Thursday, May 13, 2010

Penghormatan Kepada Ibu Bapa Perlu DiPandang Tinggi

Penulis: Ust Firdaus

Dalam dunia yang serba-serbi canggih ini, ramai dikalangan kita tidak lagi menghormati ibu bapa. Bahkan menganggap kedua ibu bapa sebagai 'orang tua yang menempah maut di kubur'. Cuba kita fikirkan kembali bagaimana kesusahan mereka ketika membesarkan kita sejak dari kecil hingga ke alam persekolahan seterusnya ke jinjang pelamin. Adakah kita sedar? Sebaliknya kita membalasnya dengan menghantar mereka ke rumah orang tua kerana menganggap mereka menyusahkan dan mengganggu perihal keluarga kita. Benarlah pepatah melayu berbunyi : 'Ibu mampu menjaga 10 orang anak tetapi 10 orang anak tidak mampu menjaga seorang ibu’.

Firman Allah yang bermaksud :
'Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapamu, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga sama ada yang dekat atau yang jauh, rakan karib dan ibnu sabil, serta hamba sahaya.'
(An-Nisa' : 36 )

Jadi kiita seharusnya sebagai anak haruslah berbakti kepadanya selagi ia masih hidup di dunia. Berbakti kepada ibu bapa adalah dengan menunaikan hak-haknya, antaranya ialah :

1) Taat dan Mengabdi kepadanya
Sabda Nabi saw., "Berbaktilah kepada orang tua adalah pertengahan dari pintu-pintu syurga." (Tirmidzi). Hasan ra. ditanya, "Apa kadar kebaikan terhadap orang tua? Jawabnya, "Kamu gunakan semua milikmu atas mereka. Dan apa pun yan mereka nasihatkan selain syirik, kamu mesti mentaatinya tanpa ragu."

2) Berbuat Baik Terhadapnya
Allah berfirman, "Kami wasiatkan kepada manusia agar bersikap baik kepada kedua orang tua." (Al-Ankabut : 8). Firman lainnya, "Dan Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata 'ah' terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut."(Al-Isra' :23).

Sabda Rasulullah saw., "Berlakulah baik kepada orang tuamu agar anak-anakmu juga akan berlaku baik terhadapmu dengan cara yang sama." (Durrul Mantsur)

3) Berbicara dengan Lembut
Hasan ra. ditanya, apa maksud 'Qaulan Karima' Beliau menjawab, "Memanggil mereka dengan ayah ibu dan jangan memanggil mereka dengan nama mereka". "Zubair ra. menafsirkan 'Qaulan Karima' iaitu jika orang tua memanggil, jawablah, 'Sya hadir, saya hadir'. Qatadah ra. br. berkata,erkata "Maksudnya adalah berbicara lemah lembut dengan mereka. "Sa'id bin Musayyib ra. berkata, "Seperti seorang hamba yang telah melakukan kesalahan besar sedang berbicara dengan tuannya yang galak."

Sabda Rasulullah saw., "Jangan berjalan di depannya, jangan duduk sebelumnya, dan janganlah memanggil namanya."(Ibnu Suni).

Mujahid ra. berkata, "Jika orang tua menjadi tua dan kamu terpaksa membasuh kencing, berak mereka, maka janganlah mengucap 'Uff' sebagaimana mereka telah menyapu kencing, berakmu pada masa kecilmu."

Ali ra. berkata, "Jika ada ucapan biadab yang lebih rendah daripada ucapan 'Uff, maka Allah pasti mengharamkan ucapan itu. Janganlah meninggikan suara melebihi suara mereka. Janganlah memanggil mereka dengan menyebut nama mereka."

4) Mengusahakan Kerelaannya
Sabda Nabi saw., "Barangsiapa menjadikan orang tuanya rela, maka dia telah menjadikan Allah rela pula. Dan barangsiapa menjadikan kedua orang tuanya marah, maka dia telah menjadikan Allah murka pula". (Thabrani). Sabda lainnya, "Barangsiapa pagi-pagi menyenangkan kedua orang tuanya, maka baginya dua pintu yang terbuka menuju ke syurga. Barangsiapa berbuat demikian, maka baginya seperti itu. Dan jika orang tuanya seorang, maka ia perolehi satu pintu meskipun keduanya berbuat aniaya tiga kali. Dan barangsiapa pagi-pagi membuat marah kedua orang tuanya., maka baginya dua pintu yang terbuka menuju ke neraka. Dan jika ia berbuat demikian, maka baginya seperti itu. Jika seorang, maka ia mendapat satu pintu, meskipun keduanya berbuat aniaya tiga kali". (Baihaqi, Daruqutni)

5) Berdoa Untuknya
Dianjurkan agar setiap berdoa untuk diri sendiri ketika selesai solat, bacalah untuk kedua orang tuanya.

Ertinya ; "Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku, dan sayangilah keduanya, sebagaimana mereka menyayangiku ketika kecil."
Sabda Nabi saw., Barangsiapa meninggalkan doa untuk orang tuanya sesungguhnya ia memutuskan rezekinya." (Hakim, Dailami).

6) Meminta Izin Bila Memasuki Biliknya
Ada seorang lelaki yang berkata kepada Nabi saw., "Apakah aku harus meminta izin kepada ibuku (tatkala memasuki rumahnya)?" Jawab beliau, "Ya" Sahut orang itu, Sesungguhnya dia tidak memiliki pembantu selain diriku, maka apakah aku harus meminta izin kepadanya setiap kali aku memasuki rumahnya?" Beliau ganti bertanya, "Apakah kamu suka melihatnya dalam keadaan lelanjang?" Jawabnya, "Tidak" Lalu beliau berkata, "Maka mintalah izin kepadanya." (Ibnu Jarir). Dan seseorang anak jangan sekali-kali pergi ke dalam urusan yang mubah atau sunat, melainkan dengan izin kedua orang tuanya.

7) Memandangnya Dengan Kasih Sayang
Nabi saw bersabda, "Barangsiapa memandang bapanya dengan pandangan tinggi, maka ia bukanlah orang yang taat kepada bapanya." Urwahra. berkata, "Sekiranya orang tuamu berbicara tentang yang tidak kamu sukai, maka janganlah melihat mereka dengan menjeling." Penulis kitab Mazhahirul Hak menulis bahawa melihat kepada kedua orang tua dengan rasa sayang dan sopan, berbicara dengan lemah lembut, melayani mereka sampai mereka redha dan puas, itu semua merupakan hak mereka.

Maka seharusnya kita memainkan peranan sebagai seorang anak kepada ibu bapa walaupun ia melakukan perkara yang melanggari syarak Islam, jadi tegurlah dengan cara lemah lembut. Kita juga perlulah mengutamakannya dalam segala perkara. Dan sekiranya kita mengutamakan dalam mentaatinya nescaya kita akan dibukakan pintu syurga, dipanjangkan umurnya serta dinaikkan darjatnya. Kewajipan anak terhadap ibu bapa berterusan biarpun ibu bapa sudah lama meninggal dunia. Ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia, Rasulullah menjawab dengan sabdanya bermaksud: "Ada, iaitu berdoa, beristighafar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah). Sesungguhnya beruntunglah sesiapa yang memiliki anak yang soleh yang memberikan balasan kebaikan kepadanya biarpun sesudah meninggal dunia. Anak soleh adalah kebaikan yang tidak putus-putus pahalanya. Sabda Rasulullah bermaksud: "Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya." (Hadis riwayat Muslim).

No comments:

Post a Comment