Saturday, February 13, 2010

Kewajipan Memboikot Barangan Israel Dan Amerika

Fatwa Memboikot barangan Israel dan Amerika
Oleh : Dr. Syeikh yusuff al-Qaradhawi
Ringkasan terjemahan oleh : Yaakob Ismail

Barangan keluaran Israel dan Amerika terlalu produktif sejak berkurun lama dan melangkaui produk-produk terkemuka di seluruh dunia. Dulu kita tidak pernah kisah dari mana datangnya sumber barangan yang kita beli. Namun pada hari ini ramai di kalangan ulama’ terkemuka telah membuka mata umat Islam agar menyedari hakikat sebenar. Isu ini adalah isu lama yang telah diperkatakan oleh kebanyakan ulama, tapi sebagai umat Islam yang sayangkan agamanya hendaklah sentiasa memandang isu ini sebagai satu perkara yang amat sensitif.

Seperti yang kita maklum, perkara-perkara asas yang mudah untuk kita boikot seperti minuman dan makanan antaranya- Coca cola, McDonald, Pizza Hut, KFC dan lain-lain. Jika dilihat, barangan yang disebutkan di atas tadi boleh dikatakan sudah menjadi bahan-bahan utama dalam keperluan umat Islam hari ini. Ramai umat Islam telah menyedari perkara ini, namun tidak terlalu sensitif dan masih membeli. Kenapa? Kerana kita belum disepak terajang dan diperlakukan seperti binatang oleh Israel laknatullah.


Kenapa perlu memboikot?



Telah sabit dari Quran, sunnah dan ijmak ulama bahawa jihad untuk membebaskan bumi Islam dari jajahan musuh adalah wajib dan kefardhuan yang mulia di sisi agama. Bermula dari penduduk tempatan, kemudian seluruh umat Islam yang lain sehingga melengkapi antara satu sama lain. Bagaimana pula jika bumi Islam yang dijajah dan diserang itu adalah qiblat pertama bagi umat Islam, bumi israk dan mikraj, dan negeri di mana terletaknya masjidil aqsa yang diberkati oleh Allah sekelilingnya? Bagaimana pula jika penjajahnya adalah memang musuh kepada orang-orang yang beriman? Bagaimana pula jika pendokongnya iaitu Amerika adalah kuasa besar di dunia hari ini?
Inilah dia mereka, yang sebahagian besar barangan-barangan keluaran mereka dibeli oleh umat Islam! Mereka telah dibantu oleh umat Islam sendiri dari seluruh dunia sejak sekian lama!

Sesungguhnya jihad kita pada hari ini adalah jihad terhadap mereka yang merampas tanah suci kita iaitu baitulmaqdis. Mereka menghalau penduduknya dari tanah kelahiran, menumpahkan darah, menceroboh rumah-rumah, membakar ladang-ladang pertanian, melakukan segala kejahatan dan kerosakan lain. Maka jihad ini adalah menjadi fardhu bagi umat Islam dan ianya fardhu yang utama pada masa kini bermula dari timur hingga ke barat. Kerana umat islam itu adalah umat yang satu, aqidah yang satu, syariat yang satu, qiblat yang satu, harapan yang satu dan sama-sama merasa kesakitan ini.

Firman Allah: Sesunggunhnya agama tauhid ini adalah agama kamu semua, agama yang satu. Al-anbiya’-92.

Sesunggunhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara. Al-hujurat-10.



Kita melihat pada hari ini saudara kita dan anak-anak muda kita di bumi al-Quds yang mulia, sanggup dengan bermurah hati menumpahkan darah mereka, tidak mereka peduli dengan apa yang bakal menimpa mereka selagi mereka di jalan Allah. Maka menjadi satu kemestian kepada setiap muslim di mana saja untuk kita saling membantu sekadar mana yang kita mampu dari segala kekuatan yang ada.

Firman Allah : akan tetapi jika mereka meminta pertolongan kepaadmu dalam (urusan pembelaan agama) maka kamu wajib memberi pertolongan. Al-Anfal-72.

Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan taqwa. Al-Maidah-2


Bagaimana cara membantu?

Di antara wasilah-wasilah atau cara membantu mereka ialah dengan memboikot kesemua barangan Israel dan Amerika sekiranya kita mampu berbuat demikian. Kerana setiap Riyal atau Dirham atau lain-lain matawang yang kita beli itu akan digantikan dengan sebiji peluru yang bakal menembusi dada saudara kita sendiri. Oleh yang demikianlah wajib ke atas kita untuk tidak membeli barangan-barangan mereka kerana ianya membantu pihak musuh dan ia adalah satu dosa di sisi syara’.

Ini secara tidak sedar akan menguatkan mereka (Israel). Maka kewajipan yang disebutkan ialah sekadar mana mengikut kemampuan kita membantu saudara kita. Sekiranya kita tidak mampu membantu, wajib kita melemahkan musuh-musuh kita. Mereka tidak akan lemah sepenuhnya melainkan dengan kita memboikot barangan mereka. Seharusnya kita sedar bahawa tidak akan sempurna satu kewajipan melainkan dipenuhi dengan kewajipan.

Sudah tiba masanya untuk kita katakana “tidak untuk Amerika” kerana keburukan yang telah menyerang pasaran Islam dengan sebab kita menggunakan barangan mereka. Makan minum, pakaian, kenderaan semuanya barangan Amerika. Sehingga kita berbangga apabila mampu menggunakan barangan berjenama Amerika. Namun pada hari ini sedarkah kita perbuatan itu melemahkan umat Islam, menguatkan pihak musuh, satu kesalahan besar dan menyebabkan dosa. Dosa-dosa inilah yang masih menghijab doa-doa orang mukmin seluruh dunia agar dibebaskan bumi Palestin dari kejahatan.

Setiap muslim hendaklah menggantikan dari membeli barangan Israel dan Amerika kepada barangan keluaran sendiri sekiranya mempunyai pilihan. Adapun saudara Islam kita yang berada di Israel atau Amerika, mereka dikira sebagai orang yang berada dalam keadaan darurat. Maka tidak dapat tidak mereka terpaksa menggunakan barangan tempatan (Amerika).

Firman Allah : Bertaqwalah kepada Allah mengikut kesanggupanmu. At-taghabun-16

Maka dengan cara memboikot ini adalah salah satu senjata melemahkan pihak musuh. Sehingga mereka sedar bahawa umat Islam itu masih ‘hidup’, dan umat Islam belum mati, dan tidak akan mati kecuali dengan kehendak Allah. Sebagaimana orang-orang Yahudi bersungguh-sungguh membela dan membantu untuk kemenangan Israel, begitulah juga bagi umat Islam hendaklah berjuang bersungguh-sungguh demi membeaskan al-Aqsa. Membantu sekadar mana kemampuan dari segi jiwa dan harta.

Firman Allah : Adapun orang-orang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain. Jika kamu (wahai para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah itu, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar. Al-Anfal-73.

Telah disebutkan bahawa membeli barangan Israel adalah haram dan berdosa sekiranya ada pilihan lain. Juga berkongsi kerjasama antara syarikat dengan mereka adalah lebih besar dosanya dari membeli. Tidak boleh sesekali menyerah atau menerima perdamaian dengan mereka.

Firman Allah: Janganlah kamu lemah dan minta damai padahal kamulah yang di atas dan Allah berserta kamu dan Dia sekali-kali tidak akan mengurangi pahala amal-amal kamu. Muhammad-35.

Peringatan sebegini seringkali kita dengar namun masih ramai umat Islam yang masih menggunakan barangan Amerika dan Israel. Kita mampu membeli minuman lain untuk menggantikan Coca-Cola, kita boleh membeli makanan lain untuk menggantikan KFC atau Pizza Hut dan sebagainya. Malangnya kesedaran ini masih di peringkat manoriti. Masih ramai di luar sana membeli minuman-minuman yang diketegorikan sebagai dosa untuk majlis-majlis keramaian. Mereka-mereka ini bukan orang lain, memakai pakaian sunnah, menjadi ahli masjid dan sebagainya. Tetapi kesedaran terhadap jihad dan ukhwah terlalu rapuh sehingga menyebabkan bantuan dari Allah masih tertangguh. Janji kemenangan dari Allah pasti berlaku tapi bukan dengan kelekaan umat Islam yang masih tidur.

Di sini saya ingin menyeru kepada seluruh umat Islam kerana Allah, marilah kita bersatu, menegak kebenaran dan melawan kebatilan, keadilan melawan kezaliman, dan membantu mereka yang ditindas dari lelaki, perempuan dan kanak-kanak, yang mana setiap hari mereka mempertahankan kehormatan dan kesucian diri mereka kerana Allah.

No comments:

Post a Comment