Showing posts with label peringatan. Show all posts
Showing posts with label peringatan. Show all posts

Saturday, July 17, 2010

Bicara Ringkas

Yaakob Ismail

Di Sekitar awal 80-an hingga hujung 90-an kita melihat bahawa masyarakat kita adalah masyarakat yang mengamalkan ajaran Islam walaupun pada ketika itu golongan agamawan masih sedikit. Mereka mempunyai adab yang tinggi, mendidik anak-anak menghormati hak orang lain, orang yang lebih tua dan sebagainya. Anak-anak mendengar dan sangat menghormati ibu bapa. Orang tua menyayangi yang lebih muda. Demikianlah kehendak Islam dan telah dipratikkan di dalam masyarakat kita satu masa dulu.
Namun kita melihat pada abad alaf baru ini, adab sopan, menjaga hak orang lain, tegur menegur bukan lagi budaya orang Islam. Ramai orang belajar agama tetapi ilmu yang dipelajari tidak menjadi panduan dalam kehidupan. Mereka tidak memahami konsep adab di dalam banyak keadaaan hatta perkara-perkara yang kecil. Kadang-kadang dilihat sama sahaja di antara yang ada ilmu agama dan golongan biasa, bahkan ada dikalangan kebiasaan ini lebih baik adab dan akhlaknya. Bezanya hanya kopiah dan tudung, tapi tiada praktikal atau contoh yang baik!
Di rumah, anak-anak tidak dididik dengan ajaran Islam yang sebenar. Anak- anak tidak lagi boleh menjadikan ibu bapa sebagai contoh kehidupan di dalam rumah. Ibu bapa hanya ingin anak-anak belajar agama tetapi mereka sendiri tidak mengamalkan. Ibu bapa merasa sudah cukup dengan menghantar anak-anak belajar agama dan apa yang anak-anak pelajari di sekolah tanpa bertanya apa yang dipelajarinya. Kesannya anak-anak hanya mendapat teori di sekolah tanpa mendapat praktikal yang paling baik iaitu di dalam rumah.
Di sekolah guru-guru ada sebahagiannya tidak lagi dihormati. Kerana ramai yang menjadi guru namun tidak faham dengan keadaan. Mereka bergaul dengan murid bagaikan saudara kandung di rumah hinggakan murid boleh duduk main-main di sebelah guru. Bahkan mungkin ada yang berkejar-kejaran dengan murid. Berbeza pada sekitar 30-40 dulu guru-guru nampak gahnya pada pandangan murid. Mereka digeruni dan dihormati oleh murid biarpun murid itu samseng. Zaman sekarang murid yang belajar agama pun tidak menghormati gurunya. Dulu kita lihat seorang murid sangat takut jika ada dari kalangan saudaranya yang menjadi guru di sekolah yang sama kerana bimbang akan didenda oleh guru tersebut jika ia bersalah. Mereka bersaudara namun di sekolah tahapnya antara murid dan guru. Sekarang kita lihat yang tiada apa-apa ikatan pun antara guru dan murid sangat rapat bagaikan saudara di dalam rumah. Inilah satu kesilapan besar yang dilakukan oleh sebahagian guru. Kita bukan menghalang kasih sayang guru pada murid tetapi caranya salah dan tidak kena pada tempatnya. Maka tidak perlu hairan atau mengadu pada sesiapa kenapa murid tidak menghormati, degil, melawan bila ditegur dan tidak ambil peduli apa yang guru sampaikan. Puncanya bukan guru terlalu garang tapi terlalu rapat bergurau senda.
Di sekolah juga anak-anak sudah diberi didikan agama yang baik. Bagaimana pula dengan persekitaran di luar sekolah? Ada bermacam-macam keseronokkan yang menanti mereka apabila keluar sekolah. Pusat hiburan, pergaulan bebas, arak dan judi yang ‘berlesen’, dan bermacam-macam keburukan menanti mereka.
Apa yang cuba dibicarkan di sini ialah masyarakat sekarang sedang menghadapi satu fenomena yang sangat mendukacitakan. Terpaksa menghadapi gelombang suasana dengan melawan arus. Tiada siapa yang peduli dengan apa yang sedang berlaku. Bukan masanya lagi untuk kita menuding jari kepada orang lain. Hendaklah kita sama-sama sedar dan fikirkan jalan bagaimana cara megahadapinya. Semua pihak mesti bertanggungjawab di dalam kemerosotan akhlak umat pada masa kini.
Ibu bapa hendaklah terlebih dahulu mengamalkan Islam dalam kehidupan sebelum menyuruh anak-anak kenal Islam. Seperti kisah di zaman Saidina Umar al-Khattab, seorang lelaki datang mengadu kepada Saidina Umar bahawa anak lelakinya tidak mentaatinya. Maka dipanggil si anak dan di tanya kenapa dia derhaka. Kata si anak sebenarnya bapaku terlebih dahulu mederhakaiku kerana dia tidak pernah mengajarku. Pemerintah pula hendaklah memastikan tidak ada lagi tempat-tampat haram. Mereka juga berkewajipan memastikan tempat maksiat dikosongkan dan di masa yang sama ibu bapa sentiasa memerhatikan anak-anak. Masyarakat sekeliling pula hendaklah menghidupkan budaya tegur menegur apabila melihat saudara atau jirannya melakukan keburukan. Bukan seperti sekarang, ada yang dipukul hingga mati semata-mata kerana ditangkap ketika sedang mencuri. Sepatutnya serahkan pada pihak yang patut bertindak dan di masa yang sama kita memberi nasihat. Jika suasana seperti ini diamalkan, tidak mustahil umat Islam akan kembali kuat terutamanya di Negara kita seperti yang disebutkan di atas tadi. Mari sama-sama kita renungkan…

