Thursday, May 13, 2010

AURAT BUKAN PERKARA CABANG

Di dalam syariat Islam, Allah swt telah memerintahkan hambaNya agar menutup aurat mengikut apa yang ditetapkan. Seperti yang kita ketahui, menutup aurat adalah perkara asas yang wajib seperti solat, puasa, zakat dan haji. Ia adalah satu hukum yang sedia kita maklum. Bagi sesetengah orang, perkara ini adalah satu perbincangan yang biasa yang tidak perlu dibangkitkan.

Namun sedarkah kita masih ramai yang tidak memahami atau sengaja mengabaikannya. Tidak perlu kita pergi terlalu jauh untuk membincangkan masalah aurat ini. Tidak perlu kita melihat kepada kaki judi, arak dan sebagainya. Cukup jika kita memerhatikan masyarakat kita yang sememangnya belajar agama dan mengetahui hukum hakam. Sebahagian mereka yang kerap solat berjemaah di masjid, mengikuti usrah dan lain-lain. Namun mereka sangat tidak mengendahkan soal aurat.

Sedia kita maklum bahawa aurat lelaki adalah dari pusat hingga ke lutut, dan aurat perempuan adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan dua tapak tangan. Bagi lelaki, ulama’ telah bersepakat mengatakan auratanya adalah pusat hingga ke lutut. Cuma berlaku khilaf yang terlalu kecil dari segi tafsiran makna rukbah (lutut). Sebahagiannya mengatakan tempurung lutut tidak diketegorikan sebagai makna rukbah. Namun pendapat yang ramai mengatakan tempurung lutut itu termasuk sebagai makna rukbah terutama di sisi mazhab syafei.

Berbeza dengan penafsiran makna surrah (pusat), telah ijma’ ulama mengatakan pusat lelaki adalah aurat dan haram lagi berdosa jika membukanya. Khilaf yang berlaku tadi terlalu sedikit bezanya sekalipun pendapat yang mengatakan tempurung lutut bukan aurat itu adalah pendapat yang juga kuat. Ada lagi pendapat yang menegah membuka aurat bagi lelaki sekalipun di hadapan saudara seibu sebapa. Malangnya kebanyakan kita mengabaikan hukum ini, pusat seolah-olah menjadi pameran kepada orang lain. Ini bukan masalah cabangan seperti qunut, zikir jahar selepas solat, tahlil, talqin dan sebagainya. Ini adalah perkara pokok yang wajib. Lebih-lebih malang lagi mereka ini terkadang memakai jubah dan serban dan ke masjid malah berkopiah putih apabila keluar dari rumah yang menjadi simbol kepada sunnah Nabi.

Bagi wanita, perbincangan ulama’ tentang aurat mereka terlalu luas. Tidak perlulah dinyatakan di sini satu-persatu. Cukup sekadar kita memahami di antara yang wajib mutlak dan wajib yang datang selepas sesuatu. Contohnya, lengan wanita adalah aurat dan wajib ditutup. Namun ramai wanita yang mengutamakan memakai niqab menutup muka lebih dari menutup lengannya. Maka menutup lengan itu adalah wajib yang mutlak yang tidak boleh dinafikan lagi. Manakala menutup muka itu wajib yang datang selepas beberapa perkara seperti wanita yang cantik wajahnya atau lain-lain yang boleh mendatangkan fitnah.
Malang juga mereka yang tidak melihat kepada yang lebih aula di sisi syara’ yang membezakan di antara yang wajib mutlak dan wajib yang datang selepas sunat ataupun harus.

Bagi kita, untuk membicarakan soal hukum aurat ini biarlah mereka yang bergelar ulama’ atau ahlinya. Kita tidak layak tapi wajib menuruti apa yang ditetapkan di dalam agama. Persoalannya, berakhlak kah jika seseorang itu mengatahui hukum-hukum agama, dalam masa yang sama membuka aurat menjadi satu perkara biasa. Memang manusia tidak sempurna dan tidak mampu melakukan semua ibadat. Akan tetapi perlu kita faham sekali lagi bahawa aurat bukan perkara sunat atau perkara cabang dalam agama. Ianya hukum mutlak yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim dan hukumnya tidak akan berubah sekalipun kepada seorang mayat. Bayangkan jika mayat pun wajib ditutup auratnya, apatah lagi kita yang masih hidup.

Marilah kita sama-sama sedar bahawa kita selama ini terlalu banyak mengabaikan hukum Allah. Apa yang wajib kita abaikan, yang harus atau sunat kita dahulukan dan kita berusaha melakukannya. Kerana setiap manusia itu berhajat kepada peringatan. Sungguhpun sebahagian dari mereka memang melaksanakan perintah Allah, namun yang dikatakan manusia itu selalu lupa atau sengaja melupai. Lihatlah betapa cacatnya jika kita memakai kopiah keluar dari rumah, di lain masa pusat atau lutut kita terbiar. Begitu juga bagi wanita, betapa cacatnya jika mereka memakai niqab, di masa yang sama nampak lengan hingga ke siku.

Juga perlu ditekankan di sini, ulama fiqh menyatakan bahawa wanita itu sendiri pada dasarnya adalah perhiasan. Maka bentuk tubuh mereka wajib dijaga dan tidak sama sekali diizinkan oleh syara’ memakai pakaian yang ketat sekalipun mereka menutup kepala.

Pendapat saya, kebanyakan kita pada hari ini tidak kira lelaki atau perempuan telah mengetahui hukum ini. Namun sejauh mana pengetahuan ini berada di dalam diri kita. Apakah kita menyedari bahawa ini adalah hukum agama yang ditetapkan oleh Allah? Sedarkah kita bahawa azab yang pedih sedia menanti bagi yang melanggar perintah ini? Kenapa kita masih tidak mahu menutup aurat? Dalam erti kata yang lain kenapa kita masih tidak menutup aurat sepenuhnya seperti yang dikehendaki oleh agama.

Jawapannya bermacam-macam. Apa yang boleh disimpulkan di sini antaranya ialah seseorang perempuan itu malu untuk memakai baju yang tidak ketat kerana ia bukan lagi fesyen zaman sekarang. Seseorang lelaki itu pula sudah terbiasa dengan menyalin baju di depan sahabat-sahabatnya tanpa segan silu menunjukkan pusat atau lutut.

Marilah kita melihat artikel ini sebagai tazkirah yang dperintahkan oleh Allah dan disampaikan melalui lisan hambanya yang mulia iaitu Nabi Muhammad SAW. Jangan kita melihat artikel ini sebagai satu tohmahan terhadap individu atau kelompok. Kerana yang demikian itu akan merosakkan
lagi iman yang ada.
lagi iman yang ada.

No comments:

Post a Comment