Sunday, May 10, 2009

AURAT WANITA, WAJIBKAH MENGHIJAB MUKA ?


OLEH : DUPAHANG
DISUSUN DAN DIRINGKASKAN OLEH : ARAS

Dimanakah batas aurat perempuan? Ada sebahagian yang mengatakan bahawa seluruh tubuh perempuan adalah aurat, sehingga wajahnya juga wajib ditutup. Sebahagiannya pula menganggap wajah dan tapak tangan bukanlah aurat bagi wanita.
Khilaf dan perbezaan pendapat dikalangan para ulama' tentang batas aurat wanita itu akan selalu ada, selama nas-nas itu sendiri memang mengandungi khilaf dan perbezaan pentafsiran serta variasi istinbath( cara mengeluarkan hukum dari sesuatu nas ).

Namun di sebalik khilaf dalam masalah ini, tidak ada salahnya kita kemukakan dalil-dalil dari kedua-dua pihak, baik yang mewajibkan niqab ( penutup muka ) bagi wanita mahupun yang tidak mewajibkannya.

1. DALIL YANG MEWAJIBKAN NIQAB
Mereka yang mewajibkan setiap wanita untuk menutup muka (memakai niqab) diangkat dari pendapat bahawa wajah itu sebahagian dari aurat wanita yang wajib ditutup dan haram dilihat oleh orang lain yang bukan muhrim.

Antara dalil yang mereka kemukakan ialah :

a. Ayat Hijab (Surat Al-Ahzab : 59)

“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu’min: “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”(QS. al-Ahzab : 59)

Ayat ini adalah ayat yang paling utama dan paling sering dikemukakan oleh pendukung wajibnya niqab. Mereka mengutip pendapat para mufassirin terhadap ayat ini bahawa Allah mewajibkan para wanita untuk menjulurkan jilbabnya keseluruh tubuh mereka termasukkepala, muka dan semuanya, kecuali satu mata untuk melihat.

Riwayat ini disandarkan kepada Ibnu Abbas, Ibnu Mas`ud, Ubaidah as-Salmani dan lainnya, meskipun tidak ada kesepakatan diantara mereka tentang makna ‘jilbab’ dan makna ‘menjulurkan’.

Namun bila diteliti lebih jauh, ada keraguan yang boleh ditimbulkan dalam pendapat Ibnu Abbas tentang wajibnya niqab. Kerana dalam tafsir di surat An-Nuur yang berbunyi "kecuali yang zahir darinya,"( al-Nur : 31) Ibnu Abbas berpendapat sebaliknya.

Para ulama yang tidak mewajibkan niqab mengatakan bahwa ayat ini sama sekali tidak berbicara tentang wajibnya menutup muka bagi wanita, baik secara bahasa mahupun secara `urf (kebiasaan). Kerana yang diperintahkan menjulurkan kain ke dadanya, bukan ke mukanya. Dan tidak ditemukan ayat lainnya yang memerintahkan untuk menutup wajah.

b. Surah Al-Nuur : 31

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang nampak daripadanya.”
(QS. Al-Nur : 31)

Menurut mereka dengan mengutip riwayat pendapat dari Ibnu Mas`ud bahawa yang dimaksudkan dengan perhiasan yang tidak boleh dinampakkan adalah wajah, kerana wajah adalah pusat kecantikan.Sedangkan yang dimaksud dengan `yang biasa nampak` bukanlah wajah, melainkan selendang dan baju. 
Namun riwayat ini berbeza dengan riwayat yang sahih dari para sahabat termasuk riwayat Ibnu Mas`ud sendiri, Aisyah, Ibnu Umar, Anas dan lainnya dari kalangan tabi`in bahawa yang dimaksudkan dengan ‘yang biasa nampak darinya’ bukanlah wajah, tetapi al-kuhl (celak mata) dan cincin. Riwayat ini menurut Ibnu Hazm adalah riwayat yang paling sahih.

c. Surah Al-Ahzab : 53

“Apabila kamu meminta sesuatu kepada mereka, maka mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka. Dan tidak boleh kamu menyakiti Rasulullah dan tidak mengawini isteri-isterinya selama-lamanya sesudah ia wafat. Sesungguhnya perbuatan itu adalah amat besar di sisi Allah.”
(QS. Al-Ahzab : 53).

Para pendukung kewajiban niqab juga menggunakan ayat ini untuk menguatkan pendapat bahawa wanita wajib menutup wajah mereka dan wajah termasuk didalam bahagian aurat wanita. Mereka mengatakan bahawa meskipun khitab ayat ini kepada isteri Nabi s.a.w, namun kewajipannya juga terkena kepada semua wanita mukminah, kerana para isteri Nabi itu adalah teladan dan contoh yang wajib diikuti.

Selain itu mengenakan niqab itu alasannya adalah untuk menjaga kesucian hati, baik bagi lelaki yang melihat ataupun buat para isteri nabi. Sesuai dengan firman Allah dalam ayat ini bahawa cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka (isteri nabi s.a.w).

Namun bila disemak lebih mendalam, ayat ini tidak berbicara tentang masalah kesucian hati yang berkait dengan zina mata antara para sahabat Rasulullah SAW dengan para isteri beliau. Kesucian hati ini dikaitkan dengan perasaan dan fikiran mereka yang ingin menikahi para isteri nabi nanti setelah beliau wafat. Dalam ayat itu sendiri dijelaskan agar mereka jangan menyakiti hati nabi s.a.w dengan mengahwini para janda, isteri Rasulullah SAW sepeninggalnya. Ini bertepatan dengan asbabun nuzul (sebab turun ayat) ayat ini yang menceritakan bahawa ada sahabat yang ingin menikahi Aisyah bila kelak Nabi wafat. Ini tentu sangat menyakitkan perasaan nabi s.a.w.

Adapun makna kesucian hati itu bila dikaitkan dengan zina mata antara sahabat nabi dengan para isteri beliau adalah pentafsiran yang terlalu jauh dan tidak sesuai dengan konteks dan kesucian para sahabat nabi yang agung.

Sedangkan perintah untuk meminta dari balik tabir, jelas merupakan pengkhusususan dalam bermuamalah dengan para isteri Nabi. Tidak ada kaitannya dengan kaedah usul fiqh, al-Ibratu bi `umumil lafzi laa bi khushushil ayah’. (sesuatu hukum dikeluarkan degan makna umum ayat, bukan dengan khusus sebab turunnya ayat). Kerana ayat ini memang khusus membicarakan tentang akhlak pergaulan dengan isteri nabi. Dan mengqiyaskan antara para isteri nabi dengan seluruh wanita muslimah adalah qiyas yang tidak tepat, qiyas ma`al fariq. Kerana para isteri nabi memang memiliki standard akhlak yang khusus. Ini ditegaskan dalam ayat Al-Quran.

“Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara( suara lunak yang menggoda ) sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik,” (QS. Al-ahzab : 32)

d. Hadits Larangan Berniqab bagi Wanita Muhrim

  Para pendukung kewajiban menutup wajah bagi muslimah menggunakan sebuah hadits yang diambil mafhum mukhalafanya, yaitu larangan Rasulullah SAW bagi muslimah untuk menutup wajah ketika ihram.

“Janganlah wanita yang sedang berihram menutup wajahnya (berniqab) dan memakai sarung tangan”.

Dengan adanya larangan ini, menurut mereka lazimnya para wanita itu memakai niqab dan menutup wajahnya, kecuali ketika berihram. Sehingga perlu bagi Rasulullah SAW untuk melarang mereka secara khusus. Seandainya setiap hari mereka tidak memakai niqab, maka tidak mungkin beliau melarangnya ketika berihram.

  Pendapat ini dijawab oleh mereka yang tidak mewajibkan niqab dengan logik sebaliknya. Iaitu bahawa ketika berihram, seseorang memang dilarang untuk melakukan sesuatu yang tadinya halal. Seperti memakai pakaian yang berjahit, memakai minyak wangi dan berburu. Lalu ketika berihram, semua yang halal tadi itu menjadi haram. Kalau logik ini diterapkan dalam niqab, seharusnya memakai niqab itu hukumnya hanya sampai boleh dan bukan wajib. Kerana semua larangan dalam ihram itu hukum asalnya pun boleh dan bukannya wajib. Bagaimana boleh sampai pada kesimpulan bahawa sebelumnya hukumnya wajib ?

  Memang ada sebahagian wanita yang di masa itu menggunakan penutup wajah.

Tetapi masalahnya menutup wajah itu bukanlah kewajiban. Dan ini adalah logik yang lebih tepat.

e. Hadits bahawa Wanita itu Aurat

Diriwayatkan oleh At-Tirmizy marfu`an bahwa,”Wanita itu adalah aurat, bila dia keluar rumah, maka syaitan menaikinya”.

Menurut At-turmuzi hadis ini kedudukannya hasan sahih.
Maka hadith ini menunjukkan seluruh tubuh wanita itu adalah aurat, termasuk wajah, tangan, kaki dan semua bahagian tubuhnya. Pendapat ini juga dikemukakan oleh sebagian pengikut Asy-Syafi`iyyah dan Al-Hanabilah.

 f. Mendhaifkan Hadits Asma`

Mereka juga mengkritik hadits Asma` binti Abu Bakar yang bermaksud , Nabi s.a.w bersabda kepada Asma’ “Seorang wanita yang sudah haidh itu tidak boleh nampak bahagian tubuhnya kecuali ini dan ini” Sambil beliau menunjukkan ke arah wajah dan tapak tangannya.

 2. PENDAPAT BAHAWA WAJAH WANITA BUKAN AURAT

  Sedangkan mereka yang mendukung pendapat bahawa wajah bukan termasuk aurat wanita menggunakan banyak dalil serta mengutip pendapat dari para imam mazhab yang empat dan juga pendapat salaf dari para shahabat Rasulullah SAW.

a. Para sahabat Rasulullah SAW sepakat mengatakan bahawa wajah dan tapak tangan wanita bukan termasuk aurat. Ini adalah riwayat yang paling kuat tentang masalah batas aurat wanita.

b. Para Fuqoha’ sepakat bahawa wajah bukan aurat bagi wanita.

  Al-Hanafiyah mengatakan tidak dibenarkan melihat wanita ajnabi yang merdeka kecuali wajah dan tapak tangan. Bahkan Imam Abu Hanifah sendiri mengatakan yang termasuk bukan aurat adalah wajah, tapak tangan dan kaki, kerana kami adalah sebuah kedaruratan yang tidak boleh dihindarkan.

  Al-Malikiyah dalam kitab ‘Asy-Syarhu As-Shaghir' dituliskan bahawa batas aurat waita merdeka dengan lelaki yang bukan mahram adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Keduanya itu bukan termasuk aurat.

  Asy-Syafi`iyyah dalam kitabnya ‘al-Muhazzab’,engatakan bahawa wanita merdeka itu seluruh badannya adalah aurat kecuali wajah dan tapak tangan.

Dalam mazhab Al-Hanabilah kita dapati Ibnu Qudamah berkata( kitab Al-Mughni 1 : 1-6),”Mazhab tidak berbeza pendapat bahawa seorang wanita boleh membuka wajah dan tapak tangannya di dalam solat.

c. Pendapat para mufassirin

Para mufassirin yang terkenal pun banyak yang mengatakan bahawa batas aurat wanita itu adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Mereka antara lain At-Thabari, Al-Qurthubi, Ar-Razy, Al-Baidhawi dan lainnya. Pendapat ini sekaligus mewakili pendapat jumhur ulama.

d. Perintah kepada laki-laki untuk menundukkan pandangan.
 
Allah SWT telah memerintahkan kepada laki-laki untuk menundukkan pandangan. Hal itu kerana para wanita muslimah memang tidak diwajibkan untuk menutup wajah mereka.
“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”. (QS. An-Nuur : 30).

Dalam hadits Rasulullah SAW kepada Ali ra. disebutkan bahwa,’Jangan lah kamu mengikuti pandangan pertama (kepada wanita) dengan pandangan berikutnya. Kerana yang pertama itu untukmu dan yang kedua adalah ancaman dosa”. (HR. Ahmad, Abu Daud, Tirmizy dan Hakim). الخطاب -

No comments:

Post a Comment