Wednesday, October 28, 2009

Sejarah pembukuan Al-Quran

Oleh : yakoob ismail

Allah s.w.t telah menurunkan al-quran sebagai satu mukjizat yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dan kewujudan Allah dengan segala sifat-sifat kesempurnaanNya. Berkaitan dengan penurunan al-quran, ianya membicarakan cara-cara wahyu diturunkan, peringkatnya, tempat-tempat turunnya, masanya, awalnya dan akhirnya. Ianya juga disebut sebagai nuzul al-quran. Berdasarkan ilmu tersebut juga, kita dapat mengetahui ayat-ayat Makkiyyah dan Madaniyyah.

Dari segi bahasa, perkataan nuzul bererti menetap di suatu tempat atau turun dari satu tempat yang tinggi. Sebenarnya penggunaan istilah nuzul al-quran ini adalah secara majaz atau simbolik sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-quran yang menunjukkan ketinggian al-quran itu sendiri.

Seperti yang kita ketahui, secara ringkasnya al-quran diturunkan secara berperingkat kepada Nabi melalui Jibril a.s mengikut pendapat yang masyhur di kalangan ulama. Penurunannya juga mengikut sebab atau perkara-perkara yang berlaku kepada Nabi Muhammad. Selama 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah, banyak ayat yang diturunkan waktu siang berbanding malam.

Para Sahabat berusaha dan bersungguh-sungguh menghafal dan mempelajari serta memahaminya. Sebagaimana Rasulullah s.a.w, sahabat turut memanfaatkan masa qiam untuk memantapkan hafalan mereka.

Di antara hufaz terkenal daripada sahabat iaitu empat orang Khulafa Ar-Rasyidin (Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Othman al-Affan dan Ali bin Abi Talib), Talhah, Ibnu Mas’ud, Huzaifah, Abu Hurairah, Ibnu Omar, Ibnu Abbas, Ai’syah dan Hafsah. Termasuk daripada orang Ansar seperti Ubai bin Ka’ab, Muaz bin Jabal, Zaid bin Thabit, Abu Darda’ dan Anas bin Malik.

Pada masa sama, Nabi s.a.w melantik beberapa sahabat sebagai penulis wahyu.
Mereka menulisnya sebagai salah satu teori pembelajaran berkesan setiap kali wahyu turun sebagai tambahan dalam hafalan supaya tidak hilang begitu saja. Di antara penulis itu ialah empat Khulafa’ Ar-Rasyidin, Muawiyah bin Abu Sufian, Khalid bin al-Walid, Ubai bin Kaab dan Zaid bin Thabit. Pada masa itu iaitu sewaktu Rasulullah s.a.w masih hidup, ayat al-Quran tidak dihimpunkan di dalam satu mashaf.

Ini kerana tidak ada faktor yang membolehkan al-quran dikumpul menjadi satu mashaf, sedangkan pada waktu itu ramai huffaz dan qurra’. Namun pada zaman Saidina Abu Bakar menjadi khalifah, ramai di kalangan huffaz mati dalam peperangan Yamamah. Lalu Saidina Umar mencadangkan kepada saidina Abu Bakar supaya dihimpunkan al-quran kerana bimbang akan kehilangannya dengan sebab kematian ramai huffaz dan qurra’.


Ayat-ayat al-quran mula dihimpunkan
Pada mulanya beliau ragu-ragu kerana Nabi s.a.w tidak pernah melakukannya dan takut seandainya berlaku perubahan ayat atau pertukaran ayat al-Quran.

Selepas dibincang dengan teliti, atas alasan maslahah dan menyedari bahawa ia adalah satu wasilah yang paling agung untuk memudahkan menghafaznya serta mengelakkan daripada hilang dan luput, maka Saidina Abu Bakar bersetuju untuk mengumpulkan ayat al-Quran itu. Maka dipanggil beberapa huffaz dan penulis wahyu zaman Nabi s.a.w yang masih hidup antaranya Zaid bin Thabit bagi meneruskan usaha penulisan al-Quran.

Al-Quran kemudian ditulis oleh Zaid hasil pengumpulan daripada lembaran yang ada seperti pelepah kurma, kulit binatang, tulang dan batu.

Semuanya ditulis dengan teratur seperti yang Allah wahyukan. Di samping itu ada beberapa sahabat yang menulis sendiri beberapa juz dan surah yang mereka hafal dari Rasulullah s.a.w. dan akhirnya terhimpun menjadi satu mushaf diikat kemas, tersusun turutan ayatnya sebagaimana yang ditetapkan oleh Rasulallah SAW. Mashaf ini kemudiannya diserahkan kepada Saidina Abu Bakar. Selepas kewafatannya, diserahkan pula kepada Saidina Umar al-Khattab.
Selepas beliau wafat, mashaf itu dipindahkan ke rumah Hafsah, isteri Rasulullah s.a.w yang juga anak Saidina Umar sehingga ke saat pengumpulan dan penyusunan Al-Quran pada zaman Khalifah Uthman.


Al-Quran dibukukan

Apabila berlaku pertentangan dari sudut bacaan ayat Al-Quran (disebabkan kemunculan ilmu Qiraat yang telah diizinkan Nabi Muhammad sebelumnya), ia akhirnya memaksa kepada tindakan Khalifah Uthman untuk membukukan Al-Quran. Maka dibentuk satu jawatankuasa penyelaras dalam usaha membukukannya.

