Thursday, June 11, 2009

Mukmin Sangat Ajaib


Dipetik dari : Kitab Sirah Rahikhul Makhtum
Diterjemah oleh : Aishahtur Raadhiyah Azman Shah

Para pemikir bertanya sesama mereka: Apakah sebab dan faktor yang membawa kaum muslimin sampai ke peringkat yang luar biasa ini? Bagaimana mereka boleh bersabar menghadapi ancaman dan penyeksaan yang menggerunkan, penyeksaan yang boleh menggoncangkan hati-hati yang berani? Memandangkan persoalan yang muncul di hati-hati naluri manusia, maka kita dapati adalah wajar untuk kita memaparkan sebahagian dari faktor-faktor ini secara ringkas:


1. Faktor utama di sini ialah keimanan dan keyakinan dengan Allah (s.w.t)
Keimanan yang teguh apabila menguasai hati-hati rijal ianya menjadi seberat gunung yang tidak mungkin dicabar. Bagaikan kiambang yang terapung di permukaan arus air laju menolak-nolak dan menghentak-hentak empangan, namun ianya tidak mungkin dapat memecahkan atau menjejaskannya, demikian orang yang memiliki keimanan yang mantap ini, langsung tidak menghiraukan ancaman yang memenatkan, malah dia akan merasai satu kemanisan dan kenikmatan iman dalam berhadapan dengan semua fitnah ini.

“Adapun buih akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada gunanya;tetapi yang bermanfaat bagi manusia akan tetap ada dibumi," (Al-Ra'd;17)


2. Pimpinan yang menarik hati-hati kepadanya.
Rasulullah merupakan pemimpin yang tertinggi bagi ummat Islam, bahkan bagi manusia sejagat, dimana Baginda dihias dengan kecantikan akhlak, jiwa yang sempurna, budi pekerti yang tinggi, tatasusila yang terpuji dan perketi yang mulia. Kesemuanya ini membuatkan hati-hati manusia tertarik dengannya, sanggup dan rela berkorban apa sahaja untuk mempertahankannya. Kesempurnaan Baginda sememangnya diidam-idamkan oleh semua manusia. Baginda merupakan lambang kemuliaan, kebaikan dan kelebihan, contoh kepada kesucian diri, amanah dan kebenaran. Baginda adalah sumber kebaikan yang diakui oleh pihak lawan lebih-lebih lagi taulan, tidak ada kalimah yang diungkapkan melainkan kesemuanya diyakini kebenarannya.


Sa'd bin Mu'az telah berkata kepada Umaiyah bin Khalaf semasa di Makkah: Aku telah mendengar Rasulullah berkata: "Mereka (kaum Muslimin) akan membunuh kamu" ini menyebabkan beliau terperanjat besar dan berjanji untuk tidak keluar dari Makkah, sebab itu bila beliau dipaksa oleh Abu Jahal supaya keluar berperang di Badar, beliau telah membeli seekor unta yang terbaik supaya beliau dapat berkejar dan pulang semula ke Makkah. Isterinya berkata kepada beliau: "Wahai Abu Sofwan, adakah kau telah lupa apa yang telah disebutkan dahulu oleh saudaramu al-Yathribi itu? Jawab beliau: Demi Allah, aku tidak ingin masuk ke tengah-tengah medan hanya dipinggirnya sahaja."



Inilah perasaan dan sikap musuh-musuh Rasulullah terhadap Baginda, manakala para sahabatnya pula mereka menjadikan Baginda sebagai roh dan jiwa mereka. Baginda adalah hati dan mata kepada mereka, jiwa-jiwa mereka tertarik kepada Rasulullah bagaikan besi tertarik kepada tarikan magnet, bak kata penyair:

Gambaran dirinya memenuhi setiap jasad, Jiwanya menarik setiap hati lelaki.



