Wednesday, October 28, 2009

Penawar kepada Pesakit 1

Rawatan Pertama
Wahai pesakit! Janganlah anda gelisah. Bersabarlah! sakit yang sedang anda hadapi bukanlah penyakit buat anda, tetapi ia adalah sejenis rawatan. Ini kerana umur anda adalah Modal, modal yang sentiasa berkurangan dari masa ke semasa. Jika tidak dilaburkan, ia pasti akan kehabisan juga suatu hari nanti, terutamanya jika habis dengan kerehatan dan kealpaan, apabila seseorang itu telah tiba di penghujung jalan(kematian). Jadi sakit akan memberi keuntungan yang besar kepada modal yang dimiliki oleh seseorang dan tidak akan membenarkan umurnya dihabiskan dengan segera. Sakit akan melambatkan perjalanan langkah kehidupan, menahannya, meemanjangkan umur dan akhirnya berhenti setelah membuahkan hasil. Ketika mana sakit itu telah hilang, seseorang itu dapat meneruskan perjalanan kehidupannya. Oleh itu, masa menjadi panjang disebabkan penyakit, sehingga dikatakan: “Aduhai alangkah panjangnya masa bencana dan pendekanya masa kemewahan.”

Wahai pesakit yang kurang sabar! Bersabarlah! Hiasilah dirimu dengan kesyukuran. Sakit yang anda alami boleh menukarkan berapa minit dari umur anda menjadi beberapa jam dalam beribadat. Ini kerana ibadat terbahagi kepada dua bahagian:
Pertama: Ibadat positif iaitu yang dilakukan dengan anggota badan yang tercerna melalui Solat, Doa dan yang seumpamanya.

Kedua: Ibadat negatif iaitu yang dilakukan dengan hati. Seseorang yang ditimpa musibah penyakit, akan kembali dan meminta perlindungan kepada Allah S.W.T Tuhan yang menciptanya, mengharapkan pertolonganNya dan memohon bantuanNya. Ini semua bertitik tolak daripada perasaannya yang merasakan dirinya lemah ketika berhadapan dengan pelbagai jenis penyakit dan musibah, dengan Tadharru’ tersebut, dia akan memperolehi suatu ibadat maknawi yang Ikhlas dan bersih suci daripada sebarang perasaan riak. Memang terdapat beberapa riwayat sahih yang mengatakan bahawa umur seseorang mukmin yang bercampur dengan sakit adalah dianggap sebagai ibadat. SabdaNya:
“ Jika Allah menguji seseorang hamba muslim pada tubuh badannya, Allah S.W.T berfirman: “Tulislah baginya amalan soleh.” Jika Allah menyembuhkannya daripada penyakit itu, dia akan menjadi bersih dan suci. Tetapi jika Allah mematikannya dengan sebab penyakit itu, Allah akan mengampun dan merahmatinya. Diriwayatkan oleh Ahmad (Sahih al-jami’ al-saghir dan tambahnya).

Tetapi dengan syarat tidak berkeluh kesah dan berputus asa terhadap rahmat daripada Allah S.W.T. Beberapa riwayat yang sahih dan kasyaf yang benar telah menunjukkan bahawa satu minit sahaja daripada kesakitan yang dihadapi oleh sebahagian orang-orang yang bersyukur dan sabar adalah dianggap menyamai satu jam ibadat yang sempurna bagi mereka. Sebagaimana satu minit daripada kesakitan yang dihadapi oleh sebahagian orang yang telah mencapai tahap kesempurnaan (al-kamilin) dianggap menyamai satu ibadat yang sempurna.

Wahai saudaraku! Janganlah anda merasa ragu dan syak bahawa satu minit daripada kesukaran yang anda hadapi disebabkan sesuatu penyakit, boleh menjadi seribu minit dan dapat memanjangkan umur ibadat anda! Bahkan anda hendaklah bersyukur dari penyakit yang anda hadapi.


Sambungan Rawatan Kedua……..

……………………………………………………………WaSSaLam…………………………………………………

No comments:

Post a Comment