Hama Berdarah Lagi.
Siddiq
Osman.
Sudah lama aku tidak menjadi ‘penunggu
internet’. Bagi aku menjadi
penatap ‘buku muka’ bukanlah keutamaan, walaupun aku selesa menjengah-jengah
rakan-rakan di sana. Sejak Gaza sudah ditongkat untuk berjalan dalam capik-capik,
aku mula hilang selera untuk menjamah berita di internet.
Mungkin aku bukanlah penulis blog
yang terkenal di mana-mana, tetapi blog usang itulah tempat aku berkongsi rasa
dan membuah jasa-jasa kecil dalam bertatih-tatih melalui lorong suram untuk
menjadi penterjemah.
Kini aku sudah mula mengetik
punat-punat aksara untuk menyusun bahasa yang sekian lama aku rindukan. Bukan
tidak aku ketik langsung papan kunci ini, tetapi bukan bahasa yang aku tarikan
di layarnya. Aduh, hampir kekok minda ini mahu kembali menarikan irama-irama
syahdu bahasa kalbu dan mengatur soldadu aksara dalam perang pena.
Tetapi kekekokan ini kulenturkan
juga untuk terus berkokok bagai ayam jantan yang terlihat sinar panas pagi yang
jauh. Tetapi aku bukanlah ayam. Aku hanyalah anak melayu yang tahu berbahasa
Nabi. Aku hanya Muslim yang belajar untuk mengenal agama sendiri. Mungkin ramai
anak melayu muslim seperti aku. Tetapi yang sangat aku pasti, terlebih ramai
mereka yang tidak kisah tentang ini semua.
Oleh kerana aku ini cuma rabun-rabun
ayam, maka aku terlambat juga melihat timur tengah yang sedang membara. Orang
lain menggelarnya musim bunga. Bagiku inilah musim luruh. Musim luruhnya
kepala-kepala busuk. Luruh dari tampuk kuasa yang sudah buruk dengan
kudis-kudis kezaliman dan penindasan. Ini telah beralamat di sana, dan pasti
akan juga sampai ke sini. Sepatutnya aku sudah lihat ini sejak aku masih
mencari diri di sana.
Kini giliran Namrud moden untuk
merangkak turun. Basyar telah memakai persalinan Tuhan. Tetapi dia lupa yang
nafasnya itu dipakaikan padanya oleh Tuhan. Dia adalah satu lagi syaitan
berkepala manusia yang disanjung tinggi di alam syaitani. Dia terlupa yang
neraka itu sedang dinyalakan khas untuknya. Bahkan, mungkin dia tidak pernah
tahu.
Tetapi aku tahu. Di internet aku
lihat tenteranya menyembahnya dan menjilat keangkuhannya. Tenteranya bakal
menjadi arang-arang yang membakarnya. Mungkin kelak dia itu menjadi api yang
merasai seksa daripada Yang Maha Penyeksa. Aku tahu alam Melayu sudah mendengar
tangisan Homs. Tetapi aku sedar, alam aku ini kurang biasa dengan bahasa
derita. Dulu Gaza menangis bertahun-tahun , setelah beberapa pertubuhan menagih
simpati baru alam melayu yang aku sayang ini faham ada orang sedang menangis
minta ditolong. Itupun ada yang menyangka yang mengemis itu adalah
aktivis-aktivis yang tiada kerja mahu diusahakan. Aku pernah mengeluh dengan
alam melayu ini, di dalam blog usangku. Sayangnya ramai yang menyokong
telahanku bahkan menambah lagi sifat buruk yang aku cuba kurangkan.
Aku meneropong alam sana dalam
stesyen video yang paling masyhur, Youtube. Aku kenal rupa sebenar
Syiah. Mungkin ini sangat dinafikan mereka. Tetapi aku yakini dan rumuskan dalam mindaku luka Hama
kali ini bukan lagi kerana ke-ikhwan-annya. Bandar ini berdarah kali kedua kerana
mereka adalah manusia yang punya akal dan mahu berfikir. Mereka mahu
negara yang merupakan jantung tanah Syam hanya didiami oleh manusia berakal
keldai ataupun tunggangan berwajah manusia. Mereka mahu satu bangsa yang
disuruh mencabul ibunya, lalu mereka melakukannya sambil ketawa. Mereka mahu
rakyat yang apabila disembelih, mereka senyum berterima kasih. Agar semangat
menjadi Tuhan tidak terpadam dari pemimpinnya.
