Wednesday, July 8, 2009
Kesatuan Ummah & Isra’ Mikraj
Assalamualaikum w.b.t., Salam Israk buat semua pembaca Al-Khattab yang diberkati dan dirahmati Allah sekalian. Semoga peristiwa ajaib di bulan Rejab ini dapat menginsafkan kita kepada persaudaraan dan kesatuan untuk membebaskan bumi Israk dari cengkaman musuh-musuh Allah, Yahudi dan Zionis.
Risalah penyatuan Israk Mikraj ini saya mulakan dengan mengajak para pembaca meyakini bahawa Israk dan Mikraj itu terjadi membabitkan roh dan jasad Ar-Rasul. Ini merupakan perbahasan panjang di kalangan sesetengah ulama’ sehingga tercetus khilaf besar di kalangan umat yang kurang faham. Omar Al-Telmesani ada menyebut di dalam risalahnya berkenaan Israk Mikraj bahawa “Aku tidak memerlukan dalil untuk meyakini Israk dan Mikraj itu melibatkan roh dan jasad ar-Rasul tetapi untuk meyakinkan orang lain maka telah aku kumpulkan beberapa dalil aqli dan naqli.”
Di sini saya tidak ingin menghurai panjang persoalan ini, yang jelas Allah mampu melakukan apa sahaja. Sebagai mukjizat untuk Rasul yang terbaik dan paling mulia. Sedangkan Allah berdialog dengan Nabi Musa secara sedar dan juga Nabi Ibrahim a.s. Inikan pula Nabi Muhammad yang paling utama. Di malam Israk yang mulia, Rasul telah mengimamkan seluruh Nabi sebagai simbolik kesinambungan dakwah tauhid sejak zaman berzaman.
Dalam keadaan begitu, Rasulullah dimuliakan dan diangkat namun tiada setitis pun rasa ujub dan takabbur melintas di hati baginda. Bahkan tawaddhuklah sikap baginda seumur hayat dakwahnya.
Tawaddhuk dan sikap lemah lembut inilah yang menyatukan generasi awal para sahabat. Sempena Israk yang menginsafkan ini, suka saya ingatkan diri saya dan semua pembaca kepada kehilangan tawaddhuk di hati pendakwah bukan sekadar membantutkan kerja dakwah, bahkan menyebabkan timbul fitnah ke atas gerak kerja dakwah. Islam sejak dari awal dengan sifat asasinya tidak pernah memandang rendah permasalahan ujub dan takabbur.
Jadi mengapa perlu kita yang menggelar diri kita sebagai pelajar agama merasakan diri kita terlebih mulia dan layak menghina hamba Allah yang lain. Yakinkah kita amal kita yang disertai rasa ujub dan takabbur itu diterima Allah? Atau layakkah kita menapak angkuh di bumi Allah dengan kehambaan yang berlapikkan rasa takjub pada diri yang hina?
Marilah kita serap aura tawaddhuk dari peristiwa Israk dan hiaskan diri kita dengan pekerti Rasul. Marilah kita semaikan ikhlas dan kita terapkan istiqamah, dengan harapan Allah akan menerima amal kita dan meredhai kita. Insaflah kita setelah beberapa tahun kita menyambut peristiwa Israk sedang bumi Israk masih dijajah dan menjadi tanah sembelihan saudara-saudara kita. Dosa mengabaikan perjuangan membebaskan bumi Palestin akan terus terpalit pada buku catatan kita. Bergeraklah di medan kita untuk menguatkan kesatuan ummah dan kekuatan Islam agar kembali menjadi payung untuk seluruh alam.
Orang Kafir Di rumah Allah

Oleh : Ahmad Sabiq
Para ulama’ berselisih pendapat tentang keharusan golongan musyrikin memasuki masjid selain Masjid al-Haram, sebahagiannya mengharuskannya, dan sebahagian yang lain pula menegahnya, namun dalam hal ini, saya lebih cenderung melihat harusnya golongan ini memasuki masjid dengan sebab dan tujuan tertentu. Seperti untuk meminta hutang daripada muslim yang enggan keluar daripada masjid, juga dengan tujuan untuk mempelajari Islam. Sedikit kesal dengan fenomena di Malaysia, kelihatannya masjid sangat tidak mesra pelanggan.
Sempat saya membuat sedikit perbandingan antara rumah-rumah ibadat di Malaysia, kelihatan masjid adalah yang paling lemah dari segi melayani dan menyantuni pengunjungnya. Anda berhak untuk tidak setuju dengan hal ini, maka andalah pencetus perubahan untuk mengembalikan fungsi masjid yang sebenar, agar benar-benar boleh digelar masjid! Bukannya lagi sekadar menjadi tempat berhimpun ‘Persatuan POP( persatuan orang pencen ).’
ORANG KAFIR DITEGAH DARIPADA MEMASUKI MASJID AL-HARAM
Diharamkan bagi orang Islam membenarkan bukan Islam untuk memasuki Masjid al-Haram dan tanah Haram disekelilingnya. Ini berdalilkan firman Allah s.w.t :
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid al-Haram sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Ayat ini menjelaskan bahawa orang kafir adalah najis, berdasarkan kaedah qias orang bukan Islam dilarang untuk memasuki semua masjid.
Namun saya merasakan pendapat ini kurang tepat berdasarkan dua hujah di bawah :
- Ibn Kathir menyatakan Allah memerintahkan hamba-hambaNya yang Mukmin, suci agama dan dirinya agar mengusir orang musyrik dari Masjid al-Haram kerana mereka adalah orang yang najis agamanya, adapun kenajisan tubuh orang musyrik, maka menurut jumhur, tubuh dan diri orang musyrik tidaklah najis (Tafsir al-Quran al-Adzim..muassasah al-kutub ath-thaqafiyah ms 331-332)
- Jika Allah mengharamkan orang kafir memasuki semua masjid, pasti Allah menyebutnya secara umum di dalam ayat tersebut sebagaimana dalam ayat-ayatNya yang lain. Ini bererti larangan dalam ayat tersebut hanya khusus untuk Masjid al-Haram. Wallahu’alam.
ORANG KAFIR DILARANG MEMASUKI MASJID LAIN SELAIN MASJID AL-HARAM?
Imam al-Bukhari di dalam kitab Sahih al-Bukhari telah meletakkan satu bab Orang Musyrik Masuk ke Dalam Masjid .
Diriwayatkan dari Sa’id bin Abi Sa’id bahawasanya dia mendengar Abu Hurairah berkata:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengutus pasukan berkuda ke arah Najd, lalu mereka kembali membawa seorang lelaki dari Bani Hanifah yang dipanggil Tsumamah bin Utsaal. Maka mereka mengikatnya di salah satu tiang masjid.
( Lihat hadith no 469 dalam Fath al-Bari syarh Sahih al-Bukhari, Dar al-Fikr jld 3, ms :136 )
Al-Hafizh Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis di atas berkata:
Ada beberapa mazhab mengenai masuknya orang musyrik ke dalam masjid. Pendapat yang dinukil dari Abu Hanifah membolehkan secara mutlak. Sementara pendapat dari mazhab Maliki dan al-Muzani melarangnya secara mutlak. Adapun mazhab Syafie membezakan antara Masjidil Haram dan masjid-masjid lainnya berdasarkan ayat al-Quran.
Ada pula pendapat yang khusus membolehkan bagi ahli kitab. Namun hadis dalam bab ini menolak pendapat tersebut, kerana Tsumamah bukan ahli kitab.
[Fath al-bari Syarh Sahih al-Bukhari Dar al-Fikr, jld 3 ms :136)
Hadis penuh yang menceritakan kisah Tsumamah bin Utsaal yang diikat di tiang masjid itu boleh dilihat di dalam bab Mandi Apabila Masuk Islam, Mengikat Tawanan di Masjid, juga di dalam kitab Sahih al-Bukhari. Dari Sa’id bin Abu Sa’id, dia mendengar Abu Hurairah berkata:
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengutus pasukan berkuda ke arah Najd, lalu pasukan tersebut kembali dengan membawa seorang lelaki dari Bani Hanifah yang dipanggil Tsumamah Ibn Utsaal. Maka mereka mengikatnya di salah satu tiang masjid. Lalu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam keluar kepadanya seraya bersabda, “Lepaskan Tsumamah”. Ia pun berangkat menuju kebun kurma yang dekat dengan masjid dan mandi. Kemudian ia masuk ke masjid dan berkata, “Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah dan bahawasanya Muhammad adalah Rasulullah.”
