Imam Al-Zamakhsyari, Abul Qasim Mahmud bin Amru bin Ahmad Jarullah al-Khawarizmi lahir pada tahun 467 hijrah, dari bangsa Turkmenistan. Beliau adalah seorang ulama besar yang menguasai pelbagai ilmu seperti tafsir, hadith, nahu, bayan, fiqh dan lain-lain. Namun beliau seorang yang bermazhab Muktazilah dalam aqidah. Walaupun begitu, kehebatan beliau di dalam ilmu bahasa arab, terutamanya ilmu balaghah menjadikan karya-karya beliau seperti tafsir al Kasyaf dan Asas al-Balaghah sebagai sumber rujukan sehingga hari ini.
Imam Al-Zamakhsyari berhijrah ke Mekah dan tinggal di sana dalam tempoh yang lama, sehingga diberi gelaran Jarullah (Jiran Allah). Beliau wafat pada tahun 538 pada malam arafah.
Di antara masalah aqidah Muktazilah yang bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah wal jamaah, Mukktazilah berpendapat bahawa ilmu Allah Ta’ala hanya merangkumi perkara-perkara yang umum pada makhluk, dan Allah Ta’ala tidak mengetahui perkara-perkara yang terperinci. Namun Imam al-Zamakhsyari dalam perkara ini, beliau telah bertaubat pada akhir hayatnya dan kembali kepada Aqidah Ahli Sunnah yang mengatakan bahawa ilmu Allah taa’la ‘azali, meliputi setiap perkara samada umum atau terperinci, yang besar atau yang kecil.
Semoga Allah mengampunkan Imam Zamakhsyari. Beliau telah menuturkan kata-kata syair yang indah dalam menyatakan perkara tersebut, bahawa dirinya memohon keampunan kerana pernah beriktiqad bahawa Allah hanya mengetahui yang umum tidak yang khusus. Syair ini telah mengambil perumpamaan makhluk Allah yang kecil iaitu nyamuk, bahawasanya Allah mengetahui segala tentang nyamuk, sehingga setiap aliran darah di dalam diri nyamuk yang kecil. Hari ini, syair tersebut telah dipopularkan kembali oleh penasyid terkenal Ahmad Bukhatir.
يا مَنْ يَرى مَدّ البعوض جناحها == في ظلمة ِ الليل ِ البهيم ِ الأليلِ
ويرى مناط عروقها في نحرها == والمخّ من تلك العظام النحّلِ
ويرى خريرَ الدم ِ في أوداجها == متنقلاً من مفصل في مفصلِ
ويرى وصول غذا الجنين ببطنها == في ظلمة الأحشا بغير تمقلِ
ويرى مكان الوطء من أقدامها == في سيرها وحثيثها المستعجلِ
ويرى ويسمع حس ما هو دونها == في قاع بحر ٍ مظلم ٍ متهولِ
امنُنْ عليَّ بتوبة ٍ تمحو بها == ما كانَ مني في الزمان الأول ِ
Wahai (Tuhan) yang Maha Melihat nyamuk membentangkan sayapnya,
Dalam kegelapan malam kelam,
Dan Dia melihat urat pada lehernya (nyamuk),
Dan Dia juga memerhati sum-sum tulang (nyamuk) yang kurus itu,
Dan (malah) Dia melihat darah yang mengalir di dalam urat-uratnya,
Berpindah-pindah dari sendi ke sendi yang lain,
Dan Dia juga melihat sampainya makanan buat janin di dalam perutnya,
(Walaupun) di dalam kelam isi perut (nyamuk kecil itu) tanpa perlu tengok padanya,
Dan Dia maha melihat tempat pijakan dari kakinya,
Ketika dia (nyamuk itu) bergerak dan kecepatannya,
Dan Dia maha melihat dan mendengar dersipan yang lebih halus dari itu,
Di dalam dasar lautan kelam yang bergelora,
Maka (Ya Allah) kurniakanlah bagiku taubat yang dengannya Engkau menghapuskan,
Segala (dosa) apa sahaja dariku pada waktu-waktu yang telah berlalu…
No comments:
Post a Comment