Tuesday, May 12, 2009

Mohd Najib Tun Abdul Razak , 1 Malaysia Rakyat Diutamakan



Anak pertama Bapa Pertanian negara kita kini telah bergelar Perdana Menteri Malaysia yang ke -6. Datuk seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selamat mengangkat sumpah 5 April lalu sebagai menggantikan Datuk seri Abdullah Ahmad Badawi yang telah meletak jawatan sebelum itu.

Perlantikan ini melengkapkan teori dan spekulasi pemerhati politik yang digembar-gemburkan sebagai pelengkap kepada perkataan RAHMAN. Apapun yang dikisahkan sebelum ini mengenai khabar angin pertukaran kuasa telah lenyap dengan upacara angkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Agung Tuanku Sultan Mizan.

Seperti sebelum ini, Perdana Menteri yang dikatakan orang no.1 negara akan meletakkan halatuju negara sebelum melakukan apa-apa tindakan lain. Beliau memilih untuk melabel dirinya dengan slogan 1 Malaysia Rakyat Diutamakan. Diiringi dengan ungkapan-ungkapan tiada lagi pemerintahan rejim di Malaysia. Selain mengungkapkan bahawa negara ini memerlukan media massa yang terbit berlandaskan fakta bukan hasutan dan khabar angin.

Dari sudut ucapan ia sememangnya perkara yang lunak didengar. Seperti biasa kabinet yang dinamakan Kabinet Rakyat telah dibentuk semula, beliau telah mengorak kabinetnya dengan menampilkan 6 Senator yang dilantik (kuota penuh seorang Perdana Menteri).

Selaku rakyat Malaysia kita harus faham bahawa pemilihan perdana menteri negara kita adalah kuasa parti yang sedang memerintah negara. Jadi seorang perdana menteri mesti mendapat sokongan kuat dari partinya untuk menjadi ketua parti sebelum ketua negara. Inilah yang dikatakan demokrasi parlimen beraja.

Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan abang kepada 4 adiknya namun mereka tidak bergiat dalam politik seperti beliau, mereka lebih selesa dalam arena perniagaan. Beliau yang mewarisi kepimpinan UMNO dari Pak Lah dianggap sebagai anak Mahathir dalam gerak kerja politik. Ini sekali lagi mempertikaikan kredibiliti beliau sebagai seorang perdana menteri, ini kerana Tun Mahathir yang dikenali umum sebagai seorang yang sangat kritis dan kuat mendesak dirasakan akan mempengaruhi tindakan Najib dalam pemerintahannya. Rakyat tidak senang dengan pemerintahan secara proksi, kerana ia akan menjejaskan kestabilan pemerintahan negara. Apatah lagi jika rakyat merasai pemerintahan itu untuk kepentingan individu-individu tertentu.

Bagaimanapun apa yang harus dipuji pada hari-hari awal pemerintahan Najib beliau telah membebaskan seramai 13 orang tahanan ISA sebagaimana Abdullah cuba mengumpan sokongan rakyat dengan melepaskan Anwar. Namun Najib masih belum memuaskan hati pencinta keadilan telus kerana mereka menganggap pembebasan 13 orang itu hanyalah gimik politik Najib dan mereka mahukan ISA dimansuhkan.

Selain daripada isu ISA, najib juga telah bertindak bijak dengan menarik balik sekatan ke atas Harakah yang digantung oleh Hamid Albar sebelum perlantikannya sebagai perdana menteri, sekaligus mengenepikan Hamid Albar dari kabinetnya kelihatan ketidak serasiannya mengenai isu kebebasan bersuara itu semakin ketara.

Sekarang PM kita ini perlu memberi perhatian khusus dalam masalah kegawatan ekonomi. Beliau memerlukan pakar-pakar ekonomi seperti Daim Zainuddin dalam senarai penasihatnya agar Malaysia tidak terus menerus menjerat rakyat dalam kesempitan hidup. Ekonomi yang satu masa dahulu menjadi kebanggaan Mahathir kini telah merudum setelah hari-hari akhir era pemerintahan Tun Mahathir. Ramai menyifatkan perletakan jawatan oleh beliau adalah sifat berlepas diri dari menanggung kemerosotan ekonomi atas apa yang telah beliau lakukan semasa pemerintahannya. Namun kita sepatutnya melihat bagaimana beliau mampu mengenepikan sogokan barat dalam menyelamatkan ekonomi Malaysia ketika itu.

Jika Sebelum ini Presiden UMNO terpaksa berhempas pulas dalam pemilihan parti untuk menentang pencabar mereka. Namun Tun Mahathir telah memulakan budaya baru dalam UMNO, budaya yang menolak cabaran ke atas ketua parti dan sekaligus menjadikan UMNO parti yang layu. Ini diperakui sendiri dalam ucapan Datuk Seri Najib dalam persidangannya. Dia menyatakan bahawa UMNO perlu diselamatkan dari budaya cantas-mencantas sesama mereka dalam pemilihan parti. Ini bermakna UMNO kini adalah warisan dari UMNO yang telah lalu. Orang yang berada di atas hari ini adalah orang yang disayangi atau disenangi oleh orang yang lalu.

Apapun kita mengharapkan Najib menjadi pemimpin yang merealisasikan motonya dan tidak menjadikan slogan-slogan pemerintahan sebagai retorik ucapan semata. Kita mengharapkan Najib memulihkan keselamatan dalam negara dan mengembalikan demokrasi dan kebebasan bersuara dalam negara kita. Saya sudahi dengan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak atas perlantikannya menjadi Perdana Menteri keenam Malaysia. الخطاب -

No comments:

Post a Comment