Showing posts with label Artikel Ahli PMMS. Show all posts
Showing posts with label Artikel Ahli PMMS. Show all posts

Saturday, July 17, 2010

Ya Nafsi

aLox’s ibn Shafiee
WAHAI JIWAKU YANG MENGALAMI KESAKITAN
RAWATAN KEENAM
Wahai Saudaraku yang gundah gelana akibat penyakit disebabkan mengenangkan kelazatan dan kenikmatan dunia! Jika dunia ini memang benar akan kekal untuk selama-lamannya, jika kematian benar-benar dapat dielakkan, jika taufan perpisahan dan kehilangan benar-benar akan bertiup selepas ini, jika masa hadapan akan meninggalkan musim dingin yang mencengkam, nescaya saya akan menyertai anda dalam merasa sedih serta menangisi keadaan anda. Tetapi oleh kerana dunia ini akan mengeluarkan kita daripadanya dengan berkata: “ Ayuh keluarlah!”, dan ia memekakkan telinganya daripada mendengar pekikan dan jeritan meminta tolong daripada kita, maka kita hendaklah meninggalkan perasaan cinta keinginan untuk tinggal kekal didalamnya, sebelum ia mengusir dan meninggalkan kita. Caranya ialah dengan kita mengambil bekalan daripada kesedaran yang dibangkitkan oleh penyakit dan berusaha untuk mengosongkan hati dan perasaan kita daripada dunia, sebelum dunia itu sendiri meninggalkan kita.
Melalui peringatannya kepada kita tentang pengertian yang halus dan mendalam ini, sesuatu penyakit membisikkan ke dalam benak hati, dengan berkata kepada kita:
“Binaan badan anda bukan diperbuat daripada batu yang keras atau diperbuat daripada besi. Bahkan ia diperbuat daripada bahan yang tersusun, kesemua bahan itu amat mudah untuk menerima proses pemecahan, pembusukan dan perpisahan. Oleh itu, tidak perlulah anda bermegah. Sedarilah kelemahan anda. Kenalilah Tuhan yang memiliki anda. Fahamilah tugas anda. Pelajarilah hikmat dan tujuan anda datang ke dunia ini.”
Fikirkan dan Renungkanlah bisikan ini ke dalam hati kita yang diseliputi kegelapan, kekerasan dan membeku. Mudahan dapat meretak dan memecahkan semua lilitan dan cengkaman ini.
Kenikmatan dan kelazatan dunia ini tidak berkekalan. Terutamanya jika ia diperolehi melalui jalan yang tidak syar’ie. Sebaliknya ia akan menyebabkan perasaan menjadi sakit di samping mendapat dosa dan kesalahan. Oleh itu, janganlah anda menangisi kehilangan kenikmatan tersebut kerana sakit yang anda hadapi. Bahkan fikirkanlah tentang makna ibadat Maknawi yang terkandung di dalam sakit yang anda hadapi serta balasan pahala tersembunyi di akhirat yang bakal anda perolehi. Berusahalah untuk mencapai perasaan murni yang akan berbuah kemanisan abadi. Amin ya Robb…..

“Aku pulang ke rumah dan meletakkan lampu di hadapanku, lalu terus membaca dan mengarang. Bila rasa mengantuk itu sangat mendesak, atau badanku terasa letih sekali, maka akupun minum secangkir hingga timbul kembali kesegaranku dan aku teruskan membaca lagi. Tetapi jika mengantuk tak tertahankan, aku lalu tidur dan biasanya aku bermimpi tentang soal-soal yang belum selesai dalam fikiranku. Di dalam mimpi itu, kebanyakan soal-soal itu biasanya menjadi terang masalahnya.”

(Ibnu Sina)

Prasangka Buruk

Oleh : Fairus


Firman Allah yang berbunyi :

يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا اجْتَنِبُوْا كَثِيْرًا مِنَ الظَّنِّ اِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ اِثْمٌ وَلاَ تَجَسَّسُوْا وَلاَيَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا اَيُحِبُّ اَحَدُكُمْ اَنْ يَاْكُلَ لَحْمَ اَخِيْهِ مَيِّتًا فَكَرِهْتُمُوْهُ وَاتَّقُوْا اللهَ اِنَّ اللهَ تَوَّابٌ رَّحِيْمٌ

"Hai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesunguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang".
(Al –Hujuraat : 12)

Ayat ini menunjukkan perintah supaya menjaga kehormatan orang muslim dengan sebaiknya kerana ianya didahului dengan tegahan daripada bercakap tentangnya dengan sangkaan. Kalau orang yang berprasangka mengatakan: ‘Saya akan kaji dan selidik’! Katakanlah kepada mereka: “Janganlah kamu mencari-cari keaiban orang lain”. Jika mereka berkata: ‘Saya telah pastikannya dengan tidak mencari keaiban’. Katakanlah: “Janganlah kamu mengumpat di antara satu sama lain”.

Sebagai seorang muslim perlu berwaspada dalam pertuturan dan tingkah laku. Sentiasa berfikiran terbuka dalam menangani masalah dengan cara yang baik dan tanpa menuduh sembarangan atau berprasangka buruk terhadap saudara seislam kita dalam suatu perkara yang belum pasti sama ada pelaku tersebut melakukannya.

Cuba kita lihat di sekeliling kita, banyak perkara yang sering kita dengari di dalam radio dan televisyen. Antaranya tuduhan-tuduhan palsu tanpa usul periksa yang dijalankan di dalam suatu kes tanpa mengira perkara itu benar ataupun tidak. Mereka selalu membuat tuduhan yang melulu dan mencari jalan yang singkat untuk menyelesaikannya. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku, malahan pula mengambil perkara mudah. Kita haruslah bijak dan janganlah cepat mengambil keputusan dalam sesuatu kes.

Gossip juga adalah salah satu perbuatan keji yang perlu kita hindarkan.Gossip merupakan sesuatu yang tidak elok untuk diperagakan dikhalayak umum dengan mendedahkan peribadi-peribadi seseorang kepada orang ramai. Bahkan,gossip membawa kepada terbukanya keaiban seseorang itu dan kadang-kadang perkara itu diluar daripada jangkaannya. Contohnya gossip dikalangan artis dan juga sesama artis. Mereka selalu mengambil peluang dan kesempatan yang ada untuk menjual maruah orang di serata tempat terutama pihak media. Kononnya untuk mencari publisiti seseorang bagi meningkatkan penjualan surat khabar, majalah dan lain-lain lagi.

Ingatlah wahai manusia, sesungguhnya Allah murka terhadap seseorang hambanya yang mencari-cari akan kesalahan orang lain dan keaiban orang.Maka sesiapa yang melakukannya dia boleh diibaratkan seperti memakan daging-daging saudaranya. Benarlah dalam firman Allah Taala :


Maksudnya: “Dan orang-orang yang menyakiti orang lelaki dan perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata”. (Al-Ahzab 58)

Di dalam menempuh kehidupan seharian, kita perlu berfikiran positif terhadap orang lain walaupun di mana kita berada sekalipun.Ini kerana,seseorang yang disangkakan buruk akhlak dan perbuatannya, mungkin juga lebih baik dari yang disangkakan.Mungkin dari sudut zahir seseorang itu,perwatakannya hanya sederhana dan tidak dikenali ramai.Tetapi siapa yang boleh menduga orang sebegini lebih mulia di sisi Allah kerana ibadat dan pengabdian diri kepada Allah. Oleh itu, janganlah sesekali menuduh yang bukan-bukan terhadap seseorang hanya kerana zahirnya sahaja. Lihatlah dengan mata hati dengan berteraskan iman dan Islam agar setiap kebaikan dan hikmah pada diri seseorang dapat dilihat dengan sebaik-baiknya. Jadi, sebagai seorang insan yang merupakan hamba kepada Sang Pencipta, kita perlulah sentiasa bermuhasabah diri dari setiap apa yang berlaku di sekeliling kita. Firman-Nya lagi :

Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang perkara yang dilakukan”. (Al-Isra’ 36)

Selalunya seseorang muslim sering ditipu dan diperdaya dengan bisikan-bisikan syaitan untuk memperlaga-lagakan sesama manusia. Bermula bisikan itu hati dan perasaan akan berfikir yang bukan-bukan terhadap saudaranya, dan berkeinginan untuk menjatuhkan maruahnya. Jadi berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini seperti mengumpat,menghina dan sebagainya yang akhirnya berlaku pergaduhan sesama mereka.Sesetengahnya timbul perasaan iri hati, hasad dengki, cemburu dan sebagainya. Walhal ia hanya permainan perasaan yang tidak dapat dibendung kerana dengki melihat kesenangan dan kemewahan orang lain.

Marilah kita kenali diri sendiri, melihat di mana silap dan kesilapan kita,dan di mana bahagian yang perlu dibaiki dan ditambah dengan amal dan kebaikan.Janganlah sesekali menganggap diri ini sebagai yang terbaik,tetapi anggaplah diri masih mempunyai banyak kekurangan dan sentiasa memperbaiki kekurangan itu dan memperbanyakkan amal ibadah kepada Allah. Kesimpulannya, kita perlulah sentiasa memperbaiki diri dari semasa ke semasa sementara kita masih berpeluang untuk bernafas sebelum tiba ajal kita pada hari yang mendatang kelak. Sentiasalah berusaha untuk menjadi insan yang syumul. Sama-sama kita hayati sepotong hadis yang berbunyi :

عَنْ اَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِيَّاكُمْ وَالظَّنِّ فَاِنَّ الظَّنَّ اَكْذَبُ الْحَدِيْثِ وَلاَ تَجَسَّسُوْا وَلاَ تَحَسَّسُوْا وَلاَ تَنَافَسُوْا وَلاَ تَحَاسَدُوْا وَلاَ تَبَاغَضُوْا وَلاَ تَدَابِرُوْا وَكُوْنُوْا عِبَادَ اللهِ اِخْوَانًا

"Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Aku peringatkan kamu dari prasangka sesungguhnya prasangka itu adalah bisikan yang paling bohong. Dan janganlah kamu mencari-cari rahsia (kelemahan, ke’aiban dan keburukan saudaranya), janganlah merasa-rasakan (yang bukan-bukan), janganlah kamu melakukan pertengkaran, jangan berhasad (dengki), jangan berbenci-bencian, janganlah membelakangkan (saudaramu seagama). Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara". H/R al-Bukhari.

Cintailah Illahi

Oleh : pen_baru

Rasa cinta adalah suatu anugerah Tuhan kepada hambaNya. Dengan cinta, manusia sanggup melakukan apa sahaja asalkan dia memiliki apa yang dicita.
Cinta berkait rapat dengan emosi. Ia adalah perasaan yang sangat halus dan dilingkungi oleh kelembutan yang tiada batasan. Jika ia tidak berlandaskan syariat maka seseorang itu akan jatuh ke jurang cinta nafsu.
Fitrah manusia ingin menyintai dan dicintai adalah anugerah dari yang Maha Esa. Ia umpama hadiah. Wajarkah kita mencintai hadiah lebih pemberinya? Tepuk dada, tanya iman.
Dewasa ini, ramai dalam kalangan kita yang telah terpesong dari landasan syariat. Lelaki dan perempuan yang bukan mahram menjalinkan hubungan cinta yang pastinya tidak halal bagi mereka. Hadis jangan menghampiri zina tidak diendahkan. Mungkin ramai yang tidak memahami maksud sebenar atau telah hanyut dengan hasutan syaitan. Majoriti dari kita telah melakukan larangan tersebut. Jika kita menghampiri zina maka terbuka luaslah pintu-pintu maksiat.
Cinta perlu dihijab dengan iman dan rasa takutkan pencipta semata-mata. Dia memberikan cinta sebagai ujian kepada kita untuk menguji sejauh mana kesabaran hambaNya. Jangan berani bercinta jika belum bersedia. Kita perlu bermujahadah dengan melawan godaan syaitan dan hawa nafsu. Cakap memang mudah tetapi untuk mengamalkannya, ramai yang tewas. Di saat mujahadah,kita mestilah jadikan Al-Quran sebagai panduan dan penawar, Al-Quran adalah warkah cinta dari Raja segala cinta.
Mari kita mendidik hati kita untuk dicintai Raja segala cinta dengan membaca dan merenung makna Al-Quranul Karim. Sesungguhnya, Al-Quran adalah rahsia cintaNya kepada kita. Di samping itu, kita juga boleh mengamalkan amalan sunat yang telah diwariskan kepada kita oleh kekasihNya, Rasulullah s.a.w . Jika kita mengikuti sunnah-sunnah kekasihNya pasti kita beroleh cintaNya.
Allah menjadikan zikir sebagai ruh bagi amalan soleh. Kita hendaklah selalu membasahkan lidah dengan zikrullah. Oleh yang demikian kita akan merasa dekat dengan Tuhan. Imam Ibn Qayyim dalam kitab Al-Wabil Al-sayyib mengatakan antara kelebihan berzikir adalah menjadikan diri kita kuat untuk mempertahankan diri daripada gangguan syaitan, menghidupkan hati daripada kelalaian, ,erupakan tanda syukur kepada Allah dan banyak lagi. Firman Allah dalam surah Ar-ra’d ayat 28 yang bermaksud : Hanya dengan mengingati Allah hati-hati akan menjadi tenang.
Cinta perlukan pengorbanan. Kita perlu mengutamakan dan mengikut suruhan Allah dan meninggalkan apa yang dibencikanNya. Di sini syaitan akan memainkan peranannya untuk menghiaskan segala amalan keburukan. Kita tidak akan merasa bersalah untuk melakukan maksiat kerana semuanya kelihatan baik belaka.
Allah memberi ujian kepada orang yang beriman dengan mencintai syahwat dan cenderung kepada maksiat kerana ingin menguji sejauh mana usahanya untuk berjuang melawan hawa nafsu dan meniggalkannya demi mencapai mardhatillah(keredhaan Allah). Jika berjaya maka Allah mengankat darjatnya, jika tewas akan mendapat balasan yang setimpal.
Untuk mendapat cinta ilahi kita perlu merasa rendah diri dan hina dihadapanNya. Allah berkuasa ke atas segalanya. Hanya kepadaNyalah tempat meminta dan berharap. Kita juga perlu redha dengan apa yang telah ditakdirkan kepada kita. Allah maha mengetahui. Dialah yang maha pencipta dan mengetahui apa yang baik dan buruk bagi hambaNya.
Qiamullail juga adalah salah satu cara mendidik hati untuk memperoleh cinta abadi. Waktu yang paling mustajab untuk bermunajat padaNya adalah di waktu sepertiga malam. Hal ini terbukti di dalam hadis riwayat Muslim, dari Jabir r.a mengatakan aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “ Pada malam ada satu waktu (yang berkat) di mana jika seseorang muslim menepati waktu itu dan berdoa kepada Allah dan meminta keberkatan dunia dan akhirat nescaya Allah kabulkan doanya. Keadaan ini ada pada tiap-tiap malam”.
Ketahuilah bahawa faktor yang mendorong kita untuk berjaga malam adalah perasaan cinta kepada Pencipta dan keimanan yang kuat.
Sesungguhnya hati yang mencintai Allah adalah hati yang beruntung kerana semua yang dilakukan akan mendatangkan kebaikan. Tidak rugi jika tidak menurut hawa nafsu kerana kehidupan di dunia hanya sementara.
Ingatlah, sesiapa yang berpaling dari mencintai Allah, mengingatiNya dan merindukan pertemuan denganNya, maka Allah akan memberikan ujian dengan apa yang dia cintai selain Allah itu. Marilah kita bermunasabah, semoga kita semua mengutamakan cinta Agung dari cinta selainNya

Sunday, June 20, 2010

Peristiwa Rejab

1.Hijrah Pertama
Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra' dan Mi'raj
Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT.

Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.

Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu.

Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)

3. Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran

4. Pembebasan Baitul-Muqaddis
Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH.
Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.

Cinta Rasul S.A.W

Kasih sayang dan cintalah yang menyebabkan lahirnya semangat dalam kehidupan para sahabat r.hum sehingga mereka tidak hiraukan tentang kehidupan dan tidak berangan-angan untuk berumur panjang, mereka tidak teringatkan harta dan mereka tidak takutkan kesusahan, malah mereka tidak bimbangkan kematian.

Sebenarnya cinta bukanlah satu perkara yang boleh dijelaskan. Cinta ialah keadaan hati yang mengatasi lafaz-lafaz perkataan dan baris-baris ayat. Cinta ialah satu perkara apabila telah menunjang dalam hati akan menguasai segala perkara yang berkaitan dengan perkara yang dicintai.Lantaran itu maruah dan kehormatan diri, kemuliaan dan keagungan tidak lagi bererti dalam membela orang yang dicintai.

Semoga Allah s.w.t. dengan kemurahan-Nya dan dengan berkat kekasih-Nya mengurniakan kepada kita cinta kepada-Nya dan kepada Rasul-Nya yang suci sehingga kita dapat merasakan kelazatan dalam beribadat dan berasa bahagia dalam menghadapi setiap penderitaan demi agama.

Pada zaman permulaan Islam, sesiapa sahaja memeluk Islam akan cuba merahsiakan keislamannya sedaya mungkin. Rasulullah s.a.w. juga mengingatkan mereka agar merahsiakan keislaman mereka supaya mereka tidak dianiayai oleh orang-orang kafir.

Apabila jumlah orang-orang Islam meningkat sehingga 39 orang, Saidina Abu Bakar r.a. telah memohon daripada Nabi s.a.w. untuk menzahirkan Islam sehingga boleh berdakwah secara terbuka. Pada mulanya, Baginda s.a.w. menolak tetapi atas desakan Abu Bakar r.hu, Baginda memperkenankan permohonan itu. Abu Bakar r.a. telah membawa semua orang Islam ke Baitullah. Kemudian beliau telah memulakan ucapan dakwah. Ini ialah ucapan pertama disampaikan dalam Islam. Bapa saudara Nabi s.a.w. ketua para syuhada’, Saidina Hamzah r.hu telah memeluk Islam pada hari itu dan Saidina Umar r.hu tiga hari selepas itu.


Sebaik sahaja ucapan bermula, orang kafir dan puak mushrikin terus menerkam orang-orang Islam dari empat penjuru. Walaupun kemuliaan dan kehebatan Abu Bakar diakui secara amnya seluruh Mekah namun beliau tetap dipukul sehingga wajahnya berlumuran darah. Hidung, telinga dan semua anggotanya telah lebam sehingga wajah beliau tidak dikenali lagi. Beliau telah dipukul dengan kasut, ditendang dan dipijak sehingga beliau jatuh pengsan.

Setelah Banu Taim, orang-orang kabilah Saidina Abu Bakar r.hu mendengar berita itu, mereka datang lalu mengusung beliau pulang. Semua orang yakin bahawa Saidina Abu Bakar r.hu tidak akan dapat hidup lagi akibat serangan yang begitu kejam. Bani Taim telah datang ke Masjidil Haram dan mengisytiharkan bahawa kalaulah Abu Bakar meninggal dunia kerana peristiwa tersebut maka mereka akan mengambil tindakan balas dengan membunuh ‘Utbah bin Rabiah. Dialah orang yang paling ganas semasa menyerang Abu Bakar r.hu.

Abu Bakar r.hu tidak sedarkan diri sehingga ke petang. Walaupun telah dipanggil berkali-kali, beliau tetap tidak dapat menjawab. Pada waktu petang barulah beliau dapat bercakap setelah diseru namanya. Dalam keadaan itupun lafaz yang mula-mula sekali keluar dari mulutnya ialah, “Bagaimanakah keadaan Rasulullah?” Orang ramai mula mengutuknya, “Oleh sebab Muhammadlah kamu menerima musibah ini. Setelah sepanjang hari berada di rahang maut kemudian baru boleh bercakap masih lagi kamu bertanyakan hal Muhammad dan masih lagi kamu mengasihinya.”

Orang ramai mula bangun meninggalkan beliau kerana kecil hati terhadap beliau lagipun masih ada harapan untuk hidup dan beliau sudah mula boleh bercakap. Mereka berpesan kepada ibunya Ummu Khair supaya menyediakan apa-apa makanan untuknya. Ibunya membawa makanan dan mendesak Abu Bakar supaya makan tetapi beliau tetap dengan pertanyaannya, “Bagaimanakah keadaan Rasulullah? Apakah telah terjadi kepada Baginda?”
Ibunya berkata, “Aku tidak mengetahui keadaannya.”

Abu Bakar r.hu lalu berkata, “Pergilah berjumpa Ummu Jamil (adik Saidina Umar r.hu) dan bertanyakan kepadanya apakah keadaan Baginda?”

Demi untuk menyempurnakan permintaan daripada seorang anak yang dizalimi sebegitu rupa, Ummu Khair pun pergi menemui Ummu Jamil r.anha dan bertanyakan hal Nabi Muhammad s.a.w. Ummu Jamil juga merahsiakan keislamannya mengikut seperti keadaan biasa pada masa itu. Beliau berkata, “Aku tidak tahu pun siapakah Muhammad dan siapa Abu Bakar? Namun, aku bersimpati mendengar keadaan anakmu. Sekiranya engkau izinkan biarkanlah aku pergi untuk melihatnya.” Ummi Khair telah membenarkannya.

Sebaik sahaja melihat keadaan Saidina Abu Bakar r.hu, Ummu Jamil tidak dapat menahan perasaan lalu menangis teresak-esak, “Apakah yang si bedebah- si bedebah telah lakukan? Semoga Allah membalasi mereka atas apa yang telah mereka lakukan.”


Saidina Abu Bakar r.hu masih lagi bertanya, “Bagaimanakah keadaan Rasulullah?”

Ummu Jamil r.anha mengisyaratkan ke arah ibu Abu Bakar r.hu dan berkata bahawa dia sedang mendengar. Saidina Abu Bakar r.hu berkata, “Jangan takut kepadanya.”

Maka Ummu Jamil r.anha menyampaikan berita baik sambil berkata, “Baginda berada dalam keadaan sihat lagi selamat.”

Abu Bakar r.hu bertanya lagi, “Dimanakah Baginda sekarang ini?”

Ummu Jamil r.anha menjawab, “Baginda telah pergi ke rumah Saidina Arqam r.hu.” Lalu Abu Bakar r.hu berkata, “Demi Allah, aku tidak akan makan apa-apa dan tidak akan minum apa-apa selagi aku tidak pergi menziarahi Rasulullah.”

Ibu beliau mula susah hati apabila beliau bersumpah tidak akan makan selagi beliau tidak melihat Rasulullah s.a.w. Oleh sebab itu, ibunya telah menunggu sehingga tiada orang lalu-lalang di jalanan agar tiada sesiapa yang akan nampak beliau dan semoga tidak lagi berlaku kezaliman terhadap beliau.

Apabila sebahagian besar malam berlalu, Ummu Khair telah membawa Saidina Abu Bakar ke rumah Saidina Arqam bertemu Nabi s.a.w. Abu Bakar r.hu terus memeluk Baginda s.a.w. dan Baginda pun memeluk beliau sambil menangis. Orang-orang Islam yang ada di situ pun turut menangis kerana tidak sampai hati melihat keadaan Saidina Abu Bakar. Selepas itu Abu Bkar r.hu memohon daripada Nabi s.a.w., “Ini ialah ibu saya, tuan tolonglah doakan hidayat untuknya dan dakwahlah dia kepada Islam.”

Mula-mula Rasulullah s.a.w. mendoakan hidayat untuk Ummu Khair kemudian member galakan kepadanya untuk memeluk Islam dan beliau menerima Islam pad masa itu juga.
Ramai yang mendakwa bahawa mereka sangat kasih dan cinta kepada hidup senang dan mewah. Namun, kasih dan cinta yang sebenarnya ialah yang terus berkekalan walaupun ditimpa musibah dan penderitaan.


Kata Sayyidi alHabib Umar bin Hafizd, “Setinggi-tinggi syuhada’ ialah syuhada’ cinta iaitu dia mati dalam keadaan menhan rindu dan cintanya kerana Allah.” Insan yang paling agung dikurniakan syahadah cinta itu ialah Rasulullah s.a.w.

Apabila Baginda diberi pilihan oleh Jibril a.s. sama ada untuk memanjangkan ajalnya atau bertemu Tuhannya, Rasulullah memilih untuk bertemu Tuhannya kerana cinta dan rindu.

Begitu juga kisah Sayyidah Fatimah Zahra’, beliau wafat setelah 6 bulan pemergian Rasulullah. Ulama’ berpendapat bahawa disebalik tempoh yang pendek antara kewafatan beliau dengan Rasulullah adalah kerana beliau tidak sabar dan rindu untuk bersama ayahnya Rasulullah.

Saidina Abu Bakar r.hu pula, setelah pemergian Rasulullah s.a.w. setiap malam beliau menangis sendirian dan berkata. “Wa Syauqoh Ya Rasulullah.. Wa Syauqoh Ya Rasulullah.. Wa Syauqoh Ya Rasulullah.. (Rindu wahai Rasulullah)” dan beliau wafat 2 tahun stelah pemergian Rasulullah.
Ya Rasulullah salamun ‘alayk.. Allaah.. Allaah..

rujukan : Tarikhul-Khamis & Hikayatus Sahabah.

Kehidupan Bersama Al Quran

Sebagai muslim kita meyakini bahawa al-quran merupakan kitab suci yang diturunkan Allah kepada nabi Muhammad s.a.w. Al-quran adalah petunjuk bagi manusia untuk memperolehi kebahagiaan dunia dan akhirat.

Kita juga mengetahui bahawa Allah telah menurunkan kitab-kitab suci lain kepada para nabi sebelum baginda s.a.w. Taurat kepada nabi Musa, Zabur kepada nabi daud dan Injil kepada nabi Isa a’laihimussolatuwassalam sebagai petunjuk kehidupan bagi orang-orang yang hidup sezaman dengan mereka.

Al-quran merupakan mukjizat terbesar sebagai bukti kebenaran kenabian nabi Muhammad s.a.w. Al-quran memiliki stuktur dan gaya bahasa yang sangat tiggi nilai sasteranya serta kandungan makna yang sangat mendalam yang sekali-kali tidak akan dapat disaingi oleh mana-mana karya.

Isi al-quran meliputi seluruh aspek kehidupan manusia yang mana manusia tidak akan sekali-kali sesat jika berpegang teguh dengannya. Al-quran menceritakan sejarah orang terdahulu dan bagaimana mereka menjalani kehidupan serta bagaimana akhir kehidupan mereka untuk menjadi pelajaran,pengajaran dan ikhtibar bagi kita.

Sebagai umat islam kita wajib membaca,mempelajari serta mengamalkan ajaran al-quran kerana ia adalah sumber hukum dan kebenaran.Al-quran adalah bacaan terbaik dan termulia yang dapat menghibur serta menenangkan hati dikala duka menerpa, memperkuat jiwa dikala lemah dan untuk memperlihatkan rasa syukur ketika kita berbahagia dan memberikan kita penawar di saat gudah gelana.

-------------------------------------------------------------------------------------
"(Yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram." Ar-Ra'd : 28)

"Dan Kami Turunkan dari Al-Quran (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman, sedangkan bagi orang yang zalim (Al-Quran) itu hanya akan menambah kerugian." (Al-Isra' : 82)
-------------------------------------------------------------------------------------

Ikhlas dalam Ibadah

Ketika situasi kita melakukan suatu kerja jarang menghadirkan diri dengan rasa ikhlas. Malah selalunya melakukan dengan niat yang tidak elok, dan merasakan diri adalah terbaik iaitu menunjuk-nunjuk. Bukan memiliki perasaan ikhlas dalam diri untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Bahkan pula perasaan riyak yang timbul diantara punca di dalam diri manusia itu tersebut.

Cuba kita fikirkan sejenak. Apakah amalan yang kita lakukan seharian diterima oleh Allah? Jadi apakah tindakan kita selanjutnya sekiranya kita masih merasakan diri insan yang sempurna. Setiap perkara yang kita lakukan cuba dihadiri dengan muhasabah diri ketika ingin melelapkan mata di atas katil. Adakah semuanya ikhlas? Jadi kita sebagai insan biasa yang masih belajar dan menuntut ilmu perlulah berfikir dan mencari jalan yang terbaik untuk melakukan sesuatu pekerjaan dalam keadaan diri yang betul-betul ikhlas bukan disebaliknya.

Sebagai manusia biasa sia-sialah kita beribadah sepanjang hari dengan segala penat lelah dan melakukan perkara yang disuruh oleh Allah tanpa disusuli dengan perasaan ikhlas. Ikhlas merupakan amalan hati. Jika kita merasakan ia tidak perlu sia-sialah hidup di dunia ini tanpa ikhlas. Allah berfirman yang bermaksud : “Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah” (Surah al-Dhariyat : 56)

Secara amnya, kita sebagai hambaNya yang bertaqwa jadikanlah segala amalan yang kita lakukan sepanjang hidup adalah ibadah dan cuba hadirkan ikhlas dalam diri ketika beribadah. Apabila kita melakukan sesuatu perkara tidak ikhlas ‘rugilah di dunia, melepaslah jua di akhirat’. Jadi cuba kita lihat dalam firman Allah yang bermaksud : “Dan mereka mengharapkan rahmat / kurniaanNya dan takut akan seksaNya. Sesungguhnya seksa Tuhanmu sangat ditakuti” (Surah al-Isra : 57)

Itulah sebenar-benarnya ikhlas dalam ibadah. Kita juga sering mendengar rungutan dan sungutan dikalangan kita apabila melakukan sesuatu pekerjaan melebihi dari apa yang kita inginkan. Perkara sebegini membuatkan hanya penat sahaja yang kita perolehi. Sesungguh pun kita tidak boleh menunding jari kepada sesiapa pun yang kita tahu bahawa insan itu tidak ikhlas. Hanya Allah sahaja yang menilai amalan akan hamba-hambaNya walaupun kita melihat dengan mata kasar.

Sedarilah wahai hamba-hamba Allah, bahawa kita hanya hidup sementara tidak tahu sampai bila hayat kita akan berterusan. Beringatlah sentiasa dan suatu nasihat yang kita sampaikan menjadi satu ibadah walaupun sepotong ayat. Insan yang menghadirkan ikhlas ketika beribadah akan mendapat ganjaran disisi Allah di akhirat kelak apabila kita sentiasa patuh dan taat perintahNya. Kesungguhan dalam beribadah suatu amalan disukai oleh Allah.


Perihal kita dalam beribadah perlu sentiasa dalam keadaan ikhlas, dan kita harus berwaspada dengan bisikan-bisikan syaitan. Sekiranya terdetik sedikit pun dalam diri perasaan riyak maka rugilah amalan kita dan cepat-cepatlah beristighfar supaya amalan kita masih boleh diterima oleh Allah. Keikhlasan seseorang perlu dikawal agar tidak diracuni oleh tiga penyakit iaitu riyak, ujub dan suma’ah. Apabila salah satu daripadanya sudah hinggap pada hati orang ikhlas, pasti keikhlasannya akan tercalar.

Jelas di sini mereka yang ikhlas suatu amal kebajikan mahupun ibadah perlu hadir dalam diri seseorang. Tidak ada sebarang alat atau kaedah yang mampu menguasai hati. Hati itu milik Tuhan bukan milik tuan. Dan Allah sahaja mampu menguasai hati manusia. Dengan apa? Ya, dengan ikhlas.

Keutamaan beramal di Zaman Fitnah

Daripada keutamaan-keutamaan yang dituntut adalah beramal ketika mana zaman itu dipenuhi dengan fitnah-fitnah yang berleluasa, ujian-ujian dan kedahsyatan yang merosakkan fitrah kehidupan manusia. Maka oleh yang demikian beramal dengan amalan yang soleh di sini adalah tanda dalam kekuatan dalam agama, membimbing kearah keyakinan dan penetapan serta kekuatan dalam kebenaran. Sesungguhnya keperluan kepada amal soleh dan kebaikan memperbaiki akhlak serta peradaban manusia ketika zaman fitnah ini adalah sangat dituntut berbanding zaman-zaman selain dari itu.

Telah disebut di dalam hadis sahih yang bermaksud (( orang mu’min yang kuat sangat disukai oleh Allah S.W.T daripada orang mu’min yang lemah)), dan telah diperkuat dengan dalil daripada sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud (( sebaik-baik jihad menegakkan kebenaran ketika berhadapan dengan sultan atau pemimpin yang zalim )) dan telah diriwayatkan bahawa ketua para syuhada’ iaitu saidina Hamzah ibn Abdul Mutalib yang mana beliau seorang lelaki yang menentang akan pemerintah yang zalim maka beliau telah memerintah untuk menahan dari kezaliman, lalu beliau membunuh raja yang zalim itu.

(( sebaik-baik para syuhada’ itu adalah mereka yang berjihad di dalam satu barisan, yang mereka sekali-kali tidak akan berpaling wajah-wajah mereka sehingga mereka dibunuh, mereka-mereka ini ditempatkan dalam taman-taman syurga yang tinggi di sisi Allah S.W.T, mereka dicintai oleh Allah S.W.T dan mereka ini tidak akan dihisab amalan-amalan mereka yang sesungguhnya mereka ini ditempatkan di dalam taman-taman syurga Allah S.W.T )). dan oleh sebab demikian itu kelebihan berpegang teguh dengan agama ketika mana zaman fitnah dan hari-hari ujian ini sehinggalah telah disebut dalam beberapa hadis,: orang-orang yang berpegang dengan agamanya ketika hari-hari ujian ini (sabar), baginya ganjaran yang sangat besar (50) berbanding sesetengah para sahabat R.A.

Maka sesungguhnya telah diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tarmizi serta Ibn Majah di dalam sunan-sunan mereka, daripada Abu Umaiyah as-Sya’bani telah berkata : aku telah bertanya kepada Abu Sa’labah al-Khassani telah berkata : aku bertanya : wahai Abu Sa’labah! Apakah pendapat kamu tentang ayat al-Quran ini :
(( عليكم أنفسكم , لا يضركم من ضل إذا اهتديتم, إلى الله مرجعكم جميعا )) ؟ (المائدة : 105)

Beliau menjawab : adapun demi Allah ! sesungguhnya engkau telah bertanya tentang perkara itu, yang mana aku telah bertanya tentang itu kepada Rasulullah S.A.W maka baginda bersabda: (( kamu diperintahkan untuk melakukan kebaikkan, diperintahkan untuk menegahkan akan kemungkaran, sehingga apabila engkau telah melihat kebakhilan itu menjadi ikutan , bersangatan mengikut hawa nafsu, kehidupan dunia yang dipenuhi kemewahan, keta’asuban setiap diri pemikir akan pandangannya, maka berjagalah akan dirimu, serulah akan kamu mereka-mereka ini, maka sesungguhnya kamu masih mempunyai hari-hari akan mendatang, kesabaran dalam waktu itu seperti menggengam bara api, bagi pengamal amal soleh itu akan waktu-waktu itu seperti ganjaran 50 orang lelaki yang mereka itu beramal seperti amalannya )) Riwayat Abu Daud dan Tarmizi, dan berkata : Hadis Hasan Qharib, dan telah ditambah oleh Abu Daud dan Tarmizi : dikatakan : Wahai Rasulullah S.A.W ! adakah ganjaran 50 oang lelaki itu daripada kami atau daripada mereka? Telah bersabda : ((bahkan ganjaran 50 daripada kamu semua)).

Hadis ini bukanlah ditujukan kepada mereka daripada golongan Muhajirin dan Ansar, Ahli Badr, Ahli yang dalam perjanjian (Bai’ah Ridwan), dan dikalangan-kalangan seumpama mereka sahaja, maka sesungguhnya mereka ini yang seorang itu tiada ketamakkan dalam menyampaikan dakwah sekalipun berbeza kedudukan mereka. Dan akan tetapi itu adalah gambaran akan cita-cita para pengamal soleh untuk agama Islam hari ini ketika berleluasanya fitnah yang bersangatan, dengan apa yang dijanjikan Allah S.W.T atas lisan RasulNya kepada ganjaran yang berlipat kali ganda : ganjaran lima puluh orang pada zaman kemenangan (para sahabat) dan zaman kehancuran. Dan sesungguhnya benarlah akan perkhabaran Rasulullah S.A.W yang mulia, maka seorang pengamal itu dengan amalan soleh untuk agamanya, bersabar dalam menghadapi kemusnahan umat manusia, seperti ia menggenggam bara api, yang dia dihimpit dari segi dalaman dan dia diperangi dari segi luaran, yang orang-orang kafir itu mengumpul akan kekuatan mereka untuk memeranginya dengan tipu daya mereka, dan sesungguhnya telah berlaku perselisihan diantara mereka, sesungguhnya Allah S.W.T berada dibelakang ahli-ahli kebaikkan itu, para-para ahli hukama’ meminta diterima akan kelemahan mereka dari tipu daya musuh-musuh Islam dalam memerangai ahli-ahli yang berpegang dengan agama Islam ini, yang mereka dikokong akan kebebasan, yang mereka ditindas serta mereka dipencilkan serta disisihkan. maka itulah yang mereka telah hadapi daripada musuh-musuh mereka itu.

Diriwayatkan daripada mi’qal ibn yasar R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda :
(( عبادة في الهرج كهجرة إلي ))
((Amal ibadah ketika zaman kekacauan seperti berhijrah kepadaku))
Riwayat Imam Ahmad dan Imam Muslim, Imam Tarmizi serta Imam Ibn Majah.
((الهرج)) bermaksud : perselisihan dan kefitnahan, dan sesungguhnya telah ditafsir bahawa ia bermaksud pembunuhan atau peperangan dalam sesetengah hadis, kerana kefitnahan dan perselisihan itu akan menyebabkan berlakunya pembunuhan atau peperangan, maka didatangkan musabab dengan adanya sebab.

Fi Fiqh al-Aulawiyat Dirasat Jadidah Fi Dhaui al-Quran wa as-Sunnah :
Dr. Yusof al-Qardawi, Maktabah Wahbah.

Berkahwin Muda ???

MAMPUKAH KITA MEYAKINKAN IBU BAPA KITA?
Alam perkahwinan yang tidak dapat diungkap bagi mereka-meraka yang masing bujang....
Jikalau anak-anak muda menyuarakan keinginan untuk bernikah walaupun mereka masih lagi menuntut di kampus, jangan cepat melenting. Yakinlah, keberanian mereka untuk menyuarakan permintaan tersebut menunjukkan kematangan mereka. Keberanian mereka untuk membuat permintaan sedemikian rupa menunjukkan mereka ingin menyelamatkan iman dan akhlak.Yakinlah, jika mereka memilih untuk tidak meminta izin untuk berkahwin mereka mampu. Jika mereka memilih untuk tidak berkahwin dan meneruskan onar mereka sehingga ke tahap yang serius pun mereka mampu. Maka, jika mereka menyuarakan pendapat dan meminta izin, pertimbangkanlah ia dengan rasional, kematangan dan gunakanlah neraca keimanan. Mereka bukanlah anak-anak kecil lagi. Mereka juga bukannya terburu-buru ataupun terlalu mengikut nafsu. Yakinlah, apa yang mereka suarakan itu adalah bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan serta kesungguhan mereka untuk menjaga nama baik keluarga.

O Mama, Aku mahu kahwin! (buat ibubapa moden)
Maszlee Malik (Pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Ilmu Kemanusiaan,UIAM)
Antara dilemma yang dihadapi oleh anak-anak muda masakini ialah sukarnya untuk mengawal nafsu yang bergelora. Dunia maklumat yang tidak bersempadan telah menyebabkan nafsu anak-anak muda kita semakin menggila. Samada di dalam bidang hiburan, mahupun di dalam ruangan berita sekalipun, unsur pembangkit nafsu tetap berleluasa. Fenomena globalisasi juga turut menyumbang kepada pemaksaan ke atas anak-anak muda untuk menerima budaya yang dipromosikan oleh sesetengah pihak. Bagi yang lemah iman dan lemah akal pemikiran, mudahlah mereka dihanyutkan oleh arus hedonisme dan liberalisme. Bagi yang masih ingin mempertahankan keimanan serta nilai murni di dalam diri, dilemma yang mereka hadapi semakin parah.


Di antara budaya yang dipaksakan ke atas anak-anak muda kita ialah budaya "coupling" (berpacaran) dan "sex before marriage" (seks pra-nikah). Bukanlah sesuatu yang ganjil jika ramai di antara anak-anak muda akan berasa janggal dan terasing jika mendapati diri mereka tidak mempunyai teman lelaki istimewa dan teman wanita istimewa. Seseorang remaja akan terasa seperti makhluk asing di bumi jika mereka tidak bergaul bebas dengan rakan-rakan berlainan jantina. Bagi anak-anak yang dibesarkan di sekolah-sekolah agama atau madrasah, mereka mungkin masih lagi selamat. Keselamatan ini, walau bagaimanapun akan segera hilang apabila mereka mula melangkah ke gerbang-gerbang IPT. Tidak kiralah IPTA mahupun IPTS. Kebebasan dan juga pengaruh rakan dan sekitaran akan segera membuatkan mereka menerima kejutan budaya. Samada mereka akan larut dan terheret oleh pengaruh sekitaran, ataupun mereka akan menjadi begitu rigid, keras dan tidak bertolak ansur. Inilah realiti kehidupan anak-anak muda di IPT-IPT.

Sepertimana yang pernah diutarakan sebelum ini, solusi bagi fenomena yang begitu menggila ini ialah "nikah". Hayat para pelajar di IPT tidak patut disia-siakan. Waktu yang mereka habiskan untuk berpacaran dan juga melayan lamunan, akan lebih terjaga jika mereka telah bernikah. Segalanya akan menjadi halal, dan masa tidak akan terbuang sia-sia. Segalanya mendapat keberkatan, dan tiada kerungsingan dan juga ketidak tentuan perasaan. Jika persoalan natijah selepas pernikahan yang menjadi persoalannya, maka solusi "nikah khitbah" telah dicadangkan. Mudah sahaja, selama hayat mereka di IPT, mereka tidak perlu mengandung, tidak perlu melahirkan anak, tidak perlu untuk tinggal di dalam sebuah rumah yang khusus, dan tidak perlu menjalani kehidupan seperti pasangan suami-isteri yang mempunyai pekerjaan tetap. Mereka hidup sebagai suami isteri di dalam segala keterbatasan yang ada, yang penting hubungan tersebut halal dan mereka tidak melakukan maksiat.


Walau bagaimanapun, ide ini tidak semudah yang diutarakan. Kebanyakan komen dan respon yang diterima adalah bersifat negatif. Bukanlah para remaja IPT yang bersifat negatif, tetapi ibu bapa yang bersikap negatif. Memang benar, tanpa sokongan ibu bapa, ide nikah khitbah untuk menyelamatkan anak-anak muda daripada berzina ini tidak mudah. Ibu bapa di Malaysia masih lagi mempunyai pemikiran yang kolot dan klasik. Mereka masih lagi menggunakan sifir lama dan lapuk.Mereka sanggup menjunjung adat yang kolot walaupun terpaksa membiarkan anak-anak dara dan teruna mereka bergelumang di dalam dosa. Jika hendak berkahwin, tunggu selepas habis belajar. Jika hendak kahwin, tunggu sehingga mendapat pekerjaan tetap. Jika hendak kahwin, tunggu sehingga mendapat ijazah. Bagaimana pula sementara menunggu hendak habis belajar dan hendak mendapatkan pekerjaan tetap?


Si teruna dan dara tiap-tiap hari bersua muka. Peluang untuk bertemu dan bersama itu jauh lebih besar daripada tidak bertemu. Dorongan media massa, media eletronik, persekitaran dan juga budaya setempat mendorong mereka untuk terus bertemu. Oleh kerana kita di negara yang mana rakyat masih lagi bebas untuk melakukan maksiat, maka peluang untuk melakukan maksiat itu terbuka lebih luas. Apakah ibu bapa yang kolot dan mundur pemikiran itu mengira anak-anak muda mereka malaikat yang tidak punya nafsu?, atau mungkin mereka anggap anak-anak muda mereka mempunyai "fire wall" yang begitu utuh?, atau juga mereka sangkakan mereka boleh mengawal "nafsu" anak-anak muda mereka dari jarak jauh (remote control)?


Bagi ibu bapa, sepatutnya mereka berusaha memahami realiti dan tuntutan semasa. Kita hidup di zaman yang dipenuhi dengan kefasadan dan keruntuhan moral. Peluang untuk melakukan dosa di bumi Malaysia ini jauh lebih banyak daripada peluang untuk menghindarinya. Ruang-ruang di media sentiasa diwarnai dengan warna nafsu dan juga maksiat. Anak-anak mereka yang tinggal jauh dari pandangan, sedang mengecapi kebebasan yang tidak terbatas. Tanpa iman, tanpa nilai dan tanpa sifat malu yang tinggi, mereka bebas melakukan apa sahaja. Jangan tertipu dengan perwatakan mereka di rumah!. Anak-anak muda akan mempunyai sikap dan peribadi yang berbeza sewaktu di rumah dan sewaktu berada bersama ahli keluarga. Bahkan, dalam banyak keadaan, mereka mempunyai sikap yang berbeza sewaktu di hadapan guru atau para pensyarah. Ingatlah, syaitan tidak akan melepaskan peluang untuk mendorong anak-anak Adam untuk melakukan perkara yang terlarang. Itulah tugas syaitan.

Jika para ibu bapa mempunyai tahap kepercayaan yang begitu tinggi kepada anak-anak mereka, itu adalah sesuatu yang baik. Namun, sangkaan yang baik semata-mata tidak cukup. Mereka perlu memahami realiti, anak-anak itu tinggal jauh di mata. Suasana persekitaran tidak membantu. Tarikan naluri orang muda adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, hatta di kalangan siswa dan siswi institusi pengajian berorientasikan agama. Jikalaulah mereka sudah mempunyai perubahan pada tingkah langku dan perlakuan seharian, maka selidikilah. Jika mereka sudah mempunyai pasangan, berbuallah mereka dengan cara yang matang dan rasional. Ingatlah, mereka sudah besar, mereka ingin dilayan seperti orang dewasa juga. Kadar intelektual mereka perlulah dihargai. Gunakanlah cara sehikmah yang mungkin untuk melakukan "penyelidikan" terhadap anak-anak muda.

Jikalau anak-anak muda menyuarakan keinginan untuk bernikah walaupun mereka masih lagi menuntut di kampus, jangan cepat melenting. Yakinlah, keberanian mereka untuk menyuarakan permintaan tersebut menunjukkan kematangan mereka. Keberanian mereka untuk membuat permintaan sedemikian rupa menunjukkan mereka ingin menyelamatkan iman dan akhlak.Yakinlah, jika mereka memilih untuk tidak meminta izin untuk berkahwin mereka mampu. Jika mereka memilih untuk tidak berkahwin dan meneruskan onar mereka sehingga ke tahap yang serius pun mereka mampu. Maka, jika mereka menyuarakan pendapat dan meminta izin, pertimbangkanlah ia dengan rasional, kematangan dan gunakanlah neraca keimanan. Mereka bukanlah anak-anak kecil lagi. Mereka juga bukannya terburu-buru ataupun terlalu mengikut nafsu. Yakinlah, apa yang mereka suarakan itu adalah bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan serta kesungguhan mereka untuk menjaga nama baik keluarga.
Apakah langkah seterusnya?

Berbincang dengan mereka. Rasionalkan pemikiran mereka untuk melihat sesuatu dengan pandangan yang jauh. Dorong mereka untuk merancang dan bersikap realistik. Timbulkan segala kemungkinan dan kebarangkalian yang bakal mereka hadapi dan bantu mereka untuk mencari solusinya. Bukakan pemikiran mereka untuk melibat sudut-sudut yang mungkin mereka terlepas pandang. Apa yang lebih penting, berikan peluang untuk mereka mengutarakan pendapat-pendapat dan pandangan-pandangan mereka. Perlu diingatkan sekali lagi, mereka telah pun dewasa dan pemikiran mereka bukan lagi pemikiran anak-anak.

Seperkara yang penting juga, janganlah terlalu membuat keputusan melulu. Ada sesetengah ibu bapa yang langsung mencemuh, memperlekehkan dan terus menutup peluang untuk anak-anak mereka bersuara.

"Dah gatal!", "Belajar dulu!", "Dah tak tahan lagi!", "Awak tu muda lagi!", "Janganlah hampakan harapan mak!" dan pelbagai ayat yang berbentuk cemuhan, prejudis dan juga mematikan hujah tidak akan membantu. Sekali lagi perlu diingat, mereka bukan lagi anak-anak kecil.
Setelah anda mendengar pendapat mereka, yang sebaiknya berkenalanlah dengan pasangan anak anda itu. Perbincangan di antara si ibu dan si ayah sebelum memberikan apa-apa keputusan kepada si anak amat penting. Sekali lagi perlu diingatkan, jangan emosional dan jangan terburu-buru di dalam membuat keputusan.

Ingatlah, anak-anak muda zaman kini hidup di dalam persekitaran yang serba mencabar. Walaupun kita telah mengawal sebaik mungkin di rumah, namun apa yang mereka dapat dari media, dari rakan-rakan dan juga dari tempat pengajian jauh lebih banyak. Di dalam dunia global, tiada sesiapa yang dapat menghalang orang lain daripada mengakses kepada apa-apa maklumat. Persekitaran dan juga suasana yang serba moden dan mencabar ini akan sentiasa membawa kepada pengingkaran terhadap perintah Tuhan. Satu-satunya cara untuk anak-anak muda yang telah mula terjebak dengan "cinta" dan juga "pacaran", adalah dengan bernikah.

Mungkin ibu bapa akan terfikirkan mengenai prestasi pembelajaran anak-anak yang bakal merudum selepas perkahwinan. Mungkin juga ada di antara ibu bapa yang begitu skeptik dan merasakan bahawa anak-anak mereka tidak akan dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran selepas perkahwinan. Sesuatu yang biasa juga bagi ibu bapa yang mengandaikan seribu satu andaian liar. Bagi yang mempunyai anak-anak perempuan, maka mereka akan terfikrikan, Bagaimanakh nanti anak-anak mereka akan dapat membahagikan masa untuk pelajaran dan melayan suami, Mereka juga terfikir, bagaimana pulakah jika anak mereka mengandung?, melahirkan anak?

Bagi mereka yang mempunyai anak lelaki pula terfikirkan, bagaimanakah anak mereka berupaya menanggung anak orang lain. Mereka juga terfikirkan, mampukah anak-anak mereka membimbing dan menjaga "anak gadis" orang. Akhirnya, kesemua andaian-andaian dan prejudis tersebut diterjemahkan kepada penolakan. "Tunggu sehingga habis belajar!", "Kami tak menolak pilihan awak, Cuma awak kena tunggu sehingga dapat kerja yang baik!". Kesemuanya menjadi jalan keluar kepada ibu bapa yang malas berfikir, ataupun berfikiran kolot ini. Jalan mudah diambil demi memudahkan kerja-kerja mereka. Akhirnya, sang anak yang tidak dapat melawan nafsu pun terus berpacaran, dan bergelumang dengan dosa "khalwat" dan berpegangan tangan. Bagi yang tidak mempu membendung nafsu, akhirnya mereka terjerumus ke lembah zina...kesemuanya kerana pemikiran kolot si ibu dan ayah.

Ibu bapa moden perlu berfikiran terbuka. Adalah lebih baik mereka berkorban material dan tenaga demi menjaga kesucian susur galur keluarga mereka. Sepatutnya ibu bapa moden bersikap konstruktif dan bukannya negatif. Apalah salahnya jika mereka membantu anak-anak yang ingin berkahwin itu dari segi material. Berikan juga sokongan moral. Berikan sokongan dan bimbingan. Berikan tunjuk ajar, dan berikan mereka "fulus". Bukankah mengkahwinkan anak perempuan di usia muda mereka merupakan sunnah?, bukankah membantu anak-anak untuk mengelakkan diri dari melakukan maksiat adalah wajib? ...Fikirkan!


Hidup manusia telah berubah, gaya kehidupan juga berubah, teknologi juga berubah, maka sudah sampai waktunya para ibu bapa moden juga berubah. Pemikiran yang kolot serta terlalu mengongkong tidak akan membantu anak-anak muda mereka. Pemikiran yang terlalu liberal dan tidak kisah juga membahayakan. Apa yang kita perlukan adalah pemikiran yang Islamik dan realistik. Kita juga mahukan pemikiran yang berdasarkan "fiqh al-Waqi'" (fiqh realiti). Biarlah minda kita selari dengan zaman.

3 Lapangan Amal

Dalam kehidupan seorang dai ada tiga medan yang menjadi lapangan untuk dia beramal iaitu:
Dirinya sendiri, rumah dan keluarganya serta masyarakat sekitarnya.

Lingkungan Pertama: Bersama Diri.
Lingkungan ini dinamakan sebagai medan diri. Seorang Muslim itu dituntut mengislahkan diri mereka dan membiasakannya dengan istiqamah dalam perintas Allah. Inilah lapangan yang paling utama dari ketiga-tiga lapangan amal yang ada. Kejayaan di lapangan-lapangan lain ditentukan pada lapangan ini.

Kepentingan daerah ini adalah menentukan dimanakah tempatnya apabila kembali kepada Allah:
يوم لا ينفع مال ولا بنون88 إلا من آتى الله بقلب سليم.89
Maksudnya:
Hari yang tiada guna baginya harta dan anak-pinak 88, Kecuali siapa yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera89. Asy Syuara
Maka inilah tanggungjawab setiap individu.

وكلهم آتيه يوم القيامة فردا.95
Maksudnya:
Dan setiap mereka datang pada Hari Kiamat berseorangan95. Maryam.
Setelah menemui kematian maka akan terpisahlah hubungan kita dengan keluarga dan mereka yang kita sayang. Selepas menghadapi sakaratul maut kita akan bersendirian menghadapi berpisah dengan jasad dan peristiwa-peristiwa lain yang lebih mengerikan. Pada ketika itu insan yang paling kita kasihipun tidak mampu menemani kita di alam perkuburan tetapi mereka akan meninggalkan kita sendirian dalam meneruskan sisa perjalanan kita.

Sabda ar Rasul:
يتبع الميت ثلاثة , فسيرجع اثنان و يبقى واحد , يتبعه أهله و ماله و عمله, فيرجع أهله و ماله و يبقى عمله.
رواه البخاري والمسلم
Mengiringi si mati 3 perkara, akan pulang 2 darinya dan kekal bersamanya satu perkara. 3 perkara yang mengiringinya itu : keluarganya, hartanya dan amalannya. Akan kembali keluarga dan hartanya manakala akan kekal bersamanya hanyalah amalan.(riwayat Bukhari dan Muslim)

Berkata Hassan al Basri:
“Wahai anak Adam! Sesungguhnya kamu akan mati berseorangan dan akan dikebumikan berseorangan kemudian akan dibangkitkan berseorangan lalu dihisab berseorangan.”
Amalanmu Membina Istana Bagimu.

Saya mengingatkan diri saya dan juga kalian (saudaraku pendakwah) bahawasanya selepas kematian nanti tiada siapa yang akan mendirikan solat , puasa, berzikir dan berjihad di jalan Allah bagi pihak kita .

Yazid ar Ruqasyiy telah berkata kepada dirinya:Nestapalah engkau wahai Yazid!siapakah yang akan mendirikan solat bagi pihakmu selepas kematian?siapa yang akan berpuasa bagi dirimu selepas kematianmu?siapa pula yang akan mencari keredhaan Allah untukmu selepas kematianmu?

Maka manusia yang lebih utama bagi urusanmu ialah kamu.
Amalan-amalan kebaikan yang kamu laksanakan dengannya dan kamu sarankan kepadanya akan membina bagimu mahligai(dengan izin Allah)di dalam syurga.

ومن عمل صالحا فلأنفسهم يمهدون.44
Maksudnya :
Dan barangsiapa yang mengerjakan amal soleh maka untuk diri merekalah mereka sediakan tempat untuk mereka dikembalikan. Surah ar Rum : 44.

Siapa yang akan mengenangmu selepas engkau tiada?
Bayangkan suatu masa, dua ratus tahun akan datang . Bayangkan cucu kepada cucumu. Apakah kamu menyangka akan ada manusia akan mengenangmu? Tidakkah kamu sedar (biasanya) tidak akan ada orang yang akan mengenali namamu; kerana mereka cucu-kepada cucumu hanya akan membawa nama ayah dan datuk mereka kemudian nama keluarga tanpa menyebut namamu!

Adapun pada hari Kiamat tidak akan ada seorangpun yang menoleh ke arahmu bahkan akan melarikan diri darimu kesemuanya sekalipun mereka yang paling akrab dan paling dikasihi oleh dirimu.

يفر مرء من أخيه, و أمه و أبيه, و صاحبته و بنيه , لكل امرئ منهم يومئذ شأن يغنيه يوم
Maknanya:
Hari di mana manusia lari dari saudaranya, dan ibu serta ayahnya, dan isterinya serta anaknya, bagi setiap seseorang dari mereka pada hari itu ada urusan mereka sendiri. Surah Abasa ; ayat 37-39.


Seungkap Tasbih.
Sesungguhnya berbillion manusia yang telah mendahului kita di alam Kubur berharap untuk dapat kembali ke dunia walaupun hanya untuk seketika bagi bertasbih kepada Allah sekadar sekali sahaja, atau ingin beristighfar, atau pun bertahlil Sabda Rasulullah:
ركعتان خفيفتان مما تحقرون أو تغفلون يزيدها هذا –يشير إلى قبر- في عمله أحب إليه من بقية دنياكم
Maksudnya:
Dua raka’at ringkas yang kamu pandang remeh dan lalai jika ditambah kepada ini (Rasul menunjuk ke arah sebuah kubur) pada amalannya lebih disukai olehnya dari selebihnya dari dunia Kamu.

Sesungguhnya umur itu sebahagian dari kita dan ia merupakan modal sebenar kita. Setiap hari yang telah dilalui mendekatkan kita dengan detik penghabisan, Kematian. Kemudian kita akan menuai hasil yang selama ini kita semai dalam tempoh kehidupan duniawi.
Jadi apabila peluang untuk beramal soleh telah diambil dari saya dan kalian maka amat rugilah jika kita sebelum ini tidak mengendahkannya. Tetapi jika kita mengerjakan ketaatan semasa hayat kita maka keuntungannya akan kembali kepada kita semula.

Firman Allah:
إن أحسنتم أحسنتم لأنفسكم و إن أسأتم فلها
Maksudnya:
Sekiranya kamu berbuat kebaikan maka kamu telah berbuat baik terhadap dirimu dan sekiranya kamu berbuat kejahatan juga kembali pada dirimu. Al Israa:Ayat 7
Dari sini jelaslah pada kita kepentingan daerah ini dan keutamaannya. Bolehlah kita letakkan slogan berbunyi : Diri Kita Didahulukan.

Lapangan Amal bersama Diri Sendiri.

Supaya perkemaskan perlaksanaan slogan “diri kita didahulukan”. Perlulah kita menggerakkan ke tiga-tiga aspek, iaitu: Akal, hati dan diri.

Akal sentiasa memerlukan kepada bekalan Ilmu bermanfaat yang meluaskan penguasaan dan pengetahuan. Juga memperkenalkan akal dengan Allah dan hukum-hakam Islam serta zaman yang sedang dilalui.

Hati sentiasa perlu kepada ikatan-ikatan dan sokongan-sokongan yang akan menambahkan keimanan padanya. Adapun Iman itu bertambah dan juga berkurang. Ia bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan kemungkaran. Setiap kali keimanan berkurang maka ia memberi ruang untuk nafsu menambahkan ikatan hati pada dunia dengan keinginan-keinginan duniawi. Maka hasilnya timbullah perubahan pada sikap seperti berat melaksanakan ketaatan dan memandang remeh pada kemungkaran serta bertungkus lumus mengumpul dunia.
Maka dalam kegetiran ikatan antara hati dan akal, datanglah nafsu sebagai topik asas yang patut diberi perhatian kepadanya, dengan menganggap ia menjadi penghalang paling besar yang menyekat antara hamba Allah dan keikhlasan amalannya kepada Allah.

Lingkungan kedua: Bersama Keluarga.
Muslim perlu memberi perhatian kepada apa yang mengislahkan keluarganya selepas islah dirinya, bahkan sesungguhnya perhatiannya terhadap mereka bermula dari perhatiannya kepada dirinya sendiri . Dengan mengira bahawa bagi mereka ada hak-hak yang mesti ditunaikannya. Sekiranya hak ini tidak disempurnakan dia akan berhadapan dengan masalah di hadapan Allah kelak.

Seperti Firman Allah:
يا أيها الذين آمنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارا وقودها الناس والحجارة
Maksudnnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari Neraka, bahan bakarnya dari manusia dan batu. Surah at Tahrim:7
Dan sabda ar Rasul:
كلكم راع و كلكم مسئول عن رعيته, فالإمام راع و هو مسئول عن رعيته والمرأة راعية في بيت زوجها و هي مسئولة عن رعيتها...
Maksudnya:
“Setiap kamu adalah pemelihara, dan setiap kamu akan ditanya tentang peliharaannya. Maka seorang pemimpin itu adalah pemelihara pada rakyatnya,dia akan disoal berkenaan rakyatnya dan wanita itu pemelihara pada rumah suaminya dan dia disoal berkenaan dengan rumah suaminya... ”(Riwayat al Bukhari dan al Muslim.)

Tanggungjawab yang paling utama seorang pemelihara adalah melaksanakan tuntutan Allah pada apa yang dipeliharanya.
وأمر أهلك بالصلاة واصطبر عليها.
Maknanya:
Dan perintahkanlah keluargamu Solat dan bertahanlah dalam perlaksanaannya
Jadi tidak dapat tidak, mestilah kita mendirikan Islam dalam rumah kita sebagai bahagian yang utama dari tumpuan kehidupan kita. Kerana inilah yang akan Allah hitung ke atas kita kelak.
Sesungguhnya banyak dari kalangan kita merungut bahawa orang menjauhi dirinya dan enggan mendekatinya dan juga rungutan terhadap tekanan-tekanan gerak kerja dakwah. Maka dimanakah tekanan-tekanan dakwah dalam keluarga kita? Bukan kita yang memiliki kuasa dalam rumah kita? Jadi bagaimana mungkin kita meninggalkannya dan tidak mengambil peduli tentangnya?

Bagaimana kita mungkin mencari manusia dan menyemai rasa kasih pada mereka serta menghabiskan keringat untuk menjinakkan hati hati mereka serta menyemai rasa kasih sesama mereka kerana Islam, bagaimana kita melakukan semua ini dan bersabar(inilah yang dituntut). Tetapi dalam masa yang sama kita tidak sedikitpun melakukan hal yang sama dalam keluarga kita sedangkan merekalah yang lebih utama untuk diberi perhatian.
Wahai Anakku Naiklah Perahu Kami.

Sesungguhnya kerja yang serius dalam menjadikan rumah kita sebagai ibadah kepada Allah memerlukan perhatian kita yang sangat besar. Sekiranya ia tidak berlaku maka akan mengakibatkan kesan yang tidak kita ingini. Ketahuilah berpegang kepada perintah Allah dengan istiqamah dan tetap di jalan dakwah tidak datang dalam bentuk warisan. Sehebat manapun kalian (saudaraku) dalam kerja dakwah, tidakkan menjadi sebab yang cukup dalam membina anak-anak kalian dalam melalui jalan yang sama.

Mari kita semua bayangkan anak-anak kita telah besar dan menyusuri jalan keduniaan, lalu mereka mendapati ada pihak yang menunjukkan mereka jalan itu.

Mari kita semua bayangkan anak-anak lari meninggalkan kita dan menumpang perahu orang lain lalu meninggalkan perahu dakwah , bagaimanakah kesedihan dan kepedihan kita, dan kita melihat mereka terbakar di hadapan kita, tetapi kita tidak berupaya menghulurkan apa-apa kepada mereka?

Rumah-rumah kita dalam bahaya.
Sesungguhnya apa yang sedang berlaku dalam dunia Islam kini adalah kita dibawah serangan pembaratan yang meluas. Mereka mahu memusnahkan harapan umat dan juga menghilangkan keperibadiannya. Ini menuntut agar setiap bapa sedar dari lena terhadap apa yang berlaku di rumah mereka. Isteri dan anak anak adalah amanah di atas bahu mereka. Amanah ini menuntut penjagaan dan perlindungan dari ancaman ancaman negatif di sekitar mereka.

Supaya kita semua tahu bahawa kewajipan kita terhadap anak-anak kita bukan hanya memberi pakaian dan makanan serta pelajaran sehingga dewasa sahaja. Ini adalah tugas umum kepada semua makhluk yang hidup. Contohnya: Burung dan kucing , mereka menyediakan makanan untuk anak-anak mereka, mengajar anak-anak mereka bagaimana ingin berdikari dan mereka takkan meninggalkan anak-anaknya sehinggalah dipastikan mereka mampu berdikari.
Sesungguhnya tanggungjawab kita terhadap anak-anak adalah mendidik mereka berubudiyah kepada Allah dalam semua ruang ibadah; dalam kecintaan , pengharapan dan kerendahan hati kepadaNya. Taat kepada segala perintahNya dan beramal untuk mencari keredhaanNya supaya manfaat itu kembali kepada diri, umat bahkan ibubapa mereka.

Bukankah Rasul telah bersabda:
إذا مات الإنسان انقطع عمله إلا من ثلاث : صدقة جارية , أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له.
Maksudnya:
“Sekiranya mati manusia itu terputus semua amalannya kecuali 3 perkara: sedekah yang berkekalan, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”
Kebaikan mereka bermula dari kebaikan dirimu.
Di sini noktah yang sangat penting diperhatikan. Kita takkan mampu mendirikan Islam di rumah kita dan menjadikannya Ibadah kepada Allah, kecuali jika kita telah berjaya melaksanakannya dalam diri. Setakat mana perhatian bapa pada dirinya dan setakat mana penambahan Iman pada hatinya akan menjadi (dengan izin Allah) kekuatan bagi mendorong perhatian kepada anak-anaknya.

Al Ajiri menegaskan makna ini dalam kata-katanya: “ Dan ketahuilah barangsiapa yang tidak boleh menjadi perawat pada dirinya takkan boleh merawat diri orang lain, siapa yang tidak boleh mendidik dirinya tidak boleh mendidik diri orang lain.”

Maka tidak ada pilihan lain bagi kita, selain dari bermula dengan diri kita sendiri, sekiranya kita mahu membaiki rumah kita.

Lingkungan ke Tiga: Bersama Masyarakat
Adapun medan ketiga yang menjadi tempat seorang muslim bekerja adalah masyarakat umum. Dimulakan dari keluarga dan kaum kerabatnya kemudian jiran-jiran serta rakan-rakannya sekerja seterusnya semua orang muslim berdekatan dan di seluruh tempat.

Pergerakan seorang muslim terhadap masyarakatnya dalam berbagai bentuk, antaranya: membantu golongan yang memerlukan, berusaha menawarkan khidmat, merapatkan hubungan sesama masyarakat, memelihara anak-anak yatim, membantu golongan miskin...
Sabda ar Rasul:
أحب الناس إلى الله أنفعهم, و أحب الأعمال إلى الله عز و جل سرور تدخله على مسلم أو تكشف عنه كربة أو تقضي اه دينا, أو تطرد عنه جوعا ولأن أمشى مع أخي المسلم في حاجة أحب إلي من أن أعتكف في المسجد شهرا, ومن كف غضبه ستر الله عورته, ومن كظم غيظا- لو شاء أن يمضيه أمضاه- ملأ الله قلبه رضا يوم القيامة , و من مشى مع أخيه المسلم في حاجته حتى يثبتها له, أثبت الله قدمه يوم تزل الأقدام, وإن سوء الخلق ليفسد العمل كما يفسد الخل العسل.
Maknanya:
Manusia yang paling disayangi Allah adalah mereka yang paling memberi manfaat kepada manusia, dan amal yang paling disukai Allah keseronokan yang dimasukkan dalam hati seorang Muslim, atau membuang darinya kerisauan, atau melangsaikan bagi mereka hutang, atau mengusir darinya kelaparan. bahawasanya menemani saudaraku seislam untuk sesuatu hajat lebih aku sukai dari beriktikaf di masjid itu sebulan. Siapa yang menahan marahnya Allah akan menutup keaibannya, barang siapa yang memadam kemarahan(sekiranya dia mahu dia boleh melunaskan kemarahan itu ) Allah akan penuhi hatinya dengan redha pada hari kiamat. Barangsiapa yang menemani seorang Muslim dalam menunaikan hajatnya sehingga tertunai nescaya Allah akan tetapkan kakinya di hari kaki-kaki manusia bergetaran. Sesungguhnya akhlak yang buruk itu merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.
Selamatkan Orang Lain.

Antara gambaran gerakan dakwah yang paling penting dikalangan masyarakat : mengajak mereka kepada Allah dan kepada menuruti jalan Allah yang lurus.
و من أحسن قولا ممن دعا إلى الله و عمل صالحا وقال إنني من المسلمين
Maksudnya:
Siapakah yang lebih baik kata-katanya dari mereka yang mengajak kepada Allah dan beramal soleh lalu berkata sesungguhnya aku dari golongan orang-orang muslim. Surah Fussilat: ayat 23.
Sekiranya dakwah kepada Allah memiliki kelebihan yang besar maka sesungguhnya ia merupakan fardhu yang wajib ke atas kita semua khususnya pada zaman kita hari ini, setelah jatuhnya khilafah Islam , Syariat dilarang dan berkibarnya panji kebatilan serta umat Islam ditindas di mana-mana.

Senario Umat Islam.
Kesengsaraan dan kerendahan telah menimpa umat Islam yang kehilangan dan berpecah belah, kehinaan ini kita jamah kepahitannya pada setiap siang dan malam.
Kita telah menjadi ekor umat manusia... manusia paling hina di muka bumi... dipijak oleh orang-orang kafir.

Sekiranya kamu berasa ragu dengan senario ini maka ikutilah apa yang berlaku di tempat-tempat penyebaran kristian di Asia atau Afrika. Mereka telah mengkristiankan anak-anak Islam, kemudian lihatlah pada perancangan zionis dan bagaimana mereka bergerak memadamkan harapan orang Islam dan mewajibkan kelemahan ke atas orang Islam serta lihatlah peta dunia dan kiralah berapa banyak tanah kita telah dirampas.

Lihatlah sistem pengajian anak-anak kita yang sedang dlalui akan kamu nampak bagaimana telah dipadam keperibadian Islam dari diri mereka sejak kecil.
Hayatilah senario ekonomi , politik dan sosial kita...
Lihatlah kepada semua ini nescaya kamu akan sedar seluas mana musibah yang menimpa dunia kita...
Api telah marak dalam rumah kita, apakah yang akan kita lakukan?
Apakah kita hanya berpeluk tubuh , atau bergegas memadamnya?
Sesungguhnya hakikat yang sedang dilalui umat Islam pada masa kini menuntut gerak kerja yang menyeluruh ke arah merubahnya sekiranya kita tidak bersegera melaksanakannya nescaya akan tertunailah amaran Allah:
Maksudnya :
واتقوا فتنة لا تصيبن الذين ظلموا منكم خاصة.
Dan Takutlah bala Allah kerana ia tidak hanya turun kepada orang yang zalim di kalangan kamu sahaja.
Amaran Rasulullah:
والذي نفسي بيده لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر , أو ليوشكن الله أن يبعث عليكم عقابا من عنده ثم لتدعنه فلا يستجيب لكم.
Maksudnya:
Demi nyawaku ditanganNya , suruhlah kepada kebaikan dan cegahlah dari kemungkaran atau nantilah Allah akan mengutuskan ke atas kamu balasan dari sisiNya, kemudian kamu berdoa kepadaNya dan Dia tidak menjawab doa kamu.
Di sini telah tegas bagi kita bahawa kita tidak cukup dengan menjadi baik untuk diri sendiri, tetapi kita mesti membaiki manusia sekeliling kita .
Ke atas kita menyedarkan manusia dari lena mereka dan memaklumkan kepada mereka perancangan jahat yang telah diatur untuk mereka.
Ke atas kita bersatu dengan saudara kita menangani serangan-serangan barat yang ingin memusnahkan harapan umat.
Ke atas kita berusaha mendirikan Daulah Islam dan sibuk dengan pembinaan projek-projek Islam.

Thursday, May 13, 2010

Penghormatan Kepada Ibu Bapa Perlu DiPandang Tinggi

Penulis: Ust Firdaus

Dalam dunia yang serba-serbi canggih ini, ramai dikalangan kita tidak lagi menghormati ibu bapa. Bahkan menganggap kedua ibu bapa sebagai 'orang tua yang menempah maut di kubur'. Cuba kita fikirkan kembali bagaimana kesusahan mereka ketika membesarkan kita sejak dari kecil hingga ke alam persekolahan seterusnya ke jinjang pelamin. Adakah kita sedar? Sebaliknya kita membalasnya dengan menghantar mereka ke rumah orang tua kerana menganggap mereka menyusahkan dan mengganggu perihal keluarga kita. Benarlah pepatah melayu berbunyi : 'Ibu mampu menjaga 10 orang anak tetapi 10 orang anak tidak mampu menjaga seorang ibu’.

Firman Allah yang bermaksud :
'Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapamu, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga sama ada yang dekat atau yang jauh, rakan karib dan ibnu sabil, serta hamba sahaya.'
(An-Nisa' : 36 )

Jadi kiita seharusnya sebagai anak haruslah berbakti kepadanya selagi ia masih hidup di dunia. Berbakti kepada ibu bapa adalah dengan menunaikan hak-haknya, antaranya ialah :

1) Taat dan Mengabdi kepadanya
Sabda Nabi saw., "Berbaktilah kepada orang tua adalah pertengahan dari pintu-pintu syurga." (Tirmidzi). Hasan ra. ditanya, "Apa kadar kebaikan terhadap orang tua? Jawabnya, "Kamu gunakan semua milikmu atas mereka. Dan apa pun yan mereka nasihatkan selain syirik, kamu mesti mentaatinya tanpa ragu."

2) Berbuat Baik Terhadapnya
Allah berfirman, "Kami wasiatkan kepada manusia agar bersikap baik kepada kedua orang tua." (Al-Ankabut : 8). Firman lainnya, "Dan Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata 'ah' terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut."(Al-Isra' :23).

Sabda Rasulullah saw., "Berlakulah baik kepada orang tuamu agar anak-anakmu juga akan berlaku baik terhadapmu dengan cara yang sama." (Durrul Mantsur)

3) Berbicara dengan Lembut
Hasan ra. ditanya, apa maksud 'Qaulan Karima' Beliau menjawab, "Memanggil mereka dengan ayah ibu dan jangan memanggil mereka dengan nama mereka". "Zubair ra. menafsirkan 'Qaulan Karima' iaitu jika orang tua memanggil, jawablah, 'Sya hadir, saya hadir'. Qatadah ra. br. berkata,erkata "Maksudnya adalah berbicara lemah lembut dengan mereka. "Sa'id bin Musayyib ra. berkata, "Seperti seorang hamba yang telah melakukan kesalahan besar sedang berbicara dengan tuannya yang galak."

Sabda Rasulullah saw., "Jangan berjalan di depannya, jangan duduk sebelumnya, dan janganlah memanggil namanya."(Ibnu Suni).

Mujahid ra. berkata, "Jika orang tua menjadi tua dan kamu terpaksa membasuh kencing, berak mereka, maka janganlah mengucap 'Uff' sebagaimana mereka telah menyapu kencing, berakmu pada masa kecilmu."

Ali ra. berkata, "Jika ada ucapan biadab yang lebih rendah daripada ucapan 'Uff, maka Allah pasti mengharamkan ucapan itu. Janganlah meninggikan suara melebihi suara mereka. Janganlah memanggil mereka dengan menyebut nama mereka."

4) Mengusahakan Kerelaannya
Sabda Nabi saw., "Barangsiapa menjadikan orang tuanya rela, maka dia telah menjadikan Allah rela pula. Dan barangsiapa menjadikan kedua orang tuanya marah, maka dia telah menjadikan Allah murka pula". (Thabrani). Sabda lainnya, "Barangsiapa pagi-pagi menyenangkan kedua orang tuanya, maka baginya dua pintu yang terbuka menuju ke syurga. Barangsiapa berbuat demikian, maka baginya seperti itu. Dan jika orang tuanya seorang, maka ia perolehi satu pintu meskipun keduanya berbuat aniaya tiga kali. Dan barangsiapa pagi-pagi membuat marah kedua orang tuanya., maka baginya dua pintu yang terbuka menuju ke neraka. Dan jika ia berbuat demikian, maka baginya seperti itu. Jika seorang, maka ia mendapat satu pintu, meskipun keduanya berbuat aniaya tiga kali". (Baihaqi, Daruqutni)

5) Berdoa Untuknya
Dianjurkan agar setiap berdoa untuk diri sendiri ketika selesai solat, bacalah untuk kedua orang tuanya.

Ertinya ; "Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku, dan sayangilah keduanya, sebagaimana mereka menyayangiku ketika kecil."
Sabda Nabi saw., Barangsiapa meninggalkan doa untuk orang tuanya sesungguhnya ia memutuskan rezekinya." (Hakim, Dailami).

6) Meminta Izin Bila Memasuki Biliknya
Ada seorang lelaki yang berkata kepada Nabi saw., "Apakah aku harus meminta izin kepada ibuku (tatkala memasuki rumahnya)?" Jawab beliau, "Ya" Sahut orang itu, Sesungguhnya dia tidak memiliki pembantu selain diriku, maka apakah aku harus meminta izin kepadanya setiap kali aku memasuki rumahnya?" Beliau ganti bertanya, "Apakah kamu suka melihatnya dalam keadaan lelanjang?" Jawabnya, "Tidak" Lalu beliau berkata, "Maka mintalah izin kepadanya." (Ibnu Jarir). Dan seseorang anak jangan sekali-kali pergi ke dalam urusan yang mubah atau sunat, melainkan dengan izin kedua orang tuanya.

7) Memandangnya Dengan Kasih Sayang
Nabi saw bersabda, "Barangsiapa memandang bapanya dengan pandangan tinggi, maka ia bukanlah orang yang taat kepada bapanya." Urwahra. berkata, "Sekiranya orang tuamu berbicara tentang yang tidak kamu sukai, maka janganlah melihat mereka dengan menjeling." Penulis kitab Mazhahirul Hak menulis bahawa melihat kepada kedua orang tua dengan rasa sayang dan sopan, berbicara dengan lemah lembut, melayani mereka sampai mereka redha dan puas, itu semua merupakan hak mereka.

Maka seharusnya kita memainkan peranan sebagai seorang anak kepada ibu bapa walaupun ia melakukan perkara yang melanggari syarak Islam, jadi tegurlah dengan cara lemah lembut. Kita juga perlulah mengutamakannya dalam segala perkara. Dan sekiranya kita mengutamakan dalam mentaatinya nescaya kita akan dibukakan pintu syurga, dipanjangkan umurnya serta dinaikkan darjatnya. Kewajipan anak terhadap ibu bapa berterusan biarpun ibu bapa sudah lama meninggal dunia. Ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia, Rasulullah menjawab dengan sabdanya bermaksud: "Ada, iaitu berdoa, beristighafar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah). Sesungguhnya beruntunglah sesiapa yang memiliki anak yang soleh yang memberikan balasan kebaikan kepadanya biarpun sesudah meninggal dunia. Anak soleh adalah kebaikan yang tidak putus-putus pahalanya. Sabda Rasulullah bermaksud: "Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya." (Hadis riwayat Muslim).

Wednesday, October 28, 2009

Penyelesaian Islamophobia 1

Oleh : Noor Azma Mohd Khassim



Islamophobia merupakan suatu ancaman yang jelas terhadap keamanan dunia. Ia bukan sahaja setakat suatu idea picisan, malah ia merupakan suatu diskriminasi dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Islamophobia juga perlu dilihat seperti anti-semetisme, yang merupakan jenayah. Undang-undang perlu dikuatkuasakan terhadap diskriminasi yang berbahaya ini. Hakikatnya ia di promosikan oleh pengganas itu sendiri dan fahaman rasisme.

Usaha-Usaha mereka untuk menyamakan atau mensinonimkan keganasan dengan islam sudan pasti menyemarakkan Islamophobia. Istilah-istilah seperti “Pengganas Muslim” dan “Islamofasisme” sengaja digembar-gemburkan diperingkat global supaya kebencian terhadap Islam tersebar.

Islamophobia sebagaimana yang dikenal pasti di Eropah pada kurun ke-8 dan juga yang muncul selepas 1960 mempunyai ciri-ciri persamaan meskipun berbeza pada peranan dan bentuk.

Persamaan yang ketara ialah permusuhan dan kebencian terhadap Islam dan menjadikan seolah-olah hanya Dunia Islam sebagai sasaran keebencian dan musuh untuk diperangi.

Beberapa faktor telah dikenal pasti sebagai pencetus kepada Islamophobia yang ada dalam bentuk baru kini seperti bilangan umat islam yang ramai menetap di Eropah sejak sekian lama, melebihi 15juta orang, rejim-rejim peremerintahan kuku besi di negara-negara Islam, peranan-peranan efektif yang dimainkan oleh negara-negara Islam selaras peningkatan penggunaan minyak di seluruh dunia dan turut menyumbang kepada Islamophobia ialah globalisasi dan keupayaan komunikasi, yang berpunca daripada peningkatan dan pencapaian dalam teknologi.

Daripada perspektif yang lain, kesemua faktor tadi sebenarnya turut menyumbang kepada peningkatan kapasiti untuk mencari jalan keluar, penyelesaian kemelut Islamophobia ini.

Kekurangan maklumat benar dan tepat tentang Islam menjadi sebab terpenting maraknya Islamophobia, dengan kata lain, Islamophobia ialah natijah kepada kegalan bentuk dan penggunaan mekanisme komunikasi secara tepat (tabligh) dan kegagalan menampilkan Islam secara efektif (tamsil).

Paradoknya di dalam Islamophobia dimana ramai orang ketakutan terhadap Islam sebenarnya mereka mempunyai pengetahuan yang amat terbatas tentang islam. Seolah-olah di sana ada suatu aktiviti yang sistematik untuk menidakkan penyampaian maklumat yang tepat tentang Islam. Lantaran itulah, penyelesaian kepada aktiviti terancang dan sistematik hasil fahaman rasisme yang memusuhi Islam ini, yang diaplikasikan di banyak negara termasuk di negara-negara Islam hanyalah dengan melaksanakan aktiviti penyampaian maklumat yang benar dan tepat tentang Islam secara sistematik.

Aktiviti penyampaian maklumat yang benar dan tepat (tabligh) tidak semestinya ditujukan kepada Muslim semata-mata, sebaliknya merangkumi masyarakat Muslim juga.

Bersambung….

Semangat Baru

Oleh: Ghazali Nur

Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang-Nya kita masih boleh menikmati hembusan nafas kita, masih diberikan umur yang panjang oleh Yang Mulia Allah s.w.t sehingga kita masih diberi kesempatan untuk selalu beribadah kepada-Nya.

Bulan yang mulia Ramadhan telah meninggalkan kita, bulan yang mana kita mendapatkan pendidikan langsung daripada Allah s.w.t. untuk boleh mengendalikan hidup kita dengan lebih baik lagi, hikmah yang ada wahai muslimin dan muslimat amatlah besar sekali.
Sekarang ramadhan telah berlalu memberikan kita semangat yang baru untuk selalu mendekatkan diri kepadaNya, salah satu alamat kita menikmati bulan suci itu, kita akan lebih bertaqwa kepadanya, bisa lebih mengendalikan diri dan hati kita.
Berzikir selalu kepada-Nya, dimanapun kita berada. Allah s.w.t. berfirman : “Ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring..” ( an-Nisa’: 103 )

Beribadah kepada Allah hendaklah selalu disertai rasa takut dan harap serta mahabbah. Mengharapkan pahala ketika beribadah adalah benar dan memang itulah diantara ajaran al-Qur’an dan as-Sunnah akan tetapi tentu saja kita harus memahami hikmah, tujuan dan pesan moral dari ibadah itu sendiri, seperti puasa Ramadhan tujuan utamanya adalah menjadikan seseorang itu bertakwa. Allah s.w.t berfirman: “wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (al-Baqarah: 183). Apalah ertinya seseorang yang ahli beribadah akan tetapi ibadah tersebut tidak mengubah akhlaknya yang buruk. Orang yang memperolehi kemenangan pada bulan Ramadhan adalah orang yang tetap istiqamah dengan kebaikkan setelah selesai Ramadhan kerana ibadah bukan hanya pada bulan Ramadhan akan tetapi seorang mukmin beribadah kepada Allah s.w.t. sampai datang kepadanya kematian. Allah s.w.t berfirman: “Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).” (al-Hijr: 99).

Janganlah kita menjadi orang-orang yang hanya mengenal Allah s.w.t di bulan Ramadhan sahaja, malahan kita hendaklah menjadi seseorang yang selepas Ramadhan lebih dekat lagi kepada Allah s.w.t, kerjakan ibadah baik yang wajib mahupun yang sunat.

Besemangat dalam melaksanakan ibadah-ibadah sunat meskipun hanyak sedikit, kerana sesungguhnya amalan sunat yang sentiasa kita kerjakan meskipun sedikit itu lebih disukai Allah s.w.t. berbanding amalan yang banyak tapi tidak selalu dikerjakan sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.
.
“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; karena sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (karunia)..” (ali-Imran : 8)

Suasana Ramadhan telah pun hampir-hampir hilang yang ada hanyalah suasana rumah terbuka (suasana makan minum). Waktu Sahur hanyalah kedengaran bunyi dengkuran dari mereka yang tidur nyenyak. Tiada lagi bunyi percikan air paip hasil dari berwudhuk untuk bertahajud. Tiada lagi kedengaran suara istighfar yang sayup-sayup kedengaran ditelan kesunyian malam. Di mana mereka yang “kaki Tahajud”? Di mana mereka yang dahinya hitam kesan dari sujud di malam hari? Di mana mereka yang selalu sibuk dengan solat sunatnya? Ke manakah perginya “al mustaghfirina bil ashar”? Telah hilang lenyapkah mereka?

Tiada lagi si dia yang sentiasa dengan biji tasbih bertasbih di penjuru masjid menunggu waktu solat. Biji-biji tasbih yang tergantung di dinding masjid telah kembali tergantung. Tiada lagi yang ingin menggunakannya.Kemana perginya semua “zakirin” sewaktu Ramadhan ? Telah hilang lenyapkah mereka?

Beginilah keadaan Ramadhan yang ada di sisi kita. Sedangkan Ramadhan mengajar dan mendidik kita segala amalan takwa maknanya himpunan segala amalan takwa terdapat di dalam Ramadhan. Bukan hanya sekadar puasa sahaja tetapi di dalamnya terdapat bangun malam. Ramadhan mengajar kita bangun di waktu sahur selama satu bulan agar kita menjadi golongan yang bertahajud dan beristighfar di waktu sahur. Ramadhan berkait rapat dengan Quran agar kita menjadi “Sohibul Quran” sebagaimana firman Allah surah al-Baqarah :185. Ramadhan mengajar kita berbanyak berdoa agar kita sentiasa mengharap dan meminta hanya kepada Allah s.w.t. juga. Ramadhan menjadi kita agar sentiasa berhubung dan berulang alik ke masjid dengan cara berkurung diri di dalam masjid dengan beriktikaf. Ramadhan mengajar bersimpati dengan fakir dan miskin.

Berdasarkan perkara yang disebutkan di atas, Ramadhan sebenarnya mengajar umat ini kepada amalan takwa, amalan berkaitan hubungan dengan Allah serta amalan berkaitan hubungan sesama manusia. Atas sebab inilah maka di akhir ayat surah al-Baqarah ayat 183 Allah s.w.t. berfirman “La’allakum Tattaqun”. Moga-moga kamu tergolong dikalangan orang-orang yang “bertakwa”.

Sesetengah ulama mengatakan bahawa tanda haji yang “mabrur” yang diterima adalah apabila pulang dari mengerjakan haji, para-para hujaj (haji) dapat mengekalkan amalan takwa ketika di Tanah Suci pulang ke tempat mereka. Manakala tanda puasa yang diterima adalah mereka yang berpuasa dapat membawa amalan takwa di dalam Ramadhan ke sebelas bulan selain Ramadhan.

Bila dilihat selepas Ramadhan, jelas Iman kita hanya terkesan dengan suasana. Bila hilang suasana maka hilanglah amalan kita. Tidak seperti sahabat r.hum, iman mereka tidak terkesan dengan suasana. Di mana sahaja mereka pergi mereka masih boleh mengekalkan amalan mereka malah mereka boleh merubah suasana lalai menjadi suasana taat.

Ramadhan mengajar kita simpati dengan mereka yang lapar dan dahaga. Buktinya tidak ada satu keinginan bagi mereka yang lapar dan dahaga adalah berhajat kepada makanan dan minuman. Dalam pada itu disabitkan dari hadis Nabi s.a.w riwayat Ibn Khuzaimah kita disunatkan memberi kepada mereka yang berbuka dengan makanan dan minuman miskin pun sebiji tamar mahupun sesisip susu setiap hari ketika waktu berbuka.

Kemuncak dari belas kasihan kepada fakir dan miskin ini syariat telah menetapkan secara ‘wajib’ membawa beras fitrah dan mencari fakir dan miskin (asnaf lapan) memberi kepada mereka agar mereka boleh bergembira menyambut Hari Raya. Jika tidak berbuat demikian, puasa mereka akan terawang-awang sehingga mereka menjelaskan zakat fitrah berkenaan. Ini untuk menzahirkan perasaan kesian belas kepada fakir dan miskin agar mereka tidak kelaparan dan kedahagaan.

Namun kelaparan dan kedahagaan masih boleh ditelan Nabi s.a.w apabila beliau melihat anaknya Fatimah, cucunya Hassan dan Husain di dalam kelaparan serta anak-anak yang mati kelaparan di Lembah Abu Talib takala di pulaukan. Kalau memikirkan kasihan kerana kelaparan dan dahaga, Nabi s.a.w. masih boleh menelannya. Namun kemuncak kesian Nabi s.a.w. kasihan kepada umat yang mati dengan tidak beriman yang akan kelaparan dan dahaga ketika didalam kubur, Mahsyar , Mizan dan Neraka Jahanam selama-lamanya.

Inilah yang ditangisi oleh Nabi s.a.w dan para sahabat baginda semalam-malaman memikirkan soal umat yang akan menderita kelaparan dan dahaga nanti. Ini juga yang menyebabkan Nabi dan sahabat meninggalkan keselesaan hidup dan bersusah payah atas jalan hidayat.

Wahai Allah, sayangilah kami dengan kasih sayang yang sempurna yang nyata dan tersembunyi, dengan kasih sayang yang boleh mendapat ketenangan hati, kasih sayang yang dapat menghilangkan yang kotor, kasih sayang yang dapat melunasi hutang, kasih sayang yang dapat memudahkan semua urusan, kasih sayang yang dapat membendung semua keburukan dan kasih sayang yang menjadikan kami termasuk di kalangan orang-orang yang berada dekat dengan Allah serta kami diberi rezeki keyakinan yang sempurna..Wahai Allah, hidupkanlah kami di atas Islam dan Sunnah, dan matikanlah aku dalam keadaan Iman dan Taubat.


Wallahua’lam..

Sejarah pembukuan Al-Quran

Oleh : yakoob ismail

Allah s.w.t telah menurunkan al-quran sebagai satu mukjizat yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dan kewujudan Allah dengan segala sifat-sifat kesempurnaanNya. Berkaitan dengan penurunan al-quran, ianya membicarakan cara-cara wahyu diturunkan, peringkatnya, tempat-tempat turunnya, masanya, awalnya dan akhirnya. Ianya juga disebut sebagai nuzul al-quran. Berdasarkan ilmu tersebut juga, kita dapat mengetahui ayat-ayat Makkiyyah dan Madaniyyah.

Dari segi bahasa, perkataan nuzul bererti menetap di suatu tempat atau turun dari satu tempat yang tinggi. Sebenarnya penggunaan istilah nuzul al-quran ini adalah secara majaz atau simbolik sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-quran yang menunjukkan ketinggian al-quran itu sendiri.

Seperti yang kita ketahui, secara ringkasnya al-quran diturunkan secara berperingkat kepada Nabi melalui Jibril a.s mengikut pendapat yang masyhur di kalangan ulama. Penurunannya juga mengikut sebab atau perkara-perkara yang berlaku kepada Nabi Muhammad. Selama 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah, banyak ayat yang diturunkan waktu siang berbanding malam.

Para Sahabat berusaha dan bersungguh-sungguh menghafal dan mempelajari serta memahaminya. Sebagaimana Rasulullah s.a.w, sahabat turut memanfaatkan masa qiam untuk memantapkan hafalan mereka.

Di antara hufaz terkenal daripada sahabat iaitu empat orang Khulafa Ar-Rasyidin (Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Othman al-Affan dan Ali bin Abi Talib), Talhah, Ibnu Mas’ud, Huzaifah, Abu Hurairah, Ibnu Omar, Ibnu Abbas, Ai’syah dan Hafsah. Termasuk daripada orang Ansar seperti Ubai bin Ka’ab, Muaz bin Jabal, Zaid bin Thabit, Abu Darda’ dan Anas bin Malik.

Pada masa sama, Nabi s.a.w melantik beberapa sahabat sebagai penulis wahyu.
Mereka menulisnya sebagai salah satu teori pembelajaran berkesan setiap kali wahyu turun sebagai tambahan dalam hafalan supaya tidak hilang begitu saja. Di antara penulis itu ialah empat Khulafa’ Ar-Rasyidin, Muawiyah bin Abu Sufian, Khalid bin al-Walid, Ubai bin Kaab dan Zaid bin Thabit. Pada masa itu iaitu sewaktu Rasulullah s.a.w masih hidup, ayat al-Quran tidak dihimpunkan di dalam satu mashaf.

Ini kerana tidak ada faktor yang membolehkan al-quran dikumpul menjadi satu mashaf, sedangkan pada waktu itu ramai huffaz dan qurra’. Namun pada zaman Saidina Abu Bakar menjadi khalifah, ramai di kalangan huffaz mati dalam peperangan Yamamah. Lalu Saidina Umar mencadangkan kepada saidina Abu Bakar supaya dihimpunkan al-quran kerana bimbang akan kehilangannya dengan sebab kematian ramai huffaz dan qurra’.


Ayat-ayat al-quran mula dihimpunkan
Pada mulanya beliau ragu-ragu kerana Nabi s.a.w tidak pernah melakukannya dan takut seandainya berlaku perubahan ayat atau pertukaran ayat al-Quran.

Selepas dibincang dengan teliti, atas alasan maslahah dan menyedari bahawa ia adalah satu wasilah yang paling agung untuk memudahkan menghafaznya serta mengelakkan daripada hilang dan luput, maka Saidina Abu Bakar bersetuju untuk mengumpulkan ayat al-Quran itu. Maka dipanggil beberapa huffaz dan penulis wahyu zaman Nabi s.a.w yang masih hidup antaranya Zaid bin Thabit bagi meneruskan usaha penulisan al-Quran.

Al-Quran kemudian ditulis oleh Zaid hasil pengumpulan daripada lembaran yang ada seperti pelepah kurma, kulit binatang, tulang dan batu.

Semuanya ditulis dengan teratur seperti yang Allah wahyukan. Di samping itu ada beberapa sahabat yang menulis sendiri beberapa juz dan surah yang mereka hafal dari Rasulullah s.a.w. dan akhirnya terhimpun menjadi satu mushaf diikat kemas, tersusun turutan ayatnya sebagaimana yang ditetapkan oleh Rasulallah SAW. Mashaf ini kemudiannya diserahkan kepada Saidina Abu Bakar. Selepas kewafatannya, diserahkan pula kepada Saidina Umar al-Khattab.
Selepas beliau wafat, mashaf itu dipindahkan ke rumah Hafsah, isteri Rasulullah s.a.w yang juga anak Saidina Umar sehingga ke saat pengumpulan dan penyusunan Al-Quran pada zaman Khalifah Uthman.


Al-Quran dibukukan

Apabila berlaku pertentangan dari sudut bacaan ayat Al-Quran (disebabkan kemunculan ilmu Qiraat yang telah diizinkan Nabi Muhammad sebelumnya), ia akhirnya memaksa kepada tindakan Khalifah Uthman untuk membukukan Al-Quran. Maka dibentuk satu jawatankuasa penyelaras dalam usaha membukukannya.

Pada peringkat awal,jawatankuasa penyelaras Al-Quran itu telah membukukan sebanyak 6 buah naskah Al-Quran iaitu untuk dipegang oleh Khalifah Uthman bin Affan sendiri, satu naskah dihantar ke Kota Basrah, satu naskah ke kota Kufah dan kota Syam serta satu ke kota Madinah Al-Munawwarah dan satu naskah lagi ke kota Makkah Al-Mukarramah.

Kemudiannya diciptakan 2 buah naskah khas yang disalin terus dari naskhah Khalifah Saidina Uthman bin Affan untuk pegangan Sheikh Umar Dani dan Sheikh Abu Daud Sulaiman bin Najah. Dua salinan baru itu hanya digunakan tatkala timbulnya perselisihan berkenaan teks salinan sebenar Kitab suci Al-Quran, serta membetuli akan keraguan dalam mashaf Al-Quran enam buah seperti yang dinyatakan di atas, akibat timbul dari perbezaan sebutan dan periwayatan imam-imam Qiraat.


Mashaf Uthmani yang asli dipegang oleh Khalifah Uthman sendiri serta 2 buah kitab yang disalin darinya sebenarnya ditulis dan disalin mengikut ejaan dan sebutan Arab Quraisy yang tepat mengikut bacaan Nabi Muhammad s.a.w selaku seorang yang berbangsa Arab Quraisy. Ini dapat dibuktikan dengan penulisan dan pembarisan ayat-ayat Al-Quran mashaf Uthmani itu sendiri yang diriwayatkan oleh Hafs bin Sulaiman ibn Mughairah Al-Asadi Al-Kufi menurut bacaan Asim bin Abi Najud Al-Kufi At-Taabie.




Tanda dan titik pada ayat al-quran

Pada mulanya al-quran dibaca tanpa sebarang tanda atau titik. Disebabkan perkembangan Islam pada masa itu, maka ramai orang telah memeluk islam yang bukan bebangsa arab dan tidak bertutur dengannya. Hal ini menyebabkan kesulitan kepada orang selain arab untuk membaca dan memahami al-quran.

Maka Mu’awiyah bin Abi Sufian telah menugaskan Abul Asad Ad-Duali untuk meletakkan tanda bacaan dari segi tatabahasa pada setiap kalimah dalam bentuk titik untuk menghindari kesalahan dalam pembacaan. Abdul Malik bin Marwan pula menugaskan Hajjaj bin Yusuf untuk meletakkan titik lain sebagai pembeza antara satu huruf dengan huruf lain, contohnya seperti beza pada huruf “baa” dan “taa”, bentuk huruf yang sama tetapi sebutan yang berbeza. Kemudian diletakkan baris atau tanda bacaan seperti baris fathah(atas), dhommah(hadapan), kasrah(bawah) dan sukun(mati) mengikut cara pembarisan yang telah dilakukan oleh Khalil bin Ahmad Al-Farahidi.


Pencetakan Al-Qur’an
Sebelum adanya teknologi mesin cetak, al-quran dicetak tambah dengan tulisan tangan. Mengikut sumber, al-quran pertama kali dicetak di Hamburg, Jerman pada tahun 1694M. Setelah itu al-quran dicetak pula di St. Petersburg, Rusia pada tahun 1787M dan di Kazan pada tahun 1882M.

Pada abad ke 20 percetakan al-quran dilakukan di dunia Islam, dan cetakan yang banyak digunakan di dunia Islam pada hari ini adalah cetakan edisi Mesir tahun 1925 yang juga dikenali dengan edisi Raja Fuad kerana dialah yang memperkasainya. Kemudian pada tahun 1947 untuk pertama kalinya al-quran dicetak dengan teknik cetak yang canggih dengan menggunakan huruf-huruf yang cantik. Pendekatan tersebut dilakukan di Turki atas usaha seorang ahli kaligrafi Turki terkemuka, Said Nursi. Lalu pada tahun 1976 al-quran dicetak dengan berbagai ukuran dan jumlah oleh percetakan yang dikelola oleh pengikut Said Nursi di Berlin, Jerman.

Maka pada hari ini al-quran dapat diperolehi dengan begitu mudah di seluruh dunia. Hal ini bukan lagi satu perkara pelik sehingga menyebabkan ramai orang Islam tidak lagi mengendahkan al-quran, tidak mempelajarinya, tidak membacanya apatah lagi mengamalkannya. Biarlah satu-satu sejarah itu menjadi pedoman dan tazkirah pada diri kita. Bukan sekadar membaca untuk mendapatkan maklumat.

Thursday, September 17, 2009

DIA SETIA DI SISIMU


Oleh : Abu Nur
“Carilah ilmu dan hikmah dalam setiap ketentuan Allah, supaya timbul rasa kesabaran dan kesyukuran. Setiap yang payah pasti ada kesenangan. Setiap kesabaran pasti ada ganjaran. Jika sesuatu sudah ditakdirkan untuk kita, tiada siapa yang boleh memberi halangan. Namun, jika sesuatu ditakdirkan bukan untuk kita, pasti dan pasti tidak akan dapat walaupun sudah berada dalam genggaman..”
Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekalian, semoga Allah merahmatiku dan kalian, serta dipimpinNya bersama orang yang bertaqwa. Memadailah kita dengan hanya mempercayai ketentuan dan ketetapan Allah s.w.t. sama ada yang baik dan yang buruk sesuatu perkara, bahagia dan derita, jodoh pertemuan dan ajal kematian. Kita tidak akan terasa nikmatnya hidup, tidak akan terasa nikmatnya sihat dan tidak akan terasa nikmatnya bahagia kecuali dengan hanya kita merasakan derita, kesulitan dan musibah yang berada disebaliknya. Namun Nabi s.a.w melarang mendalami dalam persoalan takdir, disebabkan perbuatan tersebut mengandungi bibit-bibit bahaya dan banyak mudharat sebenarnya.
Rasulullah s.a.w sebagai Sang Murobbi yang agung, pembawa kepada jalan kemuliaan. Selalu membawa kita untuk bahagia di dunia dan di akhirat. Maka, kita hendaklah mengerah diri kita untuk mematuhi perintah Allah s.w.t dan menjauhi tegahanNya dengan petunjuk Rasulullah s.a.w. Kemudian hendaklah kita sentisa bertaubat atas kecuaian kita dalam melaksanakan segala perintah dari Allah s.w.t. Kata al-Habib Munzir al-Musawwa dalam mau’idzah hasanah beliau: “Bila kita terjebak dalam hal yang hina disisi Allah, perindahkanlah dengan taubat dan istighfar, nescaya Allah menggantikan itu semua menjadi pahala dan keluhuran, Mereka yang bertaubat, beriman, beramal soleh, Allah s.w.t akan perbaiki dirinya dengan hal yang mulia semampunya. Allah gantikan dosa-dosa mereka menjadi pahala.” Baginda s.a.w juga mengajarkan doa dan selalu mengajarkan munajat dalam segala hal. Yang mana kehidupan ini tidak akan pernah terlepas dari doa-doa. Bukankah Allah s.w.t telah berfirman; “Berdoalah padaku, nescaya Kuperkenankan permintaan kalian”. Justeru jangan kita sia-siakan peluang yang Allah s.w.t kurniakan ini hinggalah kita mendapatkan kesan positif seperti yang dijanjikan itu. Ayuh segera kembali ke pangkuan rahmat Allah s.w.t.!
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (al-Baqarah: 186).
Sekiranya datang ujian mahupun musibah di hadapan kita. Pertama sekali perlulah seseorang hamba itu bersangka baik terhadap Sang Pencipta dengan meyakini ia merupakan tarbiyah dari Allah s.w.t. Juga asbab dosa seseorang itu diampunkan dan darjatnya di sisi Allah s.w.t insyaAllah akan ditingkatkan. Seterusnya perlulah bersabar dan kuatkan kesabaran tersebut disamping mengerjakan sembahyang untuk memohon pertolongan dari Allah s.w.t. Dengan hanya kepada Allah s.w.t kita bertawakkal setelah berusaha maka cukuplah Allah s.w.t sahaja bagi kita untuk menentukan segalanya. Kita perlulah sentiasa merasakan iman dan dan amal kita masih belum sempurna dengan meningkatkan perkara tersebut ke arah kesempurnaan. “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (al-Ankabut:2-3).
Imam Syafie r.a. dalam wasiatnya berkata: “Cubaan hidup itu sering sekali datang, mempengaruhi hati para pemuda. Namun ketika mereka bertaqwa, Allah s.w.t akan berikan jalan keluarnya.”, kata Imam kita r.a. lagi berkaitan redha terhadap qadha’ dan qadar : “Biarkanlah hari-hari berlalu. Lapangkanlah jiwamu apabila menerima keputusan qadha’. Jangan bosan bersabar apabila dirtimpa musibah, kerana di dunia ini tidak ada derita yang abadi. Tidak ada kebahagiaan dan penderitaan abadi, seperti halnya kekayaan dan kemiskinan.” Hidup di perantauan ini akan selalu dilanda gelisah dan musibah, takut bagai dikejar perompak. Tapi kalau terambil sedikit masa untuk mengingati kembali keluarga dan tanah air, mungkin rasanya ingin segera terbang menuju ke tanah air tercinta semula. Tapi, niat asal dan tujuan utama masih membara di dalam jiwa untuk mencicip titisan ilmu dari lautan ilmu yang terbentang luas.
Ketahuilah, masa akan datang yang ada tujuan mungkin terasa begitu jauh untuk sampai kepada destinasi tersebut, tetapi masa yang sudah berlalu, hari demi hari, bulan demi bulan dan tahun demi tahun pasti akan terasa seperti baru sahaja terjadi semalam. Benar atau tidak ternyata kita perlu juga melalui detik-detik waktu yang sedang bergerak ini. Masa usia kita jangan disia-siakan kerana masa yang yang berlalu tidak akan kembali lagi, dikhuatiri akan kita akan menyesal dan menangis di kemudian hari, pada waktu tersebut kalau boleh menangis hingga mengalirkan air mata darah sekalipun tidak akan berguna lagi. Ingatlah! Manfaatkanlah setiap detik-detik waktu yang sedang dilalui ini kerana Allah s.w.t telah bersumpah dengan masa : “Demi Masa ! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” Mufassirin mengatakan bahawa semua manusia berada dalam kerugian tanpa sebarang pengecualian melainkan.. Siapa? Seseorang yang memiliki 4 sifat yang termaktub dalam surah al-Asr sahaja iaitu :


1) Beriman
2) Beramal soleh
3) Berpesan-pesan dengan kebenaran
4) Berpesan-pesan dengan kesabaran.

Mungkin sesekali mutiara jernih akan mengalir keluar dari kelopak mata, terasa sejuk bagai embun pagi yang melalui di atas permukaan pipi. Kenapa ya? Barangkali 1001 perkara yang direnungi dan dihayati hingga membuatkan keadaan tersebut terpaksa dilalui. Cuma sekarang hanya perlu berdoa dan bertawajjuh kepada Allah kerana di hadapan kita terdapat nafsu al-ammarah bis suu’ dari pelbagai fitnah dunia dan syaitan dari kalangan jin dan manusia dan fitnah yang mengganggu kita, ahli keluarga kita dan sahabat-sahabat kita yang bakal menjadi mangsa fitnah tersebut. Apabila kita meminta kepada Allah, pasti Dia akan menolong kita. Bila kita minta rahmat Allah, pasti Dia akan merahmati kita. Bila kita berlaku jujur kepada Allah, Allah pasti akan bantu kita. Yakinlah! Allah s.w.t sesekali tidak akan menzalimi dan membebani hamba-hambaNya melainkan dengan kesanggupan seseorang hamba itu.
Semoga Allah s.w.t menghiasi jiwa kita dengan keindahan, mewarisi jiwa kita dengan sifat syukur. Ya Malikul Mulk, Tuhan yang maha menerbitkan matahari kebahagiaan, terbitkanlah matahari kebahagiaan dalam hari-hari kami di dunia dan di akhirat, zahir dan batin. Jadikan jiwa kami selalu terang-benderang dengan cahaya kesejukkan namaMu, jadikan jiwa kami selalu tenang dalam cahaya kenikmatan dan kesejukkan namaMu, Jadikan hari-hari kami selalu dalam kebahagiaan dunia dan akhirat. Ya Rahman, Ya Rahim, padaMu kami bermunajat atas segala doa dan harapan, dari segala hajat kami yang kami ketahui dan yang tidak kami ketahui, jauhkan kami dari segala musibah dan kesulitan yang kami ketahui dan tidak kami ketahui. Limpahkan untuk kami segala kemudahan dan anugerah yang kami ketahui dan yang belum kami ketahui.." amin Allahumma amin..
“Bila kau diuji dengan kekecewaan dalam menuntut ilmu, Allah tahu betapa engkau mencuba sedaya upayamu. Bila tangisanmu berpanjangan dan hatimu dalam kedukaan, Allah mengira setiap titisan air matamu. Bila engkau merasakan hidupmu ketinggalan dan masa telah meninggalkanmu, ketahuilah ALLAH MASIH SETIA DI SISIMU”
Wallahua’lam..