Thursday, April 2, 2009

Keistimewaan Sirah Rasullah


Keistimewaan Sirah
Rasulullah.
Oleh : ARAS
Pertama: Sirah Nabi s.a.w istimewa lantaran ia merupakan sirah yang menceritakan sejarah Nabi utusan Allah. Sirah Rasullah s.a.w telah kita terima melalui susur galur ilmiah yang paling tepat dan paling pasti. Susur galur ilmiah ini tidak memberi ruang untuk kita meragui kebenaran peristiwa besar dan penting yang berlaku. Ia juga memudahkan kita mengesan peristiwa dan mukjizat yang ditokok tambah oleh akal yang jahil dan gemar menambahkan sifat-sifat mengkagumkan Rasullah s.a.w pada zaman-zaman terkemudian melebihi apa yang dikehendaki Allah dan Rasul-Nya.
Keistimewaan sirah yang sahih lagi tiada sebarang keraguan ini, tidak terdapat dalam mana-mana sirah rasul-rasul Allah terdahulu. Sirah Musa a.s. yang ada pada hari ini telah bercampur aduk antara peristiwa-peristiwanya yang sahih dengan pemalsuan dan pindaan yang dimasukkan oleh Yahudi. Justeru itu, orang Islam tidak dapat beriman dengan kesahihan sirahnya melainkan apa yang dinyatakan dalam al-Quran al-Karim dan Sunnah Nabawiyyah yang sahih.
Kedua: Kehidupan Rasulullah s.a.w. pada setiap peringkat hidupnya amat jelas, sejak perkahwinan bapa Baginda, Abdullah dengan ibu Baginda, Aminah sehingga Baginda s.a.w. wafat. Kita mengetahui banyak perkara tentang kelahiran zaman kanak-kanak, zaman remaja, sumber pencarian Baginda sebelum kenabian dan pengembaraan-pengembaraannya ke luar Makkah sehinggalah Allah mengutusnya sebagai Rasul yang mulia. Kita juga mengetahui secara lebih teliti, jelas dan sempurna setiap hal ehwal Baginda selepas perutusan tersebut daripada tahun ke tahun. Ini menjadikan sirah Baginda s.a.w. jelas dan terang seumpama matahari.
Fenomena seperti ini tidak mudah didapati di kalangan mana-mana rasul yang terdahulu. Kita tidak tahu sesuatu pun tentang Musa a.s. ketika zaman kanak-kanak, zaman remaja mahupun sumber pencariannya sebelum kenabian. Kita hanya mengetahui sedikit sahaja berkenaan kehidupan Baginda selepas kenabian. Ini tidak memberi gambaran sempurna berkenaan keperibadiannya kepada kita
Sumber-sumber sirah yang sahih ini menyebutkan secara teliti kehidupan peribadi Rasul kita seperti makan, bangun, duduk, pakaian, rupa bentuk, gaya, percakapan, komunikasi bersama keluarga, ibadat, solat dan pergaulan Baginda dengan para sahabatnya. Bahkan penelitian dalam meriwayat sirah Baginda sehingga ke tahap mereka menyatakan kepada kita bilangan uban di kepala dan janggut Baginda s.a.w..
Ketiga: Sirah Rasulullah s.a.w. menceritakan perjalanan hidup seorang manusia yang dimuliakan Allah dengan risalah-Nya. Namun ia tidak mengeluarkan Baginda daripada sifat kemanusiaannya. Kehidupan Baginda tidak disertakan dengan dongengan, juga tidak ditokok tambah dengan sifat ketuhanan, sama ada sedikit mahupun banyak. Apabila kita bandingkan hal ini dengan cerita-cerita yang diriwayatkan oleh orang Kristian tentang perjalanan hidup Isa a.s., penganut Buddha tentang Gauthama Buddha, penyembahan berhala tentang tuhan sembahan mereka, akan jelas kepada kita perbezaan nyata antara sirah Baginda s.a.w. dan sirah mereka.
Lantaran perbezaan ini, ia memberi kesan jangka panjang kepada tingkah Iaku kemanusiaan dan kemasyarakatan pengikut-pengikut mereka. Dakwaan ketuhanan kepada Isa a.s. dan Gauthama Buddha menyebabkan mereka tidak boleh menjadi contoh teladan kepada manusia dalam kehidupan peribadi dan kemasyarakatannya. Sebaliknya, Muhammad s.a.w. akan terus menjadi model manusia yang sempurna kepada sesiapa yang ingin hidup bahagia dan mulia dari segi diri, keluarga dan suasana persekitarannya.
Oleh yang demikian, Allah Taala berfirman dalam kitab-Nya yang mulia:
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) di hari akhirat kelak. (Al-Ahzab: 21)

No comments:

Post a Comment