Thursday, April 2, 2009

Rakyat Merintih Bahasa Meruntuh

Oleh : Spek_Puteh

Hanya sebahagian kecil mereka yang lahir sekitar tahun 1990-an sahaja yang mungkin menerima bahasa inggeris masuk menyerap ke dalam jiwa masing-masing. Namun sedar atau tidak, sebenarnya sebilangan besar generasi malaysia kini sebati dengan bahasa ibunda yang telah diterapkan semenjak dari rahim ibu lagi. Tatkala kita belum puas mendalami bahasa ibunda yang disanjungi, timbul pula suatu keadaan di mana kita terpaksa setuju dalam diam untuk menguasai bahasa penjajah, yang mana tanpa kita sedar ianya sedikit sebanyak akan menghakis cinta kita kepada bahasa ibunda. Dari sudut pandangan mata kasar, kita mungkin nampak beruntung apabila mampu untuk menguasai kedua bahasa ini, namun hakikatnya, kita menderita akibat penggunaan bahasa kita yang semakin terbatas dalam urusan seharian. Bak kata pepatah, ’kera di hutan kita susukan, anak di rumah mati kelaparan’.

Sebagai rakyat malaysia yang menghayati bahasa ibunda, sewajarnya kita mempertahankan kedaulatan bahasa ini sepertimana yang telah diperjuangkan oleh pemimpin kita terdahulu. Cuba kita imbas kembali sejarah perjuangan pemimpin dahulu mengharungi jerih perih untuk memartabatkan bahasa melayu kita sehingga berada di tahap sekarang. Bagaimana akhirnya bahasa melayu diterima sebagai bahasa global yang masih relevan diguna pakai sehingga kini. Tidakkah kita sebagai generasi bangsa Melayu merasa terpanggil untuk memperjuangkan hak bahasa kita? Kita lihat sekarang fenomena yang berlaku dalam dunia pendidikan tanah air di mana bahasa inggeris menjadi bahasa utama dalam mengaplikasikan sistem pengajaran dan pembelajaran di semua institusi pendidikan, tidak kira di peringkat sekolah rendah, menengah, mahupun universiti.

Tahun 2003 adalah tahun keramat di mana pelaksanaan pengajaran sains, matematik dan teknologi dalam bahasa inggeris (PPSMI) dimestikan bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 yang menjadikan Murid Tahun 1 sebagai perintis di sekolah rendah dan Pelajar Tingkatan 1 di sekolah menengah. Pelaksanaan ini tidak nampak fungsinya sebagai agen perkembangan minda yang menyeluruh tetapi sebagai salah satu medium yang meruntuhkan semangat integriti di kalangan masyarakat melayu khususnya dan Malaysia amnya. Hal ini dikaitkan dengan asal usul sejarah pelaksanaan PPMSI ini di mana ianya tidak dibincangkan secara menyeluruh pro dan kontranya bersama suara rakyat. Keadaan inilah yang menyebabkan timbul pelbagai spekulasi yang menentang pelaksanaan ini lebih-lebih lagi ianya mencabuli peruntukan 152 dalam Perlembagaan, Akta Pendidikan 1996, Akta Bahasa Kebangsaan 1967, dan Rukun Negara.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron dan kajian Prof. Dr. Norhashimah Jalaluddin menunjukkan mereka yang di bandar dan mereka yang dari keluarga berpendapatan tinggi mendapat manfaat dari PPSMI manakala majoriti pelajar luar bandar lebih terdera. Dengan PPSMI jurang antara bandar dan luar bandar semakin melebar, yang menjadi mangsa pasti majoritinya Melayu kerana mereka kira-kira 70%

penduduk luar bandar dan ini amat tidak adil kepada mereka. Selain itu juga, perancangan PPSMI ini sebenarnya tidak berlandaskan kajian yang terperinci seolah-olah melepaskan batuk di tangga semata-mata. Seperti yang semua sedia maklum, matlamat utama pelaksanaan PPSMI ini adalah untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa inggeris, namun sehingga sekarang belum ada kajian yang membuktikan bahawa penguasaan pelajar dalam bahasa inggeris dapat ditingkatkan melalui subjek sains dan matematik. Ini kerana pelajar hanya belajar tentang istilah dan formula sahaja dalam kedua-dua subjek tersebut.

Jadi, sejauh mana kebenarannya? Adakah kita telah mampu melahirkan generasi yang boleh bertutur selancarnya dalam bahasa inggeris melalui sains dan matematik? Jaminan seorang profesor berbangsa Melayu bahawa pelajar Malaysia mampu menguasai 80% soalan peperiksaan bagi subjek sains dan matematik setelah bahasa inggeris digunakan teryata meleset apabila statistik membuktikan hanya 50% pelajar sahaja yang benar-benar memahami soalan yang diajukan. Kononnya dahulu, apabila diingeriskan, pelajar akan lebih mudah faham istilah-istilah sains dan formula matematik, namun adakah matlamat ini tercapai? Jadi, di mana relevannya pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris?

Jika kita lihat pada pengalaman lepas di mana tulisan jawi ditukarkan kepada tulisan rumi yang bermula di sekolah, kesannya masih tercalit di hati setiap rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu. Seingat saya, sebelum persetujuan terhadap pertukaran sistem tulisan ini dahulu, banyak janji yang ditaburkan bahawa tulisan jawi tidak akan terpinggir, namun lihatlah ke dalam senario sekarang yang mana tiada lagi akhbar tulisan jawi yang diterbitkan.

Tidakkah kita sebagai bangsa Melayu sedar akan hakikat yang mana sebenarnya nilai bahasa kita semakin lama semakin terhakis? Merujuk kepada isu pelaksanaan PPSMI ini, di sinilah kerisauan yang melanda rakyat Malaysia kini, terutamanya ibu bapa apabila menyedari akan anak-anak mereka yang merupakan generasi pembela tidak lagi mengagungkan bahasa ibunda yang mereka terapkan sedari kecil. Tambah menyedihkan lagi apabila generasi-generasi ini sudah mula melupakan adat, budaya, tatasusila, dan resmi bangsa Melayu. Tiada lagi pepatah, ”Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.” Kesannya mungkin tidak akan nampak sekarang, tetapi bagaimana dengan 10 tahun atau 20 tahun kemudian?

Kita tidak boleh mengukur keberkesanan perlaksanaan PPSMI ini berdasarkan peratusan kejayaan masyarakat bandar semata-mata kerana rata-rata masyarakat bandar memang sudah didedahkan dengan penggunaan bahasa inggeris secara tidak langsung. Saya ingin bawa anda melihat fenomena ini di kalangan pelajar khususnya golongan Melayu luar bandar terhadap peratus keberkesanannya. Sehingga ke hari ini, peratus penguasaan bahasa inggeris yang ditunjukkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia tidak mencatatkan kenaikan kepada masyarakat pedalaman. Secara zahirnya, pelaksanaan PPMSI ini sememangnya meningkatkan peratus penguasaan bahasa, tetapi itu hanya kepada majoriti masyarakat bandar sahaja. Sedar atau tidak sebenarnya kita semua telah melupakan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang telah berjaya dan dipersetujui bersama-sama dahulu di mana kewibawaan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini sebagai penghantar sains, matematik dan teknologi di sekolah rendah, sekolah menengah dan di IPT adalah lebih relevan sehinggakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pun seolah-olah sudah tiada fungsinya lagi malah semakin merudum kredibilitinya. 

Kita perlu sedar bahawa Bahasa Melayu ini adalah bahasa warisan yang telah kita sematkan sejak turun temurun dalam sanubari masyarakat Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Keputusan UPSR yang dijadikan medium untuk mengukur penentu kejayaan terhadap pelaksanaan PPSMI ini adalah sangat tidak relevan malah ianya membelakangi ilmu perancangan pendidikan. Sebagai langkah bijak dan prihatin, kita boleh mengubah sistem penilaian bahasa inggeris ini kepada suatu sistem yang lebih mengukur penguasaan perbendaharaan kata yang kaya di samping latihan untuk menyampaikan idea ini, bukan sekadar mengaplikasikannya ke dalam subjek sains dan matematik. Cubalah memahami dan mendalami psikologi perkembangan dan pertumbahan manusia supaya tidak berlaku ketidakadilan dalam membuat sesuatu pelaksanaan yang melibatkan rakyat Malaysia. Akhir kata, pelaksanaan PPSMI ini perlulah dikaji semula untuk menghasilkan suatu natijah yang dapat diterima dan memuaskan hati masyarakat terutamanya golongan bangsa Melayu.

Hakikatnya, negara kita telah memiliki kemudahan dan kemajuan kelas pertama. Apa yang perlu diusahakan sekarang adalah agar mentaliti rakyat juga berada di tahap kelas pertama. Kita perlu menghapuskan label yang mengatakan sekarang ini rakyat Malaysia tidak lagi menghargai kepentingan bahasa Melayu secara keseluruhannya, dari segi mental, fizikal, dan juga tindakan. Jadilah bangsa Melayu yang benar-benar telus dalam memperjuangkan hak Melayu. Bersedia untuk berkorban apa sahaja demi memartabatkan semula bahasa ibunda kita, Bahasa Melayu.

Wassalam.. - AK

No comments:

Post a Comment