Thursday, May 13, 2010

NABI MUHAMMAD PENGHULU SEGALA ANAK ADAM DI HARI KIAMAT

عن أبي سعيد قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : أنا سيد ولد آدم يوم القيامة ولا فخر، وبيدي لواء الحمد ولا فخر، وما من نبي يومئذ آدم، فمن سواه إلا تحت لوائى، أنا أول من تنشق الأرض عنه ولا فخر، قال فيفزع الناس ثلاث فزعات فيأتون آدم فيقولون أنت أبونا آدم فاشفع لنا إلى ربك، فيقول إنى أذنبت ذّنبا أهبطت منه إلى الأرض ولكن ائتوا نوحاً، فيأتون نوحـاً فيقول إنى دعوت على أهلى الأرض دعوةً فأهلكوا، ولكن اذهبوا إلى إبراهيم، فيأتون إبراهيم فيقول إنى كذبت ثلاث كذباتٍ. ثم قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ما منها إلا حلَ بها عن دين الله، ولكن ائتوا موسى، فيأتون موسى فيقول: إنى قد قتلت نفساً، ولكن ائتوا عيسى، فيأتوا عيسى فيقول إنى عبدت من دون الله، ولكن ائتوا محمداً، قال فيأتوننى فأنطلق معهم. قال ابن جدعان قال أنس: فكأنى أنظر إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم. قال فآخذ بحلقة باب الجنة فأقعقعها فيقال من هذا فيقال محمد فيفتحون لى ويرحبون بى فيقولون مرحباً فأخر ساجداً فيلهمنى الله من الثناء والحمد فيقال لى: ارفع رأسك وسل تعط واشفع تشفع وقل يسمع لقولك، وهو المقام المحمود الذى قال الله: عسى أن يبعثك ربك مقاماً محموداً. رواه الترمذى وقال حديث حسن.


