Tuesday, August 4, 2009

Perginya Sebutir Mutiara


Oleh : Zanjabeel


Tanggal 13 Jun 2009, dunia Islam telah menyaksikan pemergian seorang tokoh tersohor dalam pergerakan dakwah Islam. Almarhum Dr. Fathi Yakan, nama yang tidak asing bagi kita.


Dilahirkan pada 1933, merupakan seorang pengasas kepada Gerakan Islam Lubnan, Ketua Pendepan Aktiviti Islam (Head of the Labenese Islamic action front) (IAF), dan juga antara tokoh ulama yang banyak menulis tentang isu-isu gerakan Islam.


Siapa yang tidak mengenali nama Dr. Fathi Yakan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang banyak terlibat dengan gerakan dakwah. Kitab karangannya Apa Erti Saya Menganut Islam atau lebih terkenal dengan panggilan “Maza Yakni” telah menjadi rujukan kebanyakan kumpulan usrah dari seluruh pelusuk dunia. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50-an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60-an.


Almarhum Dr. Fathi juga merupakan di antara ulama’ dan sarjana besar dunia Islam. Penulisan dan kuliahnya menzahirkan ketegasan. Antara lain buku-buku karangan beliau yang juga menjadi rujukan para aktivis ialah Masalah Dakwah dan Pendakwah, Persepsi Haraki dalam Kerja-kerja Islami, Asas-Asas Islam, Komitmen Muslim Sejati, Robohnya Dakwah di Tangan Dai, Yang Berjatuhan di Jalan Da'wah, Membentuk Fikrah dan Visi Gerakan Islam, Prinsip-prinsip Gerakan Islam, Bahtera Penyelamat dalam Kehidupan Pendakwah, Islamic Movement: Problems and Prospectives, Ke Arah Kesatuan Gerakan Islam dan Komitmen Muslim Sejati.


Inilah antara khazanah beliau yang ditinggalkan kepada seluruh umat Islam masa kini dan akan datang. Almarhum juga pernah memimpin demo besar-besaran untuk menjatuhkan Perdana Menteri Fuad Siniora yang menjadi “kaki tangan” Amerika. Dia juga memberi dukungan kepada Gerakan Hizbullah, Lubnan untuk melawan Israel, Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Narul Barid di utara Lubnan di antara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pada tahun 2007.



Antara perkara lain yang jarang ditemui dari pimpinan-pimpinan Islam ialah beliau pernah menolak amalan pilihanraya kerana berpendapat ianya merupakan perkara baru yang tidak di lakukan di zaman Nabi Muhammad saw, tetapi akhirnya beliau akur dengan hanya menyertai pilihanraya sahajalah negara Islam mampu ditegakkan.

Syeikh Malik as-Syiar yang mengimamkan jenazah beliau telah berkata:

"Sesungguhnya Tarablus adalah bandar ilmu dan ulama. Seluruh dunia Islam telah mengucapkan selamat tinggal kepada seorang tokoh dan panji Umat Islam. Beliau juga adalah pelopor dan pengasas bagi Gerakan Islam yang telah menghabiskan kehidupannya untuk berdakwah kepada Allah."

Inilah dia antara tokoh ulama yang menumpukan seluruh usianya untuk menegakkan Islam di muka bumi. Beliau bertungkus-lumus berjuang demi melihat umat Islam tidak tergadai maruah di tangan musuh-musuh Allah.
Melihat serba sedikit latar belakang dan sejarah hidup seorang ulama ini, jelaslah kepada kita bahawa beliau sudah mempunyai niat untuk berbakti kepada Islam. Bahkan telah telah terbukti di depan mata kita semua dengan apa yang telah diperjuangkannya selama ini.

Di mana kita?
Persoalannya sekarang ialah kepada kita, adakah kita telah menyumbang atau berkorban untuk agama anugerah Allah ini? Atau paling kurang adakah kita pernah terniat di dalam hati untuk berbakti, menyumbang, membantu atau berkorban untuk kebangkitan Islam?

Kita sekadar menyebut inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un” apabila mendengar tentang pemergian seorang tokoh ini. Atau paling tinggi pun kita akan teringat “perginya seorang penyumbang kepada Islam”. Tapi apa yang ada pada kita yang masih hidup ini? Paling kurang kita sentiasa memperbaharui niat untuk memperjuangkan Islam seperti yang disebut di atas tadi.

Sebelum kita memulakannya, marilah kita pastikan terlebih dahulu bahawa kita sudah melaksanakan perkara-perkara penting yang menjadi asas seorang muslim, iaitu apa yang diwajibkan dan diharamkan oleh Allah secara jelas. Tidak usahlah bicara tentang perjuangan jika akhlak kita sesama muslim masih buruk, silaturrahim lintang pukang, aurat sentiasa menjadi pameran kepada orang lain. Ya, akhlak yang baik adalah antara sifat yang payah dimiliki oleh kebanyakan orang.

Ruangan yang ringkas ini sekadar mengajak kita semua membina semangat baru setelah perginya seorang ulama. Dia telah menunaikan amanah menyebarkan agama Islam dengan baik, yang tinggal ialah kita semua yang masih diberi peluang. Kita belajar ilmu agama untuk menjadi penyuluh kehidupan. Bukan sekadar untuk solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya.


Berapa ramai di kalangan umat Islam pada hari ini hanya tinggal nama sahaja. Atau dengan istilah lain “hanya goyang kaki”. Mereka ini tidak pernah memikirkan pengorbanan dalam perjuangan Islam. Jika diungkapkan kata-kata seperti ini, masih ramai yang beranggapan bahawa berbicara soal perjuangan adalah membuang masa dan satu kemunduran. Kenapa tidak soal pembangunan? Kenapa perlu difikirkan tentang kematian seseorang ulama?

Inilah antara kalimah-kalimah yang selalu kita dengar dari sesetengah golongan yang tidak memahami Islam sepenuhnya. Perkara ini perlu dijelaskan, bahawa Islam tidak pernah mengenepikan soal pembangunan dan kemajuan bahkan Islam menggalakkan umatnya maju. Tetapi kemajuan bukan satu matlamat utama yang mesti dikejar.

Pemergian Dr. Fathi Yakan juga adalah satu mesej penting kepada umat Islam agar kita lebih bersedia menunaikan tanggungjawab yang asas sebagai seorang muslim, seterusnya bersedia berkorban untuk Islam tidak kira dengan cara mana sekalipun.

Alangkah beruntungnya kita jika kehilangan seseorang tokoh Islam itu menjadi pemangkin semangat kepada kita dalam mengharungi arus dunia moden yang begitu kuat melanda kepada umat Islam. Ianya tidak dapat tidak mesti diharungi dengan kepayahan untuk kita selamat dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment