Wednesday, July 8, 2009

Dakwah Jawapan Kepada Gejala Murtad


Oleh : Ahmad Sabiq



Kepantasan dan kesungguhan pendakyah kristian menyebarkan ajaran mereka sepatutnya telah berjaya mengejutkan kita dari lamunan mimpi indah, berterusan berada di dalam kelompok dan kepompong yang selesa, sedang musuh bertungkus-lumus, kita bersenang-lenang. Umat kian tenat, penat, lelah dan sesak pernafasan iman. Orang kristian meyakini aqidah mereka, justeru disebarkan keyakinan mereka demi menyelamatkan non kristian, termasuklah muslim dari seksa neraka! Bersungguh mereka menyebarkan kesesatan, sedang kita yang dihadiahkan kefahaman Islam, duduk berteleku semata di tiang masjid! Sekadar meratapi kronologi kejatuhan umat Islam tanpa ada usaha yang setimpal dengan ratapannya itu! Berikut beberapa soalan yang kerap kita timbulkan untuk mengelak daripada kita berusaha menghulurkan salam dakwah kepada bukan muslim, kristian utamanya.



Soalan 1: Dari kita memikirkan cara-cara hendak mengatasi murtad, atau cara-cara nak memerangi dakyah Kristian atau Yahudi, lebih baiklah kita fokus pada mengajar anak-anak kita mengaji, sembahyang. Kerana itulah akarnya. Bila akar dah kuat, insyaAllah pokok yang tumbuh pun kuat berdiri.

Jawapan:
Fokus pada mengajar anak-anak kita mengaji, sembahyang dan sebagainya adalah menjadi kewajipan kepada ibubapa. Jadi perkara ini tidak perlu dipersoalkan. Tapi cuba kita tanya pada diri kita, sejak akhir-akhir ini adakah kes murtad di Malaysia semakin kurang atau semakin bertambah? Kemudian cuba kita tanya pada diri kita, adakah selama ini pengajian di surau, masjid, sekolah, IPT, TV dan radio tidak dilakukan oleh orang yang sepatutnya? Jawapannya sudah semestinya pengajian-pengajian ini wujud dan ianya berterusan dan tidak pernah putus, malah ia memang patut diteruskan sampai kiamat. Tetapi, kenapakah dalam keadaan pengajian-pengajian ini tidak pernah dihentikan, tiba-tiba sahaja kes-kes murtad di negara kita semakin menjadi-jadi?

Sudah tentu banyak puncanya. Antaranya adalah seperti yang telah dinyatakan di dalam pengenalan di atas tadi iaitu disebabkan usaha "dakwah" orang Kristian yang meyakini "aqidah" mereka dan ingin "menyelamatkan" umat non Kristian termasuklah umat Islam dari api neraka!

Jadi andainya “SETIAP” ibubapa Muslim lakukan apa yang sepatutnya, iaitu "fokus pada mengajar anak-anak kita mengaji, sembahyang (beserta roh-roh di dalamnya)", maka insyaAllah masalah yang sedang melanda kita di Malaysia ini tidak seteruk sekarang. Tetapi apakah realitinya? Adakah kita masih "HANYA" perlu menyebut ayat yang sama (fokus pada mengajar anak-anak kita mengaji, sembahyang) sedangkan realitinya "orang-orang kita" semakin ramai yang "bertukar angin"?

Bukankah golongan yang mengkaji agama sangat diperlukan (pada 10-20 tahun lepas mungkin usaha mengkaji ini tidak diperlukan) sebagaimana yang mereka lakukan terhadap agama kita sejak sekian lama di Malaysia ?




Soalan 2 : 5 tahun kerja di syarikat antarabangsa cuma ada 3 orang Islam sahaja disitu. Yang lain semua India , Serani dan foreigners. Macam-macam agama ada, Hindu, Kristian, Budhist. Kebanyakan mereka adalah kuat pegangan agamanya. Mereka tidak pernah pun bertanya tentang Islam dan mempersoalkan kebenaran Islam. Malah ketika bekerja di situ peristiwa 9/11 terjadi. (persoalan ini pernah ditimbulkan kepada penulis)

Jawapan:
Tidak bertanya soalan bukan bermakna tiada soalan! Ramai Muslim yang berkongsi pejabat, kerja, minat dan sebagainya dengan non Muslim, malah ada yang berusaha mendapatkan undi daripada non Muslim, tapi majoriti (bukan semua) golongan Muslim ini tidak pernah terfikir untuk berkongsi rahmat Allah, yang Nabi saw bawa kepada seluruh alam ini kepada golongan non Muslim tadi (Quran 21:107). Malah mereka mungkin tidak menyedari bahawa Nabi Muhammad saw diutuskan bukan hanya untuk Muslim sahaja, sebaliknya untuk semua manusia (Quran 34:28).

Begitu juga majoriti golongan Muslim ini tidak pernah terfikir untuk menyampaikan peringatan di dalam Quran, yang Nabi saw bawa kepada seluruh alam ini kepada golongan non Muslim tadi. Malah mungkin mereka tidak tahupun bahawa naskhah Al Quran yang ada pada mereka sebenarnya juga milik semua non Muslim (Quran 2:185, 14:52, 25:1).

Sekarang, cuba kita pejamkan mata seketika, bayangkan jikalau selama ini kita dilahirkan sebagai seorang non Muslim, kemudian kita dikelilingi oleh kawan-kawan yang beragama Islam. Setiap hari kita bercampur dengan orang-orang Muslim ini. Semua topik kita boleh sembang, tapi tiada seorang pun Muslim yang pernah mengajak dan mengajar kita tentang Islam.

Apabila saat kita berada di padang mahsyar, kita yang sudah tahu di mana bakal tempat kita pergi, iaitu neraka, pasti akan berasa MARAH kepada kawan-kawan Islam yang kita kenali semasa di dunia dulu. Pastinya kita akan beritahu kepada Allah bahawa orang-orang Islam yang kita kenali selama hidup di dunia ini TIDAK pernah mengajar dan mengajak kita kepada agama Islam.

Adakah kita boleh terima jawapan orang-orang Islam yang mengatakan bahawa mereka tidak ajak kita kepada Islam disebabkan mereka masih belum mahir Quran, mereka masih belum cukup ilmu, mereka masih belum bersedia dan pelbagai alasan lagi? Jadi sekarang, adakah kita masih mahu “menyimpan” rahmat yang di bawa ke seluruh alam oleh Nabi saw hanya sesama kita yang sudah Islam sahaja? Mulakan perkongsian rahmat ini dengan non Muslim dan kita pasti akan temui banyak persoalan yang disembunyikan selama ini daripada mereka.




Soalan 3 : Kita sudah ada ustaz dan ustazah yang melakukan kerja-kerja amar maaruf nahi mungkar ini, kenapa perlu kita buat juga?

Jawapan:
Ustaz/ah dan imam sentiasa melakukan kerja-kerja islah samada di masjid, surau, sekolah, IPT, radio, tv dll. Malah kita ada badan NGO contohnya seperti IIS, IPSI, ABIM, JIM, ISMA, group usrah (friendster) , tabligh dll juga lakukan perkara yang sama. Walaupun jemaah-jemaah yang disebutkan tadi juga "pernah" lakukan dakwah kepada non Muslim, tetapi adakah ia mencukupi berbanding keperluan? Kita percaya bahawa ia adalah amat jauh daripada mencukupi kerana mereka kekurangan tenaga.

Kenapa amat sedikit berbanding keperluan? Mari kita kaji perkara ini. Tahukah kita, bahawa di luar sana terdapat ramai orang yang belum Islam tetapi mereka ini sebenarnya berminat dengan Islam. [tahun lepas ada satu kes di hospital Segamat, di mana ada seorang sis yang bekerja di sana (sekarang sis ini kerja di Kelantan)
berurusan dengan lebih 50 orang yang berminat memeluk Islam dari seluruh negara, sedangkan beliau hanya "keseorangan" di tempat kerjanya (tiada sokongan)]. Malangnya mereka tidak tahu nak bertanya pada siapa, dan kita juga tidak tahu siapakah mereka itu (padahal mungkin kawan kita sendiri!).