[Fath al-Bari Syarh al-Bukhari, Dar al-Fikr, jld 3 hadith no 462]
Hadith di atas memberi isyarat kepada kita bahawa bolehnya orang kafir masuk dan berada di dalam masjid.. Tsumamah bin Utsaal ketika diikat adalah kafir, namun para sahabat tetap mengikatnya di tiang masjid. Kemudian apabila Rasul s.a.w keluar, baginda tidak menegur apa pun yang dilakukan oleh para sahabat. Ini menunjukkan tentang keharusan orang kafir untuk memasuki masjid.
Sekadar ini yang mampu saya kemukakan, orang kafir dibenarkan memasuki masjid, Cuma kemasukan mereka itu bukanlah dengan tujuan untuk merosakkan atau mengganggu orang yang sedang beribadah di dalamnya. Sebenarnya syarat ini juga dikenakan kepada sekalian muslim yang lain juga.
Mungkin ada yang berhujah dengan firman Allah dalam surah an-Nisa’ : 43
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu shalat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekadar berlalu saja, hingga kamu mandi. ..
Allah melarang orang-orang Islam yang berjunub daripada memasuki masjid dalam keadaan junub kecuali sekadar melintas saja, ini yang dapat kita fahami daripada ayat di atas.
Allah memulakan ayat tersebut dengan lafaz “wahai orang yang beriman..” dan bukannya “wahai manusia..”
Lihat semula hadith yang dinyatakan sebelum ini yang menunjukkan tentang keharusan orang kafir memasuki masjid, juga ada dalam riwayat Abu Daud yang menceritakan orang yahudi mendatangi Nabi s.a.w yang ketika itu berada di dalam masjid, Nabi s.a.w pasti lebih mengetahui bahawa mereka tak pernah mandi junub, namun Nabi s.a.w tetap tidak melarang mereka daripada memasukinya.
Hasilnya, rasanya kita melarang orang kafir daripada memasuki masjid dengan alasan junub juga agak kurang tepat.. wallahua’lam..
Jika gereja mengalu-alukan kehadiran sesiapa sahaja, tidak mengira agama untuk berkunjung dan melihat cara pengibadatan mereka, diadakan sesi debat perbandingan agama, malah dijemput golongan muslimin menghadirinya. Saya juga ada seorang kawan dari Kemboja yang pernah cuba untuk bermalam di masjid ketika beliau masih berada di Kemboja, akan tetapi dihalau oleh ‘jaga’ masjid, akhirnya beliau menumpang untuk bermalam di tokong, malahan diberi selimut dan air panas oleh penjaga tokong tersebut..Kitalah pencetus perubahan. Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan hujah keharusan golongan kafir memasuki masjid, boleh sahaja anda menulisnya pada keluaran akan datang untuk menolak hujah yang saya kemukakan..
“Treat people the way you want to be treated.” Semoga kalian menyelami pepatah inggeris ini.
Menulis Wasilah Dakwah

Oleh : Nur Khalida Osman
Temuramah Bersama : Muhammad Hilal Asyraf bin Abdul Razak (Penulis Novel VT)
Alhamdulillah saya telah berkesempatan menemuramah seorang penulis muda yang telah berjaya menghasilkan beberapa buah cerpen dan yang terbaru ini novel VT karangan beliau telah berjaya diterbitkan. Hasil temuramah melalui email dengan beliau saya kongsikan di sini. Moga kita beroleh manfaat darinya.
Al-Khattab : Bismillahirrahmanirrahim. Buat pembuka bicara, boleh saudara Hilal perkenalkan latar belakang diri saudara secara ringkas ?
Hilal Asyraf : Nama penuh saya Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Tetapi biasanya saya akan menggunakan nama Hilal Asyraf untuk apa-apa perkara yang berkaitan dengan penulisan. Saya berumur 20 tahun. Lahir pada 16 Januari 1989. Saya mendapat pendidikkan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor. Kemudian saya menyambung pengajian saya di Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah, Perlis. Sekarang saya menuntut di University of Yarmouk, Irbid, Jordan dalam bidang Usuluddin.
Al-Khattab : Sudah berapa lama agaknya saudara Hilal bergiat dalam bidang penulisan dan dari manakah datangnya minat serta dorongan untuk saudara menulis?
Hilal Asyraf : Saya telah mula menulis semenjak tadika lagi rasanya. Ya lah, kita semua belajar menulis dari tadika. Tetapi saya betul-betul serius menulis karya kreatif seperti menulis cerpen dan novel serta puisi adalah semenjak memasuki tahun 2007. Minat saya didorong oleh rasa ingin berkongsi dan hendak menyebarkan ISLAM dalam teritori yang lebih luas.
