hatinya memancarkan rahmat, kasih sayang, kalbunya diliputi dengan perasaan kasih, dan jiwanya penuh dengan sifat keutamaan.

Bekas ciuman Nabi bau semerbak dari bibirnya. Baginda S.A.W mencintai Hasan dan saudaranya Husein, sehingga menjadikan kehidupan keduanya bagai kehidupan para malaikat. Keduanya hidup dalam naungan Ilahi. Pada masa kanak-kanaknya yang suci, mereka diberi ucapan-ucapan wahyu di lingkungan kenabian. Rasulullah S.A.W memberinya pelajaran dan cara hidup Islam serta pendidikan Ilahi. Dari lingkungan kedua orang tuanya, mereka mengambil suri teladan yang mulia. Dalam lingkungan yang jelas dan positif itulah Saidina Hasan dan Saidina Husein hidup berdampingan satu sama lain.

Hampir tiada berlalu suatu hari pun tanpa baginda S.A.W mengungkapkan kepada para sahabatnya tentang cintanya kepada cucu-cucunya. Badan Saidina Hasan banyak kemiripannya dengan bentuk badan Rasulullah. Diriwayatkan bahawa suatu hari Abu Bakar dan Ali sedang keluar dari masjid selesai solat. Tiba-tiba mereka berdua melihat Hasan r.a. sedang bermain. Lalu Abu Bakar ikut mengajaknya bermain. Setelah itu beliau berkata kepada Ali ra.: “Demi Allah, dia lebih mirip dengan Nabi SAW daripada denganmu.” Mendengar yang demikian itu Saidina Ali ra. tertawa.
Tentang kecintaan Nabi S.A.W kepada Saidina Hasan dan Saidina Husein, Abu Hurairah ra. pernah berkata: “Rasulullah S.A.W datang kepada kami bersama kedua cucunya, Hasan dan Husein. Yang pertama ada di bahunya yang satu, dan yang kedua ada di bahunya yang lain. Sesekali baginda S.A.W menciumnya, sampai baginda berhenti di tempat kami. Kemudian baginda bersabda: “Barangsiapa mencintai keduanya (Hasan dan Husein) bererti ia mencintai aku. Barangsiapa membenci keduanya bererti ia membenci aku.” Hadith-hadith yang berhubungan dengan kecintaan baginda S.A.W terhadap Saidina Hasan dan Saidina Husein banyak disebut dalam sejarah Nabi SAW.

Berkaitan dengan Saidina Hasan, Nabi SAW memberitahukan bahawa ia akan mendamaikan antara dua golongan kaum muslimin. Beberapa tahun setelah itu ramalan tersebut betul-betul terjadi. Peristiwa itu terjadi setelah wafatnya Rasulullah SAW dan setelah Saidina Ali ra. meninggal dunia. Saat itu penduduk Iraq datang untuk membaiat Saidina Hasan. Mereka percaya bahawa Saidina Hasanlah yang paling berhak menduduki jabatan khalifah.

Pada waktu yang bersamaan penduduk Syam membaiat Muawiyah, sehingga pertempuran baru antara Iraq dan Syam tidak dapat dihindari lagi. Di sinilah nampak kecerdasan Saidina Hasan. Beliau berfikir, terbayang dalam benaknya apa yang pernah terjadi dalam perang Shiffin. Di situ ia melihat ramainya korban yang terbunuh dan darah yang mengalir, mengakibatkan anak menjadi yatim dan perempuan menjadi janda. Apa yang dihasilkan oleh perang hanyalah kebinasaan dan kerosakan. Beliau khuatir terulangnya kembali peristiwa peperangan dan pertumpahan darah antara sesama kaum muslimin.

Ketika ia sedang mencari jalan penyelesaian dari terjadinya pertumpahan darah tersebut, tiba-tiba datang surat dari Muawiyah kepadanya. Di dalamnya tersirat politik Bani Umaiyah untuk mengadakan perdamaian dengan syarat Saidina Hasan dijanjikan akan menjadi khalifah nanti setelah kematian Muawiyah.

Setelah Saidina Hasan selesai membaca surat tersebut, serta merta ia mengutus utusan untuk menemui saudaranya Husein di Madinah. Ia menganjurkannya menerima usul perdamaian tersebut. Demikian pula sikapnya saat para pemuka penduduk Iraq berkumpul di gedung pertemuan di Iraq. Beliau berkata kepada mereka: “Sesungguhnya kalian membaiatku adalah untuk berdamai dengan orang yang mengajak damai dan berperang dengan orang yang mengajak perang. Sesungguhnya aku telah membaiat Muawiyah, maka dengarlah kata-kataku.”

