Friday, August 12, 2011

salahuddin Al-Ayubi

Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurdis biasa. Pendidikannya
juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan
mempertahankan diri. Tiada seorangpun yang menyangka sebelum ia menguasai Mesir
dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurdis ini suatu hari nanti akan
merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan
tiada siapa yang menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh
dalam memerangi kekufuran hingga ke hari ini.

Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai
anak seorang governor yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi
tidak menunjukkan satupun tanda-tanda ia akan menjadi orang hebat pada masa
depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.

Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada
zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk
menjadi pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, Sultan
Aleppo, ia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah
oleh sebuah kerajaan Syi'ah yang tidak bernaung di bawah khalifah. Bahauddin bin
Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat
berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa
ke tempat pembunuhan (Bahauddin, 1234).

Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, "Boleh jadi
kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu
menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu" (Al-Baqarah:216)

Pertukaran Hidup Salahuddin Al-Ayubi

Ketika Salahuddin menguasai Mesir,dia tiba-tiba berubah. Dia yakin bahawa Allah
telah mempertanggung-jawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak
mungkin dapat dilaksanakan jika dia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin telah
menuliskan dalam catatannya bahwa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi
pemerintah Mesir. Dunia dan kesenangannya telah lenyap dari pandangan matanya.
Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan
dunia dan segala kesenangannya (Bahauddin,1234).

Bahkan Stanley Lane Poole(1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah cara
hidupnya kepada yang lebih keras. Dia bertambah wara' dan menjalani hidup yang
lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan corak hidup senang dan memilih
corak hidup "Spartan" yang menjadi contoh kepada tenteranya. Dia menumpukan
seluruh tenaganya untuk satu tujuan yaitu untuk membina kekuasaan Islam yang
cukup kuat untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam.

Salahuddin pernah berkata, "Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku
yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan dia memenangkan
perjuangan Islam. Sehubungan denganitu dia telah menyerahkan dirinya untuk jalan
jihad.


Semangat Jihad Salahuddin Al-Ayubi

Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin
telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad
menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang
paling digemarinya. Ia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat
pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad.

Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan
sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini dia lebih banyak di dalam khemah
perang daripada duduk di istana bersama keluarga. Siapa sahaja yang
menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Siapa sahaja yang
memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia telah memulakan jihad melawan
tentera salib dia akan menumpukan sepenuh perhatiannya kepada persiapan
perang dan menaikkan semangat tenteranya.

Dalam medan peperangan dia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak
tunggal akibat dibunuh oleh tangan yang jahat. Dia akan bergerak dari satu hujung
medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya
benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Dia juga akan pergi ke seluruh
pelusuk tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit
membela Islam.

Ketika dia mengepung Acre dia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor
peribadinya. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan
beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin kerana dia tidak mahu
perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Bahauddin, 1234)

Peperangan Salib di Hittin

Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan
tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24
Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah. Dalam peperangan ini Raja
Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di tawan beserta adiknya Reginald
dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari
Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga
tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole
menceritakan bahwa dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang
tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah.

Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di
antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala
manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian
telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang
dapat dilihat memutih dari jauh.

Kecintaan Salahuddin Al-Ayubi kepada Islam

Peperangan Hittin telah menyerlahkan lagi kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley
Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa
peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya didirikan
diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja
Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya. Dipersilakan sang Raja
duduk dekat dengannya.

Kemudian dia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, "Dua kali aku telah
bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika dia bersumpah akan melanggar dua
kota suci dan kedua ketika dia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan
menuntut bela Muhammad SAW atasnya". Lalu ia menghunuskan pedangnya dan
memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari
khemah.

Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung, dia mengeletar kerana menyangka
gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya
sambil berkata, "Bukanlah kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain,
tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah
apa yang telah terjadi".

Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi
Muhammad SAW. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin
mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin diserang dicederakan tanpa belas
kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka dikasihani.
Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, "Mintalah kepada Nabi kamu,
Muhammad, untuk menyelematkan kamu". Ketika dia mendengar berita ini dia telah
berjanji akan membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila dia dapat
menangkapnya.

Salahuddin Menawan Baitul Muqaddis

Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk
menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin
sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis hinggakan bukitpun akan
mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam hatinya. Pada hari jumaat, 27 Rajab,
583H, iaitu pada hari Isra' Mi'raj, Salahuddin telah memasuki banda suci tempat
Rasulullah SAW naik ke langit.

Dalam catatan Bahauddin dia menyatakan inilah kemenangan atas kemenangan. Ramai
orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa
datang merayakan kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang
dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk
mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua
pembesar-pembesar datang. Laungan "Allahhu Akbar" dan "Tiada tuhan melainkan
Allah" telah memenuhi langit.

Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul
Muqaddid. Salib yang terpampang di 'Dome of Rock' telah diturunkan. Betapa
hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu
betapa hebatnya hari itu.

Salahuddin Yang Penyayang

Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh
berbeda daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun
mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah
mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah menuliskan yang Salahuddin telah
menunjukkan ketiggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah.
Tenteranya sangat bertanggung jawab, menjaga peraturan di setiap jalan,
mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian
diperlakukan tidak baik.

Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis ditangannya dan seorang yang amanah
telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima wang tebusan daripada
orang-orang Kristian yang ditawan. Lane-Poole juga telah menuliskan bahawa
Salahuddin telah mengatakan kepada pegawainya, "Adikku telah memberi infak,
Padri besar pun telah menderma. Sekarang giliranku pula". Lalu ia memerintahkan
pegawainya mewartakan di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu
membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka begitu ramailah orang berpusu-pusu
keluar dari pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah
Salahuddin kepada orang miskin tanpa menghitung bilangan mereka.

Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian
ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat
dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan
Jerusalem jalan-jalan itu 'tersumbat' dengan mayat-mayat, orang-orang Islam
yang tidak bersenjata diseksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas
bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir
dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencermarkan
kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat
bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh
Salahuddin.

Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang
diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang
penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di
sepanjang zaman.

Perang Salib Ketiga

Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada
tahun 1099 (490H) manakala yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam
peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari kemudian ia
telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan tentera Kristian
ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah
dicurahkan ke bumi Palestin.

Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick
Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja
Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah
bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesarnya dan
saudara maranya serta tenteranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat
pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang
besar itu.

Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak
menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk memuat
perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah
pengusa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan
Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib ketiga.

Lane-Poole telah mencatatkan perjanjian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang
telah berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada bulan
Julai, 1187 M, tiada satu inci pun tanah Palestin di dalam tangan orang-orang
Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192 M, keseluruhannya
menjadi milik mereka kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin
tidak ada rasa malu apapun dengan perjanjian ini walaupun sebahagian kecil
tanah Palestin masih di tangan orang-orang Kristian.

Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat senjata. Raja England,
Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders dan
beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja dan Putra
Mahkota Palestin untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan
Kristian. Walau bagaimanapun ada raja yang mati dan ada yang balik dan
sebahagian pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi
Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.

Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kristian yang telah
ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan Salahuddin.
Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang menyusahkan itu tetapi
mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk menyerahkan jiwa raga mereka di
jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh di lembah Tigirs di Iraq mengeluh
dengan tugas yang tidak henti-henti, tetapi ketaatan meraka yang tidak pernah
berbelah bagi.

Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq)
telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin
memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentra-tenteranya dari Mesir,
Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam
dari mana-mana sahaja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi
Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan dari pada mula
peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.

Lane-Poole juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Dia
mempunyai majlis syura (musyawarah)yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan.
Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri.
Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa
yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis
itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya,
pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai
sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya
menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan
perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada
Salahuddin.

Kematian Salahuddin Al-Ayubi

Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H,Salahuddin telah pulang ke rahmatullah selepas
berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin
Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir
Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas dia jatuh sakit, dia telah
menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja'afar seorang yang wara' telah diminta
menemani Salahuddin di Istana supaya jika dia nazak, bacaan Qur'an dan syahadah
boleh diperdengarkan kepadanya.

Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin.
Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas
membacakan Qur'an. Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan dan sedar sebentar.
Apabila Syeikh Au Jaafar membacakan ayat, "Dialah Allah, tiada tuhan melainkan
Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata" (Al-Hasyr: 22), Salahuddin
membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira dia
berkata, "Memang benar". Selepas dia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali
ke rahmatullah. Masa ini adalah sebelum subuh, 27 Safar.

Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali
satu dinar dan 47 dirham ketika dia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang,
tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang
ditinggalkannya tidak cukup untuk upah pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa
meminjam wang untuk menanggung upah pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun
diberikan oleh seorang menterinya.

Salahuddin yang Wara'

Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan bierkenaan
kewarakan Salahuddin. Satu hari dia berkata bahawa dia telah lama tidak pergi
sembahyang berjemaah. Da memang suka sembahyang berjemaah, bahkan ketika
sakitnya, dia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan
sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh Rasulullah SAW, Dia sentiasa
mengerjakan sembahyang sunnat malam. Jika disebabkan hal tertentu dia tidak
dapat sembahyang malah, dia akan menunaikannya ketika hampir subuh. Bahauddin
melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga
terakhir di mana dia telah tersangat lemah dan selalu pengsan.

Tetapi dia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Dia tidak pernah membayar zakat
kerana ia tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Dia sangat murah hati dan akan
menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang
memerlukan hinggakan ketika wafatnya dia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan
satu dinar wang emas. Dia tidak meninggalkan harta.

Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa
Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika
sakitnya pun dia berpuasa sehinggalah doktor menasihat kannya dengan keras supaya
berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, "Aku tak tahu
bila ajal akan menemuiku". Maka segera dia membayar fidyah.

Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan
haji ke Mekah tetapi dia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kewafatannya,
keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi ditakdirkan. Dia sangat
gemar mendengar bacaan Al-Qur'an. Dalam medan peperangan dia acap kali duduk
mendegar bacaan Qur'an para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzu'
semalam. Dia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya
membasahi dagunya. Dia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw.
Dia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan.
Apabila ulama hadis datang ke bandar, dia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang
kadang dia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan
kadang-kadang dia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendengarkan
hadis-hadis dibacakan kepadanya.

Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Dia biasa
meletakkan segala harapan nya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan.
Pada satu ketika ia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak
dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun
keadaan sangat terdesak dia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu
adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, "Hanya aku dan
Salahuddin sahaja pada masa itu. Dia menghabis kan masa malam itu dengan
bersembahyang dan munajat.

Pada tengah malam saya minta supaya ia berehat tetapi jawabnya, "Ku fikir kau
mengantuk. Pergilah tidur sejenak". Bila hampir subuh akupun bangun dan pergi
mendapatkannya. Aku dapati ia sedang membasuh tangannya. "Aku tidak tidur
semalam" katanya. Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya, "Kau kena
munajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya". Lalu ia bertanya, "Apa yang perlu
ku lakukan?"

Aku menjawab, Hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke masjid
Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba di masjid,
sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat Rasulullah SAW pernah sembahyang
sebelum mi'raj dahulu. Aku pernah membaca hadis doa yang dibuat di
tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau bermunajadlah kepada Allah dengan
ucapan "Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon
pertolongan-Mu. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau sahaja
yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini"

Aku mengatakan kepadanya, "Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan doamu".
Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika
dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya
dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi
aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan
berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa
hari kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke
Ramla pada hari Isnin pagi"


Tingkah-laku Salahuddin Al-Ayubi

Siapa yang rapat dengannya mengatakan dia adalah seorang Islam yang taat kepada
Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun.
Bahauddin bin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan dia
telah memberikan masa untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari Isnin
dan Selasa. Pada masa ini dia disertai oleh pembesar-pembesar negara, ulama dan
kadi. Semua orang boleh berjumpa dengannya. Dia sendiri akan membacakan
aduan yang diterimanya dan mengucapkan untuk dituliskan oleh juru tulis tindakan
yang perlu diambil dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Dia tidak
pernah membenarkan orang meninggalkannya selagi ia belum menyempurnakan hajat
orang itu. Dalam masa yang sama dia sentiasa bertasbih kepada Allah.

Jika ada orang membuat aduan, dia akan mendegarkan dengan teliti dan kemudian
memberikan keputusannya. Suatu hari seorang lelaki telah membuat aduan
berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Dengan segera dia memanggil anak
saudaranya itu dan meminta penjelasan. Dalam ketika yang lain ada orang yang
membuat tuduhan kepada Salahuddin sendiri. Yang memerlukan penyiasatan. Walaupun
tuduhan orang itu didapati tidak berasas, dia telah menghadiahkan orang
itu sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain.

Ia adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan sangat
benci kepada ketidakadilan. Dia sentiasa mengabaikan kesilapan-kesilapan
pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka melakukan kesilapan yang
memanaskan hatinya, dia tidak pernah menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air
muka mereka. Pada suatu ketika dia pernah meminta air minum, tetapi entah apa
sebabnya air itu tidak diberikan kepadanya. Dia meminta sehingga lima kali lalu
berkata, "Aku hampir mati kehausan". Dia kemudian meminum air yang dibawakan
kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan.

Dalam ketika yang lain dia hendak mandi selepas mengalami sakit yang agak lama.
Didapatinya air yang disediakan agak panas, lalu dia meminta air sejuk. Sebanyak
dua kali khadamnya menyebabkan air sejuk terpercik kepadanya. Disebabkan dia
belum benar-benar sihat, dia merasa kesejukan tetapi ia hanya berkata kepada
khadamnya, "Katakan sajalah kalau kau tak suka kepadaku". Lalu khadam itu
cepat-cepat minta maaf dan Salahuddin terus memaafkannya.

Bahauddin juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan sifat
pemurah dan baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru ditawannya
pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika dia telah berjaya menawan bandar
'Amad. Lalu seorang perwira tentera, Qurrah Arslan, menyatakan
keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan senang hati dia memberikannya.
Bahkan dalam beberapa ketika dia menjualkan hartanya semata-mata untuk
membeli hadiah. Melihat betapa pemurahnya Salahuddin, bendaharinya selalu
merahsiakan baki wang simpanan untuk digunakan semasa kecemasan.

Jika dia tahu, dia akan menyedekahkan khazanah negara sehingga habis. Salahuddin
pernah mengatakan ada orang baginya wang dan debu sama sahaja. "Aku tahu", kata
Bahauddin, "Dia mengatakan dirinya". Salahuddin tidak pernah membiarkan tetamunya
meninggalkannya tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda
penghargaan, walaupun tamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat
Salahuddin dan dia menyambutnya dengan tangat terbuka, melayannya dengan hormat
dan mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa
mengirimkan ais dan buah-buahan kepada Richard the Lion, musuh ketatnya, ketika
Raja inggeris itu sakit.

Hatinya memang sangat lembut hingga ia sangat mudah terkesan apabila melihat
orang dalam kesusahan dan kesedihan. Suatu hari seorang perempuan Kristian
datang mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu menangis dan meraung di depan
Salahuddin sambil menceritakan bayinya dicuri dari khemahnya. Perempuan
itu seterusnya mengatakan dia telah dimaklumkan hanya Salahuddin sahaja yang
boleh mendapatkan bayi itu kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita
perempuan
itu lalu diapun turut menangis. Dia segera memerintahkan pegawai-pegawainya
mencari bayi itu di pasar hamba-sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah
dapat
dibawa kembali lalu dengan rasa gembira mendoakan kesejahteraan Salahuddin.

Bahauddin juga mencatatkan Salahuddin sangat kasihan belas kepada anak-anak
yatim. Bila dia terjumpa anak-anak yatim dia akan menguruskan supaya ada orang
menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang dia sendiri yang akan menjaga dan
membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Dia juga sangat kasihan melihat orang
tua
atau yang kurang upaya dan akan memberikan penjagaan yang khas kepada mereka
apabila ia bertemu dengan orang sedemikian.


Kesungguhan dan Semangat Sallahuddin Al-Ayubi

Ketika mengepung bandar Acre, Bahauddin mencatatkan bahawa Salahuddin mengidap
sakit kuat yang menyebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun
demikian, dia keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan tenteranya.
Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana ia boleh menahan sakitnya. Maka
Salahuddin menjawab, "Penyakit akan meninggalkanku apabila kamu menunggang
kuda".

Dalam ketika yang lain dia sebenarnya dalam keadaan yang lemah akibat sakit
tetapi pergi memburu musuh sepanjang malam. "Apabila dia sakit", kata Bahauddin,
Aku dan doktor akan bersamanya sepanjang malam. Dia tidak dapat tidur akibat
menahan sakit, tetapi apabila pagi menjelang, dia akan menunggang kuda untuk
melawan musuh. Dia menghantar anak-anaknya ke medan perang sebelum memerintahkan
orang lain berbuat demikian. Aku dan doktornya bersamanya sepanjang hari
menunggang kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja menjelang. Dia hanya
akan kembali ke khemah selepas memberikan arahan untuk kawalan keselamatan
pada waktu malam".

Dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang boleh
menandingi Salahuddin. Kadang-kadang dia sediri pergi ke kawasan perkhemahan
tentera musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua kali sehari. Ketika
berperang dia sendiri akan pergi merempuh celah-celah tentera musuh yang sedang
mara. Dia sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap tenteranya dan
memberikan arahan kepada panglima-panglima tenteranya. Bahauddin ada
mencatatkan satu kisah yang menunjukkan betapa beraninya Salahuddin.

Salahuddin diberitahu bahawa dia selalu mendengar bacaan hadis pada masa lapang
bukannya ketika perang. Apabila mendengar perkara ini dia segera mengarahkan
supaya hadis-hadis dibacakan kepadanya ketika peperangan sedang berkecamuk
dengan sengitnya.

Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk
menentangnya. Dalam bebeerapa ketika, tentera Salib berjumlah sehingga 600,000
orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit.
Berkat pertolongan Allah dia menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai
tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera
musuh beserta senjata berat mendarat pada satu petang.

Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu
peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran
dari
musuh telah menyebabkan tentera Islam kelam-kabut. Tentera musuh telah merempuh
khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khamah Salahuddin dan
mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya
mengatur tenteranya kembali sehingga ia berjaya membalikkan kekalahan menjadi
kemenangan. Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang
7,000 mayat-mayat.

Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suatu hari
Salahuddin pernah berkata kepadanya, "Aku hendak beritahu padamu apa yang ada
dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah
kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku,
ku berikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku
akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tak
akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi
atau jika ajalku sampai.

Salahuddin Al-Ayubi Sebagai Ulama

Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Dia juga mengetahui setiap
suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan dia mengetahui sifat-sifat kuda
Arab walaupun ia sebenarnya orang Kurd. Dia sangat gemar mengumpulkan
pengetahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa
berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Qur'an dia juga
banyak menghafal syair-syair Arab.

Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan
gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad
dan perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan juga tafsir Qur'an.


No comments:

Post a Comment