Wednesday, July 8, 2009

Peristiwa Hari Kiamat

Oleh : Budak Kampung

Dalam mengharungi dunia fana yang sementara ini kita seharusnya perbanyakkan amalan untuk dekatkan diri kepada Allah s.w.t. Banyak peristiwa telah berlaku di akhir zaman ini sebagai peringatan kepada umat Islam. Kita masih dibuai mimpi indah dan diselubungi penipuan-penipuan oleh manusia yang bertandukkan syaitan untuk menarik umat manusia ke kancah maksiat. Bukalah mata kita dan janganlah hanya bersandiwara dalam menegakkan syiar Islam.

Baginda telah bersabda dalam perihal peristiwa akhir zaman yang bermaksud : “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunahku dan sunah para khulafa’ ar-Rashidin Al Mahidin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat.” (H.R Abu Daud dan Tarmizi).

Hadis ini mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada Rasulluah s.a.w. bagi umatnya terutama bila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan iaitu seperti zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh itu sesiapa yang mahu selamat maka hendaklah ia mengikut tunjuk ajar yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis.

Cubalah kita lihat pada dunia sekarang banyak peristiwa telah berlaku di akhir-akhir ini, berikutan yang berlaku beberapa sudut dan sudahpun terjadi di depan mata kita untuk dijadikan panduan. Antaranya :

Bahaya tentera yang kejam;- Dari Abu Umamah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Kelak pada akhir zaman akan ada angkatan tentera sejak pagi-pagi dalam kemurkaan Allah, dan waktu petang juga dalam kemurkaan Allah. Oleh kerana itu waspadalah kamu sekalian! Jangan sampai kamu sekalian dijadikan perisai buat mereka:- (Riwayat Tabrani).


Hal ini telah terbukti pada hujung tahun 2008 sehingga awal tahun 2009 di mana peperangan antara Palestin dan Israel yang mana tentera Israel dengan kejam dan tanpa rasa kemanusiaan terhadap kanak-kanak kecil, orang-orang tua hatta perempuan pun sanggup dibunuh, dirogol dan diseksa tanpa belas kasihan. Bukan itu sahaja banyak lagi perkara berlaku sebegini selain negara yang disebut tadi seperti di Iraq, selatan Thailand dan sebagainya.

Waktu kebinasaan apabila urusan amanah telah disia-siakan:- Daripada Abu Hurairah r.a berkata: “Pada suatu masa ketika Nabi s.a.w sedang berada suatu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang-orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A’rabi (Arab Badwi) dan terus bertanya kepada Rasulluah s.a.w, “Bilakah akan terjadi Kiamat?”. Maka Nabi s.a.w pun meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata “Beliau (Nabi) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaaan itu tidak disukainya.” Sementara yang lain pula berkata, “Bahkan beliau tidak mendengar pertanyaan itu.” Sehingga beliau bersabda, “Di mana orang yang bertanya tentang Hari Kiamat tadi?” Lalu Arab Badwi menyahut, “Ya! Saya hai Rasulullah.” Maka Nabi s.a.w bersabda: “Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah Hari Kiamat.” Arab Badwi bertanya pula, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu?” Nabi s.a.w menjawab, “Apabila urusan diserahkan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan Hari Qiamat.”;-(Riwayat Bukhari). Kefahaman di sini bermaksud apabila urusan itu kita sia-siakan (lalai) dalam melaksanakan suatu ibadah dan asyik berhibur (maksiat) tanpa rasa insaf dikalangan mereka maka Allah turunkan bala sebagai habuan.

Dalam konteks lain dua peristiwa yang di sebut di atas tadi telah pun berlaku pada zaman yang dipenuhi dengan kehancuran dan kemusnahan dalam kekalutan umat Islam sekarang. Seharusnya kita janganlah masih dalam keadaan alpa dan cuai, sesungguhnya tanda-tanda kecil sudah pun terbukti dan jangan ambil mudah dalam hal-hal sebegini. Tetapi berwaspadalah bahawa Allah itu Maha Melihat akan hamba-hambaNya lakukan di muka bumi ini kerana amalan-amalan yang kita kerja seharian di catit oleh malaikat kiri dan kanan, samaada hambaNya melakukan kebaikan atau kejahatan.


Tanda-tanda lain adalah dibangunkan kembali tempat suci orang Yahudi di Jerusalem, meningkatnya permusuhan terhadap Israel dan perkembangan ke arah satu pemerintahan dunia. Tanda akhir zaman yang paling utama adalah negara Israel. Pada tahun 1948 Israel untuk pertama kalinya sejak tahun 70 S.M diakui sebagai negara yang berdaulat. Tuhan sudah berjanji kepada Abraham bahawa keturunannya akan memiliki Kanaan sebagai “milik untuk selama-lamanya” dan Yehezkiel membuatkan kebangkitan kembali Israel secara fizik dan rohani. Adanya Israel sebagai bangsa di tanahnya sendiri adalah hal yang penting. Pergolakan yang masih belum selesai sehingga kini tidak dapat diselesaikan dengan secara terhormat malah Israel ada kepentingan sendiri untuk menghapuskan Palestin secara perlahan-lahan.

Dengan mengingat tanda-tanda ini, kita dapat bersikap bijak dalam hal pengharapan akhir zaman. Namun kita tidak boleh menafsirkan salah satu dari tanda-tanda ini sebagai indikasi jelas bahawa akhir zaman akan segera tiba. Tuhan telah memberi kita informasi yang cukup sehingga kita dapat mempersiapkan diri, namun tidak cukup untuk membuat kita menjadi sombong.

_______________________________

No comments:

Post a Comment