Apabila al-Quran yang hanya mengandungi 30 juzuk pun didapati begitu banyak ayat-ayat tentang berzikrullah, apatah lagi hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang terdiri daripada kitab-kitab hadis yang tidak terhitung banyaknya.
Saidina Muaz r.a. berkata:”Perbicaraan antara Baginda s.a.w dengan aku ketika aku berpisah ialah aku bertanya Baginda s.a.w. amalan manakah yang paling disukai Allah s.w.t.? Baginda s.a.w. bersabda bahawa hendaklah kamu meninggal dunia dalam keadaan lidah kamu basah dengan berzikir kepada Allah.
Abu Darda r.a. berkata bahawa orang yang lidahnya sentiasa basah kerana sibuk berzikrullah akan memasuki syurga sambil tersenyum-senyum. Zikrullah juga merupakan punca kesucian hati dan setiap ibadat akan dikira ibadat yang sempurna apabilaibadat tersebut dikerjakan dengan ikhlas dan asas keikhlasan bergantung kepada kesucian hati.
Oleh itu, sebahagian ulama’ tasawuf mengatakan bahawa zikir terbahagi kepada dua iaitu zikir lisani (melalui lidah) dan zikir qolbi (melalui hati), Zikir qalbi bermaksud hati sentiasa berhubung dan terpaut dengan Allah s.w.t. Keadaan hati sebegini tidak diragui lagi adalah lebih utama daripada segala ibadat. Apabila dalam keadaan sebegini maka tidak mungkin apa-apa ibadat akan ditinggalkan kerana semua anggota zahir mahupun batin mengikut hati. Setiap benda yang terpaut oleh hati, maka seluruh anggota lain akan turut terpaut dengan benda itu.
Melalui keberkatan zikrullah, seseorang akan mencapai ketinggian darjat di akhirat walaupun zikrullah itu dikerjakan dengan senang lenang tanpa bersusah payah seperti diatas tilam yang empuk.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sekiranya kamu sentiasa sibuk berzikir nescaya para malaikat akan berjabat tangan dengan kamu berjalan dan ketika kamu tidur”. Imam Tirmizi r.a. berkata bahawa zikrullah dapat menyegarkan dan melembutkan hati. Apabila hati lalai daripada mengingati Allah s.w.t. maka akibat kepanasan nafsu dan api syahwat hati mulai kering dan menjadi keras, anggota-anggoya lain turut menjadi keras, terhenti daripada mentaati dan mematuhi perintah-perintah Allah s.w.t.
Habib Umar bin Hafizd berkata: ”Tanpa menahan hawa nafsu maka manusia tidak akan sampai pada Tuhannya sama sekali, dan kedekatan manusia dengan Allah s.w.t menurut kadar pembersihan jiwanya.”
Antara salah satu daripada tujuh golongan yang aka dilindungi oleh Allah s.w.t dibawah naungan Rahmat-Nya pada hari yang tiada naungan selain daripada naungan Rahmat-Nya iaitu lelaki yang mengingati Allah s.w.t. berseorang sehingga berlinangan air matanya.
Maksud berlinangan air mata ialah mungkin seseorang itu mengingati maksiat dan dosa-dosa yang lampau, lalu dengan sengaja atau tidak sengaja dia menangis hingga berlingangan air matanya, mungkin juga seseorang sangat terharu sehingga tanpa disedari air matanya berlinangan.
Thabit Banani meriwayatkan kata-kata seorang wali Allah, “Aku mengetahui doaku yang telah diperkenan.” Orang ramai bertanya, “Bagaimana tua dapat mengetahui?” Jawabnya: ”Semasa berdoa tegak bulu roma, hati berdebar dan air mata berlinangan maka doa itu akan diterima”. Beruntunglah seseorang yang menjadikan air mata sebagai teman baiknya.
Sepertimana firman Allah s.w.t hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Sakinah pula ialah ketenagan dan ketenteraman atau rahmat yang khusus. Imam Nawawi r.a. berkata sakinah ialah sesuatu yang khusus meliputi ketenangan, ketenteraman, rahmat dan lain-lain yang turun bersama para malaikat.
Hafiz ibnu Qayyim r.a menulis dalam kitabnya alWaabilus Soyyib tentang kelebihan zikir antaranya iaitu dapat menjauhkan daripada syaitan dan menghancurkan kekuatannya, menyebabkan keredhaan Allah, menjauhkan dukacita dan kerisauan dalam hati, menguatkan hati dan badan, menyebabkan hati dan wajah bercahaya, menarik rezeki. Dengan zikir dapat menghidupkan hati. Zikir membersihkan karat daripada hati, menjauhkan daripada dosa dan maksiat. Selagi lidah sibuk dengan berzikir maka selagi itulah ia terpelihara daripada bercakap sia-sia, berdusta, mengumpat dan sebagainya.
Dalam melakukan perlu didahulukan adab dan tertib. Seperti yang dinyatakan oleh Imam Nawawi r.a. dalam al-Azkar dan Imam Habib Abdullah al-Haddad dalam Nasoih ad-Diniyah hendaklah menghadirkan hati ketika lisan sedang sedang berzikir. Selain itu, hendaklah juga berada dalam keadaan bersih dan bersuci terlebih dahulu. Khusyuk kepada Allah s.w.t perlu didahulukan dengan sentiasa mengingat kebesaran-Nya, menghadap ke qiblat, menundukkan kepala, bertenang semua anggotanya seperti didalam solat.
Perlu diingatkan juga jangan sesekali lalai daripada berzikir pada setiap masa dan waktu, kerana lalai daripada mengingati Allah itu menimbulkan bahaya yang besar. Ada juga syaitan menguasai manusia yang lalai itu, lalu dihalangnya itu daripada berzikir kepada Allah disebabkan kelalaian yang telah membelenggu dirinya. Bagi seseorang mukmin haruslah berzikir kepada Allah sebaik-baiknya, sebaimana sebaliknya sifat munafiq hanya berzikir kepada Allah sedikit sahaja.
“Ya Allah, sesungguhnya daku memohon kepada-Mu taufiq orang memperoleh petunjuk, amalan-amalan orang yang yaqin, kejujuran orang yang bertaubat, kesungguhan orang yang sabar, sifat berhati-hati orang yang takut kepada-Mu, kemahuan orang yang cinta kepada-Mu, ibadat orang yang warak dan makrifat orang yang berilmu.
Ya Allah, sesungguhnya daku memohon sifat takut kepada-Mu, yang menjauhkan daku daripada membuat meksiat kepada-Mu. Dan supaya daku membuat amalan yang dengannya daku mendapat keredhaan-Mu. Supaya daku bertaubat dengan jujur kerana takut kepada-Mu. Supaya daku ikhlas kepada-Mu dengan penuh cinta terhadap-Mu, Supaya daku bertawakkal kepada-Mu dalam semua urusan dengan bersangka baik kepada-Mu, Maha Suci Yang Menciptakan Nur. Wahai Tuhan Kami, sempurnakanlah nur kami dan ampunilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Terimalah dengan rahmat-Mu Wahai Yang Maha Penyayang..”
Semoga Allah s.w.t menggolongkan kita semua kedalam golongan orang-orang yang banyak berzikir kepada Allah.. Amin Allahumma Amin…
Oleh- Ibn Abd Rahman
Rujukan: al-Azkar,Nasihat Agama dan Wasiat Iman & Fadhilat Zikir.
No comments:
Post a Comment