Thursday, September 17, 2009

CUCU KESAYANGAN INSAN MULIA


Oleh : Syeikhulislam
Disunting dan diringkaskan oleh : Aishahtur Raadhiyah Azman Shah

Sesungguhnya kehidupan dan kematiannya merupakan gambaran yang indah dari insan yang mulia, penuh pengorbanan, iffah, suci, jiwa yang tenteram dan bersih. Patut baginya memperolehi kedudukan yang tinggi di dunia dan di akhirat, kerana dia adalah cucu Rasulullah SAW putera Saidina Ali ra. dan Fatimah Az-Zahrah, serta saudara kandung Husein, penghulu para syuhada. Layak pula baginya memperolehi tempat yang mulia di antara orang-orang soleh, kerana beliau meninggalkan jabatan khalifah dengan cara bermandikan darah para syuhada. Beliau mengutamakan serta meninggikan bendera Islam sebagai ganti mengumandangkan teriakan perang. Hatinya memancarkan rahmat, kasih sayang, kalbunya diliputi dengan perasaan kasih, dan jiwanya penuh dengan sifat keutamaan.

Bekas ciuman Nabi bau semerbak dari bibirnya. Baginda S.A.W mencintai Hasan dan saudaranya Husein, sehingga menjadikan kehidupan keduanya bagai kehidupan para malaikat. Keduanya hidup dalam naungan Ilahi. Pada masa kanak-kanaknya yang suci, mereka diberi ucapan-ucapan wahyu di lingkungan kenabian. Rasulullah S.A.W memberinya pelajaran dan cara hidup Islam serta pendidikan Ilahi. Dari lingkungan kedua orang tuanya, mereka mengambil suri teladan yang mulia. Dalam lingkungan yang jelas dan positif itulah Saidina Hasan dan Saidina Husein hidup berdampingan satu sama lain.

Hampir tiada berlalu suatu hari pun tanpa baginda S.A.W mengungkapkan kepada para sahabatnya tentang cintanya kepada cucu-cucunya. Badan Saidina Hasan banyak kemiripannya dengan bentuk badan Rasulullah. Diriwayatkan bahawa suatu hari Abu Bakar dan Ali sedang keluar dari masjid selesai solat. Tiba-tiba mereka berdua melihat Hasan r.a. sedang bermain. Lalu Abu Bakar ikut mengajaknya bermain. Setelah itu beliau berkata kepada Ali ra.: “Demi Allah, dia lebih mirip dengan Nabi SAW daripada denganmu.” Mendengar yang demikian itu Saidina Ali ra. tertawa.
Tentang kecintaan Nabi S.A.W kepada Saidina Hasan dan Saidina Husein, Abu Hurairah ra. pernah berkata: “Rasulullah S.A.W datang kepada kami bersama kedua cucunya, Hasan dan Husein. Yang pertama ada di bahunya yang satu, dan yang kedua ada di bahunya yang lain. Sesekali baginda S.A.W menciumnya, sampai baginda berhenti di tempat kami. Kemudian baginda bersabda: “Barangsiapa mencintai keduanya (Hasan dan Husein) bererti ia mencintai aku. Barangsiapa membenci keduanya bererti ia membenci aku.” Hadith-hadith yang berhubungan dengan kecintaan baginda S.A.W terhadap Saidina Hasan dan Saidina Husein banyak disebut dalam sejarah Nabi SAW.

Berkaitan dengan Saidina Hasan, Nabi SAW memberitahukan bahawa ia akan mendamaikan antara dua golongan kaum muslimin. Beberapa tahun setelah itu ramalan tersebut betul-betul terjadi. Peristiwa itu terjadi setelah wafatnya Rasulullah SAW dan setelah Saidina Ali ra. meninggal dunia. Saat itu penduduk Iraq datang untuk membaiat Saidina Hasan. Mereka percaya bahawa Saidina Hasanlah yang paling berhak menduduki jabatan khalifah.

Pada waktu yang bersamaan penduduk Syam membaiat Muawiyah, sehingga pertempuran baru antara Iraq dan Syam tidak dapat dihindari lagi. Di sinilah nampak kecerdasan Saidina Hasan. Beliau berfikir, terbayang dalam benaknya apa yang pernah terjadi dalam perang Shiffin. Di situ ia melihat ramainya korban yang terbunuh dan darah yang mengalir, mengakibatkan anak menjadi yatim dan perempuan menjadi janda. Apa yang dihasilkan oleh perang hanyalah kebinasaan dan kerosakan. Beliau khuatir terulangnya kembali peristiwa peperangan dan pertumpahan darah antara sesama kaum muslimin.