3. Perasaan tanggungjawab.
Sesungguhnya para sahabat merasakan dengan perasaan sempurna dimana tidak semua manusia memikul tanggungjawab yang berat ini. Tanggungjawab ini tidak boleh dielak atau ditolak dengan sebarang alasan, akibat penolakkan tanggungjawab ataupun melarikan diri darinya adalah sangat buruk dan berat malah lebih buruk lagi dari penyeksaan itu sendiri, kerugian yang bakal mereka alami terlalu besar jika dibandingkan dengan kepayahan yang mereka hadapi.



4.Kepercayaan dengan hari akhirat.
Mereka yakin dengan apa yang mereka lakukan semata-mata untuk Allah Rabbal Alamin, dimana mereka akan dinilai dan dihisab oleh Allah dari yang sekecil-kecil pekerjaan hinggalah yang sebesar-besar pekerjaan, balasannya sama ada ke syurga ataupun neraka jahanam. Mereka menghabiskan usia mereka di antara ketakutan dan harapan, mengharapkan rahmat Tuhan mereka dan takut dengan azabNya.

"Dan mereka yang memberikan apa yang mereka berikan (sedekah) dengan hati penuh rasa takut, kerana mereka tahu bahawa sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan-Nya" (Al-Mu'minun : 60)

Mereka mengetahui Sesungguhnya dunia ini azabnya atau nikmat kesenangannya tidak lebih dari sebelah sayap nyamuk berbanding dengan balasan di akhirat kelak. Pengenalan yang mendalam ini membawa mereka merasa ringan dengan kepahitan dunia dan kesusahannya, hingga mereka tidak memberi perhatian langsung kepada dunia dan sengsaraAnNya itu.



5.Al-Quran:
Disaat yang menakutkan dan menggerunkan ini, turunlah ayat-ayat al-Quran memberi sokongan dan keterangan-keterangan mengenai ajaran dasar Islam, dimana dakwah di peringkat itu berkisar di sekitarnya, dengan uslub bahasa yang menarik pada masa yang sama menunjuk ajar kepada kaum muslimin jalan yang sebenar kepada dasar pembinaan sebuah masyarakat contoh di dunia ini, iaitu masyarakat Islam . Ayat-ayat al-Quran menyemarakkan perasaan kaum muslimin dan menyegarkan emosi kesabaran dan kecekalan yang telah menjadi contoh unggul kepada umat manusia sejagat.






"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkata mereka yang beriman dengannya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Maka jawab Rasul: Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)". (al-Baqarah: 214)

Sebagaimana juga ayat-ayat al-Quran menolak tomahan-tomahan orang-orang kafir dan orang-orang yang ingkar dengan hujah-hujah yang kemas, hingga tidak memberi peluang langsung kepada mereka untuk menjawab. Al-Quran juga memperingatkan mereka kepada akibat-akibat buruk yang bakal mereka hadapi, tetapi mereka masih berdegil dan tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah. Peringatan yang jelas berdasarkan kepada hari-hari Allah yang penuh dengan azabNya di masa silam dan bukti-bukti sejarah yang menjelaskan sunnah-sunnah Allah kepada wali-waliNya dan musuhNya, dan ada ketika ayat al-Quran berlembut dengan mereka dan bertegas memberi kefahaman serta bimbingan, sehingga mereka sedar dari kesesatan mereka yang nyata itu.

Dari sudut yang lain al-Quran membawa kaum muslimin ke suatu alam yang lain, membawa mereka melihat dan menikmati keindahan ciptaan Ilahi, kesempurnaan sifat ketuhanan Allah dan kesan-kesan belas kasihan Allah yang tidak dihalang oleh mana-mana pendinding.

Di dalam ayat-ayat ini tersemat percakapan yang ditujukan kepada kaum muslimin memberitahu mereka tentang berita-berita gembira dari Tuhan mereka mengenai rahmat, keredhaan dan syurga-syurga didalamnya, nikmat yang berkekalan. Al-Quran juga mendedahkan kepada kaum muslimin kedudukan seteru-seteru mereka, kafir, penzalim, mereka yang dihukum, dihalau dan diseret untuk disumbat ke dalam neraka.

No comments:

Post a Comment