Thursday, April 2, 2009

SAYA TAHU TAPI TAK MAHU

Oleh : Ahmad Sabiq Abd Rahman ( ASAR )

Tahukah anda bahaya rokok? Andai soalan ini ditanya kepada perokok tegar, hal ini pasti lebih diketahui oleh mereka berbanding orang lain, tidak pelikkah anda? kenapa pengetahuan mereka tentang bahaya rokok tidak membantu mereka untuk berhenti daripada terus memuja batang-batang rokok itu?

Pernahkan anda mendengar bahawa negara tercinta kita Malaysia, memiliki rakyat yang paling tidak mahu dan malas membaca buku melainkan sebuah buku setahun secara puratanya. Adakah majoriti rakyat Malaysia tidak tahu membaca menyebabkan mereka tidak mahu membaca? Kalau itu alasannya, hal ini tidak mungkin berlaku di kalangan penuntut di universiti-universiti dan juga pensyarah-pensyarahnya, namun apa yang menyedihkan, kajian menunjukkan nagara kita tidak memiliki barisan intelektual melainkan yang malas dan tidak mahu membaca jika dibuat perbandingan dengan negara-negara asean yang lain.

Adakah insan sekadar perlu kepada pengetahuan untuk membolehkannya melakukan sesuatu pekerjaan dan tindakan mahupun perubahan atau dia turut memerlukan kemahuan untuk melakukannya? Pengetahuan itu akal, kemahuan itu hati. Berapa ramai yang tahu bahaya rokok tetapi tidak mahu berhenti merokok. Berapa ramai yang tahu membaca tetapi benci melihat buku apatah lagi membacanya, melainkan terhimpit dengan peperiksaan demi sijil. Berapa ramai pemegang ijazah dalam bidang agama yang tahu agama tapi tidak mahu mengamalkan agama? Dan berapa ramai pula jurutera, doktor dan mereka-mereka yang tidak mendalami ilmu agama secara formal yang lebih baik penghayatan agamanya berbanding si pemegang ijazah syariah, usuluddin dan yang sewaktu dengannya. Ini menunjukkan bukanlah syarat yang disebut Nabi s.a.w tentang perihal memilih pasangan hidup ialah orang yang memiliki ijazah dalam bidang agama, tetapi pilihan itu adalah pada orang yang beragama iaitu orang yang mengamalkan dan menghayati agama dalam kehidupannya.

Dosa itu neraka, pahala itu syurga, semua umat islam tahu, tapi kenapa tidak mahu tinggalkan dosa dan tingkatkan pahala?

Segala contoh dan hujah akal yang dikemukakan dan ditonjolkan demi mengajak kita merenung hal yang sering kita terlupa mahupun buat-buat lupa. Kita berlumba-lumba menjadi orang yang tahu, tetapi tidak mahu melakukan sesuatu berlandaskan pengetahuan yang ada didalam diri.

Pengetahuan tanpa kemahuan maka untuk mengamalkan pengetahuan itu adalah suatu yang merugikan.

Gesaan melaksanakan amalan kebaikan dan meninggalkan amalan kejahatan tidak dibiarkan begitu sahaja oleh Allah dan rasulNya melainkan turut diceritakan ganjaran dan hukuman ke atas pelakunya sebagai galakan untuk melakukan kebaikan dan ancaman agar menjauhi kejahatan. Solat diajar dan diberitahu cara pelaksanaannya, kemudian turut diceritakan tentang ganjaran ke atas mereka yang memeliharanya. Al-Quran dan sunnah menyebut zina itu haram dan keji, juga tidak dibiarkan begitu sahaja melainkan diceritakan ancaman ke atas pelakunya demi menimbulkan kegerunan.
Namun bagi mereka yang ingin bercerita demi melahirkan keinginan melaksanakan amal soleh didalam diri dan masyarakat, hendaklah juga berhati-hati agar tidak tergelincir daripada menyebut sesuatu yang tidak sahih dan tsabit daripada al-Quran dan al-Sunnah, mereka-reka diatas nama nabi, jangan pula kelak kita bercerita tentang kehebatan dan kenikmatan syurga diatas jalan neraka kerana melakukan pendustaan atas nama agama.

Akal dibajai dengan pengetahuan, hati dipupuk dengan belaian dan kasih sayang agar tersemai kemahuan untuk mempraktikkan pengetahuan, jangan kita sekadar mahu menjadi orang yang tahu, tetapi tak mahu mempraktikkan apa yang kita tahu.

Tulisan ini mungkin sedikit pening kerana tidak disusun dengan baik, namun ianya dihasilkan dan ditulis secara santai setelah melihat fenomena pembangunan yang tidak seimbang dan tidak adil antara fizikal dan rohani. Pengetahuan manusia kian bertambah dan advance, namun hati manusia terus layu tanpa suntikan untuk menyuburkannya. Baik dikalangan pelajar agama atau yang telah selesai pengajiannya di universiti mahupun doktor, jurutera, peniaga atau apa jua profesion.

Lihatlah dunia yang kian maju diiringi bersamanya kehancuran sistem kemanusian bertamadun, akhlak yng tunggang-langgang, zina, curi, rogol, rompak dan samun. Bukanlah kita memusuhi pembangunan fizikal, namun biarlah ianya dihiasi dan diseimbangi dengan rohani yang sejahtera. Internet adalah pembangunan teknologi yang dicipta dan diperkenalkan untuk membantu manusia mencari maklumat secara cepat, namun akibat ketidakseimbangan pembangunan, maka pembangunan fizikal membawa kemunduran dan kehancuran rohani akibat penyalahgunaan keatasnya. Ini sekadar contoh.

Saban tahun, ribuan graduan pengajian islam dihasilkan dan dilahirkan, namun berapa ramai yang lahir itu memiliki keinginan dan kemahuan untuk mengaplikasikan apa yang dipelajari kedalam diri dan masyarakat.

Sabda nabi s.a.w, “Didalam jasad insan itu ada seketul daging, jika ianya baik, maka baiklah seluruh jasad, jika buruk, maka buruklah seluruh jasad, ketahuilah daging itu ialah hati” (riwayat Bukhari dan Muslim). Kemahuan terletak pada hati, semailah kemahuan kita dengan kebaikan berlandaskan akal yang sejahtera.

Saya tahu Syurga itu indah tapi saya tak mahu masuk.. saya tahu tapi tak mahu . ~ AK

No comments:

Post a Comment