Peristiwa ini diterima oleh penduduk Iraq secara terpaksa. Begitu pula halnya dengan Saidina Husein, beliau menerimanya secara terpaksa pula. Pada dasarnya semuanya menghendaki agar jabatan khalifah dipegang oleh keluarga Nabi, bukan didahului oleh Bani Umaiyah. Akan tetapi cara berfikir Saidina Hasan menuju kepada mencegah pertumpahan darah di kalangan kaum muslimin. Cukuplah bagi beliau apa yang pernah terjadi dalam perang Shiffin. Akan tetapi Muawiyah tidak ingin menepati janjinya. Ia telah menetapkan perintah membaiat anaknya, Yazid. Politiknya adalah jangka panjang, meskipun pada mulanya keinginannya belum tercapai, namun ia menjadikan strateginya itu secara bertahap.

Akibatnya setiap sahabat Rasulullah SAW yang mendengar maksud Muawiyah tersebut bukan main marahnya. Sebab jabatan khalifah akan dipegang oleh penguasa yang bengis, sebagaimana yang pernah diberitakan oleh Rasulullah SAW.

Namun meskipun Saidina Hasan menjaga jangan sampai terjadi pertumpahan darah di kalangan kaum muslimin. Tetapi tetap saja perkara-perkara lain muncul di hadapannya. Pada akhirnya berkali-kali beliau menghadapi usaha orang lain yang hendak meracuninya, tapi masih boleh diubati. Orang-orang tersebut tidak puas jika belum berhasil dalam usahanya. Hingga suatu ketika Saidina Hasan merasakan adanya racun pahit yang ada dalam makanannya. Rasanya seperti ditikam pisau dalam perutnya. Dengan menahan rasa sakit yang keras itu, beliau bertanya kepada saudaranya Saidina Husein: “Siapa yang menyembunyikan racun tersebut?” Saidina Husein tidak boleh menjawab, dan tidak lama kemudian beliau pun wafat.

Peristiwa itu terjadi pada tahun 50 H menurut pendapat yang paling kuat, dan seluruh penduduk Madinah ikut berkabung, menguburkan jasadnya yang suci di Baqi’. Dikhabarkan di tempat itu tersebar bau harum sewangi kasturi, seolah-olah para malaikat menaburkan wewangian syurga di dalamnya.

Semoga Allah memberi rahmat kepada Saidina Hasan dan Saidina Husein. Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda tentang mereka berdua: “Mereka berdua termasuk pemuka para pemuda ahli syurga.”

Pemuka Para Pemuda Ahli Surga
Sejak saat kelahirannya, seisi langit menyambut kehadirannya. Seisi bumi di sekitarnya memancarkan sinar kesucian, diliputi dengan rahmat dan semerbak bau wangi yang ditaburkan oleh para malaikat. Ketika Rasulullah SAW mendengar bahawa puterinya Fatimah Az-Zahrah dikurniai putera, baginda bergegas menuju ke rumahnya. Nabi S.A.W menjumpainya dengan raut wajah yang bersinar, bak purnama.

Begitulah kebiasaan baginda ketika mendengar berita gembira. Kemudian Nabi mendekat kepada bayi yang masih suci, mengumandangkan azan di telinganya seperti azan solat. Itulah kalimat pertama yang didengar oleh Saidina Husein setelah kelahiran beliau di dunia pada tanggal 5 Syaban 4 H. Sebelum Rasulullah SAW berangkat ke rumah puterinya, Fatimah, baginda sudah mempersiapkan nama untuk bayi tersebut dengan nama “Husein”, suatu nama yang belum dikenal oleh bangsa Arab pada waktu itu.

Husein r.a. hidup di rumah ayahnya di Madinah. Rasulullah S.A.W pun mencintainya, dan mencintai saudaranya, Hasan r.a. dengan cinta yang amat dalam. Kecintaan baginda itu digambarkan oleh Usamah Ibn Zaid dalam suatu peristiwa yang disaksikannya sendiri. Usamah berkata: “Aku mengetuk pintu rumah Rasulullah S.A.W sambil membawa sesuatu yang tidak aku ketahui apa yang dibawanya. Setelah selesai dengan tujuan yang saya inginkan, aku bertanya kepada baginda: “Engkau sedang membawa apa ya Rasulullah?” Baginda pun membukanya. Ternyata itu adalah Hasan dan Husein. Baginda bersabda: “Kedua anak ini adalah anakku, dan anak puteriku. Ya Allah, sungguh aku mencintai keduanya. Maka cintailah keduanya, dan cintailah orang yang mencintai keduanya.”

Apabila Hasan dan Husein datang kepada datuknya, Rasulullah S.A.W, Baginda memeluk mereka dengan kasih sayang dan menciumnya satu persatu, kemudian memangkunya di atas pahanya. Para sahabat di sekitar baginda segera mengucap: “Sesungguhnya keduanya adalah pemuka para pemuda ahli syurga.” Sebahagian dari ucapan Rasulullah yang mencerminkan gelora kasih sayangnya pada Saidina Husein adalah, “Husein itu dariku dan aku dari Husein. Semoga Allah mencintai orang yang mencintai Husein. Husein adalah cucuku.”

Husein r.a. tumbuh dalam lingkungan yang paling bersih dan mulia dari sifat manusiawi. Datuknya adalah Rasulullah S.A.W pemuka sekalian makhluk. Ayahnya adalah Ali Ibn Abi Thalib Karramallahu Wajhahu, memiliki peringkat teratas dari sifat dermawan, penuh pengorbanan, berjuang, dan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya. Ibunya adalah Fatimah Az-Zahrah, seutama-utama perempuan pada masanya. Maka memadailah jika dikatakan bahawa dia adalah puteri Rasulullah S.A.W, isteri bagi pemimpin para pejuang, dan ibu dari pemuka para pemuda ahli syurga.

Dalam persekitaran perjuangan yang berbau kenabian yang bersinarkan wahyu serta penuh dengan peristiwa jihad inilah Saidina Husein r.a. menghabiskan masa kanak-kanaknya yang pertama. Di sekitar rumah ayahnya, Ali Ibn Abi Thalib, dan rumah datuknya Rasulullah SAW sampai beliau menginjak 6 tahun 7 bulan 7 hari, Rasulullah S.A.W pun wafat. Peristiwa wafatnya Rasulullah itu disaksikan oleh Husein r.a.

Bagaimana penduduk kota Madinah diliputi dengan rasa duka, dan bagaimana duka yang dialami oleh kaum muslimin yang sangat mendalam itu boleh menghilangkan akal sebahagian dari mereka. Sehingga orang genius seperti Umar Ibn Al-Khatthab diliputi dengan fikiran kosong. Umar berseru kepada orang-orang: “Barangsiapa berkata bahawa Muhammad telah mati, akan aku bunuh dengan pedangku ini!” Semua itu disaksikan oleh Husein r.a.

Kemudian dia mendengar perihal ayahnya dan kaum muslimin yang bercakap-cakap tentang perang Riddah. Beliau hidup semasa peristiwa-peristiwa itu terjadi dalam keadaan jiwanya yang bersih. Tatkala mencapai usia remaja, ia menjadi anggota barisan para pejuang. Ia ikut bersama ayahnya dalam perang Jamal, Perang Shiffin dan perang melawan kaum Khawarij.

Ayahnya, Ali Ibn Abi Thalib, adalah pemimpin perang yang berwawasan jauh. Allah memberinya ilham terhadap perkara-perkara yang ghaib dan tidak dapat dijangkau oleh semua orang. Ketika beliau keluar dari Madinah menuju ke Kufah dan sampai di Karbala , beliau mengarahkan pandangannya di tanah tersebut dengan pandangan yang amat dukacita. Beliau berkata: “Di sinilah tempat berhenti perjalanannya, dan di sinilah tertumpah darahnya.”

Orang-orang di sekitarnya tidak mengerti ungkapan sedih dan mengharukan tersebut. Baru setelah beberapa tahun kemudian, terjadilah di situ peristiwa berdarah dalam peta dunia Islam. Rebutan kekuasaan dan peralihan kepemimpinan khalifah menjadi raja yang bengis sebagaimana hal tersebut pernah dikhabarkan oleh Rasulullah SAW, iaitu ketika Muawiyah membaiat puteranya, Yazid, dengan paksa. Seandainya tidak kerana kebijaksanaan Husein r.a., tentu darah kaum muslimin akan tumpah.

