Saturday, July 17, 2010

Uthman bin Affan

Khalifah Uthman bin Affan ra

Khalifah Ketiga, Malaikat Berasa Malu Kepadanya
Khalifah Uthman merupakan khalifah Islam yang ketiga selepas Khalifah Abu Bakar dan
Khalifah Umar al-Khattab. Beliau dilantik menjadi khalifah melalui persetujuan orang
ramai.

Sirah Khalifah Uthman bin Affan

Nama beliau sebenarnya ialah Uthman b. Affan b. Abul-As yang mana beliau dilahirkan
ketika Baginda Nabi Muhammad s.a.w. berumur 5 tahun. Uthman merupakan seorang
bangsawan dari golongan Quraish dari Bani Ummayah.

Beliau terkenal sebagai seorang yang lemah lembut, pemurah dan baik hati. Beliau
merupakan salah seorang dari saudagar yang terkaya di Tanah Arab, sehingga beliau
digelarkan dengan gelaran “al-Ghani”. Selepas memeluk Islam beliau banyak
mendermakan hartanya ke arah kepentingan agama Islam, sebagai contohnya dalam
peperangan Tabuk, beliau telah mendermakan hartanya sebanyak 950 ekor unta, 50 ekor
kuda dan 1000 dinar. Begitu juga ketika umat Islam berhijrah ke Madinah, umat Islam
menghadapi masalah untuk mendapatkan air minuman. Oleh itu Saidina Uthman telah
membeli telaga Ruma dari seorang Yahudi dengan harga 20 000 dirham untuk
digunakan oleh umat Islam dengan percuma.

Saidina Uthman bin Affan ra adalah seorang yang bertaqwa dan bersikap wara'. Tengah
malamnya tak pernah disia-siakan. Beliau memanfaatkan waktu itu untuk mengaji al-
Quran dan setiap tahun beliau menunaikan ibadah haji. Bila sedang berzikir dari
matanya mengalir air mata haru. Beliau selalu bersegera dalam segala amal kebajikan
dan kepentingan umat, dermawan dan penuh belas kasihan. Khalifah Uthman telah
melaksanakan hijrah sebanyak dua kali, pertama ke Habasyah, dan yang kedua ke
Madinah.

Beliau digelarkan sebagai “Zunnurain” yang bermaksud dua cahaya kerana menikahi
dua orang puteri Rasulullah iaitu Ruqayyah dan Ummi Kalthum. Setelah Ruqayyah
meninggal dunia, Rasulullah s.a.w telah menikahkan beliau dengan puteri Baginda s.a.w. iaitu Ummi Kalthum. Uthman berkahwin sebanyak 7 kali lagi selepas kematian Ummi
Kalthum dan seluruh anaknya berjumlah seramai 16 orang. Isterinya yang terakhir ialah
Nailah binti Furaifisha.

Beliau dilantik menjadi khalifah selepas kematian Khalifah Umar ra yang ditikam. Beliau
dilantik menjadi khalifah pada tahun 23 Hijrah oleh jawatankuasa yang ditubuhkan oleh
Khalifah Umar al-Khattab ra.

Kepimpinan Dan Sejarah Pentadbiran

Ahli sejarah telah membahagikan tempoh pemerintahan Khalifah Uthman selama 12
tahun kepada dua bahagian iaitu pertamanya zaman atau tahap keamanan dan
keagungan Islam, manakala yang keduanya pula ialah tahap atau zaman “Fitnatul-
Kubra” iaitu zaman huru hara.

Zaman Keamanan Dan Keagungan Islam

Banyak jasa-jasa dan juga kejayaan yang telah dilakukan oleh Khalifah Uthman dalam
menyebar dan memperkembangluaskan Islam. Ini termasuklah kejayaannya dalam:

1. Bidang Ketenteraan

Khalifah Uthman banyak melakukan perluasan kuasa terhadap beberapa buah negara
dalam usahanya menyebarkan Islam, ini dapat dilihat pada keluasan empayar Islam
yang dapat mengatasi keluasan empayar Rom Timur dan juga empayar Parsi pada
zaman kegemilangan mereka. Antara wilayah baru yang telah berjaya ditakluki ialah
Cyprus, Afganistan, Samarqand, Libya, Algeria, Tunisia, Morocco dan beberapa buah
negara lagi. Beliau juga bertanggungjawab dalam menubuhkan angkatan tentera laut
Islam yang pertama bagi menjamin keselamatan dan melakukan perluasan kuasa.
Banyak negara-negara yang telah dibuka melalui angkatan tentera ini.

2. Melakukan Pembukuan Al-Quran

Perluasan kuasa telah menyebabkan penyebaran Islam terjadi secara meluas. Apabila
ramainya orang-orang yang memeluk Islam sudah tentu banyaknya perbezaan antara
sesuatu wilayah dengan wilayah yang lain dari segi mereka mempelajari Islam. Apa
yang paling ketara sekali ialah dalam masalah mereka mempelajari al-Quran. Banyak
terdapatnya perbezaan bacaan yang membawa kepada salah bacaan antara satu
tempat dengan tempat yang lain. Dengan keadaan ini banyak terjadinya salah faham
dan saling tuduh menuduh sesama orang Islam dalam menyatakan siapakah yang betul
pembacaannya.