Al—Khattab : Apakah ‘trademark’ yang cuba saudara terapkan dalam setiap penulisan saudara?
Hilal Asyraf : Trademark? Hem, pertama kali orang soal saya seperti ini. Pada saya, trademark saya adalah pengembalian manusia kepada fitrahnya, yakni kembali menjadi hamba ALLAH s.w.t, kembali kepada ISLAM. Semua penulisan saya, membawa mesej ketaatan kepada ALLAH, tidak kira cerita itu berkenaan rumah tangga, persahabatan, atau pertempuran sekalipun.
Al-Khattab : Pada pendapat saudara, sejauh mana dakwah dapat disalurkan melalui medan penulisan ini?
Hilal Asyraf : Pada pendapat saya, dakwah dapat disebarkan dengan amat meluas melalui medan penulisan ini, malah ia bersifat lebih terjaga berbanding berbicara. Karya kita boleh sering dirujuk dan dibedah semula. Kita sebagai penulis pula, akan sentiasa mampu bermuhasabah diri dengan penulisan kita. Kalau ada silap, kita senang nak betulkan. Tetapi kalau berbicara, kadang-kadang kita terlupa apa yang kita katakan. Pembaca pula, bila dia bosan, dia boleh letak buku kita di tepi,dan bila dia ada keinginan untuk menyambung bacaannya, dia akan ambil buku kita kembali. Lain pula bila kita membuat ceramah, kalau kena waktu kita buat ceramah tu dia tak mahu, habislah. Tapi saya tak nafikan, berdakwah melalui medium selain penulisan juga ada pentingnya. Maka, sepatutnya kita pelbagaikan medium-medium dakwah kita.
Al-Khattab : Dan adakah saudara telah berjaya menjadikan bahan penulisan saudara sebagai satu wasilah dakwah?
Hilal Asyraf : Berjaya menjadi wasilah? Sebenarnya, berjaya itu dikira bagaimana? Itu yang pentingnya. Semua benda yang kita buat untuk menyebarkan ISLAM, baik diterima atau tidak, sudah dikatakan wasilah asalkan kita tetap dengan syara'. Pokoknya, adakah wasilah kita berjaya sampai kepada hati pembaca? Yang itu, saudari kena tanya pembaca saya lah. Tapi kalau tanya saya samada berjaya menjadi wasilah, saya akan katakan ya.
Al-Khattab : Mengikut pengetahuan saya, novel VT dan siri motivasi Langit Ilahi sekarang dalam proses untuk cetakkan kedua. Jika melihat kepada perkembangan ini,nampaknya kedua-dua bahan bacaan tadi telah mendapat tempat yang meluas di hati pembaca.Apakah respons saudara tentang perkembangan ini?
Hilal Asyraf : Alhamdulillah. Saya secara jujurnya, dengan rendah hati mengucapkan terima kasih kepada pembaca saya sendiri, yang aktif dalam mempromosi karya saya kepada rakan-rakan mereka yang lain. Apa yang saya nampak dalam perkembangan ini adalah, manusia itu inginkan ISLAM sebenarnya. Mereka suka, apabila ada orang mengingatkan mereka berkenaan fitrah mereka. Pokoknya, bukanlah penulisan saya yang membuatkan mereka respon sebegini rupa. Tetapi ISLAM lah yang telah menggetarkan hati-hati mereka untuk bereaksi.
Al-Khattab : Akhir kata, mungkin saudara boleh berkongsi sedikit harapan saudara dalam bidang penulisan yang telah saudara ceburi ini untuk masa akan datang dengan sidang pembaca majalah al-khattab sekalian.
Hilal Asyraf : Harapan saya? Kalau ada bakat, kebolehan dalam penulisan, maka kembangkanlah. ISLAM tidak memerlukan kita sebenarnya. Kalau kita malas atau tidak berminat, maka ALLAH akan gantikan kita dengan orang lain. Atas alasan itu, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan kebolehan yang kita ada ini, untuk memberikan sumbangan kepada ISLAM. Bakat yang kita ada, biarlah ia bermakna untuk ISLAM.
Al-Khattab : Terima kasih saya ucapkan kepada saudara Hilal Asyraf atas kesudian saudara melayan semua soalan yang telah saya utarakan kepada saudara melalui email yang lepas. Semoga saudara terus maju bertapak di dalam bidang penulisan yang telah saudara ceburi ini.InsyaAllah.
