Tuesday, August 4, 2009

Malam Nisfu Syaaban

Oleh : Presiden PMMS

Ringkasan dari risalah Imam Muhammad Zahid al Kauthari (dari Maqalat al Kauthari).

Malam nisfu Sya’ban adalah satu malam dimana ia telah menjadi satu adat kebiasaan bagi umat islam menghidupkannya dengan pelbagai bentuk ibadah, mengangkat doa-doa kepada Tuhan yang Maha menunaikan hajat, demikian kerana dari hadith-hadith yang warid tentang kelebihan malam ini. Dan malam ini (nisfu Sya’ban) memberikan khabar gembira dengan bakal ketibaan bulan puasa supaya kita bersiap sedia untuk menjemputnya.

Para ulama terdahulu dan terkemudian telah menulis karangan yang khusus tentang malam nisfu sya’ban ini dan di antaranya Najmuddin al Ghaithy, Ibnu Hajar al Makki, Ali al Qari, Salim as Sanhuri dan selain dari mereka. Dan sebaik karangan yang ditulis berkenaan dengan kelebihan malam-malam dan hari-hari yang mulia adalah kitab al Lataif karangan Ibnu Rejab al Hanbali, ia merupakan kitab yang masih dicetak dan mudah didapati pada hari ini.

Tidak mengapa untuk menganggap bahawa malam tersebut adalah waktu penyerahan buku amalan tahunan oleh dua malaikat pencatit amalan, seperti mana ianya disebut dari beberapa hadith-hadith. Seperti mana ianya juga diriwayatkan dari salafus soleh bahawa mereka meningkatkan ketaatan dan ibadah pada malam ini.

Telah diriwayatkan oleh at Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan selain mereka bahawa Rasulullah SAW keluar pada malam nisfu Sya’ban ke perkuburan Baqi’, dan baginda berdoa kepada Allah SWT. Begitu juga sabda baginda kepada Sayyidatina Aisyah RA akan banyaknya keampunan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang berdosa yang bertaubat pada malam tersebut. Terdapat banyak riwayat tentang kelebihan malam nisfu Sya’ban ini di sisi ulama hadith, maka tidak dinafikan kelebihannya dan kelebihan berdoa , beristighfar dan perbanyakkan ibadah padanya. Oleh itu kita mendapati di dalam kitab-kitab ahli fiqh, mereka mengira menghidupkan malam ini adalah termasuk dalam malam-malam mulia yang lain, dan menghidupkan malam ini sebagai kehendak syara’. Maka hendaklah kita menghidupkan malam ini dengan penuh kesungguhan dengan ibadat-ibadat, yang mengundang redha Allah SWT dan keampunanNya.

Demikian juga sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Sayyidina Ali bin Abi Talib RA; sabda Rasulullah SAW:



“Sekiranya datang malam nisfu sya’ban, maka bangunlah oleh kamu akan malamnya (untuk dirikan solat), dan berpuasalah pada siang harinya, maka sesungguhnya Allah SWT turun pada tenggelamnya matahari ke langit dunia dan berkata; tiadakah hamba yang memohon keampunan, nescaya aku mengampunkannya, tiadakah hamba yang memohon rezki nescaya aku memberikannya rezki, tiadakah hamba yang diuji maka aku memaafkannya, tiadakah ini dan itu, hinggalah terbitnya matahari”.

Dan makna ‘turun’ di dalam hadith tersebut bermakna Allah membuka pintu istijabah kepada hamba-hambaNya, bukanlah turun dari atas ke bawah kerana ianya mustahil bagi Allah SWT. Dan sesungguhnya Allah SWT maha suci dari tempat, ruang dan sudut.

*sedikit ulasan berkenaan malam nisfu Sya’ban.

Seperti mana telah maklum pada kita, bahawa malam nisfu Sya’ban merupakan malam yang mulia, seperti mana telah maklum pada kita juga bahawa bulan Sya’ban itu sendiri adalah bulan yang mulia, di mana Rasulullah SAW sendiri telah memperbanyakkan puasa dan bersedekah pada bulan ini.

Walaupun di sana tiada nas berkenaan dengan apa amalan khusus pada malam nisfu Sya’ban ini, tetapi yang jelas malam ini dituntut untuk perbanyakkan ibadah, doa, istighfar dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Berkenaan dengan amalan2 yang telah menjadi kebiasaan dilakukan di sesebuah tempat (juga di negara kita) seperti membaca Yasin tiga kali atau selainnya, maka ianya bukanlah satu bid’ah atau perbuatan yang dilarang. Malah ianya satu amalan yang baik, termasuk di dalam perkara-perkara qurubat (yang mendekatkan diri kepada Allah SWT). Lebih-lebih lagi orang-orang awam yang jauh dari penghayatan agama, sekiranya tiada majlis-majlis seperti ini maka malam yang amat mulia ini boleh jadi berlalu begitu sahaja tanpa dipedulikan. Maka amatlah penting untuk menghidupkan syiar-syiar Islam terutama pada zaman kelalaian dan jauh dari ruh Islam. Apa yang pentingnya, hendaklah kita memperbanyakkan amal dan ibadah pada malam-malam yang mulia, dan sekiranya seorang raja turun ke medan besar di kampung, untuk member i hadiah-hadiah dan bantuan-bantuan kewangan yang amat banyak, apakah kita hanya duduk di rumah dan tidak mengambil hadiah dan wang tersebut? Malah berkata; “raja tidak akan datang pada hari ini untuk memberi hadiah dan wang”, sedangkan orang-orang yang lain pergi ke medan tersebut dan mendapat ganjaran masing-masing yang amat banyak.

No comments:

Post a Comment