Tuesday, August 18, 2009

Bagaimana Kita Menyambut Ramadhan?

Disediakan Oleh : Wajdi Ghanim
Diterjemah Oleh : Nur Khalida Osman



.اللهم بلغنا رمضان

Rasulullah s.a.w. telah mengajarkan kepada kita agar berdoa اللهم بلغنا رمضان sebelum tibanya kedatangan ramadhan yang mulia.Yang mana kita bermohon kepada Allah agar memanjangkan umur kita sehingga kita dapat bertemu lagi dengan ramadhan yang bakal menjengah tiba.

Tetapi,mengapa Nabi mengajar doa ini kepada kita?

Rasulullah s.a.w. bersabda : (انما الأعمال بالنيات ولكل امرئ ما نوى) Maka sesiapa yang berniat untuk berpuasa di dalam bulan ramadhan yang akan datang, bangun di malam harinya, beriktikaf dan mencari lailatul qadar serta mendapatkan segala kebaikkan yang akan datang bersama bulan yang berkah ini,sesungguhnya dia akan mendapatkan segala ganjaran kebaikkan yang terdapat pada bulan rahmat ini. Walaupun dia tidak sempat memasukinya dan beramal di dalamnya.


اللهم أهله علينا بالأمن والايمان

Seorang muslim selalu menginginkan kebaikkan, sepertimana sabda Nabi s.a.w :(Siapa yang berhajat kepada kebaikkan, akan diberi kepadanya …) Kemudian diajarkan Nabi kepada kita ketika melihat anak bulan agar menyebut doa yang bermaksud: (Ya Allah keluarkanlah bulan sabit ini dengan keberkatan dan keimanan, berikanlah keselamatan dan keislaman, Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah s.w.t. inilah sabit yang boleh memberi petunjuk serta kebaikan.

Puasa Merupakan Suatu Tanda Kemuliaan Ramadhan.

Siapa yang ingin memuliakan bulan mulia ini, maka muliakanlah dengan apa yang dimuliakan Allah kepadanya.Sesungguhnya Allah memuliakannya dengan berpuasa.

Firman Allah : ( Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar mereka bertaqwa.)
(Al-Baqarah :183)

Allah menyebut : (يأيها الذين ءامنوا) Ini kerana mereka yang akan melaksanakannya, dan Allah tidak menyebut ( يأيها الناس) kerana kemungkinan mereka tidak akan melakukannya. Sesungguhnya orang-orang mukmin apabila mereka mendengar suruhan dan perintah Allah, mereka akan terus melaksanakannya.Firman Allah : (Hanya ucapan orang-orang mukmin, apabila mereka diajak kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul memutuskan (perkara) di antara mereka, mereka berkata, “Kami mendengar dan kami patuh.” Dan mereka itulah oranng-orang yang beruntung.(51) Dan barangsiapa yang taat kepada Allahh dan Rasul-Nya serta takut kepada Allah dan bertaqwa kepada-Nya,mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.(52).(An-Nur : 51,52)

Dan firman Allah : (كتب عليكم الصيام) yang membawa makna diwajibkan, maka diwajibkan untuk semua muslim tanpa sebarang pengecualiaan untuk tidak melakukannya. Dan di sana tiada istilah yang dinamakan “ Saya Bebas”.Kamu merupakan seorang muslim, maka dimestikan ke atas kamu berpuasa di bulan ramadhan.Sesungguhnya perintah Allah itu merupakan satu kewajipan.Lalu Allah memerintahkan kita berpuasa,maka puasalah.

Dan firman Allah :( كما كتب على الذين من قبلكم) yang menunjukkan bahawa sesungguhnya puasa telah difardhukan kepada umat-umat terdahulu,akan tetapi Allah s.w.t. meringankannya ke atas kita.

Bagaimana?

Dahulu puasa adalah menahan diri daripada makan,minum dan bercakap,maka seseorang yang berpuasa sesekali tidak pernah dia berbicara.Inilah keringanan yang Allah kurniakan kepada kita, dan ini merupakan kelebihan anugerahNya.Allah s.w.t. berfirman pada akhir surah al-Baqarah : ( Ya Allah! Janganlah Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sepertimana yang Engkau bebankan ke atas orang-orang sebelum kami.) (Al-Baqarah : 286)

Wanita-wanita yang tidak dapat menahan diri mereka daripada berbicara maka dikurangkan ganjaran pahala puasa mereka pada syariat terdahulu,disebutkan firman Allah tentang Maryam Binti Imran : ( Jika engkau melihat seseorang,maka katakanlah,”Sesungguhnya aku telah bernazar berpuasa untuk Tuhan Yang Maha Pengasih,maka aku tidak akan berbicara dengan sesiapa pun pada hari ini.)
(Maryam : 26).

Ketahuilah kita bahawa puasa itu merupakan satu jambatan atau tangga atau satu kenderaan yang akan kita gunakan untuk sampai ke perhentian taqwa,dan taqwa itu ialah takut kepada Allah.

Hubungan Taqwa Dengan Puasa

Bertanya sesetengah orang ,adakah di sana berlaku satu hubungan di antara taqwa dan puasa?

Jawapannya : Di sana terdapat satu hubungan intim di antara kedua-duanya.Puasa merupakan satu kewajipan yang tidak diketahui oleh seseorang pun melainkan Allah s.w.t., sama ada kita melakukannya atau pun meninggalkannya.Berbeza dengan solat, apabila kita melakukannya orang akan dapat melihat dan membuktikan perlakuan kita. Begitu juga zakat dan ibadah haji. Tetapi puasa bercanggah dengan ibadah-ibadah yang lain.Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang mengetahui sama ada kita berpuasa ataupun tidak.Walaupun datang seseorang dan duduk di hadapan kita dan melihat kita tidak makan dan tidak minum dari subuh hingga ke maghrib, dia tetap tidak dapat menghukum sama ada kita berpuasa ataupun tidak.

Kenapa?

Kerana kemungkinan seseorang itu tidak berniat untuk berpuasa.Sesungguhnya ketahuilah oleh kita,bahawa niat itu tempatnya di hati. Jika kita tidak berniat untuk berpuasa dan dalam masa yang sama kita tidak makan dan tidak minum maka itu tidak boleh dikatakan bahawa kita berpuasa, kerana niat di dalam bulan ramadhan merupakan satu tuntutan berlawanan dengan hukum niat untuk berpuasa sunat.

Puasa Latihan Untuk Patuh

Allah tidak pernah mengazab kita dengan puasa yang telah difardhukan ke atas kita, dan Allah juga bukanlah menjadikan suruhan puasa itu untuk membiarkan hambanya berlapar dahaga,akan tetapi Allah menjadikan medan ramadhan ini sebagai satu medan untuk mendidik jiwa kita agar patuh kepadaNya.
Kita di dalam ramadhan menahan diri dari makan, minum, serta menahan syahwat kita dari terbit fajar hingga berkumandangnya azan maghrib. Kemudian,kita kembali makan dan minum,dan begitulah seterusnya dalam jangka masa sebulan di dalam ramadhan yang mulia.Sesungguhnya latihan ini merupakan satu latihan yang memerlukan kekuatan yang mendalam.Maka sesiapa yang mampu menahan dirinya dari sesuatu yang halal di siang hari, sudah tentu mudah baginya untuk menjauhi sesuatu yang telah diharamkan Allah kepadanya.

Perbicaraan ini sebenarnya ditujukan kepada mereka yang selalu mengatakan : Sesungguhnya kami tidak mampu untuk menahan diri kami dari merokok. Dan kamu sepanjang waktu berpuasa tidak mengisap walau sebatang cerut?.Sesetengah yang lain mengatakan kepada kamu : saya tunggu sehingga tibanya waktu berbuka. Saya telah sediakan rokok dan cerut.

Maha Suci Allah,Wahai saudaraku kamu sepanjang hari menahan diri daripada merokok, maka sempurnakanlah…Di mana ketaatan kamu di siang hari tadi?

Kamu menahan diri kamu dari sesuatu yang halal, maka jauhilah juga daripada sesuatu yang telah diharamkan Allah.

Sesiapa yang melatih diri untuk konsisten dengan memakai pakaian uniform sesuatu badan yang telah dikhususkan kepadanya, dan begitu jugalah keadaannya untuk sesiapa yang mahu melatih dirinya di dalam ramadhan.Wajib ke atasnya untuk menjauhi segala kejelikkan dan kemaksiatan.Tutuplah semua saluran-saluran kemaksiatan, dan katakanlah kepada diri masing-masing : kami tidak memerlukannya walaupun sedikit. Kami perlu mempersiapkan diri kami untuk berqiamullail,mengkhatam Qur’an dan mempersiapkan diri kepada segala kebaikkan.

Kemudian marilah kita melihat kepada firman Allah s.w.t :( كتب عليكم الصيام) (Al-Baqarah : 183) Ayat ini mengajak kita beriltizam dengan farhu-fardhu dan adab-adab puasa.Kegembiraan menyambut ramadhan membuatkan kita memperelokkan persiapan menyambutnya dengan penuh ketaatan. Sesungguhnya perintah dan suruhan Allah yang didatangkan kepada kita perlu dilaksanakan dengan penuh cinta dan patuh, dan tidaklah kita memilih darinya apa yang kita sukai dan meninggalkan apa yang tidak kita senangi.Dan janganlah kita beriltizam dengan suruhan puasa tetapi kita meninggalkan solat,jihad dan fardhu yang lain.

Segala Suruhan Allah itu Wajib Dilaksanakan

Firman Allah s.w.t : (Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam islam itu secara menyeluruh) (Al-Baqarah : 208) Firman ini membawa kefahaman agar kita mengambil islam itu secara keseluruhannya,sepertimana yang telah didatangkan Allah di dalam firmanNya :(Katakanlah (Muhammad) sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. (162) Tiadalah sekutu baginya, dan demikianlah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama berserah diri.(163).

Dan apabila kita tidak mempraktikkan firman di atas, maka ke atas kita firman Allah yang bermaksud : (Apakah kamu beriman kepada sebahagian kitab (Taurat) dan ingkar kepada sebahagian yang lain? Maka tidak ada balasan yang lebih sesuai bagi orang yang berbuat demikian di antara kamu selain kenistaan dalam kehidupan dunia,dan di hari akhirat kelak mereka dikembalikan keepada azab yang paling berat. Dan Allah tidak lengah terhadap apa yang kamu kerjakan) (Al-Baqarah : 85)

Tidak bermanfaat jika seseorang muslimah mengatakan : Aku berpuasa dan dia tidak menutup aurat, bagaimana seseorang itu berpuasa dan pada waktu yang sama dia tidak menutupi auratnya?

Taat kepada Allah pada sesuatu perkara dan bermaksiat pada perkara yang lain pula?

Begitu juga bila seseorang mengatakan aku berpuasa tetapi ttidak melaksanakan solat.

Natijah Latihan Di Dalam Ramadhan

Selepas melalui medan latihan di dalam ramadhan, maka perlulah terzahir pada diri induvidu tersebut buah latihan dari madrasah ramadhaniyah. Selama 30 hari kita berpuasa di siang hari kemudian berbuka. Seterusnya menahan diri dari sesuatu yang halal kemudian kembali kepadanya.

Maka di mana natijah latihan ini?

Kita semasa ramadhan jauh dari sesuatu yang halal, oleh itu wajib ke atas kita untuk jauh dari sesuatu yang haram appabila kita keluar daripada ramadhan. Kita di dalam ramadhan bangun di tengah malam untuk bersahur. Sabda Rasulullah : ( Bersahurlah,sesungguh pada sahur itu ada berkah)

Sabda Nabi lagi : (Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah sahur)

Kita bangun untuk bersahur itu merupaka ibadah, maka selepas ramadhan sudah tidak ada lagi waktu bersahur yang disunatkan ke atas kita. Kebiasaan bersahur selama 30 hari di dalam ramadhan, membuatkan kita selepas ramadhan sentiasa bangun awal untuk melaksanakan fardhu subuh tepat pada waktunya.

Ini merupakan natijah ibadah yang kita perolehi dari madrasah ramadhaniyah.

Ramadhan juga mengajar kita, akrab dengan masjid, tarawih bersama dan ini sememangnya mendidik pemuda-pemuda kita mengenali masjid, dan selepas itu kefahaman ibadah mereka akan lebih meluas. Firman Allah s.w.t : (Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu) (Al-Zariat : 56)

Ramadhan juga turut mengajarkan kepada kita, erti pengorbanan. Pengorbanan masa tidur kita, mengorbankan syawat kita di jalan Allah.Ini semua merupakan natijah-natijah ramadhan.

Kita bermohon kepada Allah agar memberi kita kelapangan untuk ikhlas berpuasa kerana Allah semata-mata.

Dan bukanlah puasa itu sekadar menahan diri dari makan dan minum, tidak! Nabi s.a.w. bersabda : (Jika seseorang dari kamu berpuasa pada hari tertentu maka janganlah mengucap kata keji, dan janganlah marah….dan katakanlah : aku berpuasa)

Berita Gembira untuk Orang-Orang Yang Berpuasa

Akhir sekali wahai semua yang dikasihi kerana Allah ketahuilah kalian bahawa di sana terlalu banyak berita-berita gembira untuk orang-orang yang beriman yang taat dan patuh pada suruhanNya.Dan kegembiraan untuk mereka yang berpuasa di dalam bulan ramadhan,dan untuk mereka yang keluar dari madrasah ramadhan dengan penuh keinsafan serta diberi Allah lailatul qadar kepadanya. Sesungguhnya dia telah beroleh keberuntungan yang besar.

Kegembiraan juga untuk sesiapa yang keluar dari bulan mulia ini lalu dia diampunkan Allah atas segala dosa-dosanya, serta diberi Allah lailatul qadar kepadanya.

Cukuplah untuk kita dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : ( Siapa yang menjalani ramadhan dengan penuh keimanan dan menghintung-hitung kebaikkannya, maka diampunkan untuknya dosa-dosanya yang telah lepas.)

Sabda Nabi s.a.w. : (Dua kegembiraan untuk orang-orang yang berpuasa : kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan bila bertemu Penciptanya)

Sabda Nabi s.a.w lagi : ( Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama Ar-Rayyan, akan masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa… dan tidak akan masuk melaluinya selain dari mereka. Maka ia berkata : Dimana orang-orang yang berpuasa? Kemudian bangun orang-orang yang berpuasa ,selepas mereka masuk maka pintu itu ditutup dan tidak akan masuk seseorang pun selain mereka.)

Ketahuilah kita bahawa syurga itu ada lapan pintu dan neraka itu ada tujuh pintu.Berdoalah agar kita dapat memasuki salah satu daripada lapan pintu syurga.amin,amin ya Rabb.

Firman Allah s.w.t dalam hadith qudsi : ( Semua amal anak adam itu untuknya kecuali puasa, sesungguhnya ia untukKu dan Aku akan memberi ganjarannya.)

Sabda Rasulullah s.a.w : (Puasa dan Al-Quran adalah dua perkara yang akan memberi syafaat kepada seseorang hamba di hari kiamat…)

Akhir sekali sama-samalah kita bermohon kepada Allah supaya menjadikan kita di antara orang-orang yang berpuasa di siang harinya dan bangun di malam harinya.Dan menjadikan kita berada dalam golongan orang-orang yang beroleh kebaikkan.

Selamat menyambut dan beramal di dalam bulan ramadhan yang penuh keberkatan ini.Moga kita berjaya melaluinya dengan penuh keimanan dan ketaqwaan serta keluar darinya dengann penuh keinsafan serta keimanan yang mendalam kepada Sang Pencipta.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment