Thursday, June 11, 2009

Adam Dan Hawa

Johan Pertandingan Penulisan Kreatif


Oleh : Siddiq Osman

Hujung-hujung rumput yang manakung embun disepak kasar, dua pasang kaki manusia diatur sekata seiring melangkah. Pangkal rumput dipijak ranap, namun zikir makhluk itu tiada henti. “Arman, siapakah yang lebih dahulu masuk ke syurga?” Salwa menyeluruhi wajah jejaka Jawa kacukan Bugis itu. Misainya yang dibiar nipis menjelaskan susur galur darahnya. “Apa maksudmu, sayang?” Arman mencuit hidung gadis berdarah Arab dan Afrika dengan telunjuknya yang runcing. “Ya, antara Adam dan Hawa siapa yang mula masuk ke syurga?” Arman berhenti dan mencangkung, kini dia pula yang melangut menatapi wajah gadis yang kelabu kegebuan. “Soalanmu ini, mencabar mindaku atau egoku?” Arman enggan terus ke persoalan.


Salwa membuka lipatan tikar dari kain baldu Turki lalu dibentangkan, coraknya seperti tikar sembahyang tetapi lebih luas. “Tiada perlu kaum adinda menguji ego yang telah menjadi nafas kaum Adam di depan Hawa mereka.” Salwa mengadun madah aliran bukan sastera. “Aduh, isteriku menjawab bagai menusuk keris kata ke kalbu jelata Adam, ego ini bukan lemah Adam tetapi senjata memayungi Hawa.” Arman masih enggan mengalah pada pasangan bicaranya. “Arman sayang, janganlah jauh menyimpang! Akalku tidak panjang menduga mainanmu.” Akhirnya Salwa mengangkat kalimah putih bukan mengalah tetapi memancing kemenangan pokok.


Daun-daun ketapang saling memukul sesama sendiri tatkala disapa angin yang tiada arah pasti. Begitu juga larian pelawat Taman Rekreasi Jubli Perak itu. “Arman, jangan biar Hawamu menanti terlalu lama.” Salwa menguis lengan Arman dengan kepalanya yang dilitupi kain satin hitam tidak berkilat. “Aduh pujukanmu, Abang sedang fikirkan kata terbaik untuk diungkap agar soalan ini mati dalam kefahaman. Bukan kekeliruan.” Arman memaut bahu Salwa yang jauh dari bahunya. “Pujukan Hawa bahaya yang bawa manusia ke dunia. Pujukan Hawa juga menggugat Caesar dari Roma.” Salwa mengambil peluang membela kaumnya. “ Hawa bukanlah punca angkara, Cleopatra bukanlah puteri biasa. Adam bukan tunduk pada pujukan Hawa tetapi tersalah timbang tindaknya. Caesar bukanlah terpikat pada jiwa Petra melainkan raganya.” Arman mengemaskan fakta dalam pasak teladan.


Tasik buatan yang tenang berolek kecil dek kilasan ikan. Merpati sejoli sudah melekat bahu kanan ke bahu kiri. Salwa menenggek kepala ke bahu Arman yang empuk. “Arman, bagaimana mungkin kelas sasteramu mengajar peradaban semua?” Salwa kagum dalam apungan. Gadis bila sudah berkenan ujanya mudah ditawan. “ Kelas bagi setengah pelajar hanya kotak yang diisi guru dan pelajar serta alat bantu ilmu. Tapi bagi abangmu ini kelas itu masa kosong dan alam maya.” Arman telus berkongsi falsafah. “Masa kosong? Bukankah semua masa itu kosong?” Salwa menyelongkar falsafah buah hati ulam mindanya. “Tidak, bagi Arman bin Agus masa itu kosong setelah manusia tidak perlu tidur, solat, makan, mandi dan bermain.” Salwa melopong, masih banyak yang perlu dia kenali dari suami ekspressnya ini. “Maknanya Arman bin Agus atau ABA itu jadikan belajar itu aktiviti sampingan ataupun hobi?” Salwa sudah tidak bersandar lagi, kini dadanya menghadap bahu Arman. “Ya isteriku sayang, cuba lihat apa yang manusia sanggup lakukan dengan tekun dalam masa yang paling lama? Jika bukan hobinya?” Kini Salwa mengangguk dan kembali menyandar.


“Ok, pernah Cik Salwa, eh, Puan Salwa baca ayat 35 dan 36 Surah Al Baqarah?” Arman tersenyum sambil menggosok bekas cubitan di bahu kanannya. “ Pernah, tapi manalah ingat.” Salwa merengek belum sampai tahap mengada-ngada. “Baik biar Encik Arman yang terangkan.” Salwa menyampuk “Ustaz Armanlah baru betul.” Arman menjegil sambil menggetap bibir “Jangan menyampuk orang nak mengajar, Allah berfirman :dan kami berkata wahai Adam tinggallah kamu dan isterimu di dalam Syurga... jadi apa kefahaman adinda setakat ini?” Arman mencubit pipi Salwa sehingga terlepas jeritan kecil. “Erm dua-dua masuk syurga seiringan.” Balas Salwa sambil mengusap pipinya yang sedikit kemerahan. “Pandai dari sini Puan Salwa harus faham beberapa perkara, pertama Adam belum di syurga, kedua penciptaan Adam dan Hawa tiadalah berjarak terlalu lama. Ketiga Hawa dicipta selepas persengketaan Iblis dan Adam. Keempat Adam telah dikahwinkan dengan Hawa sebelum di syurga.” Arman menunjukkan empat jari dari tangan kanannya kepada Salwa. Cincin di jari kelingkingnya dipusingkan sedikit ke kiri. “Cantik cincin, kekasih bagi ke?” Salwa sempat mengusik. “Aah, cincin mahal ni makwe jauh hadiahkan tanda cinta katanya.” Arman mengeringkan senyumnya tiba-tiba. Salwa hampir berguling akibat kelucuan melihat telatah Arman.


Beberapa mata teralih ke arah mereka. Pohon ketapang turut sama mencemburui kebahagiaan mereka, daun-daunnya digugurkan mengenai Salwa. “Tengok, pokok ketapang pun dah marah dengan awak.” Arman cuba melibatkan pohon ketapang itu agar mereka lebih merasai kemeriahan alam yang menjadi saksi. “Dia bukan marahkan saya, tapi cemburukan awak.”Arman kurang mengerti sehingga terbentuk jeda yang amat sebentar. “ya lah, Awak dapat isteri cantik macam saya encik Arman oi.” Salwa menghabiskan katanya dengan kekekan yang meleret. “Err, tak elok ketawa panjang nanti hati mati.” Arman mengingatkan. “Baik Ustaz.” Salwa belum berhenti sepenuhnya. “Salwa sayang, kenapa agaknya Allah kisahkan kepada kita kejadian Adam dan Hawa?” Salwa menyimpul senyum yang berbaki. “Untuk mengkhabarkan pada lelaki pasangannya adalah wanita, mungkin.” Salwa menerjah “Betul, mungkin. Tetapi di sini jelas kepada kita bahawa Allah sahaja yang Esa, itu satu. Keduanya makhluk bernama Adam ini diberi nikmat sejak awal penciptaannya. Maka kita bangsa manusialah sepatutnya menjadi makhluk yang paling bersyukur.” Arman mengulas dengan bersungguh, Salwa mengangguk setuju. “Tetapi kenapa manusia itu kufur?” Arman menduga. “Sebab manusia tidak bersyukur.” Salwa bermain kata. “Sebab, manusia itu sering lupa. Suka main masa belajar. Suka loyar buruk.”Arman menyindir geram. “Ustaz marah?” soalan itu menderai tawa mereka berdua. Deraian itu masih dalam lingkungan mereka berdua. Pokok ketapang sekali lagi bergoyang kali ini daun tuanya luruh di belakang Arman. Salwa mengambilnya dan diusap.


“Salwa, Sal bahagia tak hidup dengan abang?” Soal Arman lembut. “Walaupun pada mulanya Sal keberatan. Tetapi selepas bersama abang, Sal rasakan mustahil untuk mengharungi hidup tanpa suami yang bernama Arman.” Jawab Salwa merenung pertengkaran dia dan abangnya semasa abangnya menyampaikan hajat Arman pada ayah mereka. “Kalau bukan jasa Abang Wael mungkin Sal tak dapat nikmat ini.” Salwa menguntumkan senyum. “Abang, bahagia tak beristerikan Sal yang kurang pengetahuan agama ni?” Soal Salwa lemah. “Tak, Abang nak kahwin seorang lagi. Tengoklah esok atau lusa.” Arman berjenaka kasar. Satu cubitan berbisa hinggap di peha Arman. Walaupun sakit derai tawa yang menghiasi ruang bunyi mereka. Salwa memuncungkan bibirnya. “Gatal.” Sepatah sudah cukup menunjukkan protesnya pada jenaka Arman.


“Ok, ok kita sambung. Nanti tak habis jawab dah panas.” Arman mencari jalan pintas untuk memujuk. “Abanglah, kalau Sal main tak boleh. Abang tak apa pula.” Arman tersengih tangannya masih mengusap bekas cubitan padu isteri kesayangan.


“..firman Allah lagi: ... dan makanlah kamu berdua dari syurga itu mana mana yang kamu mahu tetapi janganlah kamu dekati pohon ini nescaya kamu akan menjadi dari kalangan orang yang zalim.Apa yang Sal faham di sini?” Arman kembali menyambung perbincangan ayat 35 Surah al Baqarah. “Di sini al Quran menceritakan bahawa pedoman untuk Adam dan Hawa di syurga itu ada walaupun mereka hanya berdua.” Salwa menelah. “Betul cakap Sal, Allah takkan menciptakan sesuatu itu sia-sia. Allah jadikan pada Adam satu syariat agar dia dan Hawa patuhi apabila berada di syurga, dan satu lagi syariat Allah itu tidaklah bersifat beban yang sangat. Ini sememangnya ciri khusus yang Allah letakkan pada syariatNya untuk manusia.” Arman menerangkan dengan gaya-gayanya sekali.


“ Kurang fahamlah macam mana abang kaitkan syariat Allah tidak membebankan manusia dalam ayat ini.” “Baik, Adam dan Hawa boleh makan apa sahaja dan sebanyak mana pun yang mereka mahu, Jadi ini menunjukkan pilihan yang sangat luas. Pengecualiannya adalah satu pohon sahaja. Jadi beratkah syariat itu pada akal yang waras?” barulah Salwa mengangguk perlahan.


“Macam mana abang boleh faham sedalam itu?” Salwa menuntut tips kefahaman. “Sebenarnya al Quran adalah kalam Allah. Kalam Allah ini adalah mukjizat. Jadi sekali kita baca kita akan faham sedikit bertambah bilangan bacaan kita maka bertambahlah kefahaman kita. Satu lagi ilmu itu datang dari Allah jadi selain usaha kita kenalah berdoa.” Salwa tersenyum setuju sambil mengenangkan pengajian suaminya sebelum ini bagai mana Rasulullah mendoakan Abdullah Ibnu Abbas agar Allah tajamkan kefahamannya dalam urusan agama dan ajarkannya ilmu tafsir.


Hujung rumput sudah tegak menujah langit setelah ditinggalkan embun yang pergi mengikut terik matahari, riak ikan di air semakin rancak menarikkkan pentas tasik buatan. Burung sudah mula mematuk matuk tanah mencari rezeki. Pohon ketapang masih tercegat memerhati pasangan yang berdamai di perdunya, mencuri lembayung yang dikerah dari kehijauan klorofilnya yang lebar.


Arman berdiri menoleh kiri dan kanan meninjau ke sekitar taman, “abang cari apa?” Salwa melihat penuh persoalan. “Cari bakal madu awaklah.” Arman menggugat kewarasan isterinya. Salwa bangun cuba mendapatkan Arman namun bekas atlit universiti itu pantas membuang langkah, Salwa terpaksa mengejar dengan baju kurung labuh berseluar khaki. Arman yang selesa berkemeja T bertemankan seluar sukan berlari bebas. “Kalau Sal dapat siap abang.” Ugutan Salwa hanya dibalas ketawa mengejek dari Arman.


Kini tinggallah tikar baldu dari Turki dan pohon ketapang di sana. Arman dan Salwa sedang berkejaran ke tepi tasik. Bagai burung berpasangan di udara. Sekejap yang jantan dikejar sekejap lagi yang betina pula melarikan diri. Pasangan baru bercinta selepas beenikah sebulan lalu masih belum puas bercanda. Pohon ketapang semakin cemburu. Mata-mata yang memandang mentafsirkan pelbagai. Mujurlah Salwa bertudung baik jika tidak mungkin ditelah gadis murahan dan lelaki buaya. Kenapa anak Adam tidak seperti bapa mereka. Ikhlas dan tawadhuk melihat hamba. Tuhan itu Maha Mengetahui lantas mencipta Adam menghuni bumi. Sungguh Tuhan Maha Kuasa Adam diberi teman seperti Hawa. Sungguh Adil Allah menghukum Adam yang alpa.

No comments:

Post a Comment