Diriwayatkan daripada seorang sahabat Nabi SAW namanya Abu Said Al-Khudri R.A katanya, telah bersabda Nabi SAW:

Aku adalah penghulu segala anak Adam di hari kiamat, dan tiada megah.(1)

Dan ditanganku ada bendera yang bernama 'liwa ul hamdi' pada hari kiamat, dan tiada megah. (2)

Tiada seorang pun pada hari itu bermula dari Nabi Adam dan seluruh manusia semuanya berada dibawah naungan
benderaku, dan aku adalah orang yang pertama yang membelah bumi, dan tiada megah.(3)

Maka terkejut manusia dengan tiga kali kejutan, datanglah semua manusia menuju kepada Nabi Adam dan mereka berkata: wahai Adam, Engkau adalah bapa kami, mintalah dari Tuhanmu syafaat untuk kami. Kata Adam: sesungguhnya aku telah melakukan satu dosa sehingga diturunkan aku ke bumi.(4)

Tetapi pergilah sekelian kamu kepada Nuh, maka pergilah mereka kepada Nuh dan ia berkata: Aku telah berdoa untuk ahli bumi dengan satu doa maka dibinasakan mereka itu.(5)

Kata Nuh, pergilah kamu kepada Ibrahim. Maka pergilah mereka berjumpa Ibrahim dan kata Ibrahim Aku pernah berbohong sebanyak tiga kali semasa aku hidup di dunia. Kemudian Nabi SAW bersabda: Tiada daripada bohongnya itu melainkan untuk menegakkan agama Allah.(6)
Maka Ibrahim berkata, pergilah kamu semua kepada Musa, dan mereka pun pergi berjumpa dengan Musa. Kata Musa: Aku pernah membunuh seseorang, tetapi pergilah kamu kepada Isa.(7)

Maka kata Isa: aku pernah disembah selain dari Allah.(8 Pergilah kamu semua kepada Muhammad SAW. Bersabda Nabi SAW: Datang manusia kepadaku, maka aku berjalan bersama mereka. Kata Ibnu Jud'an, berkata Anas: seolah-olahnya aku memandang kepada Rasulullah.(9)

Sabda Nabi: maka aku pegang gelungan pintu syurga dan aku goncangnya. Terdengar satu suara berkata: siapa ini? Dijawab bagi pihak Nabi: Dia adalah Muhammad. Maka dibuka pintu itu untukku, disambut kedatanganku dengan berkata "marhaban" (selamat datang). Seraya itu aku segera sujud kepada Allah ta'ala. Setelah itu diilhamkan oleh Allah kepadaku dengan menyebut kebaikan dan puji-pujian kepada Allah.(10)

Kemudian dikatakan padaku: Angkatlah kepalamu wahai Muhammad, pintalah apa sahaja, pasti akan diberi. Syafaatkanlah kepada sesiapa yang kamu mahu nescaya akan diterima syafaatmu itu. Katakanlah, pasti akan didengar perkataanmu.(11)

Itulah maqam yang terpuji yang telah difirmankan oleh Allah: pasti dibangkitkan oleh Tuhan engkau (Muhammad) dengan 'maqaman mahmuda' (maqam yang terpuji).(12)

Tafsir Hadis dari lisan ulama:

1)Iaitu dikatakan tiada megah ialah bukan kerana mengakui bahawa dirinya menjadi penghulu di hari kiamat kerana niat bermegah, dan bukan kerana nama. Bahkan Nabi hendak memberitahu, dan mengajar umatnya, serta ingin menyatakan nikmat Tuhan yang dikurniakan kepadanya kerana firman Allah : "Adapun nikmat Tuhanmu yang telah dikurniakan kepadamu itu, maka ceritakanlah."

2)Kerana Adat orang-orang besar mempunyai bendera supaya semua orang dapat berhimpun di bawah benderanya.

3)Orang yang pertama membelah bumi itu ialah manusia pertama yang dibangkitkan dari kubur selepas tiupan sangkakala yang kedua. Dialah orang yang pertama sekali dihidupkan semula. Tersebut di dalam al-Jami' as-Shaghir selepas Nabi ialah Saidina Abu Bakar dan Saidina Osman, kemudian orang-orang yang dikebumikan di Baqi' di Madinah. Maka di dalam al-Jami' as-Shaghir tadi menyatakan bahawa tidaklah dikumpulkan orang-orang dari perkuburan Baqi' itu satu tempat dengan Nabi. Kerana kumpulan Nabi itu ialah kumpulan penghulu Rasul-rasul. Mereka akan berada dekat dengan kumpulan Nabi di hari kiamat.

4)Tersebut di dalam sahih Bukhari bahawa dikumpulkan semua manusia di bumi yang satu, dan matahari sangat ham pir dengan kepala. Manusia menjadi sangat susah ketika itu sehingga saling berkata antara satu sama lain: tidakkah kamu semua lihat betapa tersiksanya kita pada hari ini? Tidakkah kamu mahu mencari seseorang yang dapat syafaatkan kita kepada Tuhan? Kata sebahagian mereka: Marilah kita pergi kepada Nabi Adam. Nabi Adam berkata : Tuhanku sangat marah pada hari ini, tidak pernah Ia marah sebelum dan selepas ini seperti marahNya hari ini. Aku telah ditegah supaya jangan menghampiri pohon kayu di dalam syurga maka aku derhaka. Aku telah berdosa dan tidak boleh memberi syafaat.

5)Diriwayatkan di dalam tafsir Ibnu Kathir, Taisirul Karim dan lain-lain bahawa Nabi Nuh adalah Rasul pertama yang diutskan Allah ke bumi. Setelah 950 tahun Nuh menyeru manusia supaya beriman dengan Allah, hanya beberapa orang sahaja yang mengikutnya. Maka Nabi Nuh berdoa kepada Allah agar dibinasakan kaumnya yang ingkar itu. Dengan sebab itu Nabi Nuh merasa bersalah dengan permintaannya yang terlalu berat itu.

6)Nabi Ibrahim digelar sebagai khalilullah, iaitu kekasih Allah di bumi. Kerana pengorbanannya yang begitu banyak dan besar di dalam sejarah Islam. Bohong Nabi Ibrahim sebanyak tiga kali itu dirakamkan di dalam al-Quran. Dengan mafhumnya: 1- Nabi Ibrahim memberitahu kaumnya bahawa dia telah bermimpi melihat bintang di langit menyatakan dia akan mengidap penyakit ta'un. Kerana kaumnya pada masa itu sangat percaya dengan ilmu menilik bintang. 2- Bila Nabi Ibrahim ditanya siapakah yang mengahancurkan patung-patung sembahan mereka itu, maka dia tidak mengakuinya bahkan disuruh mereka bertanya kepada patung yang paling besar. 3- Ketika bermusafir bersama isterinya Sarah, bertemu dengan seorang raja zalim. Sistem yang diguna oleh raja itu ialah dengan merampas seorang perempuan yang berstatus isteri orang. Maka apabila ditanya adakah perempuan itu isterinya, Baginda menjawab itu adalah adiknya. Tujuannya untuk menyelamatkan mereka dari kezaliman raja. Ketiga-tiga kes yang dinyatakan tadi ialah bohong Nabi Ibrahim semasa hayatnya. Namun Ulama' menjelaskan bahawa semua bohong itu diilhamkan oleh Allah kepada Nabi Ibrahim. Dengan sebab tiga kes itu Nabi Ibrahim tidak diizinkan untuk memberi syafaat kepada manusia di hari kiamat.* Penyakit taun dalam bahasa hadis ialah penyakit yang mudah berjangkit (Epidemic). Bila didengar oleh kaumnya bahawa Ibrahim akan ditimpa taun, maka mereka menjauhi Ibrahim untuk beberapa ketika. Peluang inilah diambil oleh Nabi Ibrahim untuk menghancurkan patung-patung sembahan kaumnya

7)Nabi Musa digelar 'kalimullah', iaitu seorang Nabi yang diizinkan Allah untuk bercakap denganNya di bumi. Nabi Musa dalam sejarahnya yang amat panjang, pernah membunuh seorang tukang masak Firaun dari bangsa Qibti. Ulama' menjelaskan bunuh itu secara tidak sengaja kerana diketahui bahawa kekuatan Nabi Musa menyemai kekuatan 10 orang pemuda.(lihat tafsir al-qasas). Juga ada pendapat yang menyatakan bunuh itu adalah disuruh oleh Allah. Namun disebabkan Nabi Musa mempunyai kes, dia tidak diizinkan Allah untuk memberi syafaat.

8)Nabi Isa adalah seorang manusia yang dilahirkan tanpa bapa, ia dijadikan dengan kalimah Allah di dalam perut ibunya Maryam a.s. Juga di kalangan manusia yang bercakap ketika bayi. Namun Nabi Isa juga tidak diizinkan Allah kerana baginda pernah disembah oleh kaumnya yang menganggap Isa adalah anak Allah.

9)Anas bin Malik yang telah menceritakan hadis ini kepada para sahabat setelah kewafatan Rasulullah. Seolah-olah Anas nampak Nabi ketika itu kerana masih terbayang-bayang wajah Rasulullah. Anas adalah satu nama yang terkenal sebagai salah seorang yang banyak meriwayatkan hadis. Selain sahabat yang mulia, dia juga adalah khadam kepada Nabi.

10)Di dalam riwayat lain ada menyebutkan bahawa Nabi telah sujud di bawah ‘arasy Allah. Diilhamkan padanya beberapa pujian yang disebut oleh Nabi ketika ia sujud itu. Pujian-pujian itu belum pernah disebut oleh mana-mana makhluk sebelumnya.

11)Setelah lama Nabi bersujud kepada Allah, tidak diangkat kepalanya sehinggalah difirmankan padanya: Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu itu. Diriwayatkan bahawa Nabi disuruh supaya minta apa-apa sahaja. Maka Rasul SAW pun menyebut : Ya Rabbi, Ummati, Ya Rabbi Ummati – Wahai Tuhanku, umatku, wahai Tuhanku, umatku. Setelah itu Allah memerintahkan Nabi menyebut nama siapa sahaja yang mahu disyafaatkannya. Di dalam riwayat lain ada menyebut, ketika itulah Nabi akan memberi syafaat kepada orang-orang yang selalu berselawat kepadanya terlebih dahulu.

12)Kelebihan memberi syafaat hanya dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW, tidak diberikan kepada Nabi selainnya. Maka itulah yang dimaksudkan ‘maqam al-mahmud’ (kedudukan yang tinggi dan terpuji) kerana ia adalah nilai yang sangat tinggi di kalangan manusia dengan kelebihan memberi syafaat, iaitu memasukkan manusia ke dalam syurga dengan izin Allah. Riwayat lain ada juga menyebut ketika Nabi ditanya oleh sahabat dimanakah boleh ditemui baginda di hari kiamat untuk meminta syafaat? Baginda menjawab : Aku akan berada di tiga tempat iaitu : Di titian sirat, di telaga yang bernama ‘haudh’, dan di ‘mizan’ iaitu tempat menimbang segala amalan. Kata Nabi : Maka carilah aku di sana

Pengajaran Hadis
-Nabi Muhammad SAW tidak sesekali menyebut sesuatu dengan rasa bermegah diri. Malah apa yang disebutkan oleh baginda adalah wahyu dari Allah.

-Nabi-nabi yang disebutkan di dalam hadis ini adalah di antara nabi yang banyak menerima dugaan, juga di antara nabi yang dikurniakan dengan banyak kelebihan. Namun mereka tidak diizinkan oleh Allah untuk memberi syafaat pada manusia di hari kiamat kerana beberapa sebab. Walaupun kesalahan mereka telah diizinkan atau diampunkan oleh Allah, ia menunjukkan pada kita setiap kesalahan pasti akan dihitung.

-Seharusnya kita sangat-sangat bersyukur kerana menjadi umat Muhammad. Dengan kemuliannya, maka umatnya terlebih dahulu akan memasuki syurga berbanding umat-umat terdahulu. Maka tanda syukur kita antaranya ialah memperbanyakkan mendalami ilmu agama, kekalkan berselawat ke atas Nabi Muhammad setiap hari dengan rasa cinta dan rindu padanya, rapatkan hubungan silaturrahim.

-Hadis ini juga menunjukkan pada kita bahawa Nabi Muhammad adalah seorang manusia yang paling dikasihi Allah berbanding dengan segala makhluk yang ada.



اللهم صلى وسلم على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد