Thursday, April 2, 2009

Kajian TIMSS Bukti Kemerosotan Pelajar

Kajian TIMSS Bukti Kemerosotan Pelajar

Oleh : Nur Khalida Osman
Temubual Bersama Asmaa’ Mohd Arshad (Pensyarah UIAM)

Pada petang yang terik ini, saya berkesempatan menemu ramah seorang pensyarah universiti tempatan kita yang berada di bumi gersang Sudan. Sungguh Mengenali ramai manusia membuatkan kita belajar lebih banyak tentang kehidupan. Jadi, dikesempatan ini, marilah kita berkenalan dan mencuri sedikit pandangan dari salah seorang tenaga pendidik tanah air kita.


Al Khattab : بسم الله الرحمن الحيم, bagi memulakan temu ramah kita pada petang ini, saya rasa lebih manis kiranya Puan terlebih dahulu memperkenalkan biografi diri Puan secara ringkas.

Puan Asmaa’ : Saya Asmaa’ Mohd Arshad. Saya telah berkeluarga dan mempunyai lima orang anak perempuan. Saya bekerja sebagai seorang pensyarah di Institut Pendidikan UIAM. Sedikit tentang latar belakang pendidikkan saya, saya mendapat pendidikkan awal di Methodist Girls School (MGS). Kemudian saya menyambung pengajian saya di Ma’had Hamidiah Kajang, seterusnya saya meneruskan pembelajaran saya di Kolej Islam Klang. Selepas itu, saya melanjutkan pengajian saya ke Sarjana Muda di UIAM dan meneruskan pengajian saya ke peringkat Sarjana di ISTAC. Sekarang saya sedang membuat kajian dalam bidang perkembangan kurikulum di Fakulti Pendidikan UM untuk PhD saya.

Al Khattab : Jika melihat kepada tahap pencapaian akademik Puan dan status Puan sekarang sebagai seorang ibu kepada lima orang anak, rasanya puan sudah cukup pakej untuk dikategorikan sebagai seorang wanita yang berjaya Jadi, boleh Puan berkongsi sedikit tentang dorongan kejayaan yang membawa Puan sampai keperingkat ini?

Puan Asmaa’ : (Tersenyum) Bagi saya dorongan kejayaan yang paling kuat semestinya dari suami saya sendiri. Selain itu, keluarga saya juga turut memberi galakkan yang berterusan kerana mereka sendiri adalah dikalangan pendidik. Manakala pendirian saya sendiri, ilmu itu harus berterusan bukan sekadar mengejar Sarjana dan PhD sahaja tetapi saya perlu terus mendalami ilmu tanpa menggadaikan kepentingan keluarga saya sendiri.

Al Khattab : Semoga Allah mempermudahkan jalan untuk Puan terus menggapai cita-cita Puan, Insyaallah. Seterusnya, mungkin kita boleh berbincang serba sedikit tentang isu PPSMI yang sedang hangat diperkatakan di tanah air kita sekarang. Menurut sedikit maklumat yang saya ketahui, isu ini mendapat bantahan majoriti rakyat tanah air kita, dan yang terbaru ini, PIBG juga turut menyuarakan bantahan mereka. Boleh Puan berkongsi sedikit pandangan Puan mengenai isu ini?

Puan Asmaa’ : Saya secara peribadi tartarik dengan rasional Tun Dr. Mahathir berhubung dasar PPSMI ini. Dalam hal ini menunjukkan beliau prihatin dengan sumber tenaga manusia dalam mencapai era globalisasi. Jika negara kita mahu bersaing dengan tamadun yang menguasai dunia sekarang (barat), maka mahu atau tidak rakyat perlu menguasai bahasa Inggeris. Contohnya, apabila kita kembali melihat kurun ke 13 hingga 15 yang lampau, yang mana pada waktu itu tamadun dunia dikuasai oleh umat islam. Sehinggakan salah satu rujukkan utama ilmu perubatan pada waktu itu adalah kitab “al-Qanun Fit Tib” karangan Ibnu Sina. Justeru itu, orang-orang eropah bersungguh-sungguh mempelajari bahasa arab untuk mendalami ilmu-ilmu yang dikuasai oleh tamadun islam pada kurun itu.Walaubagaimanapun, apa yang saya perkatakan tadi, itu merupakan pandangan saya tentang rasionalnya Tun terhadap dasar ini.
Tetapi mengikut sudut penilaian saya, perlaksanaan dasar PPSMI yang telah ditubuhkan pada Julai 2002 tersebut dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa kajian yang menyeluruh. Akibatnya kita dapati pelbagai reaksi negetif yang disuarakan, sehingga Prof. Diraja Ungku Aziz mengibaratkan ianya seperti “tikus menebuk labu”. Pelaksanaan polisi ini juga, membawa masalah yang besar terutamanya dari segi persediaan dikalangan para guru untuk mengajar di dalam bahasa inggeris. Sebagai ahli akademik, saya lebih suka menilai isu ini secara fakta bukan sentimen. Di sini saya dapatkan satu kajian antarabangsa (Trends in International Mathematics and Science Study) TIMSS 2007 berkaitan prestasi pelajar 8th grade (tingkatan 2) dalam ujian matematik dan sains. Malaysia adalah antara 59 buah negara yang mengambil bahagian dalam kajian yang dijalankan oleh TIMSS ini. Kajian ini dilakukan Empat tahun sekali dengan persetujuan negara itu sendiri. Menurut kajian yang telah dibuat, skor purata pencapaian pelajar Malaysia 2007 untuk Matematik dan Sains menurun secara signifikan berbanding dengan skor prestasi pelajar Malaysia dalam kajian TIMSS 1999 dan 2003.

[Menurut kajian itu: Skor Matematik untuk tiga tahun pelajar Malaysia adalah sebagai berikut:
1999 = 519
2003 = 508 (turun 11 mata berbanding dengan skor 1999)
2007 = 474 (turun 34 mata berbanding dengan skor 2003)

Skor Sains untuk tiga tahun pula adalah seperti berikut:
1999 = 492
2003 = 510 (naik 18)
2007 = 471 (turun 40)

Dalam kalangan 59 negara yang mengambil bahagian dalam kajian TIMSS ini, ada Negara yang skor purata pencapaian sampel pelajarnya meningkat sedikit dan menurun sedikit. Tetapi penurunan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak 34 mata untuk Matematik dan 40 mata untuk Sains adalah signifikan dan terbesar sekali dalam kalangan 59 Negara itu. Ulasan dari salah satu laporan mengenai faktor yang boleh dihubungkait dengan pencapaian Matematik dan Sains ada menyebut: “Dalam kebanyakkan negara, pelajar yang menyatakan yang mereka belajar mata pelajaran ini dalam bahasa ibunda adalah secara puratanya lebih tinggi pencapaian ujian TIMSS berbanding dengan pelajar yang menyatakan mereka belajar Matematik dan Sains dalam bahasa asing diperingkat rendah dan menengah.”

Semua negara dalam kajian TIMSS ini yang pelajarnya menggunakan bahasa ibunda dalam pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah seperti Korea, Jepun, Chinese Taipei, Singapura,
England, US, Romania, dan sebagainya mencapai skor Matematik dan Sains yang tinggi. Berdasarkan dapatan kajian-kajian yang dibuat, UNESCO mengesyorkan bahasa keluarga digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah bagi memudahkan dan mengukuhkan kefahaman konsep-konsep Matematik dan Sains Pelajar.]

Daripada kajian yang dibuat oleh TIMSS menunjukkan bahawa pelajar di negara kita terkesan teruk dengan dasar PPSMI yang dilaksanakan semenjak tahun 2002 yang lalu. Hujah lain yang boleh saya utarakan di sini ialah pelaksanaan dasar ini meluaskan jurang sosio-ekonomi negara ataupun boleh dikaitkan dasar ini sebagai berat sebelah. Saya gemar merujuk kepada sejarah, cuba kita imbas kembali ketika zaman Abasiah, pada waktu itu negara islam menjadi pusat ilmu dan pembelajaran serta pembinaan tamadun. Ilmu-ilmu aqliah diterjemahkan dari bahasa Latin-Greek ke dalam bahasa arab Mereka menjalankan dua aktiviti serentak iaitu menguasai bahasa asing dan menterjemahkan bahasa asing ke dalam bahasa mereka. Ini satu gerakan intensif yang menyebabkan tamadun islam dikenali sebagai tamadun ilmu ketika itu. Seandainya kedua-dua proses tersebut tidak berlaku secara serentak, maka usaha untuk menjadikan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar ilmu akan terbantut. Walaupun begitu, dalam hal ini saya tidak menafikan kepentingan menguasai bahasa inggeris pada era globalisasi kini. Waallahualam.

Al Khattab : Terima kasih atas pandangan dan maklumat yang telah Puan kongsikan sebentar tadi, rasanya terlalu banyak input yang boleh diambil. Jadi sebagai mengakhiri temu bual kita pada petang ini, saya harap Puan boleh memberi sedikit saranan atau nasihat kepada para pembaca ruangan ini.

Puan Asmaa’ : Pepatah arab ada menyebut al-lughatu miftahul ‘ilm. Jadi bilamana seseorang itu menguasai banyak bahasa maka pastinya lebih banyak perbendaharaan ilmu yang akan diperolehi. Kita juga perlu ingat, bahawa bahasa itu merupakan satu wasilah bukan matlamat akhir. Oleh itu, jangan kita hadkan penguasaan ilmu kita. Walaubagaimanapun kita sebagai bangsa melayu perlu kita ingat pepatah melayu kita yang menyebut, “bahasa jiwa bangsa”. Sesungguhnya melalui bahasa itulah terserlahnya identiti sesuatu bangsa.

Al Khattab : Terima kasih sekali lagi kepada Puan yang sudi meluangkan masa dan berkongsi pandangan dengan saya pada petang ini. Semoga kita dapat bertukar-tukar pandangan lagi di lain hari.

Puan Asmaa’ : Sama-sama.Insyaallah, jika diizinkan Allah. - AK.

No comments:

Post a Comment