Oleh : pen_baru
Rasa cinta adalah suatu anugerah Tuhan kepada hambaNya. Dengan cinta, manusia sanggup melakukan apa sahaja asalkan dia memiliki apa yang dicita.
Cinta berkait rapat dengan emosi. Ia adalah perasaan yang sangat halus dan dilingkungi oleh kelembutan yang tiada batasan. Jika ia tidak berlandaskan syariat maka seseorang itu akan jatuh ke jurang cinta nafsu.
Fitrah manusia ingin menyintai dan dicintai adalah anugerah dari yang Maha Esa. Ia umpama hadiah. Wajarkah kita mencintai hadiah lebih pemberinya? Tepuk dada, tanya iman.
Dewasa ini, ramai dalam kalangan kita yang telah terpesong dari landasan syariat. Lelaki dan perempuan yang bukan mahram menjalinkan hubungan cinta yang pastinya tidak halal bagi mereka. Hadis jangan menghampiri zina tidak diendahkan. Mungkin ramai yang tidak memahami maksud sebenar atau telah hanyut dengan hasutan syaitan. Majoriti dari kita telah melakukan larangan tersebut. Jika kita menghampiri zina maka terbuka luaslah pintu-pintu maksiat.
Cinta perlu dihijab dengan iman dan rasa takutkan pencipta semata-mata. Dia memberikan cinta sebagai ujian kepada kita untuk menguji sejauh mana kesabaran hambaNya. Jangan berani bercinta jika belum bersedia. Kita perlu bermujahadah dengan melawan godaan syaitan dan hawa nafsu. Cakap memang mudah tetapi untuk mengamalkannya, ramai yang tewas. Di saat mujahadah,kita mestilah jadikan Al-Quran sebagai panduan dan penawar, Al-Quran adalah warkah cinta dari Raja segala cinta.
Mari kita mendidik hati kita untuk dicintai Raja segala cinta dengan membaca dan merenung makna Al-Quranul Karim. Sesungguhnya, Al-Quran adalah rahsia cintaNya kepada kita. Di samping itu, kita juga boleh mengamalkan amalan sunat yang telah diwariskan kepada kita oleh kekasihNya, Rasulullah s.a.w . Jika kita mengikuti sunnah-sunnah kekasihNya pasti kita beroleh cintaNya.
Allah menjadikan zikir sebagai ruh bagi amalan soleh. Kita hendaklah selalu membasahkan lidah dengan zikrullah. Oleh yang demikian kita akan merasa dekat dengan Tuhan. Imam Ibn Qayyim dalam kitab Al-Wabil Al-sayyib mengatakan antara kelebihan berzikir adalah menjadikan diri kita kuat untuk mempertahankan diri daripada gangguan syaitan, menghidupkan hati daripada kelalaian, ,erupakan tanda syukur kepada Allah dan banyak lagi. Firman Allah dalam surah Ar-ra’d ayat 28 yang bermaksud : Hanya dengan mengingati Allah hati-hati akan menjadi tenang.
Cinta perlukan pengorbanan. Kita perlu mengutamakan dan mengikut suruhan Allah dan meninggalkan apa yang dibencikanNya. Di sini syaitan akan memainkan peranannya untuk menghiaskan segala amalan keburukan. Kita tidak akan merasa bersalah untuk melakukan maksiat kerana semuanya kelihatan baik belaka.
Allah memberi ujian kepada orang yang beriman dengan mencintai syahwat dan cenderung kepada maksiat kerana ingin menguji sejauh mana usahanya untuk berjuang melawan hawa nafsu dan meniggalkannya demi mencapai mardhatillah(keredhaan Allah). Jika berjaya maka Allah mengankat darjatnya, jika tewas akan mendapat balasan yang setimpal.
Untuk mendapat cinta ilahi kita perlu merasa rendah diri dan hina dihadapanNya. Allah berkuasa ke atas segalanya. Hanya kepadaNyalah tempat meminta dan berharap. Kita juga perlu redha dengan apa yang telah ditakdirkan kepada kita. Allah maha mengetahui. Dialah yang maha pencipta dan mengetahui apa yang baik dan buruk bagi hambaNya.
Qiamullail juga adalah salah satu cara mendidik hati untuk memperoleh cinta abadi. Waktu yang paling mustajab untuk bermunajat padaNya adalah di waktu sepertiga malam. Hal ini terbukti di dalam hadis riwayat Muslim, dari Jabir r.a mengatakan aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “ Pada malam ada satu waktu (yang berkat) di mana jika seseorang muslim menepati waktu itu dan berdoa kepada Allah dan meminta keberkatan dunia dan akhirat nescaya Allah kabulkan doanya. Keadaan ini ada pada tiap-tiap malam”.
Ketahuilah bahawa faktor yang mendorong kita untuk berjaga malam adalah perasaan cinta kepada Pencipta dan keimanan yang kuat.
Sesungguhnya hati yang mencintai Allah adalah hati yang beruntung kerana semua yang dilakukan akan mendatangkan kebaikan. Tidak rugi jika tidak menurut hawa nafsu kerana kehidupan di dunia hanya sementara.
Ingatlah, sesiapa yang berpaling dari mencintai Allah, mengingatiNya dan merindukan pertemuan denganNya, maka Allah akan memberikan ujian dengan apa yang dia cintai selain Allah itu. Marilah kita bermunasabah, semoga kita semua mengutamakan cinta Agung dari cinta selainNya
No comments:
Post a Comment