Oleh itu Khalifah Uthman telah mengadakan satu naskhah al-Quran yang baru yang
mana ianya digunakan secara rasmi untuk seluruh umat Islam. Khalifah Uthman telah
menggunakan lahjah Bahasa Quraish dan yang mana al-Quran yang berbeza telah
dibakar. Al-Quran inilah yang digunakan hingga kehari ini yang mana ianya dikenali
dengan nama Mushaf Uthmani. Langkah-langkah ini bertujuan untuk menjamin kesucian
al-Quran sebagai sumber perundangan Islam.

3. Beliau Telah Membesarkan Masjid Nabawi

Masjid Nabawi telah menjadi padat kerana dipenuhi dengan jemaah yang semakin
ramai, Oleh itu Khalifah Uthman telah membesarkan masjid tersebut dengan membeli
tanah bagi memperluaskan kawasan tersebut. Masjid tersebut telah diluaskan pada
tahun 29 Hijrah.

4. Usaha Khalifah Uthman Dalam Menyebarkan Dakwah Islam

Khalifah Uthman sering berdakwah di penjara dan beliau berjaya mengislamkan ramai
banduan. Beliau juga banyak mengajar hukum-hukum Islam kepada rakyatnya. Ramai
pendakwah telah dihantar keserata negeri bagi memperluaskan ajaran Islam. Beliau
juga telah melantik ramai pengajar hukum Islam dan juga melantik petugas khas yang
membetulkan saf-saf sembahyang. Beliau juga banyak menggunakan al-Quran dan as-
Sunah dalam menjalankan hukum-hukum.



Al-Fitnah al-Kubra (Zaman Fitnah)

Pada akhir tahun 34 Hijrah, pemerintahan Islam dilanda fitnah. Sasaran fitnah tersebut
adalah Saidina Uthman ra hingga mengakibatkan beliau terbunuh pada tahun
berikutnya.

Fitnah yang keji datang dari Mesir berupa tuduhan-tuduhan palsu yang dibawa oleh
orang-orang yang datang hendak umrah pada bulan Rejab.

Saidina Ali bin Abi Thalib ra bermati-matian membela Saidina Uthman dan menyangkal
tuduhan mereka. Saidina Ali menanyakan keluhan dan tuduhan mereka, yang segera
dijawab oleh mereka, "Uthman telah membakar mushaf-mushaf, shalat tidak diqasar
sewaktu di Makkah, mengkhususkan sumber air untuk kepentingan dirinya sendiri dan
mengangkat pejabat dari kalangan generasi muda. la juga mengutamakan segala
fasilitas untuk Bani Umayyah (golongannya) melebihi orang lain."

Pada hari Jumaat, Saidina Uthman berkhutbah dan mengangkat tangannya seraya
berkata, "Ya Allah, aku beristighfar dan bertaubat kepadaMu. Aku bertaubat atas
perbuatanku."

Saidina Ali ra menjawab, "Mushaf-mushaf yang dibakar ialah yang mengandungi
perselisihan dan yang ada sekarang ini adalah yang disepakati bersama
keshahihannya. Adapun shalat yang tidak diqasar sewaktu di Makkah, adalah kerana
dia berkeluarga di Makkah dan dia berniat untuk tinggal di sana. Oleh kerana itu
shalatnya tidak diqasar. Adapun sumber air yang dikhususkan itu adalah untuk ternak
sedekah sehingga mereka besar, bukan untuk ternak unta dan domba miliknya sendiri.
Umar juga pernah melakukan ini sebelumnya. Adapun mengangkat pejabat dari
generasi muda, hal ini dilakukan semata-mata kerana mereka mempunyai kemampuan
dalam bidang-bidang tersebut. Rasulullah SAW juga pernah melakukan ini hal yang
demikian. Adapun beliau mengutamakan kaumnya, Bani Umayyah, kerana Rasulullah
sendiri mendahulukan kaum Quraish daripada bani lainnya. Demi Allah seandainya
kunci syurga ada di tanganku, aku akan memasukkan Bani Umayyah ke syurga."

Setelah mendengar penjelasan Ali ra, umat Islam pulang dengan rasa puas. Tetapi para
peniup fitnah terus melancarkan fitnah dan merencanakan makar jahat mereka. Di
antara mereka ada yang menyebarkan tulisan dengan tanda tangan palsu dari pada
sababat termuka yang menjelek-jelekkan Uthman. Mereka juga menuntut agar Uthman
dibunuh.

Fitnah kejipun terus menjalar dengan kejamnya, sebahagian besar umat termakan fitnah
tersebut hingga terjadinya pembunuhan atas dirinya, setelah sebelumnya terkepung
selama satu bulan di rumahnya. Peristiwa inilah yang disebut dengan "Al-Fitnah al-
Kubra" yang pertama, sehingga merobek persatuan umat Islam.

Saidina Uthman ra telah mati dibunuh oleh pemberontak-pemberontak yang mengepung
rumahnya pada tahun 35 Hijrah, bersamaan dengan tahun 656 Masihi.
Pemerintahannya memakan masa selama 12 tahun, yang mana ianya merupakan
pemerintah yang paling lama dalam pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin.

No comments:

Post a Comment