Pendiriannya boleh mencegah pecahnya perang antara golongan pembaiat dan penentangnya. Akan tetapi pertentangan tetap ada, meskipun secara sembunyi-sembunyi dalam tiap peribadi dan tidak nampak kecuali setelah kematian Muawiyah. Para pemuka Kufah mengirim surat kepada Husein r.a. meminta kepadanya agar hadir di Kufah untuk dibaiat. Husein menghadapi perkara ini dengan cermat. Beliau mengutus anak bapa saudaranya Muslim Ibn Aqil. Tapi ketika Ubaidillah Ibnu Ziyad menjadi penguasa Basrah, Muslim Ibn Aqil dibunuhnya. Peristiwa itu terjadi pada 9 Zulhijjah 60 H.

Peristiwa pembunuhan Muslim Ibn Aqil tersebut terjadi sebelum keluarnya Husein r.a. dari Makkah ke Kufah selang satu hari. Oleh kerana itu Husein r.a. tidak tahu tentang terbunuhnya Muslim Ibn Aqil sampai beliau tiba di Qadisiyah. Beliau mengutamakan kembali ke Makkah, namun kaum kerabat Muslim Ibn Aqil, tetap ingin melanjutkan perjalanan menuntut balas atas kematian saudaranya. Pengikut Husein r.a. ketika itu sekitar 70 orang, terdiri dari keluarga dan pendukungnya, baik dari kalangan lelaki, perempuan mahupun anak-anak.

Kejadiannya sangat cepat. Ketika dua utusan Husein terbunuh lagi, saat mengingatkan penduduk Kufah tentang syarat dan ajakan mereka untuk membaiatnya, dua utusan tersebut dibunuh oleh Ubaidillah Ibn Ziyad. Keadaan semakin serius, sampai pada puncaknya berakhir di Karbala, di mana kepala-kepala keluarga Rasulullah dipenggal, lalu kepala tersebut dibawa di atas hujung tombak menuju ke Ubaidillah Ibn Ziyad, kemudian diserahkan kepada Yazid Ibn Muawiyah di Damaskus. Husein terbunuh oleh orang yang bernama Syamr Ibn Dzi Jausyan, yang kemudian ia mendapat murka Allah, para malaikat dan kaum muslimin seluruhnya.

Kepala Husein yang mulia tersebut dipindahkan dari satu kota ke kota yang lain, kemudian ke kota Asqalan. Di situlah penguasa setempat menguburkannya. Lalu ketika bangsa Eropah berkuasa pada waktu perang Salib, Thalaih Ibn Raziq menebusnya dengan wang 30.000 dirham agar kepala tersebut boleh dipindahkan ke Kairo dan dapat dikubur di tempat di mana ia mati syahid semasa hidupnya.

Tentang kepala Husein r.a. di tempat syahidnya itu, para ahli sejarah berpendapat: bahawa ketika Abd Rahman hendak memperluas bangunan masjid Al-Husein, tempat tersebut ramai dikunjungi oleh orang-orang, termasuk di antaranya dua ulama popular, iaitu Syekh Al-Jauhary As-Syafi’i dan Syekh Al-Malwi Al-Maliki. Keduanya menyaksikan apa yang terdapat di dalam kuburan Husein. Diketahui bahawa kepala Saidina Husein r.a. dibungkus dengan kain sutera berwarna biru yang diletakkan dalam pundi emas di atas tempat ebonit. Demikian pula banyak petunjuk-petunjuk lain tentang kepala Saidina Husein r.a. dalam makam tersebut.

Allah menghendaki agar peristiwa yang menimpa pada cucu Rasulullah itu berlaku adil. Tiga tahun kemudian Yazid Ibn Muawiyah mati dengan cara yang hina, iaitu jatuh dari kudanya ketika sedang mengejar monyet. Lehernya patah, kuku kaki kudanya patah dan meringkik tidak tentu hala. Adapun Syamr Ibn Dzi Jausyan, si pembunuh Husein r.a., terbunuh oleh Mukhtar Ibn Abi Ubaid As-Tsaqafi, pelopor gerakan Tawwabin. Ia melemparkan jasad Syamr Ibn Dzi Jausyan agar dimakan anjing. Begitu pula nasibnya Ubaidillah Ibn Ziyad, terbunuh lalu dibakar. Sedangkan sisa-sisa pengikut Yazid Ibn Muawiyah mati terbunuh di tangan kelompok Tawwabin lainnya.

Allah memuliakan Kairo dengan dimakamkannya kepala Saidina Husein dan dikuburkannya beberapa Ahl Al-Bait di sana . Semoga Allah meredhai mereka dan memberinya tempat yang mulia dan darjat tertinggi di dunia dan akhirat