Sunday, June 20, 2010

Khilaf dalam Islam

MUQADDIMAH

Manusia bebas untuk berfikir dengan anugerah akal kurniaan Allah S.W.T. Menggunakan nikmat akal dengan cara yang betul dapat membawa kepada kebaikan. Manusia juga dikurniakan nafsu sebagai satu keperluan, tetapi nafsu banyak mengarah kepada kejahatan. Akal dan nafsu sentiasa berlawanan antara satu sama lain. Akal semata-mata tidak menjamin sebarang kebaikan, jika tidak dipandu oleh Syariat Allah S.W.T.

Umat Islam hari ini bukan sahaja menghadapi serangan berbentuk fizikal, tetapi yang amat membimbangkan ialah pertembungan yang bersifat perdebatan. Sehingga apa yang telah dinyatakan oleh Nabi S.A.W bahawa ‘Perselisihan di kalangan umatku adalah satu rahmat’ kadang-kadang berlaku sebaliknya iaitu menjadi perpecahan. Ini bukan sahaja akan membinasakan kefahaman umat Islam terhadap agamanya sendiri, malah pemikiran dan ritual ibadah mereka juga turut menjadi sasaran.


PENGERTIAN KHILAF

Khilaf membawa maksud: tidak sependapat atas sesuatu perkara. Dalam ertikata lain, setiap orang mempunyai perbezaan samada dalam perkataan mahupun pendapat.
Khilaf juga memberi erti tidak sama. Oleh itu setiap yang tidak sama dikatakan khilaf.
Para Fuqaha telah mentafsirkan al-Khilaf dengan makna:
"Sesuatu yang tidak disepakati oleh para fuqaha dalam masalah-masalah ijtihadiyah ( masalah yang tida nas ) tanpa memandang betul, salah atau ganjil pendapat yang dikemukakan".
Jika ijtihad itu betul, maka akan mendapat dua pahala dan jika salah mendapat satu pahala. Menjadi satu adab yang dilakukan oleh mereka bahawa mereka tidak menyalahkan diantara satu sama lain bahkan menghormati pandangan sesama mereka.

Dr. Yusof Al-Qardawi telah memberikan pandangan bahawa memberikan kefahaman yang diharapkan mestilah diserahkan kepada ulama' yang jauh dari pemerintah pada sudut pengaruh kuasa dan penghormatan. Mereka lebih dipercayai melalui ketulenan ilmu dan kekuatan mereka terhadap pegangan agama.
Oleh yang demikian Syariat Islam telah meletakkan prinsip-prinsip bermuzakarah, berdailog dan berbincang dalam sesuatu perkara. Perbincangan mestilah beasaskan akal yang sihat, disiplin ilmu, sumber hukum syariat dan bukan secara agakan, sentimen, kepentingan sesuatu dan emosi.


SEBAB-SEBAB KHILAF DALAM ISLAM

Islam memerintahkan kepada kita supaya bersatu dan bermuafakat serta melarang berpecah belah dan berselisih pendapat. Dalam Al-Quran Allah S.W.T telah menyatakan:
"Berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai dan hendaklah kamu menjadi hamba Allah yang bersaudara".
Islam tidak melarang khilaf tetapi perlu dijaga adab dan etikanya. Jangan sampai membawa kepada perpecahan dikalangan umat Islam. Namun khilaf pasti berlaku, tetapi jika tidak dijaga disiplin dan adabnya ia akan menimbulkan implikasi yang buruk dan mengaibkan dalam masyarakat Islam. Di antara perkara yang berlaku ialah:
1. Sibuk menimbulkan masalah-masalah kecil yang bersifat ijtihadiyah dan melupakan masalah-masalah besar.
2. Berdebat dengan melakukan pendekatan yang emosional dan tidak mengakui kebenaran yang dikemukakan oleh orang lain.
3. Cenderung untuk memilih pendekatan yang keras bukan pada tempatnya, memberatkan diri dan mempersulit kaedah-kaedah dalam menentukan hukum.
4. Sikap taksub terhadap pegangan tertentu sehingga mereka banyak disibukkan dengan perdebatan sesama sendiri dan menganggap pendapatnya sahaja yang betul.
5. Jahil dalam memahami Sumber-sumber Hukum syara' yang telah disepakati oleh para Fuqaha' iaitu Al-Quran, Hadis, Ijma' dan Qias serta sumber-sumber hukum syara' yang tidak disepakati oleh Fuqaha.
6. Banyak terjebak dengan masaalah yang berbentuk terminologi, masalah-masalah istilah sehingga membahayakan pemikiran umat Islam.


BEBERAPA ETIKA DAN ADAB KETIKA BERLAKU KHILAF

Di saat berbeza pendapat baik dalam suatu majlis atau bukan, sebagai seorang muslim kita berupaya untuk menjaga adab-adab berikut:
1. Ikhlas dan mencari yang hak serta melepaskan diri dari hawa nafsu.
2. Berlapang dada menerima kritikan dan memahami bahawa ia adalah nasihat dari saudara seagama.
3. Menghindari sikap menonjolkan diri, membela diri serta mencari kemasyhuran publisiti murahan.
4. Berbincang dan bermuzakaran dengan cara dan kaedah yang terbaik.
5. Tidak menuduh orang yang mengamalkan amalan yang kita tidak sependapat sebagai sesat, bid'ah dan khurafat jika kita tidak mempunyai nas-nas syara' yang menyatakan kesalahan mereka.
6. Hendaklah memberikan ruang kepada orang lain mengemukakan pendapat atau hujjah samaada dari pihaknya atau pihak yang membangkang. Tidak boleh memotong percakapan orang lain atau menyakitinya.
7. Menghormati pandangan orang lain sebagaimana peristiwa Saidina Abu Bakar menerima cadangan tentang pengumpulan Al-Quran dari Saidina Umar.
8. Menghormati dan menghargai segala usaha yang dicurahkan oleh para ulama' mujtahin dalam pelbagai mazhab.
9. Tidak perlu memaksa orang lain menerima pandangan kita dalam perkara khilafiah kecuali amalan-amalan yang bercanggah dengan hukum-hukum yang disepakati oleh para ulama'.
10. Berbaik sangka kepada orang yang berbeza pendapat dengan kita dan tidak menuduh buruk niatnya, mencela dan menganggapnya cacat.
11. Berusaha untuk tidak memperuncing perselisihan, iaitu dengan cara menafsirkan pendapat yang keluar dari lawan atau yang dinisbahkan kepadanya dengan tafsiran yang tidak baik.
12. Tidak mudah menyalahkan orang lain, kecuali sesudah penelitian yang mendalam dan difikirkan secara matang.
13. Sedapat mungkin menghindari permasalahan-permasalahan khilafiyah dan fitnah. Berpegang teguh dengan etika berdialog dan menghindari perdebatan, bantah-membantah dan kasar menghadapi lawan.


PENUTUP

Perbahasan masalah khilafiyyah ini tidak wajar diperbesarkan dan saling menyalahkan antara satu sama lain, lebih-lebih lagi menghukum bid’ah, khurafat dan kafir. Ini kerana khilaf dalam masalah furu’ suatu yang tidak dapat dielakkan. Apa yang penting bagi umat Islam ialah berganding bahu menegakkan Syariat Islam dalam diri, rumahtangga, masyarakat dan negara. Seterusnya memerangi kemaksiatan dan kemungkaran yang disepakati dan bekerja keras menegakkan yang ma’ruf yang diijma’ ulama’ di samping berlapang dada dan bertolak ansur ketika menghadapi perkara-perkara khilafdalam semangat persaudaraan Islam dan kesatuan ummah.

Wallahu A’lam.

No comments:

Post a Comment