Ketika ia sedang mencari jalan penyelesaian dari terjadinya pertumpahan darah tersebut, tiba-tiba datang surat dari Muawiyah kepadanya. Di dalamnya tersirat politik Bani Umaiyah untuk mengadakan perdamaian dengan syarat Saidina Hasan dijanjikan akan menjadi khalifah nanti setelah kematian Muawiyah.

Setelah Saidina Hasan selesai membaca surat tersebut, serta merta ia mengutus utusan untuk menemui saudaranya Husein di Madinah. Ia menganjurkannya menerima usul perdamaian tersebut. Demikian pula sikapnya saat para pemuka penduduk Iraq berkumpul di gedung pertemuan di Iraq. Beliau berkata kepada mereka: “Sesungguhnya kalian membaiatku adalah untuk berdamai dengan orang yang mengajak damai dan berperang dengan orang yang mengajak perang. Sesungguhnya aku telah membaiat Muawiyah, maka dengarlah kata-kataku.”

Peristiwa ini diterima oleh penduduk Iraq secara terpaksa. Begitu pula halnya dengan Saidina Husein, beliau menerimanya secara terpaksa pula. Pada dasarnya semuanya menghendaki agar jabatan khalifah dipegang oleh keluarga Nabi, bukan didahului oleh Bani Umaiyah. Akan tetapi cara berfikir Saidina Hasan menuju kepada mencegah pertumpahan darah di kalangan kaum muslimin. Cukuplah bagi beliau apa yang pernah terjadi dalam perang Shiffin. Akan tetapi Muawiyah tidak ingin menepati janjinya. Ia telah menetapkan perintah membaiat anaknya, Yazid. Politiknya adalah jangka panjang, meskipun pada mulanya keinginannya belum tercapai, namun ia menjadikan strateginya itu secara bertahap.

Akibatnya setiap sahabat Rasulullah SAW yang mendengar maksud Muawiyah tersebut bukan main marahnya. Sebab jabatan khalifah akan dipegang oleh penguasa yang bengis, sebagaimana yang pernah diberitakan oleh Rasulullah SAW.

Namun meskipun Saidina Hasan menjaga jangan sampai terjadi pertumpahan darah di kalangan kaum muslimin. Tetapi tetap saja perkara-perkara lain muncul di hadapannya. Pada akhirnya berkali-kali beliau menghadapi usaha orang lain yang hendak meracuninya, tapi masih boleh diubati. Orang-orang tersebut tidak puas jika belum berhasil dalam usahanya. Hingga suatu ketika Saidina Hasan merasakan adanya racun pahit yang ada dalam makanannya. Rasanya seperti ditikam pisau dalam perutnya. Dengan menahan rasa sakit yang keras itu, beliau bertanya kepada saudaranya Saidina Husein: “Siapa yang menyembunyikan racun tersebut?” Saidina Husein tidak boleh menjawab, dan tidak lama kemudian beliau pun wafat.

Peristiwa itu terjadi pada tahun 50 H menurut pendapat yang paling kuat, dan seluruh penduduk Madinah ikut berkabung, menguburkan jasadnya yang suci di Baqi’. Dikhabarkan di tempat itu tersebar bau harum sewangi kasturi, seolah-olah para malaikat menaburkan wewangian syurga di dalamnya.

Semoga Allah memberi rahmat kepada Saidina Hasan dan Saidina Husein. Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda tentang mereka berdua: “Mereka berdua termasuk pemuka para pemuda ahli syurga.”

Pemuka Para Pemuda Ahli Surga
Sejak saat kelahirannya, seisi langit menyambut kehadirannya. Seisi bumi di sekitarnya memancarkan sinar kesucian, diliputi dengan rahmat dan semerbak bau wangi yang ditaburkan oleh para malaikat. Ketika Rasulullah SAW mendengar bahawa puterinya Fatimah Az-Zahrah dikurniai putera, baginda bergegas menuju ke rumahnya. Nabi S.A.W menjumpainya dengan raut wajah yang bersinar, bak purnama.

Begitulah kebiasaan baginda ketika mendengar berita gembira. Kemudian Nabi mendekat kepada bayi yang masih suci, mengumandangkan azan di telinganya seperti azan solat. Itulah kalimat pertama yang didengar oleh Saidina Husein setelah kelahiran beliau di dunia pada tanggal 5 Syaban 4 H. Sebelum Rasulullah SAW berangkat ke rumah puterinya, Fatimah, baginda sudah mempersiapkan nama untuk bayi tersebut dengan nama “Husein”, suatu nama yang belum dikenal oleh bangsa Arab pada waktu itu.

