Thursday, May 13, 2010

Umar Alkhattab Pembela Islam

Umar al-Khattab

Umar Al-Khattab dilahirkan 42 tahun sebelum Hijrah. Usianya 12 tahun lebih muda daripada Rasulullah SAW. Pada awalnya, beliau antara orang Quraisy yang paling keras menentang Islam serta memusuhi Rasulullah SAW. Tetapi ketika berusia 35 tahun beliau mendapat hidayah lalu terus memeluk Islam.

Nama sebenar dan jurai keturunannya, Umar Al-Khattab bin Nufail bin Abd Al-Uzza bin Ryah bin Abdullah bin Qurti bin Rizah bin Adiyyi bin Kaab.

Nama ibunya, Hantamah binti Hisyam bin Al-Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum. Abu Jahal adalah bapa saudara kepada Umar Al-Khattab. Semasa jahiliah mereka sama-sama memusuhi Rasulullah SAW. Tetapi sesudah memeluk Islam Umar Al-Khattab memusuhi Abu Jahal.

Umar Al-Khattab daripada keluarga Bani Adi. Sebelum memeluk Islam beliau menjadi duta bagi kaum Quraisy. Sekiranya berlaku peperangan, beliau dihantar sebagai duta ataupun perunding bagi pihak kaum Quraisy.

Semasa jahiliah juga Umar Al-Khattab terkenal sebagai seorang yang keras hati dan kejam sehingga sanggup menanam anak perempuan hidup-hidup. Beliau bukan sahaja pernah menyakiti Rasulullah SAW, malah suatu ketika berniat hendak membunuh baginda.

Namun,setelah terdengar bacaan ayat suci Al-Quran yg dibaca oleh adiknya,hatinya yang keras itu umpama ditusuk sesuatu yang belum pernah dirasainya sebelum ini.Dengan izin Allah,Umar Al-Khattab mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam. Selepas memeluk Islam, hatinya yang keras itu digunakan bagi membela Rasulullah SAW dan Islam. Sifat berani dan kegagahannya digunakan bagi menentang mereka yang memusuhi baginda dan Islam.Misalnya,beliau berani menyatakan keislamannya kepada orang ramai dan dalam peristiwa hijrah pula beliau bukan sahaja berani berhijrah secara terang-terangan, malahan mencabar sesiapa sahaja yang berani menghalangnya dengan berkata “sesiapa yang mahu anaknya menjadi yatim dan isterinya menjadi janda,maka halanglah aku daripada berhijrah ke Yathrib(Madinah)”. Ekoran daripada peristiwa itu, Umar Al-Khattab mendapat gelaran al-Faruq daripada Rasulullah SAW yang bermaksud orang yang berani menyatakan kebenaran. Beliau merupakan antara sahabat yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah SAW.

Apabila Saidina Abu Bakar As-Siddiq sakit, beliau mencadangkan Umar Al-Khattab sebagai penggantinya selepas mendapat persetujuan daripada sahabat-sahabatnya.

Selepas dilantik menjadi khalifah, beliau meneruskan usaha yang dilakukan Saidina Abu Bakar bagi membebaskan umat Islam daripada ancaman kuasa Rom dan Parsi. Beliau juga berjaya membebaskan semenanjung tanah Arab daripada kekuasaaan Rom dan Parsi,manakala Syria, Iraq, Jordan dan Mesir berjaya ditaklukinya. Kemuncak kejayaannya ialah apabila berjaya menakluk Jurusalem daripada kekuasaan Rom.

Beliau memerintah selama 10 tahun 6 bulan 4 hari. Selama pemerintahannya Khalifah Umar Al-Khattab bukan sahaja berjaya menundukkan kuasa Rom dan Parsi malah berjaya membuat pembaharuan pada pemerintahan Islam.

Umar Al-Khattab bukan sahaja terkenal sebagai penakluk malah sebagai pentadbir yang berjaya memberi kemajuan kepada rakyatnya. Beliau pengasas kepada sistem politik Islam, pelaksana undang-undang syariah dalam Negara.

Beliau memperkenalkan pasukan polis bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam serta memberi bantuan kepada rakyat yang miskin termasuk mereka yang bukan Islam. Beliau membina markas tentera serta membangunkan pelabuhan bagi menguatkan angkatan tenteranya. Beliau membina Bandar-bandar baru bagi mengembangkan budaya Islam. Beliau memajukan system pertanian serta menyusun ekonomi Islam. Beliau juga mengasaskan system pelajaran Islam.

Sejarah Jeruselam

Juruselam adalah kota suci bagi ketiga-tiga agama iaitu Islam, Yahudi dan Kristian. Didalam kota inilah letaknya Masjid Al-Aqsa yang dibangunkan oleh Nabi Sulaiman AS dan menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum beralih ke Baitullah di Makkah.

Ketika berlaku peristiwa Israk dan Mikraj, baginda singgah dan bersembahyang di masjid ini sebelum Mikraj ke langit. Bagi penganut agama Kristian, mereka menganggap ini tempat suci mereka kerana Nabi Isa AS dilahirkan di Baitullaham berdekatan kota Jerusalem.

Beratus tahun lamanya kerajaan Rom memerintah di Jerusalem dan mereka juga mengusai tanah-tanah Arab di sekitarnya. Apabila Islam tersebar dari Makkah, pemerintah Rom merasakan itu suatu ancaman lalu mereka menyerang orang Islam. Mereka juga menghasut kabilah-kabilah Arab untuk menentang pemerintahan Islam.

Namun semasa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab (13-23H/634-644M), Jeruselam berjaya direbut secara damai oleh tentera Islam di bawah pimpinan Abu Ubaidah Al-Jarrah. Semasa penyerahan kota suci itu, Khalifah Umar Al-Khattab datang sendiri ke Jeruselam dengan hanya bertemankan seorang pegawainya bagi menerima penyerahan kota suci itu.Dalam perjalanannya pula,beliau hanya menggunakan seekor unta dan bergilir-gilir menunggang unta tersebut.Apabila khalifah Umar menunggang unta,pegawainya akan berjalan kaki dan begitulah sebaliknya apabila pegawainya yang menunggang unta.

Sikap umar yang bersederhana dalam kehidupannya walaupun bergelar khalifah menarik perhatian pemerintah Rom sehingga beliau seolah-olah tidak percaya bahawa Umar al-khattab merupakan khalifah kerana Khalifah Umar hanya memakai jubah yang mempunyai banyak kesan tampalan ketika tiba di Jurusalem. Berbeza dengan sangkaanya bahawa Khalifah Umar akan datang dengan memakai pakaian yang cantik dan mempunyai perhiasan-perhiasan yang mahal serta para pegawai yang ramai.Sikap yang ditunjukkan Khalifah Umar membuatkan ramai daripada rakyat Rom tertarik dengan Islam dan akhirnya memeluk agama Islam.


No comments:

Post a Comment