Wednesday, October 28, 2009

Abdullah Nasil Ulwan


Pena Senjata Perjuangan
Oleh : M.A Uswah
Disunting dan diolah oleh : Nur Khalida Osman.

Dr Abdullah Nasih Ulwan dilahirkan pada tahun 1928 di Daerah Qadhi Askar yang terletak di Bandar Halb, Syria. Beliau dibesarkan di dalam keluarga yang berpegang teguh pada agama dan mementingkan akhlak Islam dalam pergaulan dan muamalat sesama manusia. Ayahnya, Syeikh Said Ulwan adalah seorang yang dikenali di kalangan masyarakat sebagai seorang ulama dan tabib yang disegani. Selain dari menyampaikan risalah Islam di seluruh pelusuk Madinah Halb, beliau juga menjadi tumpuan untuk mengubat pelbagai penyakit dengan ramuan akar kayu yang dibuat sendiri. Ketika merawat pesakit, lidahnya sentiasa membaca al Quran dan menyebut nama Allah. Syeikh Said Ulwan sentiasa mendoakan semoga anak-anaknya lahir sebagai seorang ulama ‘murabbi’ yang dapat memandu masyarakat. Allah memperkenankan doa beliau dengan lahirnya Dr Abdullah Nasih Ulwan sebagai ulama (‘murabbi’) pendidik rohani dan jasmani yang disegani di abad ini.

Pendidikan

Dr Abdullah Nasih Ulwan mendapat pendidikan peringkat rendah di Bandar Halib. Setelah berusia 15 tahun, Syeikh Said Ulwan menghantar beliau ke Madrasah Agama untuk mempelajari ilmu agama dengan cara yang lebih luas. Ketika itu, beliau sudah menghafal al Quran dan sudah mampu menguasai ilmu bahasa arab dengan baik. Semasa di madrasah, beliau menerima asuhan dari guru-guru yang mursyid. Beliau sangat mengkagumi Syeikh Raghib al Tabhakh, seorang ulama hadis di Bandar Halb. Beliau sangat cemerlang dalam pelajaran dan sentiasa menjadi tumpuan rujukan rakan-rakan di madrasah, beliau juga seorang yang aktif dalam persatuan dengan berkebolehan berpidato dan mengetuai skuad penerbitan yang bertanggungjawab menerbitkan sebaran ilmiah kepada masyarakat sekitar.

Beliau dikenali sebagai seorang yang sangat berani menyampaikan kebenaran serta mempunyai kemahiran dalam pergaulan dan dakwah. Semasa usia remaja beliau sudah terkesan dengan bacaan tulisan ulama-ulama sanjungan di waktu itu seperti Dr. Syeikh Mustafa al Sibaei.

Di dalam penjara, beliau menyelesaikan pengajiannya dan memperolehi syahadah tinggi dalam bidang pengajaran pada tahun 1954, iaitu sebelum dibuang ke Syria. Beliau bertugas sebagai guru di thanawiyah Halb sambil mengajar di Masjid `Umar Ibn Abdul-Aziz.

Ketika tekanan kerajaan semakin keras terhadap kaum Muslimin di Syria, beliau berhijrah ke Jordan pada tahun 1400H (bersamaan 1979M), kemudian ke Arab Saudi dan bertugas di Universiti Al-Malik Abdul Aziz di Jeddah.

Beliau menyelesaikan PH.Dnya dalam `Syari`ah Islamiyyah di `Universiti Sind' di Pakistan pada tahun 1404H. Tesis beliau bertajuk Fiqh Ad-Dakwah Ad- Daeiyah.



Perkhidmatan

Dr Abdullah Nasih Ulwan memulakan khidmat sepenuh masa sebagai pendakwah setelah pulang dari al Azhar. Beliau telah dilantik sebagai guru sebuah Kolej di Bandar Halb. Beliaulah orang yang pertama memperkenalkan mata pelajaran Tarbiah Islamiah sebagai matapelajaran asas dalam sukatan pembelajaran di Kolej berkenaan. Seterusnya matapelajaran Tarbiah Islamiah ini menjadi matapelajaran teras yang wajib diambil oleh penuntut-penuntut menengah di seluruh Syria. Beliau telah meletakkan matlamat perguruan sebagai senjata tarbiah yang sangat berkesan dalam mendidik generasi negara akan datang. Prinsip yang digunapakai ialah guru sebagai ibubapa kepada pelajar, mendidik mereka seperti mendidik anak-anak sendiri. Beliau telah meletakkan matlamat yang sangat tinggi dalam pendidikan, iaitu membawa dan membimbing pelajar ke arah mencintai Islam dan beramal dengannya serta sanggup melakukan apa sahaja untuk memenangkan Islam.

Beliau adalah seorang yang bergiat cergas dalam gerakan Islam, mengabdikan diri untuk dakwah dan bergabung dengan lkhwanul Muslimin. Beliau berhubung erat dengan Asy-Syahid Abdul Qadir `Audah, Sayyid Qutb dan Al-Ustaz Abdul Badi' Shaqar (Rahimahumullah Jami'an).

Sesiapa sahaja yang menelusuri denai dakwah Islamiah pasti akan diuji oleh Allah, ujian untuk membuktikan kebenaran dakwah yang di bawa serta menambahkan keyakinan dan pergantungan yang utuh hanya kepada Allah. Allahlah yang berhak memberi nusrah kepada sesiapa yang dikehendaki. Dr Abdullah Nasih Ulwan juga menerima ujian ini, sehingga memaksa beliau meninggalkan Syria pada tahun 1979 menuju ke Jordan. Semasa di Jordan beliau terus menjalankan peranan sebagai daei. Menyampaikan kuliah dan syarahan di merata tempat. Menerima undangan di masjid-masjid, perayaan hari kebesaran Islam dan ceramah umum.

Beliau meninggalkan Jordan pada tahun 1980 setelah mendapat tawaran sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam Universiti Malik Abd Aziz, Jeddah, Saudi. Beliau menjadi pensyarah di universiti berkenaan sehinggalah beliau bertemu dengan Allah (wafat).



Penulisan

Dr Abdullah Nasih Ulwan sangat gemar kepada penulisan, kertas dan pena sentiasa bersama walau di mana beliau berada. Walaupun sibuk dengan kuliah, nadwah dan syarahan, beliau tetap memperuntukan masa untuk penulisan. Beliau telah menghasilkan hampir lima puluh buah kitab yang membincangkan pelbagai tajuk.

Di antara kitab karangan beliau yang masyhur ialah:

1. Pendidikan anak-anak di dalam Islam (2 jilid).
2. Hukum zakat menurut empat mazhab.
3. Madrasah Duat.
4. Takaful Ijtimaei dalam Islam.
5. Insurans Menurut pandangan Islam.
6. Pemuda Islam dalam menghadapi serangan musuh.
7. Menolak keraguan yang didatangkan musuh.

Beliau juga banyak menulis kitab mengenai tarbiah Islamiah, kitabnya yang berkaitan dengan tarbiah Islamiah sangat menyentuh jiwa pembaca. Ini kerana tulisan yang terbit dari hati, insyaallah akan jatuh ke hati. Di antaranya ialah:

1. Kepada Pewaris Anbiya.
2. Thaqafah Daeiah.
3. Ruhaniah Daeiah.
4. Kisah Hidayah (2 jilid)
5. Sifat Jiwa dan diri Daei.

Beliau telah meninggalkan sebanyak 43 karangan untuk umat Islam.

Wafatnya

Dr Abdullah Nasih Ulwan meninggal dunia pada hari Sabtu jam 9.30 pagi 5hb Muharram 1408 Hijrah bersamaan 29hb Ogos 1987 di Hospital Universiti Malik Abdul Aziz Jeddah, Saudi dalam usia 59 tahun. Jenazahnya di bawa ke Masjidil Haram untuk disembahyang dan dikebumikan di Makkah. Solat jenazahnya dihadiri oleh ulama-ulama di seluruh pelusuk dunia. Pemergiannya diiringi oleh umat Islam seluruh dunia. Dunia kehilangan ulama murabbi yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan menegakkan Islam. Beliau telah menyerahkan jiwa raga untuk Islam dengan pengorbanan dan jihad yang sangat besar.

Walaupun beliau sudah pergi menemui Allah tetapi dakwahnya tetap berterusan melalui buku dan kitab yang dihasilkan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan segala kesalahan yang dilakukan dan memberikan kekuatan kepada generasi yang memikul amanah dakwah Islamiah selepasnya. Amin.

No comments:

Post a Comment