Wednesday, July 8, 2009

Menulis Wasilah Dakwah


Oleh : Nur Khalida Osman
Temuramah Bersama : Muhammad Hilal Asyraf bin Abdul Razak (Penulis Novel VT)

Alhamdulillah saya telah berkesempatan menemuramah seorang penulis muda yang telah berjaya menghasilkan beberapa buah cerpen dan yang terbaru ini novel VT karangan beliau telah berjaya diterbitkan. Hasil temuramah melalui email dengan beliau saya kongsikan di sini. Moga kita beroleh manfaat darinya.

Al-Khattab : Bismillahirrahmanirrahim. Buat pembuka bicara, boleh saudara Hilal perkenalkan latar belakang diri saudara secara ringkas ?

Hilal Asyraf : Nama penuh saya Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Tetapi biasanya saya akan menggunakan nama Hilal Asyraf untuk apa-apa perkara yang berkaitan dengan penulisan. Saya berumur 20 tahun. Lahir pada 16 Januari 1989. Saya mendapat pendidikkan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor. Kemudian saya menyambung pengajian saya di Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah, Perlis. Sekarang saya menuntut di University of Yarmouk, Irbid, Jordan dalam bidang Usuluddin.



Al-Khattab : Sudah berapa lama agaknya saudara Hilal bergiat dalam bidang penulisan dan dari manakah datangnya minat serta dorongan untuk saudara menulis?

Hilal Asyraf : Saya telah mula menulis semenjak tadika lagi rasanya. Ya lah, kita semua belajar menulis dari tadika. Tetapi saya betul-betul serius menulis karya kreatif seperti menulis cerpen dan novel serta puisi adalah semenjak memasuki tahun 2007. Minat saya didorong oleh rasa ingin berkongsi dan hendak menyebarkan ISLAM dalam teritori yang lebih luas.



Al—Khattab : Apakah ‘trademark’ yang cuba saudara terapkan dalam setiap penulisan saudara?

Hilal Asyraf : Trademark? Hem, pertama kali orang soal saya seperti ini. Pada saya, trademark saya adalah pengembalian manusia kepada fitrahnya, yakni kembali menjadi hamba ALLAH s.w.t, kembali kepada ISLAM. Semua penulisan saya, membawa mesej ketaatan kepada ALLAH, tidak kira cerita itu berkenaan rumah tangga, persahabatan, atau pertempuran sekalipun.



Al-Khattab : Pada pendapat saudara, sejauh mana dakwah dapat disalurkan melalui medan penulisan ini?

Hilal Asyraf : Pada pendapat saya, dakwah dapat disebarkan dengan amat meluas melalui medan penulisan ini, malah ia bersifat lebih terjaga berbanding berbicara. Karya kita boleh sering dirujuk dan dibedah semula. Kita sebagai penulis pula, akan sentiasa mampu bermuhasabah diri dengan penulisan kita. Kalau ada silap, kita senang nak betulkan. Tetapi kalau berbicara, kadang-kadang kita terlupa apa yang kita katakan. Pembaca pula, bila dia bosan, dia boleh letak buku kita di tepi,dan bila dia ada keinginan untuk menyambung bacaannya, dia akan ambil buku kita kembali. Lain pula bila kita membuat ceramah, kalau kena waktu kita buat ceramah tu dia tak mahu, habislah. Tapi saya tak nafikan, berdakwah melalui medium selain penulisan juga ada pentingnya. Maka, sepatutnya kita pelbagaikan medium-medium dakwah kita.



Al-Khattab : Dan adakah saudara telah berjaya menjadikan bahan penulisan saudara sebagai satu wasilah dakwah?

Hilal Asyraf : Berjaya menjadi wasilah? Sebenarnya, berjaya itu dikira bagaimana? Itu yang pentingnya. Semua benda yang kita buat untuk menyebarkan ISLAM, baik diterima atau tidak, sudah dikatakan wasilah asalkan kita tetap dengan syara'. Pokoknya, adakah wasilah kita berjaya sampai kepada hati pembaca? Yang itu, saudari kena tanya pembaca saya lah. Tapi kalau tanya saya samada berjaya menjadi wasilah, saya akan katakan ya.



Al-Khattab : Mengikut pengetahuan saya, novel VT dan siri motivasi Langit Ilahi sekarang dalam proses untuk cetakkan kedua. Jika melihat kepada perkembangan ini,nampaknya kedua-dua bahan bacaan tadi telah mendapat tempat yang meluas di hati pembaca.Apakah respons saudara tentang perkembangan ini?


Hilal Asyraf : Alhamdulillah. Saya secara jujurnya, dengan rendah hati mengucapkan terima kasih kepada pembaca saya sendiri, yang aktif dalam mempromosi karya saya kepada rakan-rakan mereka yang lain. Apa yang saya nampak dalam perkembangan ini adalah, manusia itu inginkan ISLAM sebenarnya. Mereka suka, apabila ada orang mengingatkan mereka berkenaan fitrah mereka. Pokoknya, bukanlah penulisan saya yang membuatkan mereka respon sebegini rupa. Tetapi ISLAM lah yang telah menggetarkan hati-hati mereka untuk bereaksi.



Al-Khattab : Akhir kata, mungkin saudara boleh berkongsi sedikit harapan saudara dalam bidang penulisan yang telah saudara ceburi ini untuk masa akan datang dengan sidang pembaca majalah al-khattab sekalian.

Hilal Asyraf : Harapan saya? Kalau ada bakat, kebolehan dalam penulisan, maka kembangkanlah. ISLAM tidak memerlukan kita sebenarnya. Kalau kita malas atau tidak berminat, maka ALLAH akan gantikan kita dengan orang lain. Atas alasan itu, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan kebolehan yang kita ada ini, untuk memberikan sumbangan kepada ISLAM. Bakat yang kita ada, biarlah ia bermakna untuk ISLAM.



Al-Khattab : Terima kasih saya ucapkan kepada saudara Hilal Asyraf atas kesudian saudara melayan semua soalan yang telah saya utarakan kepada saudara melalui email yang lepas. Semoga saudara terus maju bertapak di dalam bidang penulisan yang telah saudara ceburi ini.InsyaAllah.

Hilal Asyraf : Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Al-Khattab atas kesudian menemuramah saya. Semoga ALLAH redha dengan sidang penulisnya, dan semua pembacanya. Saya adalah saudara kamu, dan kamu adalah saudara saya. Marilah sama-sama kita lengkap melengkapi, dalam perjalanan kita menjadi hamba-Nya.

No comments:

Post a Comment