Husein r.a. hidup di rumah ayahnya di Madinah. Rasulullah S.A.W pun mencintainya, dan mencintai saudaranya, Hasan r.a. dengan cinta yang amat dalam. Kecintaan baginda itu digambarkan oleh Usamah Ibn Zaid dalam suatu peristiwa yang disaksikannya sendiri. Usamah berkata: “Aku mengetuk pintu rumah Rasulullah S.A.W sambil membawa sesuatu yang tidak aku ketahui apa yang dibawanya. Setelah selesai dengan tujuan yang saya inginkan, aku bertanya kepada baginda: “Engkau sedang membawa apa ya Rasulullah?” Baginda pun membukanya. Ternyata itu adalah Hasan dan Husein. Baginda bersabda: “Kedua anak ini adalah anakku, dan anak puteriku. Ya Allah, sungguh aku mencintai keduanya. Maka cintailah keduanya, dan cintailah orang yang mencintai keduanya.”

Apabila Hasan dan Husein datang kepada datuknya, Rasulullah S.A.W, Baginda memeluk mereka dengan kasih sayang dan menciumnya satu persatu, kemudian memangkunya di atas pahanya. Para sahabat di sekitar baginda segera mengucap: “Sesungguhnya keduanya adalah pemuka para pemuda ahli syurga.” Sebahagian dari ucapan Rasulullah yang mencerminkan gelora kasih sayangnya pada Saidina Husein adalah, “Husein itu dariku dan aku dari Husein. Semoga Allah mencintai orang yang mencintai Husein. Husein adalah cucuku.”

Husein r.a. tumbuh dalam lingkungan yang paling bersih dan mulia dari sifat manusiawi. Datuknya adalah Rasulullah S.A.W pemuka sekalian makhluk. Ayahnya adalah Ali Ibn Abi Thalib Karramallahu Wajhahu, memiliki peringkat teratas dari sifat dermawan, penuh pengorbanan, berjuang, dan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya. Ibunya adalah Fatimah Az-Zahrah, seutama-utama perempuan pada masanya. Maka memadailah jika dikatakan bahawa dia adalah puteri Rasulullah S.A.W, isteri bagi pemimpin para pejuang, dan ibu dari pemuka para pemuda ahli syurga.

Dalam persekitaran perjuangan yang berbau kenabian yang bersinarkan wahyu serta penuh dengan peristiwa jihad inilah Saidina Husein r.a. menghabiskan masa kanak-kanaknya yang pertama. Di sekitar rumah ayahnya, Ali Ibn Abi Thalib, dan rumah datuknya Rasulullah SAW sampai beliau menginjak 6 tahun 7 bulan 7 hari, Rasulullah S.A.W pun wafat. Peristiwa wafatnya Rasulullah itu disaksikan oleh Husein r.a.

Bagaimana penduduk kota Madinah diliputi dengan rasa duka, dan bagaimana duka yang dialami oleh kaum muslimin yang sangat mendalam itu boleh menghilangkan akal sebahagian dari mereka. Sehingga orang genius seperti Umar Ibn Al-Khatthab diliputi dengan fikiran kosong. Umar berseru kepada orang-orang: “Barangsiapa berkata bahawa Muhammad telah mati, akan aku bunuh dengan pedangku ini!” Semua itu disaksikan oleh Husein r.a.

Kemudian dia mendengar perihal ayahnya dan kaum muslimin yang bercakap-cakap tentang perang Riddah. Beliau hidup semasa peristiwa-peristiwa itu terjadi dalam keadaan jiwanya yang bersih. Tatkala mencapai usia remaja, ia menjadi anggota barisan para pejuang. Ia ikut bersama ayahnya dalam perang Jamal, Perang Shiffin dan perang melawan kaum Khawarij.

Ayahnya, Ali Ibn Abi Thalib, adalah pemimpin perang yang berwawasan jauh. Allah memberinya ilham terhadap perkara-perkara yang ghaib dan tidak dapat dijangkau oleh semua orang. Ketika beliau keluar dari Madinah menuju ke Kufah dan sampai di Karbala , beliau mengarahkan pandangannya di tanah tersebut dengan pandangan yang amat dukacita. Beliau berkata: “Di sinilah tempat berhenti perjalanannya, dan di sinilah tertumpah darahnya.”

Orang-orang di sekitarnya tidak mengerti ungkapan sedih dan mengharukan tersebut. Baru setelah beberapa tahun kemudian, terjadilah di situ peristiwa berdarah dalam peta dunia Islam. Rebutan kekuasaan dan peralihan kepemimpinan khalifah menjadi raja yang bengis sebagaimana hal tersebut pernah dikhabarkan oleh Rasulullah SAW, iaitu ketika Muawiyah membaiat puteranya, Yazid, dengan paksa. Seandainya tidak kerana kebijaksanaan Husein r.a., tentu darah kaum muslimin akan tumpah.

Pendiriannya boleh mencegah pecahnya perang antara golongan pembaiat dan penentangnya. Akan tetapi pertentangan tetap ada, meskipun secara sembunyi-sembunyi dalam tiap peribadi dan tidak nampak kecuali setelah kematian Muawiyah. Para pemuka Kufah mengirim surat kepada Husein r.a. meminta kepadanya agar hadir di Kufah untuk dibaiat. Husein menghadapi perkara ini dengan cermat. Beliau mengutus anak bapa saudaranya Muslim Ibn Aqil. Tapi ketika Ubaidillah Ibnu Ziyad menjadi penguasa Basrah, Muslim Ibn Aqil dibunuhnya. Peristiwa itu terjadi pada 9 Zulhijjah 60 H.

Peristiwa pembunuhan Muslim Ibn Aqil tersebut terjadi sebelum keluarnya Husein r.a. dari Makkah ke Kufah selang satu hari. Oleh kerana itu Husein r.a. tidak tahu tentang terbunuhnya Muslim Ibn Aqil sampai beliau tiba di Qadisiyah. Beliau mengutamakan kembali ke Makkah, namun kaum kerabat Muslim Ibn Aqil, tetap ingin melanjutkan perjalanan menuntut balas atas kematian saudaranya. Pengikut Husein r.a. ketika itu sekitar 70 orang, terdiri dari keluarga dan pendukungnya, baik dari kalangan lelaki, perempuan mahupun anak-anak.

Kejadiannya sangat cepat. Ketika dua utusan Husein terbunuh lagi, saat mengingatkan penduduk Kufah tentang syarat dan ajakan mereka untuk membaiatnya, dua utusan tersebut dibunuh oleh Ubaidillah Ibn Ziyad. Keadaan semakin serius, sampai pada puncaknya berakhir di Karbala, di mana kepala-kepala keluarga Rasulullah dipenggal, lalu kepala tersebut dibawa di atas hujung tombak menuju ke Ubaidillah Ibn Ziyad, kemudian diserahkan kepada Yazid Ibn Muawiyah di Damaskus. Husein terbunuh oleh orang yang bernama Syamr Ibn Dzi Jausyan, yang kemudian ia mendapat murka Allah, para malaikat dan kaum muslimin seluruhnya.

Kepala Husein yang mulia tersebut dipindahkan dari satu kota ke kota yang lain, kemudian ke kota Asqalan. Di situlah penguasa setempat menguburkannya. Lalu ketika bangsa Eropah berkuasa pada waktu perang Salib, Thalaih Ibn Raziq menebusnya dengan wang 30.000 dirham agar kepala tersebut boleh dipindahkan ke Kairo dan dapat dikubur di tempat di mana ia mati syahid semasa hidupnya.

Tentang kepala Husein r.a. di tempat syahidnya itu, para ahli sejarah berpendapat: bahawa ketika Abd Rahman hendak memperluas bangunan masjid Al-Husein, tempat tersebut ramai dikunjungi oleh orang-orang, termasuk di antaranya dua ulama popular, iaitu Syekh Al-Jauhary As-Syafi’i dan Syekh Al-Malwi Al-Maliki. Keduanya menyaksikan apa yang terdapat di dalam kuburan Husein. Diketahui bahawa kepala Saidina Husein r.a. dibungkus dengan kain sutera berwarna biru yang diletakkan dalam pundi emas di atas tempat ebonit. Demikian pula banyak petunjuk-petunjuk lain tentang kepala Saidina Husein r.a. dalam makam tersebut.

Allah menghendaki agar peristiwa yang menimpa pada cucu Rasulullah itu berlaku adil. Tiga tahun kemudian Yazid Ibn Muawiyah mati dengan cara yang hina, iaitu jatuh dari kudanya ketika sedang mengejar monyet. Lehernya patah, kuku kaki kudanya patah dan meringkik tidak tentu hala. Adapun Syamr Ibn Dzi Jausyan, si pembunuh Husein r.a., terbunuh oleh Mukhtar Ibn Abi Ubaid As-Tsaqafi, pelopor gerakan Tawwabin. Ia melemparkan jasad Syamr Ibn Dzi Jausyan agar dimakan anjing. Begitu pula nasibnya Ubaidillah Ibn Ziyad, terbunuh lalu dibakar. Sedangkan sisa-sisa pengikut Yazid Ibn Muawiyah mati terbunuh di tangan kelompok Tawwabin lainnya.

Allah memuliakan Kairo dengan dimakamkannya kepala Saidina Husein dan dikuburkannya beberapa Ahl Al-Bait di sana . Semoga Allah meredhai mereka dan memberinya tempat yang mulia dan darjat tertinggi di dunia dan akhirat

No comments:

Post a Comment