Pada peringkat awal,jawatankuasa penyelaras Al-Quran itu telah membukukan sebanyak 6 buah naskah Al-Quran iaitu untuk dipegang oleh Khalifah Uthman bin Affan sendiri, satu naskah dihantar ke Kota Basrah, satu naskah ke kota Kufah dan kota Syam serta satu ke kota Madinah Al-Munawwarah dan satu naskah lagi ke kota Makkah Al-Mukarramah.

Kemudiannya diciptakan 2 buah naskah khas yang disalin terus dari naskhah Khalifah Saidina Uthman bin Affan untuk pegangan Sheikh Umar Dani dan Sheikh Abu Daud Sulaiman bin Najah. Dua salinan baru itu hanya digunakan tatkala timbulnya perselisihan berkenaan teks salinan sebenar Kitab suci Al-Quran, serta membetuli akan keraguan dalam mashaf Al-Quran enam buah seperti yang dinyatakan di atas, akibat timbul dari perbezaan sebutan dan periwayatan imam-imam Qiraat.


Mashaf Uthmani yang asli dipegang oleh Khalifah Uthman sendiri serta 2 buah kitab yang disalin darinya sebenarnya ditulis dan disalin mengikut ejaan dan sebutan Arab Quraisy yang tepat mengikut bacaan Nabi Muhammad s.a.w selaku seorang yang berbangsa Arab Quraisy. Ini dapat dibuktikan dengan penulisan dan pembarisan ayat-ayat Al-Quran mashaf Uthmani itu sendiri yang diriwayatkan oleh Hafs bin Sulaiman ibn Mughairah Al-Asadi Al-Kufi menurut bacaan Asim bin Abi Najud Al-Kufi At-Taabie.




Tanda dan titik pada ayat al-quran

Pada mulanya al-quran dibaca tanpa sebarang tanda atau titik. Disebabkan perkembangan Islam pada masa itu, maka ramai orang telah memeluk islam yang bukan bebangsa arab dan tidak bertutur dengannya. Hal ini menyebabkan kesulitan kepada orang selain arab untuk membaca dan memahami al-quran.

Maka Mu’awiyah bin Abi Sufian telah menugaskan Abul Asad Ad-Duali untuk meletakkan tanda bacaan dari segi tatabahasa pada setiap kalimah dalam bentuk titik untuk menghindari kesalahan dalam pembacaan. Abdul Malik bin Marwan pula menugaskan Hajjaj bin Yusuf untuk meletakkan titik lain sebagai pembeza antara satu huruf dengan huruf lain, contohnya seperti beza pada huruf “baa” dan “taa”, bentuk huruf yang sama tetapi sebutan yang berbeza. Kemudian diletakkan baris atau tanda bacaan seperti baris fathah(atas), dhommah(hadapan), kasrah(bawah) dan sukun(mati) mengikut cara pembarisan yang telah dilakukan oleh Khalil bin Ahmad Al-Farahidi.


Pencetakan Al-Qur’an
Sebelum adanya teknologi mesin cetak, al-quran dicetak tambah dengan tulisan tangan. Mengikut sumber, al-quran pertama kali dicetak di Hamburg, Jerman pada tahun 1694M. Setelah itu al-quran dicetak pula di St. Petersburg, Rusia pada tahun 1787M dan di Kazan pada tahun 1882M.

Pada abad ke 20 percetakan al-quran dilakukan di dunia Islam, dan cetakan yang banyak digunakan di dunia Islam pada hari ini adalah cetakan edisi Mesir tahun 1925 yang juga dikenali dengan edisi Raja Fuad kerana dialah yang memperkasainya. Kemudian pada tahun 1947 untuk pertama kalinya al-quran dicetak dengan teknik cetak yang canggih dengan menggunakan huruf-huruf yang cantik. Pendekatan tersebut dilakukan di Turki atas usaha seorang ahli kaligrafi Turki terkemuka, Said Nursi. Lalu pada tahun 1976 al-quran dicetak dengan berbagai ukuran dan jumlah oleh percetakan yang dikelola oleh pengikut Said Nursi di Berlin, Jerman.

Maka pada hari ini al-quran dapat diperolehi dengan begitu mudah di seluruh dunia. Hal ini bukan lagi satu perkara pelik sehingga menyebabkan ramai orang Islam tidak lagi mengendahkan al-quran, tidak mempelajarinya, tidak membacanya apatah lagi mengamalkannya. Biarlah satu-satu sejarah itu menjadi pedoman dan tazkirah pada diri kita. Bukan sekadar membaca untuk mendapatkan maklumat.

3 comments:

  1. article paling memikat minda. Thanks to the author.

    ReplyDelete
  2. syukran jazillan atas maklumat yang dikongsi~..
    boleh x saya nak tanya skit...
    kenapa semasa pemerintahan saidina Umar tidak memberi fokus pada pengumpulan Al-Quran~..

    ReplyDelete
  3. pada masa pemerintahan Umar...beliau lebih memerangi golongan murtad dan perluasan wilayah-wilayah islam....:)

    ReplyDelete