Thursday, June 11, 2009

Umar Bin Abdul Aziz


Umar Bin Abdul Aziz
Amanah Dalam Kepimpinan

Oleh : ukhtie abdullahs


Latar Belakang


Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz merupakan anak kelahiran Halwan,Mesir. Beliau dilahirkan pada tahun 61 hijrah bersamaan 628 Masihi. Ayah Beliau bernama Abdul Aziz bin Marwan yang merupakan gabenor Mesir pada suatu ketika dahulu.Manakala ibunya pula bernama Laila binti Asim atau lebih dikenali dengan panggilan Ummu Asim. Beliau adalah cicit kepada Khalifah ar-Rashidin kedua, Umar Al-Khattab.Beliau juga pernah menyandang jawatan Khalifah Bani Umaiyah ke-6. Beliau wafat pada hari jumaat,bulan Rejab tahun 101 Hijrah ketika umur beliau menjangkau 40 tahun.Beliau meninggal dunia kerana diracun oleh pembantunya.

Umar bin Abdul Aziz merupakan salah seorang tokoh islam yang unggul dan berpendidikkan tinggi.Beliau telah menghafal al-Quran sejak masih kecil lagi. Beliau juga merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka seperti Imam Malik bin Anas, Urwah bin Zubair, Abdullah bin Jaafar,dan Yusuf bin Abdullah. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir. Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan apabila bapa beliau meninggal dunia.beliau juga seterusnya dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah binti Abdul Malik yang juga merupakan sepupu beliau sendiri.Beliau mempunyai 17 orang anak hasil dari perkkahwinannya bersama 4 orang isteri.

Umar bin Abdul Aziz juga mempunyai sifat-sifat yang sangat mulia dan terpuji.Beliau merupakan seorang pemimpin yang bijaksana,adil,lagi amanah.Beliau juga sangat takut kepada Allah,tawadhuk ,warak,sabar,tegas dan seorang yang sangat zuhud dengan dunia.


Rahsia Disebalik Salasilah Kelahiran

Mengimbau kembali tabiat Umar Al-Khattab sewaktu zaman pemerintahannya, Khalifah Umar sangat terkenal dengan tabiatnya yang suka meronda pada malam hari untuk melihat kehidupan rakyat jelatanya.Pada suatu malam Khalifah terdengar perbualan seorang anak gadis dan ibunya. Kata ibu:”Wahai anakku,tambahlah air ke dalam susu ini supaya ia menjadi banyak.Lalu anak gadis itu menjawab: Kita tidak boleh berbuat begitu, ibu.Amirul mukminin melarang kita menipu dalam berniaga.Maka si ibu pun berkata:Tetapi Amirul Mukiminin tidak melihat kita.Anak gadis itu lalu menjawab:Memang benar ibu,Amirul Mukminin tidak melihat kita,akan tetapi Tuhan Amirul Mukminin Maha Melihat.Saidina Umar yang mendengar perbualan itu lantas menangis.Setibanya saidina Umar di rumah. Beliau meminta anak lelakinya Asim menikahi gadis penjual susu tersebut. Umar berkata: Semoga lahir dari keturunan gadis ini pemimpin islam yang hebat yang dapat memimpin orang-orang arab dan ajam. Asim yang patuh menurut sahaja cadangan Saidina Umar. Hasil dari pernikahan Asim dan gadis penjual susu tersebut maka lahirlah seorang puteri yang bernama Laila. Laila kemudiannya berkahwin dengan Abdul Aziz,Lalu dengan rahmat kasih sayang Allah,lahirlah dari mereka seorang anak yang diberi nama Umar bin Abdul Aziz pemimpin agung yang didoakan oleh Umar al-Khattab.


Amanah Dalam Kepimpinan


Beberapa ulama menobatkan beliau sebagai Khalifah Ar-Rashidin yang ke-5.Ini kerana kepimpinan beliau yang begitu mirip dengan kepimpinan “Khulafa’ Ar-Rashidin Al-Arbaah”.Beliau telah berjaya memimpin umat selama lebih kurang tiga tahun. Beliau adalah seorang pemimpin yang sangat adil dan saksama. Disebutkan satu kisah, ketika beliau berada di kediamannya melaksanakan tugas sebagai khalifah.Tiba-tiba anaknya datang menghampiri. Saat itu Khalifah Umar bekerja bercahayakan pelita suluh. Sebelum sempat si anak menyuarakan maksud kedatangan,khalifah Umar bertanya: apa yang ingin engkau bicarakan wahai anakku? urusan umat atau sekadar urusan peribadi. Anaknya lalu menjawab: urusan keluarga ayahku.Lalu Umar berkata:Jika begitu,biar aku padamkan dahulu pelita ini,tidak wajar kiranya kita menggunakan sesuatu yang dibiayai oleh umat.

Sifat amanah yang dimiliki Umar bin Abdul Aziz sukar dicari ganti.

Rujukan : Kitab Umar bin Abdul Aziz : Karangan Doktor Ali Muhammad Assolabi, Wikipedia

No comments:

Post a Comment