Malah ada juga secara terang-terangan menunjukkan minat (sebahagian yang lain tunjukkan minat cara kabur atau hanya memberi hint saja) terhadap Islam, tapi malangnya kawan-kawan Muslimnya tidak pernah “menjemput” atau “memperkenalkan” Islam. Bertambah malang lagi, ada juga orang Islam yang tidak menggalakkan mereka ini memeluk Islam. Ini adalah pengalaman-pengalam an orang-orang yang sudah pun memeluk Islam dan mereka mendedahkan perkara ini. Selain daripada itu, ada juga yang berminat dengan Islam tapi apabila melihat perangai orang melayu khasnya, mereka tidak jadi memeluk Islam.

Jadi, dari sini kita dapat melihat bahawa islah dan dakwah perlu berjalan serentak. Bukan islah sahaja.



Soalan 4: Bila kita fokus tenaga kita pada bagaimana hendak menjawab soalan dari non Muslim, itulah yang kita dapat. Adakah itu yang kita hendak? Makin banyak kita belajar menjawab soalan, makin banyak soalan yang kita dapat dan kita akan berdebat dengan mereka. Adakah ini yang kita mahukan?

Jawapan:
Gerakan Kristian atau missionary dibuat dengan amat terancang dan teratur. Mereka mengkaji Islam. Sebahagian daripada mereka mendapat petunjuk hasil dari kajian yang dibuat, dan sebahagian yang lain pula terus sesat lagi menyesatkan. Antara perkara yang mereka usahakan ialah menimbulkan keraguan tentang kebenaran Islam. Malah ada yang memutarbelitkan ayat dari Quran untuk mengelirukan umat Islam! Andainya tiada di kalangan umat Islam yang berusaha menjawabnya dan menyampaikan kepada penggerak-penggerak Islam yang lain, maka bukankah ini akan memudahkan gerakan missionary? Kita kena ingat, gerakan missionary hari ini tidak sama seperti 10-30 tahun dahulu. Mereka sekarang makin agresif, cuma mungkin kebanyakan daripada kita yang tidak pernah sedar perkara ini. Satu contoh, seorang pelajar lelaki Twintech yang telah belajar FCR pernah didatangi oleh seorang missionary perempuan berbangsa Korea di Mid Valley pada sabtu 14/7/2007. Bersama pelajar ini ialah kawan lamanya (juga lelaki).

Pada mulanya missionary ini menyamar ingin membuat survey tentang budaya di Malaysia , kemudian mula bertanya tentang tudung. Katanya kenapa ada yang pakai tudung dan ada yang tidak pakai tudung. Kata missionary itu lagi, dia takut hendak bersembang dengan orang bertudung (ini adalah salah tanggapan terhadap Islam). Kemudian tidak lama selepas itu, dia mula bertanya tentang Isa al Masih dan bercakap tentang trinity. Dia diajar untuk menggunakan perkataan Isa al Masih dan bukannya Jesus Christ. Kemudian pelajar yang telah belajar FCR ini bertanya semula beberapa soalan. Apabila missionary tersebut tidak dapat menjawab, 4 orang lagi kawan missionary itu datang. Akhirnya apabila kumpulan missionary ini sudah tiada idea, mereka pun kata yang mereka ada hal dan terpaksa pergi.

Jadi, adakah kita fikir bahawa peristiwa di Mid Valley tadi itu berlaku hanya sekali dan hanya kepada pelajar twintech itu seorang sahaja? Bayangkan mereka buat “amali” di negara kita! Tidak cukup rakyat Malaysia sendiri di kalangan cina, india, melayu, iban dan sebagainya menjadi missionary di negara kita, tapi sekarang orang Korea pun datang nak “berdakwah” kepada orang-orang kita. Mereka dilatih untuk menyoal soalan-soalan tertentu kepada kita, adakah kita patut berdiam diri saja? Adakah kita patut jadi defender saja? Sesekali kita perlu juga “menyerang” mengikut acuan Quran (3:64-65; 16:125 dll).

Satu perkara perlu diingatkan di sini ialah kita berdialog bukanlah untuk menang hujah, tetapi kita hendak menang hati. Sebab hujah daripada Maha Pencipta akan sentiasa mengatasi hujah ciptaan manusia. Dalam kata lain, hujah Quran akan sentiasa mengatasi hujah Bible. Ini bermaksud, melalui kajian, kita akan menemui banyak simpang siur yang cacat di dalam Bible, dan akan sentiasa mampu menjawab walaupun sejuta persoalan terhadap Islam melalui panduan Quran, hadis malah logik akal!

No comments:

Post a Comment