Yaakob Ismail
Di Sekitar awal 80-an hingga hujung 90-an kita melihat bahawa masyarakat kita adalah masyarakat yang mengamalkan ajaran Islam walaupun pada ketika itu golongan agamawan masih sedikit. Mereka mempunyai adab yang tinggi, mendidik anak-anak menghormati hak orang lain, orang yang lebih tua dan sebagainya. Anak-anak mendengar dan sangat menghormati ibu bapa. Orang tua menyayangi yang lebih muda. Demikianlah kehendak Islam dan telah dipratikkan di dalam masyarakat kita satu masa dulu.
Namun kita melihat pada abad alaf baru ini, adab sopan, menjaga hak orang lain, tegur menegur bukan lagi budaya orang Islam. Ramai orang belajar agama tetapi ilmu yang dipelajari tidak menjadi panduan dalam kehidupan. Mereka tidak memahami konsep adab di dalam banyak keadaaan hatta perkara-perkara yang kecil. Kadang-kadang dilihat sama sahaja di antara yang ada ilmu agama dan golongan biasa, bahkan ada dikalangan kebiasaan ini lebih baik adab dan akhlaknya. Bezanya hanya kopiah dan tudung, tapi tiada praktikal atau contoh yang baik!
Di rumah, anak-anak tidak dididik dengan ajaran Islam yang sebenar. Anak- anak tidak lagi boleh menjadikan ibu bapa sebagai contoh kehidupan di dalam rumah. Ibu bapa hanya ingin anak-anak belajar agama tetapi mereka sendiri tidak mengamalkan. Ibu bapa merasa sudah cukup dengan menghantar anak-anak belajar agama dan apa yang anak-anak pelajari di sekolah tanpa bertanya apa yang dipelajarinya. Kesannya anak-anak hanya mendapat teori di sekolah tanpa mendapat praktikal yang paling baik iaitu di dalam rumah.
Di sekolah guru-guru ada sebahagiannya tidak lagi dihormati. Kerana ramai yang menjadi guru namun tidak faham dengan keadaan. Mereka bergaul dengan murid bagaikan saudara kandung di rumah hinggakan murid boleh duduk main-main di sebelah guru. Bahkan mungkin ada yang berkejar-kejaran dengan murid. Berbeza pada sekitar 30-40 dulu guru-guru nampak gahnya pada pandangan murid. Mereka digeruni dan dihormati oleh murid biarpun murid itu samseng. Zaman sekarang murid yang belajar agama pun tidak menghormati gurunya. Dulu kita lihat seorang murid sangat takut jika ada dari kalangan saudaranya yang menjadi guru di sekolah yang sama kerana bimbang akan didenda oleh guru tersebut jika ia bersalah. Mereka bersaudara namun di sekolah tahapnya antara murid dan guru. Sekarang kita lihat yang tiada apa-apa ikatan pun antara guru dan murid sangat rapat bagaikan saudara di dalam rumah. Inilah satu kesilapan besar yang dilakukan oleh sebahagian guru. Kita bukan menghalang kasih sayang guru pada murid tetapi caranya salah dan tidak kena pada tempatnya. Maka tidak perlu hairan atau mengadu pada sesiapa kenapa murid tidak menghormati, degil, melawan bila ditegur dan tidak ambil peduli apa yang guru sampaikan. Puncanya bukan guru terlalu garang tapi terlalu rapat bergurau senda.
Di sekolah juga anak-anak sudah diberi didikan agama yang baik. Bagaimana pula dengan persekitaran di luar sekolah? Ada bermacam-macam keseronokkan yang menanti mereka apabila keluar sekolah. Pusat hiburan, pergaulan bebas, arak dan judi yang ‘berlesen’, dan bermacam-macam keburukan menanti mereka.
Apa yang cuba dibicarkan di sini ialah masyarakat sekarang sedang menghadapi satu fenomena yang sangat mendukacitakan. Terpaksa menghadapi gelombang suasana dengan melawan arus. Tiada siapa yang peduli dengan apa yang sedang berlaku. Bukan masanya lagi untuk kita menuding jari kepada orang lain. Hendaklah kita sama-sama sedar dan fikirkan jalan bagaimana cara megahadapinya. Semua pihak mesti bertanggungjawab di dalam kemerosotan akhlak umat pada masa kini.
Ibu bapa hendaklah terlebih dahulu mengamalkan Islam dalam kehidupan sebelum menyuruh anak-anak kenal Islam. Seperti kisah di zaman Saidina Umar al-Khattab, seorang lelaki datang mengadu kepada Saidina Umar bahawa anak lelakinya tidak mentaatinya. Maka dipanggil si anak dan di tanya kenapa dia derhaka. Kata si anak sebenarnya bapaku terlebih dahulu mederhakaiku kerana dia tidak pernah mengajarku. Pemerintah pula hendaklah memastikan tidak ada lagi tempat-tampat haram. Mereka juga berkewajipan memastikan tempat maksiat dikosongkan dan di masa yang sama ibu bapa sentiasa memerhatikan anak-anak. Masyarakat sekeliling pula hendaklah menghidupkan budaya tegur menegur apabila melihat saudara atau jirannya melakukan keburukan. Bukan seperti sekarang, ada yang dipukul hingga mati semata-mata kerana ditangkap ketika sedang mencuri. Sepatutnya serahkan pada pihak yang patut bertindak dan di masa yang sama kita memberi nasihat. Jika suasana seperti ini diamalkan, tidak mustahil umat Islam akan kembali kuat terutamanya di Negara kita seperti yang disebutkan di atas tadi. Mari sama-sama kita renungkan…
No comments:
Post a Comment