Mungkin kalian merasai tarian
saya sudah pincang. Sudah tidak menurut rentak rima bahasa. Sebenarnya bukan
salah lantai yang tidak rata atau jemari saya yang tidak runcing. Tetapi itulah
tanda minda kalian yang sudah reput kerana diasak anai-anai hedonisme seperti
acara-acara realiti yang lebih menipu dari alam fantasia. Kononnya
berjaya menjadi johannya adalah nikmat yang sangat mahal dari Tuhan. Bukankah
setiap yang menang semakin senang mendampingi dosa? Apakah nilainya nikmat,
kalau pinggirannya neraka?
Hama berdarah sedang lukanya yang
lama masih berbalut. Dulu lukanya ditores kerana kemahuannya untuk berusrah dan
beribadah dalam arus politik dan urus tadbir. Kini lukanya parah kerana dia
ingin bernafas dalam alam bebas dari racun pemerintah mata-mata. Setiap yang
menjilat keindahan Syria akan turut terasa kelatnya cengkaman yang mereka terpaksa
tanggung hanya kerana pemimpin mereka mahu menjadi Tuhan. Hama semakin parah bila ulamanya
berpecah belah. Yang paling masyhur sudah luntur. Yang masih kendur
sudah perlu berjuang dalam lumpur. Aku sangat sedih walau telaga airmataku
sudah kering aku tumpahkan pada kematian arwah datukku suatu masa dahulu.
Tetapi atmaku meraung bersama setiap tinta yang mereka titiskan untuk berkhilaf
dalam membela nasib ummat yang berjuta.
Aku merindui umat melayu yang
sangat lembut jiwanya bangkit bersama dunia Islam dalam luka dan suka. Aku
mencari herba-herba melayu untuk dibawa sebagai ubat merawat luka Homs yang
sudah merebak rekah ke seluruh tetangganya. Tetapi herba di alam melayu ini
hampir habis dikutip untuk dibuat menjaja dalam perdagangan bertingkat-tingkat.
Tiada banyak yang boleh dihulur ke sana. Bahkan di sana mereka perlukan lebih
dari herba. Mereka juga perlukan kapas-kapas panas dari nusantara bagi menenun
kain-kain yang menutupi tubuh mereka. Tetapi sayang , kapas nusantara sudah
habis diguna membuat kain pelikat yang dipakai untuk ibu-ibu berkemban atau
bapa-bapa untuk berlengging.
Di mana aku mahu mulakan cinta
dan kasih hati ini dalam merawat luka Hama ini. Luka lamanya sempat aku tahu
bila sudah kering. Luka baru ini mesti aku balut dan bungkus dengan ubatan dan
kapas yang dapat kupetik di perkarangan rumahku. Sayangnya rumahku hanyalah
rumah sewa. Bila-bila rumahku boleh dipindah sewakan pada penghuni lain.
Sayangnya jiranku hanyalah melayu yang lupa mereka itu boleh menjadi Hama ,
Gazza ataupun Bosnia. Tetapi , aku tahu aku ada segalanya kerana aku masih
memiliki doa.
Ya inilah doaku, doa mulus yang
lahir dari kalbu yang kalut:
“Ya Allah! dia ingin menjadi
sekutuMu kami hanya ingin terus menjadi hambaMu dan takkan kami mampu tanpa nusrahMu,
Kau bantulah saudara kami yang lebih tulus dari kami dalam mahu menjadi
hambaMu. Mereka menyubur al Quran dalam lubuk hati mereka sedang kami
menyumbatnya dalam kerongkong kami. Ya Allah mereka berbahasa dengan bahasa
nabiMu sedang kami lebih banyak merapu. Ampunkanlah kami selamatkanlah mereka
hamba-hambaMu.”
Inilah ceritaku yang ingin
kembali menari.
No comments:
Post a Comment