Hilal Asyraf : Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Al-Khattab atas kesudian menemuramah saya. Semoga ALLAH redha dengan sidang penulisnya, dan semua pembacanya. Saya adalah saudara kamu, dan kamu adalah saudara saya. Marilah sama-sama kita lengkap melengkapi, dalam perjalanan kita menjadi hamba-Nya.
Intifadhah: Penentangan Dan Kesannya Ke Atas Zionis.
Oleh : Siddiq Osman
Setelah gelombang pertama Intifadhah Pencetus dihentikan pada 1997 atas perjanjian damai dan beberapa faktor strategi. Pada tahun 2000 ia kembali dengan gelombang baru yang lebih besar untuk menggugat kewujudan Israel dan penguasaan Rejim Zionis di bumi Israk itu.
Intifadhah ini diberi nama Intifadhah al-Aqsa. Telah dilancarkan oleh Yasser Arafat. Jumlah operasi dalam tempoh 2 tahun ini menjangkau ke 41 operasi yang disertai oleh pelbagai gerakan pembebasan yang ada di Palestin. Tambah menarik lagi operasi-operasi ini merangkumi segenap pelusuk bumi Palestin baik yang dikuasai gerakan pembebasan Palestin mahupun Zionis atau kawasan yang digelar tanah jajahan. Majoriti operasi berkitar di Tebing Barat dan Israel.
Seperti biasa HAMAS mendahului jumlah operasi berbanding gerakan-gerakan lain. Walaupun jumlah operasi berkurangan berbanding intifadhah pertama namun operasi kali ini mengakibatkan kerugian yang sangat besar bagi Israel. Tekanan akibat intifadhah ini telah membawa kepada pembinaan tembok satu hala oleh Israel.
Perjanjian damai pada 1994 telah membantu yahudi meningkatkan keupayaannya seperti berikut:
- Peningkatan pendapatan dalaman dari 55 bilion ke 85 bilion dolar.
- Peningkatan pendapatan perkapita dari 12600 dolar pada tahun 1992 kepada 15600 dolar pada tahun 1995 dan 18000 pada tahun 2000.
- Penurunan kadar pengangguran dari 11.2 tahun 1992 kepada 6.9 tahun 1996 dengan kedatangan buruh dari Romania dan Thailand sebanyak 300 ribu orang.
- Pertumbuhan ekonomi meningkat dari 7.4% pada tahun 2000 dan pada tahun 1999 pertambahan export sebanyak 23%.
- Bahkan jumlah korban Israel selama 22 tahun selepas perjanjian oslo sebanyak 600 orang iaitu bersamaan 28 orang per tahun.
Bagaimanapun keadaan ini berubah setelah intifadhah al Aqsa dilancarkan; kepada berikut:
- Peningkatan belanja ketenteraan sebanyak 800 juta dolar kepada 1 bilion dolar pada tahun 2002. Jumlah kerugian Israel akibat intifadhah al Aqsa mencecah 10 bilion dolar.
- Penurunan pendapatan per kapita kepada 15000 dolar pada tahun 2002.
- Kadar pengangguran meningkat dari 8 % kepada 11% pada tahun 2001.
- Ekonomi Israel mencatat penurunan 0.9% pada 2001 kadar eksport turun ke 11.7% tahun 2001 dan 4.2% tahun 2002.
- Dalam tempoh 2 tahun sahaja seramai 644 orang Yahudi tekorban akibat operasi Intifadhah.
- Ini mendesak Israel melakukan beberapa perkara antaranya menjatuhkan hukuman buang negara ke atas Yasser Arafat, membuat gencatan senjata setahun dan mengadakan persidangan antarabangsa yang berterusan bermula dari 2004 dan akhirnya pada tahun 2005 ditubuhkan kerajaan sementara Palestin.
Ini semua adalah stratergi terancang HAMAS dan pejuang-pejuang lain di bumi Palestin dengan bantuan dari seluruh kaum muslimin yang memboikot ekonomi Israel. Suka saya sertakan beberapa analisa operasi sekitar Intifdhah al Aqsa ini.
Jumlah korban yang diakibatkan oleh gerakan-gerakan Palestin bagi pihak Yahudi pada tahun 2000-2002.
| Gerakan | Bil. Mati | Peratus | Bil. Cedera | Peratus |
| Izzuddin Qassam, HAMAS | 304 | 47.8 | 1877 | 45.4 |
| Syuhada al Aqsa, FATAH | 110 | 17.1 | 752 | 20.6 |
| Saraayaa al Quds, Jihad Islamiy | 47 | 7.4 | 487 | 11.8 |
| Abu Ali Mustafa, Jibhah Sya’biyah | 13 | 2 | 162 | 3.9 |
| Muqawamah wataniyah, Jibhah Demokratiyah | 3 | 0.5 | 20 | 0.5 |
| Muqawamah Sya’biyah, Alawiyah Salah ad Din | 9 | 1.4 | 11 | 0.3 |
| Operasi sepadu | 39 | 6.1 | 182 | 4.4 |
| Operasi luar maklumat | 91 | 14.1 | 497 | 12 |
| Operasi individu | 24 | 3.7 | 49 | 1.2 |
| Jumlah | 644 | 100 | 4137 | 100 |
Kawasan Operasi dan Hasil dari 28-9-2000 hingga 28-9-2002:
| Kawasan | Mati | Cedera |
| Tebing Ghaza | 64 | 293 |
| Tebing Barat | 227 | 650 |
| Al Quds | 119 | 1168 |
| Palestin yang dijajah(Israel) | 234 | 2026 |
| Jumlah | 644 | 4137 |
Sememangnya bukanlah kita mendambakan kebinasaan sesama insan tetapi adat peperangan menilai dan mengukur kejayaan dengan kemusnahan di pihak musuh. Bahkan operasi-operasi di atas ini sebenarnya meragut nyawa tentera dan agen-agen penjajahan bukanlah rakyat awam seperti yang diwar-warkan. Kita harus sekali lagi ingat pejuang-pejuang ini sedang mempertahankan tanah umat Islam dan maruah kita semua. Sokongan yang jitu dalam apa jua bidang mesti disalurkan dengan hasrat bumi Palestin akan bernafas dengan merdeka kembali. Semoga Allah menerima amal kita, amal mereka dan menempatkan kita semua di dalam syurgaNya. Nantikan info seterusnya!!!
Rujukan: Samarat al Intifadhah; dr. Samiy Solehiy
HAMAS al muntalaqat wal Ahdaf: ‘ala’ an Nadiy.
Hasaad al Intifadhah : HAMAS
| Gerakan | Bil. Mati | Peratus | Bil. Cedera | Peratus |
| Izzuddin Qassam, HAMAS | 304 | 47.8 | 1877 | 45.4 |
| Syuhada al Aqsa, FATAH | 110 | 17.1 | 752 | 20.6 |
| Saraayaa al Quds, Jihad Islamiy | 47 | 7.4 | 487 | 11.8 |
| Abu Ali Mustafa, Jibhah Sya’biyah | 13 | 2 | 162 | 3.9 |
| Muqawamah wataniyah, Jibhah Demokratiyah | 3 | 0.5 | 20 | 0.5 |
| Muqawamah Sya’biyah, Alawiyah Salah ad Din | 9 | 1.4 | 11 | 0.3 |
| Operasi sepadu | 39 | 6.1 | 182 | 4.4 |
| Operasi luar maklumat | 91 | 14.1 | 497 | 12 |
| Operasi individu | 24 | 3.7 | 49 | 1.2 |
| Jumlah | 644 | 100 | 4137 | 100 |
| Gerakan | Bil. Mati | Peratus | Bil. Cedera | Peratus |
| Izzuddin Qassam, HAMAS | 304 | 47.8 | 1877 | 45.4 |
| Syuhada al Aqsa, FATAH | 110 | 17.1 | 752 | 20.6 |
| Saraayaa al Quds, Jihad Islamiy | 47 | 7.4 | 487 | 11.8 |
| Abu Ali Mustafa, Jibhah Sya’biyah | 13 | 2 | 162 | 3.9 |
| Muqawamah wataniyah, Jibhah Demokratiyah | 3 | 0.5 | 20 | 0.5 |
| Muqawamah Sya’biyah, Alawiyah Salah ad Din | 9 | 1.4 | 11 | 0.3 |
| Operasi sepadu | 39 | 6.1 | 182 | 4.4 |
| Operasi luar maklumat | 91 | 14.1 | 497 | 12 |
| Operasi individu | 24 | 3.7 | 49 | 1.2 |
| Jumlah | 644 | 100 | 4137 | 100 |