Thursday, June 11, 2009

Al-Qasas dan Perjalanan Musa.

Kisah hidup Nabi Musa dari tafsir surah al-Qasas
Oleh : zan_jabeel





Allah telah memulakan surah ini dengan lafaz huruf potong (thaa,siin,miim), hanya Allah yang mengetahui maknanya. Surah ini dikenali sebagai golongan surah makkiyyah, salah satu tandanya ialah surah yang dimulai dengan huruf-huruf potong adalah surah makkiyyah. Para mufassirin (ahli tafsir) menyatakan kisah Nabi Musa hampir lengkap di dalam surah ini, dan antara nama lain surah ini ialah “surah Musa”.



Nama Nabi Musa ialah Musa bin Imran dari keturunan nabi Ya’qub bin Ishak bin Ibrahim al-Khalil ‘alaihimussalam. Baginda dilahirkan di bumi Mesir pada tahun 1407-1527 sebelum masihi. Baginda digelar ‘KALIMULLAH’ kerana keistimewaan baginda bercakap dengan Allah secara langsung di puncak bukit Thur. Kisah nabi Musa disebut di dalam al-Quran sebanyak 136 kali, dan inilah bilangan yang terbanyak yang melebihi angka 100 berbanding Nabi-nabi yang lain. Apakah keistimewaan Nabi Musa sehingga begitu banyak kisahnya disebut di dalam al-Quran?



Musa a.s diutuskan oleh Allah kepada firaun dan Bani Israel di bumi mesir. Firaun adalah seorang manusia yang mengaku dirinya ‘ala (tinggi) dan dialah Tuhan yang patut disembah. Pengikut-pengikutnya adalah dari bangsa Qibthi, oleh itu dia menjadikan Bani Israel sebagai buruh paksa, hamba abdi dan sebagainya. Firaun juga antara orang yang mula-mula mengamalkan budaya perkauman dengan meninggikan bangsa qibthi, dijadikan mereka tentera-tenteranya dan orang yang menyiksa buruh paksaan dari kalangan Bani Israel.



Tabiat firaun juga ialah suka memiliki tukang tilik serta tukang-tukang sihir yang hebat. Satu ketika dikhabarkan oleh tukang tiliknya bahawa akan muncul seorang lelaki dari kalangan Bani Israel yang kelak akan menjatuhkan kerajaannya. Dengan sebab itu firaun memerintahkan agar dibunuh semua kanak-kanak lelaki yang lahir dari keturunan Bani Israel dan kanak-kanak perempuan dibiarkan hidup. Maka firaun dengan bantuan perdana menterinya, Haman terus menerus melakukan kezaliman itu terhadap Bani Israel setiap kali lahirnya bayi lelaki.



Dengan itu tidak hairanlah bahawa ilmu sihir yang didalangi oleh syaitan memang telah wujud sejak beberapa kurun yang lalu. Bahkan sihir diwaktu itu sangat hebat kerana kekufuran mereka memuja syaitan.







Saat-saat kelahiran Musa a.s.



Seperti yang kita ketahui Nabi Musa dilahirkan pada tahun kanak-kanak lelaki dibunuh oleh Firaun, berbanding dengan adiknya Nabi Harun, atau nama sebenarnya Harun bin Imran bin Qahith bin ‘Azir bin Lawi dari keturunan Nabi Ibrahim a.s. Nabi Harun dilahirkan setahun selepas kelahiran Nabi Musa iaitu pada tahun yang dilepaskan (tidak dibunuh) kanak-kanak lelaki. Ini kerana pada awalnya Firaun membunuh setiap kanak-kanak lelaki dari kalangan Bani Israel yang lahir pada setiap tahun.



Disebabkan oleh nasihat daripada tukang tilik firaun supaya mereka tidak membunuh kanak-kanak lelaki yang lahir pada setiap tahun, sebaliknya selang satu tahun. Ini kerana mereka bimbang akan kehilangan pekerja paksaan atau hamba dari kalangan Bani Israel di masa akan datang



Dengan izin Allah dan kehendakNya jua telah ditakdirkan manusia di sekeliling tidak sedar atau tidak dapat melihat dengan mata kasar bahawa ibu nabi Musa sedang mengandung. Maka sampailah pada hari kelahiran nabi Musa, ibunya merasa sangat takut kerana anak yang lahir itu seorang lelaki dan sudah pasti akan dibunuh anak itu sekiranya sampai ke pengetahuan Firaun. Kemudian datanglah petunjuk dari Allah dengan firmanNya:



“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa, susuilah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya, maka jatuhkan dia ke sungai Nil. Dan janganlah kamu bersedih hati, kerana sesungguhnya kami (Allah) akan mengembalikannya kepada kamu, dan menjadikannya salah seorang daripada Rasul”. (al-Qasas-7)





Seperti yang dijelaskan di dalam tafsir Ibnu Kasthir, bahawa rumah ibu nabi Musa itu berhampiran dengan sungai Nil. Maka selapas itu ibunya terus mendapatkan taabut (peti) dan diletakkan Musa ke dalamnya, kemudian diikat dengan tali dan dihanyutkan Musa hinggalah sampai ke istana Firaun. Lalu diangkat taabut itu oleh pelayan-pelayan istana, kemudian dibawa kepada isteri Firaun iaitu Asiah.



Apabila dibuka taabut itu dia mendapati seorang ghulam (budak lelaki) yang sangat baik bentuk badannya, sangat cantik rupanya dan manis bila dipandang. Maka Allah mencampakkan rasa belas dan sayang ke dalam hati Asiah. Firman Allah:



“Dan berkatalah isteri Firaun: (ia) adalah penyejuk mata bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan ia bermanfaat kepada kita atau kita ambil ia menjadi anak, sedang mereka (Firaun) tidak menyedarinya”. (al-Qasas -9)



Dalam masa yang sama hati ibu Nabi Musa tidak tenteram lagi disebabkan ‘kehilangan’ seorang anak yang baru dilahirkannya. Sehinggakan hampir dia membocorkan rahsia itu dengan mengambil langkah untuk pergi ke istana supaya dapat menemui anaknya itu.



Firman Allah: ‘Seandainya jika tidak kami teguhkan hatinya, supaya ia termasuk orang-orang yang percaya kepada janji Allah”. (al-Qasas -10).









Musa dikembalikan kepada ibunya



Setelah itu dia pun menyuruh agar anak perempuannya iaitu kakak kepada Nabi Musa supaya pergi mendapatkan khabar tentang adiknya itu. Selepas disiasat dia mendapati adiknya sangat disayangi oleh isteri Firaun. Maka dipanggil perempuan-perempuan datang ke istana untuk menyusui Musa, dengan takdir Allah tidak seorang pun diterima oleh Musa bahkan nampak kedegilannya tidak mahu disusui. Kemudian Musa pun dibawa ke souq (pasar) dengan harapan agar ditemui perempuan yang dapat menyusuinya.



Perkara demikian adalah budaya orang arab pada masa itu dengan menghantar anak-anak mereka untuk disusui oleh perempuan-perempuan yang tinggal di pendalaman kampung. Ini kerana mereka percaya bahawa orang yang tingal jauh dari kota adalah bersih dan sihat tubuh badan mereka. Begitulah juga yang berlaku kepada junjungan kita Muhammad S.A.W yang disusui oleh Halimah as-Saadiah. Apa yang berlaku kepada nabi Musa juga adalah kehendak Allah. FirmanNya:



“Dan Kami haramkan (cegah) Musa dari disusui oleh perempuan-perempuan yang hendak menyusuinya”. (al-Qasas -12)



Apabila dilihat oleh kakaknya tadi bahawa Musa sedang didukung oleh mereka (pengikut firaun) di souq, dia pun berkata ‘mahukah aku tunjukkan kamu semua kepada seorang perempuan yang boleh menyusuinya dan dapat menjaganya dengan baik?’

Mereka pun bersetuju dan terus dibawa ke rumah perempuan yang dimaksudkan tadi, iaitu ibunya sendiri sedang mereka dalam keadaan tidak menyedarinya.



Setelah diberi kepada ibunya, maka Musa pun terus menerimanya sehingga membuatkan mereka yang membawanya sangat gembira. Kemudian ibunya terus dibawa ke istana untuk dikhabarkan al-bashir (berita gembira) itu kepada Asiah.



Sebagai penghargaan ibu Musa diberi penghormatan untuk terus tinggal di istana selama dia menyusui Musa. Tetapi ditolak pelawaan itu dengan alasan dia mempunyai suami dan anak-anak di rumahnya. Akan tetapi dia meminta agar Musa dibawa pulang bersamanya ke rumah untuk disusui, maka Asiah pun bersetuju.



Pulanglah ibu itu membawa bersama anaknya Musa dengan hati yang sangat gembira. Firman Allah;



“Maka Kami kembalikan kepada ibunya, supaya senang hatinya dan tidak berduka cita dan supaya ia mengetahui bahawa janji Allah itu benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya”. (al-Qasas -13)





Dengan itu tinggallah Musa bersama ibunya sehingga tamat tempoh penyusuannya dan dia pun dihantar kembali ke istana, iaitu rumah ibu angkatnya Asiah. Di sana Musa dibesarkan dengan layanan istimewa setanding dengan layanan seorang anak raja. Inikan pula firaun yang mengaku dirinya adalah tuhan, tentu sekali layanan untuk keluarganya sangat istimewa.



Demikianlah aturan Allah yang mahu Musa dimuliakan oleh orang yang bakal menjadi musuhnya kemudian hari.



Musa membunuh Qibthi



Salah satu daripada mukjizat kurniaan Allah kepada Musa a.s. ialah dikurniakan kepadanya kekuatan tubuh badannya seumpama kekuatan sepuluh orang rijal (lelaki). Pada satu hari ketika Nabi Musa sedang berjalan-jalan di kota, dia melihat dua orang lelaki sedang bertelagah. Mereka adalah di antara dua kaum iaitu seorang dari Bani Israel dan seorang lagi dari bangsa Qibthi yang juga dari keturunan musuhnya firaun.



Nabi Musa diminta oleh lelaki Bani Israel itu supaya membantunya mengalahkan lawannya. Maka Nabi Musa cuba meleraikan pergaduhan itu, akan tetapi tanpa disengajakan Musa memukul lelaki itu. Hanya dengan sekali pukul, lelaki itu pun mati. Lantas dengan itu Nabi Musa terus menyesal atas perbuatannya memukul lelaki itu. Firman Allah:



“Dan Musa masuk ke kota ketika penduduknya sedang berlengah-lengah(tengahari, diwaktu penduduk sedang istirehat) maka didapatinya di dalam kota itu dua orang lelaki sedang berkelahi, yang seorang dari golongannya (bani israel) dan seorang lagi dari musuhnya (firaun). Maka orang dari golongannya meminta pertolongan kepadanya untuk mengalahkan lelaki dari golongan musuhnya, lalu Musa memukulnya dan matilah musuhnya itu. Musa berkata: ini adalah perbuatan syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang nyata”(al-qasas -15).



Setelah kejadian itu Musa pun merasa takut kerana dia sudah pasti akan dihukum oleh firaun atas perbuatannya membunuh seorang dari bangsa Qibthi. Keesokan harinya Musa sekali lagi berjumpa dengan lelaki yang ditolongnya itu, dan sekali lagi lelaki itu meminta tolong darinya kerana dia terlibat dalam satu lagi pergaduhan yang juga dengan bangsa Qibthi. Maka tahulah Musa bahawa lelaki itu seorang yang suka berkelahi dengan orang. Firman Allah:



“…Musa berkata, sesungguhnya kamu benar-benar orang sesat yang nyata kesesatannya” (al-qasas -18)





Kemudian lelaki dari bangsa Qibthi itu berkata kepada Musa, firman Allah:



“Wahai Musa, adakah kamu hendak membunuhku seperti kamu membunuh seorang manusia?”



Tanpa membuang masa lelaki Qibthi tadi terus menyampaikan berita pembunuhan itu kepada Firaun. Maka Firaun terus mengarahkan bala tenteranya menangkap Musa dan membunuhnya. Dalam perancangan untuk menangkap Musa, datanglah seorang lelaki menasihatkan kepada Musa agar dia segera keluar dari negeri Mesir.



Keluarlah Musa a.s. dalam keadaan ketakutan tanpa dia tahu ke mana tempat yang hendak ditujuinya. Sebahagian ulama menyatakan Musa berjalan tanpa bekalan makanan, hanya memakan daun-daun sahaja, dan ditemani oleh para malaikat, sedang Musa tidak menyedarinya. Maka Allah telah menunjukkan kepada Musa laluannya hingga sampai ke Madyan. Dengan ini, dapat kita tahu bahawa ini adalah kali pertama Musa melarikan diri dari Firaun sebelum dia lari buat kali kedua selepas diangkat menjadi pesuruh Allah.





Musa tiba di Madyan



Di sinilah diriwayatkan kehebatan dan kekuatan Nabi Musa yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Tatkala Musa tiba di Madyan, dia mendapati satu golongan yang sedang memberi minum binatang ternakan mereka. Di antara mereka ada dua orang perempuan sedang menanti-nanti giliran untuk memberi minum kepada ternakan mereka. Maka Musa datang kepada dua perempuan tadi dengan niat ingin membantu. Lalu Musa menghampiri satu telaga yang tertutup oleh batu besar dan mengangkat batu itu yang hanya mampu diangkat oleh 10 orang lelaki. Demikianlah antara mukjizat Allah kepada Nabi Musa. Setelah itu Musa beristirehat di bawah sepohon pokok sambil berdoa agar diberikan makanan kerana sangat lapar dan dalam kesusahan.



Berita Nabi Musa menolong dua perempuan tadi telah sampai ke pengetahuan bapa mereka iaitu Nabi Syuaib a.s. Maka tahulah Nabi Syuaib bahawa dia bukan seorang manusia biasa. Lalu Nabi Syuaib meminta salah seorang anak perempuannya untuk menjemput Nabi Musa ke rumahnya. Firman Allah:

"Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari wanita itu berjalan dalam keadaan malu, lalu berkata: sesungguhnya bapaku memanggil kamu agar ia member balasan terhadap kebaikanmu memberi minum ternakan kami…

(al-Qasas -25).



Diriwayatkan juga bahawa balasan yang dimaksudkan itu adalah berupa makanan kepada Nabi Musa. Inilah keberkatan doa dari seorang hamba Allah yang soleh. Juga maksud “berjalan dalam keadaan malu” itu menunjukkan akhlak seorang wanita mukminah.



Setelah berlalu, Nabi Syuaib berkenan memperisterikan salah seorang dari anak perempuannya dengan Nabi Musa iaitu kakak di antara mereka. Maka mas kahwinnya ialah dengan memelihara kambing kepunyaan Nabi Syuaib selama 8 tahun. Musa juga diberi pilihan sama ada dia hendak cukupkan tempoh itu sehingga 10 tahun, tetapi tempoh yang ditetapkan hanya 8 tahun. Kemudian Musa diberikan sebatang tongkat untuk kegunaannya mengembala kambing.





Kepulangan Musa ke Mesir



Setelah selesai perjanjian dengan Nabi Syuaib, Musa pun berhasrat untuk pulang ke Mesir dengan membawa keluarganya, kerana dia sangat merindui ibunya yang telah lama ditinggalkannya. Dalam perjalanan pulang inilah berlaku satu peristiwa yang belum pernah dialaminya.



Firman Allah:

“Maka tatkala Musa telah menyelesaikan waktu yang ditentukan dan dia berangkat dengan keluarganya, dilihatnya api di lereng gunung, dia berkata kepada keluarganya: Tunggulah di sini, sesungguhnya aku melihat api, mudah-mudahan aku dapat membawa suatu berita kepadamu dari tempat api itu atau membawa sesuluh api agar kamu dapat menghangatkan badan.”

(al-Qasas- 29)



Diriwayatkan juga, Nabi Musa berkali-kali cuba menyalakan api namun tidak berhasil, dan ketika itu juga musim sejuk yang mana selain untuk menjadi penyuluh, memasak, ia juga digunakan untuk memanaskan badan.



Apabila Musa sampai ke pinggir bukit itu, berseru satu suara dari sebatang pokok dengan menyebut “ Wahai Musa, sesungguhnya Aku adalah Allah, Tuhan semesta alam”.

Setelah berlaku beberapa kisah kepada Musa sepanjang berada di pinggir bukit itu, seperti yang tersebut jelas di dalam al-Quran, maka akhirnya Musa ditabalkan oleh Allah sebagai Nabi, dan juga sebagai salah seorang Nabi Ulul Azmi.



Kemudian Nabi Allah Musa pun terus diperintahkan oleh Allah agar menyampaikan dakwah kepada Firaun yang telah melampaui batas. Lalu Nabi Musa meminta agar dijadikan adiknya Harun sebagai pembantunya dalam menghadapi Firaun. Kerana Nabi Musa telah disenarai hitamkan oleh Firaun dengan terbunuhnya seorang Qibthi dahulu. Nabi Musa juga tidak lancar pertuturannya (gagap) kerana pernah terkunyah batu panas.



Firman Allah:

“Musa berkata, Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah membunuh seorang manusia dari golongan mereka, maka aku takut mereka akan membunuhku. Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk membenarkan perkataanku, sesungguhnya aku khuatir mereka akan mendustakanku.

Allah berfirman: Kami akan membantumu dengan saudaramu, dan kami berikan kepada kamu berdua kekuasaan yang besar, maka mereka tidak dapat mencapaimu, berangkatlah kamu berdua dengan membawa mukjizat kami, kamu berdua dan orang yang mengikuti kamulah yang menang”.

(Al-Qasas- 33-35)



Setelah sampai di Mesir, Nabi Musa dan adiknya Nabi Harun memulakan amanah dakwah untuk disampaikan kepada Firaun serta pengikut-pengikutnya. Hari demi hari Firaun tetap dengan kesombongannya menganggap diri sebagai Tuhan, melainkan sebahagian sahaja yang mahu mengikut dakwah Nabi Musa. Sehingga sampai ke satu tahap Firaun mengarahkan Haman membina satu bangunan dengan harapan dapat melihat Tuhan Nabi Musa yang didakwanya.



Firman Allah:

“Dan berkata Firaun, hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui tuhan bagimu selainku. Maka bakarlah hai Haman untukku tanah liat (membuat batu bata), kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan aku benar-benar yakin bahawa dia termasuk golongan pendusta”. (al-Qasas -38)



Begitulah kedegilan Firaun untuk menerima kebenaran, bahkan terus melakukan kezaliman teradap golongan yang lemah. Sehingga akhirnya Firaun bertekad supaya Musa dihapuskan agar tidak terus tergugat kerajaannya. Maka bala tentera pun dihimpunkan untuk memburu Nabi Musa dan membunuhnya.



Nabi Musa diwahyukan Allah agar lari bersama pengikutnya yang beriman menuju ke laut merah. Inilah kali kedua Nabi Musa lari dari Firaun seperti yang kita sedia maklum.



Firman Allah:

“Maka kami hukumkan Firaun dan bala tenteranya, lalu kami lemparkan mereka ke dalam laut. Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim.

Dan kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru manusia ke neraka dan pada hari kiamat mereka tidak akan ditolong. Dan kami ikutkanlah laknat kepada mereka di dunia ini, dan pada hari kiamat mereka termasuk orang-orang yang dijauhkan dari rahmat Allah”. (al-Qasas- 40-42)



Maka marilah kita mengambil pengajaran dari setiap peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Musa ini. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan hambaNya yang mahu menerima kebenaran.





(Dirujuk dari: Tafsir Ibnu Kathir,Atlas Tarikh al-Anbiya’ Warrasul, dan qashasul Anbiya’)

1 comment: