Wednesday, July 8, 2009

Bercinta Demi CintaNYA


Oleh : Ahmad Sabiq

“Tahniah Luqman!” ucap Ustazah Zainon ketika aku menziarahi sekolah untuk melihat keputusan SPM.
“Terima kasih ustazah.” aku menyambutnya dengan senyuman.

Aku sedikit hampa dalam gembira melihat keputusan yang aku perolehi, tidak mencapai sasaran, tetapi gembira kerana tetap dikurniakan 7A hasil usaha cincai, yang mengharapkan hasil lumayan, aku termangu dengan monolog dan analogi ciptaan sendiri, ‘mana adil tanam durian sebatang, tapi nak buahnya berbakul-bakul’ bisik aku sendirian.

Sejak di tingkatan 4 lagi aku sudah menyimpan azam untuk menghafal al-Quran, ketika cuti sekolah, aku tak pernah miss menolong ayah berniaga di pasar pagi, di situlah timbulnya minatku memerhati manusia, tingkah laku yang pelbagai, adakalanya buat aku bingung, lucu, marah dan kehairanan. Di pasar jugalah aku berkenalan dengan seorang makcik yang akhirnya meminta aku menjadi anak angkatnya, katanya, anak sulongnya telah meninggal dunia dan wajahku ada iras anaknya itu!

Sehingga kini aku terus menjadi anak angkatnya, emak menyuruh aku memanggilnya sebagai Umi.. Umi dari keluarga yang sangat tekun dengan agama, suaminya seorang ‘karkon’(pendakwah tabligh). Tetapi manusia yang paling aku tunggu dan ternanti-nanti kehadirannya ke pasar ialah pelajar-pelajar Daulah Quran. Daulah Quran adalah sebuah pusat pengajian tahfiz di bawah JAKIM yang menawarkan pengajian Diploma Tahfiz al-Quran dan pengajian-pengajian Islam serta Persijilan Tahfiz. Lokasi kampusnya lebih kurang 3 kilometer dari pekan Kiri Kanan Bukit. Suka sangat melihat penampilan mereka yang sopan, pertuturan yang lunak, semuanya aku perhatikan.. ‘boleh jadi mereka benar-benar dididik oleh al-Quran! Aku nekad!! Aku nak belajar di situ!’ batinku menjerit..

Setelah keputusan SPM diumumkan, terus sahaja aku mengisi borang permohonan kemasukan ke Daulah Quran, emak seakan tidak menyokong, katanya, “ mohonlah ke Universiti Malaya, Pak Usu tu dapat PhD di situlah.” Iye lah mak, saya akan mohon nanti” balasku lesu..

Setelah tiga bulan menunggu jawapan selepas ditemuduga, aku menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran ke Daulah Quran. Syukur meniti di bibir. Sebelum itu, aku telah pun menerima tawaran dari Kolej Matrikulasi Kuala Nerang, tidak kuendahkan pun. Keazamanku menebal untuk menjejakkan kaki ke bumi Daulah Quran, menghafaz kalam suci agung milik tuhan sekalian alam... Setelah 2 bulan di Daulah Quran, tawaran dari Universiti Malaya pula berkunjung di peti surat rumahku, mak gembira bukan kepalang, terus sahaja memujuk aku untuk menerima tawaran tersebut, tapi setelah berbincang, mak merestui keputusanku untuk meneruskan pengajian di sini. Aku tahu sehingga kini, mak masih lagi menyimpan surat tawaran dari UM dan Kolej Matrikulasi tersebut..

Kini aku telah bergelar pelajar Daulah Quran, jika sebelumnya, aku hanya mengagumi warganya, sekarang aku telah pun menjadi sebahagian daripadanya. Aku memilih untuk berada di Jabatan Dakwah, hari demi hari aku lalui dengan penuh kesabaran, helaian demi helaian berjaya ku hafal, cepat sahaja masa berlalu, aku telah berada di pertengahan semester 1, aku kian gembira berada di bumi barakah ini..

Cumanya aku menjadi bingung bila melihat ramainya ‘monyet’ yang bergayut di tengah malam,di tepi-tepi longkang, memadu asmara berbual panjang melalui telefon..tidak kurang yang sibuk membalas sms sambil menghafal al-Quran!

Sungguh aku pening, jiwa fitrahku kehairanan. Tidak pula aku nafikan, bangsa sebegini hanya segelintir dan sangat sedikit jumlahnya. Fikirku, aku ni katak bawah tempurung ke? Tak pernah nampak pun sebelum ni benda-benda pelik sebegini. Ye lah, sepanjang hidup ni, dari kecil sampai umurku sekarang ni, belum pernah menjelajah di laman orang, terkepung dikelilingi bukit di pekan Kiri Kanan Bukit.

Pernah sekali aku bertanya kepada seorang kawanku, “anta borak borak ape sampai dua jam?” “nko tak kena lagi penangan cinta! Nanti dah terkena, tau la nko Man!” balasnya selamba. Aku termangu sambil memerhati handphone pemberian umi sebelum aku mendaftar beberapa bulan yang lalu. Kata umi, ada handphone ni, mudah sikit nak berhubung dengan kawan-kawan.

“Haaah…Alhamdulillah selesai,” getusku, baru selesai menghafal surah al-‘Araf, walaupun silibus yang ditetapkan bagi semester 1 hanya sehingga juz 5, kesungguhan membantuku untuk berada di tahap tersebut., “letihnya” bisikku sendirian. Terasa ingin melepaskan lelah, terus sahaja aku membaringkan tubuhku, roommateku, Salim, masih belum pulang.

Tidak memerlukan masa yang lama, usai membaca 3 Qul dan ditiupkan di kedua tapak tangan dan disapu keseluruh tubuh, kemudian ayat kursi dialunkan, terus sahaja aku terbongkang melayari mimpi dimalam yang agak dingin dengan hujan rintik-rintik membasahi bumi.. “Argh!!!” aku tiba-tiba menjerit, terus terjaga dari tidur, jam menunjukkan pukul 0400, peluh membasahi seluruh tubuh, tekak terasa loya, isi di perut meronta-ronta untuk dikeluarkan, aku terus berlari ke bilik air, weeaaaak.. bau muntah menguasai seluruh bilik air. Seluruh badan terasa sengal, aku melangkah longlai kembali ke bilik, terkejut aku melihat Salim seakan mengigau, bercakap seorang diri sangkaku, rupa-rupanya sedang berbual entah dengan siapa melalui telefon, aku tidak mempedulikannya, kepalaku terasa begitu berat dan berdenyut-denyut seakan menunggu masa untuk meletup..

Keesokannya aku tidak ke kelas, usai subuh, terus sahaja aku merebahkan kembali jasad yang longlai ke tempat beradu..

Alhamdulillah, demamku kebah setelah seminggu, aku kembali ceria, tasmi’ setiap pagi dengan Ust Nazri, kemudian menghadiri kuliah di Jabatan Dakwah, begitulah rutin harianku.

Malammya pula, sibuk menghafal helaian baru disamping mengulang-ulang hafalan lama, seperti biasa, bila terasa letih menghafal, aku akan mencari seseorang untuk di kacau untuk menghilangkan lelah dan kebosanan, kali ini Fahri menjadi mangsaku!

“ Fahri, bagilah kat aku satu nombor perempuan.. bagi yang cun-cun sikit tau..” pinta aku dalam nada gurauan.
“ Sungguh kau nak ni? Ha, nah!” Fahri menyua handphonenya pada aku untuk disalin nombor yang tertera di skrin. Terus sahaja aku membuat panggilan missed call dengan niat gurauan. Selang beberapa minit, handphoneku bergetar..

1 messege received
019-0765432
“Sape ni?”

“Hahahaha”…aku ketawa sendirian, “ikan sudah makan umpan” ungkapku, Fahri hanya mengerlingkan matanya sambil mulutnya masih terkumat-kamit menghafal, kepalanya terhenjut sedikit.
“ Hai, nama saya Ahmad, boleh berkenalan?” aku membalasi sms tersebut

Bermula dengan niat untuk ‘main-main’, akhirnya aku leka melayani sms daripadanya, Aisha namanya. Jika dahulu aku kehairanan dengan mereka yang sambil-sambil ber sms ketika menghafal, kini aku kehairanan dan kebingungan dengan diri sendiri yang kemaruk berbalas-balas sms dengan Aisha, kenal pun tidak, entah bagaimana rupanya, handphoneku kini bagai rantaian tasbih, tidak mengira waktu, di petik-petik sepanjang masa, waktu makan, menghafal, sebelum tidur, jika sebelum ini alunan ayat Qursi dan tiga Qul mengiringi kematian kecilku, tetapi setelah ‘berkenalan” dengan Aisha, sms selamat malam Aisha menjadi pengganti mengiringi tidurku, adakalanya sehingga jam 2 pagi digagahi mata melayan kemaruk ber sms, entah ke mana dinding iman yang memagari hatiku ketika itu... aku terus hanyut dibawa arus nafsu ‘bercinta’ di alam siber untuk dihumban ke dalam neraka. Adakalanya aku terfikir, adakah ini yang dinamakan cinta?

Suatu tengahari, selepas makan tengahari, aku berehat-rehat di bilik menanti azan zohor, getaran handphone mengejutkan aku, sangkaku Aisha menghantar sms, bukan rupanya, nombor yang tidak berada di dalam senarai phonebook, terus sahaja aku menghantar sms, “sape ni?” pertanyaanku tidak bebalas, “ ah! Biarlah” usai zohor, aku menerima sms daripada nombor tersebut.. “ ana Sakinah,” alangkah terkejut bukan kepalang aku membacanya, “anak Imam Kampung Rasa Sayang, Sakinah!” amat aku kenali, kami bersekolah dan berada di kelas yang sama ketika di tingkatan 3, 4 dan 5 di Sekolah Agama Menengah Tinggi Kiri Kanan Bukit suatu masa dahulu.

Bermulalah detik aku menggantikan teman sms, Aisha terus kulupakan, kini ada sahaja alasan yang aku cipta untuk ber sms dengan Sakinah, mulanya seakan tidak diendahkan, dipendekkan cerita akhirnya kami saling menyintai. Sekali lagi aku menyoal diriku, inikah cinta? Panjang kisah cinta kami, pelbagai alasan dicari untuk membolehkan kami berhubung, jika dahulu aku mencemuh dan mencebik bibir melihat sahabat-sahabatku yang lain ‘bergayut’, kini aku pula menyertai acara marathon berbual melalui telefon sehingga berjam-jam, hal dakwah, merancang untuk berkahwin, dan seribu satu alasan untuk berhubung.. cinta ‘buayafriend’ dan ‘gelifriend’..

Ketika ini, bila diingatkan kembali kisah itu, terdetik juga aku takut-takut menjadi seperti Bani Israel yang berhelah untuk menangkap ikan pada hari Sabtu, hari yang dikhususkan untuk mereka melaksanakan ibadah khusus kepada Allah, pantas mencipta helah, kecerdikan tidak kena tempat demi menghalalkan tindakan mereka memasang jaring yang menyebabkan ikan tersangkut dengan sendiri, justeru boleh dihujahkan di depan Allah, “bukan kami yang menangkap ikan, tetapi ikan itu yang tertangkap sendiri,”

Allah menguji Bani Israel dengan ujian ikan yang sangat banyak pada hari Sabtu, yang kelihatan timbul sedang hari lain tidak pula kelihatan. Maka pantas mereka bermain helah. Mereka membelok hujah ke sana sini untuk menyedapkan hati sendiri. Apabila akal fikiran yang dikurniakan Allah digunakan untuk menipu Allah, turunlah darjat manusia kepada kerendahan yang hina. Akal yang digunakan untuk menipu Tuhan, adalah sebuah kehinaan terhadap kejadian manusia.

“Mereka bagaikan binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi” kata al-Quran

Akhirnya, mereka disesuaikan dengan kesesatan mereka, ditukar oleh Allah menjadi kera sebagaimana firmanNya :

“Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina!” [al-Baqarah 2: 65]

Barangkali teori dan alasan Bani Israel ini yang aku gunakan untuk menghalalkan perhubunganku dengan Sakinah, bermain cinta murahan dengan pelbagai hujah akal untuk menghalalkan tindakan, hilang malu yang menjadi benteng iman.

“Syukur aku tidak ditukar menjadi kera.” Ucapku lega.

Kisah cintaku itu berlangsung panjang, kerap kali perasaan dan jiwa fitrahku menyanggahi kelakuanku, namun nafsu jahat sentiasa menang dikala handphone bergegar, sms Sakinah dirindui, lunak suaranya mencairkan hati..

Sehinggalah ketika aku berada di semester 2, hari itu, aku memasuki kelas seperti biasa, kelas Komunikasi Dakwah, pensyarahnya Ustazah Roziah, meminta kami membuat kumpulan untuk dibincangkan satu tajuk berkisarkan isu semasa, kumpulan aku memilih untuk membicarakan isu Wahabi yang panas diperkatakan di tengah masyarakat, ada kumpulan yang menbicarakan soal makanan halal, perkahwinan misyar, sehinggalah sampai giliran satu kumpulan muslimat yang membentangkan isu Palestin, Bintu ‘Imran, wanita tsiqah Jabatan Dakwah yang menjadi pembentang bagi kumpulan tersebut, timbul rasa kagum dengan semangat dan kesungguhannya menyedarkan rakan sekelas tentang tanggungjawab Muslim ke atas Palestin, namun timbul rasa marah di benak hatiku apabila beliau merendah-rendahkan isu yang ingin dan telah dibentangkan oleh kumpulan lain, “ini nak cari gaduh ni!”marahku sendirian.

Keesokan harinya, tiba giliran aku membentangkan tajuk kumpulan kami, aku membentang penuh semangat dan aku menyelitkan rasa marahku kepada Bintu ‘Imran dan Nazhan yang turut memperlekehkan isu yang dibawa kumpulan lain, aku menghamburkan amarahku dengan tegas, dan dalil hadith disusuli untuk menguatkan hujahku.

“ Janganlah kamu memperkecilkan sesuatu amalan yang baik, sekalipun sekadar seseorang menemui saudaranya dalam keadaan senyum.”

Seusai kelas, Solihin menegurku pula, “ kesian Nazhan dan Bintu ‘Imran tu enta ‘belasah’ ye Man?” timbul pula rasa bersalah, aku meminta pertolongan Zaki yang tunangnya juga salah seorang pelajar Jabatan Dakwah, untuk menyampaikan rasa bersalah dan mohon maaf kepada Bintu ‘Imran.

Sekali lagi kekagumanku terhadapnya terbit di hati apabila beliau membalas sms mohon maaf yang dihantar Zaki bagi pihak aku. Tidakku ingat lagi susun atur ayatnya, Cuma yang masihku ingat ialah serba-sedikit maksud smsnya, kehidupannya didambakan hanya untuk mencari redha dan cinta Ilahi.
“Cinta Ilahi?” soalan untuk diriku sendiri, cepat-cepat aku memeriksa hatiku, apakah maksud dan tujuan aku menghafal al-Quran? Adakah untuk digelar Qari? Jika itu maksudnya, muka aku akan dihumban ke neraka sebagaimana sabda Nabi s.a.w dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim! Bagaimana aku boleh menghafal al-Quran dikala hatiku mabuk cinta pada wanita secara terlarang? Adakah aku termasuk dalam golongan yang disebut oleh Nabi s.a.w, bahawa akan datang satu zaman, manusia membaca al-Quran, sekadar tersekat di kerongkong, tidak masuk ke hati? “Aaargh…!!” batinku meronta..

Secara spontan aku teringat ajakan seorang senior untuk aku bersama-sama dalam satu jemaah dakwah, bertujuan melatihku menjadi daie, menjaga amalan harianku, menjadikan suatu wadah dan wasilah menyuburkan jiwa yang gersang, namun ajakan itu tidak kuacuhkan, aku lebih selesa mencari bahan-bahan rujukan untuk menjadi seorang yang dipenuhi otaknya dengan maklumat dan ilmu, sedang jiwaku gagal disuburkan dengan himpunan maklumat yang aku perolehi, hanya sms dan bualan marathon dengan Sakinah yang bertakhta di hati.

Timbul rasa ingin berubah di jiwaku, aku mesti berubah demi memenuhi matlamat aku dicipta, menjadi khalifah yang berjiwa hamba! Sehinggalah aku berada di semester 3, akhirnya aku menyerahkan diri untuk dibentuk didalam gerakan dakwah, perkenalanku dengan Hisyam dan Nasrullah, dua orang senior, dan seorang bekas pelajar Maahad tahfiz Daulah Quran, hanafi, fikrah mereka sangat jelas, amalan mereka terjaga membuatkanku kagum dan berjaya menyuburkan sedikit jiwaku yang selama ini diracuni cinta murahan. Perbincangan ilmiah kerap kami adakan di belakang masjid.

Namun kerap kali sahaja aku kalah dengan sms dan panggilan telefon Sakinah, adakalanya aku yang memulakan bicara. Sakinah bukanlah perempuan murahan padaku. Dia turut berada dalam gerakan dakwah KARISMA (Kelab Remaja Islam Malaysia ). Dia juga memiliki kefahaman Islam yang jelas, Cuma kami kerap kali kalah dengan desakan nafsu. Sehinggalah suatu hari, kami bercadang untuk memutuskan hubungan demi menjaga kehormatan diri, jika berjodoh, maka kami akan melangsungkan perkahwinan bila masanya telah tiba, namun komitmen kami sering ditewaskan nafsu, ada sahaja alasan yang dicipta untuk menghantar sms, adakalanya dari aku, tidak kurang juga Sakinah yang memulakannya.


Fikirku, hal ini tak boleh dibiarkan berterusan, aku mesti mematikan hubungan ini! Samada putuskan hubungan ataupun berkahwin dengannya setelah tamat pengajian kelak! Bermula semester 4, komitmen kami menjaga hubungan semakin baik, boleh jadi kerana itu juga Allah memudahkan aku untuk memahami ilmu sehingga keputusan peperiksaanku bertambah baik. Aku telah berjaya menamatkan hafalan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh setahun, tujuh bulan dan dua hari….

“Malam ni Manchester United mesti menang punyelah..” aku memprovok Adi ketika kami mengayuh basikal ke Kedai Siam berdekatan kampus untuk menonton perlawanan antara Manchester United dan Chelsea . Tiba-tiba kakiku terasa geli, rupanya berpunca dari getaran handphone di poket seluar,

1 messege received
013 4567890

“ Salam ana Bintu ‘Imran, ana nak tanya tentang perkara yang enta timbulkan di kelas siang tadi, apa maksud enta tentang fikrah enta yang tak sama dengan fikrah di Pondok Moden yang kita sekelas lawati tempoh hari?”

Aku begitu teruja menerima sms dari wanita yang aku kagumi akhlak dan komitmennya terhadap agama itu, lekas sahaja aku membalas sms tersebut, “ nanti ana beri jawapannya”

Malam itu, Manchester United menang 3-0, aku pulang dengan wajah ceria sambil Adi kelihatan mencuka, pasukan yang disokongnya tewas, sampai sahaja di bilik, terus sahaja aku mengarang jawapan untuk diberikan kepada Bintu ‘Imran, ku jelaskan tentang pemikiran kaum muda dan kaum tua yang kerap menjadi perbalahan akibat masalah sikap, bukannya manhaj, bertegang leher dengan permasalahan seperti qunut dan pelbagai lagi cabang dalam masalah fiqh. Aku menulisnya dalam sehelai kertas dan diberikan kepadanya subuh keesokan hari dengan perantaraan pengawal keselamatan yang berjaga di kawasan asrama Muslimat.

Malamnya itu, dia menghantar sms kepadaku menyatakan terima kasih dan berpuas hati dengan jawapanku, aku melirikkan senyuman kepuasan dan syukur. Jika selama ini aku kabur dengan matlamat keberadaanku di dunia ini, aku mula belajar-belajar melakukan sesuatu dengan hati yang dikawal akal yang waras, belajar-belajar mencari cinta dan redha Ilahi, aku mula mengerti syurga itu bukan sekadar pengetahuan untuk dipelajari, tetapi menuntut amalan untuk dikecapi.

Aku semakin berjaya melupakan Sakinah, ketika di tahun akhir, aku semakin komited dengan dakwah dan pelajaran, hasilnya juga sangat memberangsangkan, aku berjaya mendapat keputusan PNG 4.0 bagi semester 5, syukur meniti di bibir, sekali sekala sms Sakinah menjengah, tidak ku pedulikan. Naqibku yang juga merupakan guru tasmi’ sepanjang keberadaanku di bumi Daulah Quran ini selalu mengacah dan mengenen-ngenenkan aku dengan seorang akhawat, Ukhta Harun, yang juga sahabat akrab kepada Bintu ‘Imran yang kebetulan pernah aku pinjamkan padanya dapur untuk memasak tom yam di pesta majlis konvokesyen. Aku sekadar tersengih dan menganggapnya sebagai gurauan.


Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya menamatkan pengajian dan berjaya memperolehi Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan keputusan imtiyaz.

Tamat sahaja pengajian, aku terus bergegas mengemas barang untuk merantau ke Kelantan, aku mendapat tawaran mengajar di Maahad al-Manar. Sakinah terus menuntut komitmen daripada aku agar segera mengambilnya sebagai isteri, aku merasakan belum bersedia, pelbagai helah dan alasan aku kemukakan. Di al-Manar, jiwaku sangat tenang, perkenalan dengan Syeikh Muneer, seorang warga Yemen, membuatkan aku banyak belajar erti kehidupan di dunia yang sementara, katanya, “kehidupan sebenar masih belum bermula..apabila kita mati, barulah ia bermula..”
Kesempatan berada di al-Manar kugunakan sepenuhnya, berdamping dengan tenaga pengajar yang kebanyakannya terdiri dari bangsa Arab, mendapat tarbiah jiwa, penambahan ilmu sangat menggalakkan, aku mengambil kesempatan belajar kitab Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram dengan Syeikh Muneer, beliau sedang dalam proses menulis tesis - Tajdidat an-Nawawi fi Fiqh asy-Syafie - untuk PhD di Universiti Malaya. Aku merasakan kehidupanku begitu bahagia saat itu, berdamping dengan Syeikh Muneer merupakan suatu saat yang tidak dapat aku lupakan. Sentiasaku merinduinya.

Jika ada sahaja permasalahan agama mahupun peribadi, pasti Syeikh Muneer menjadi tempat aku bertanya dan mengadu, sehinggalah kepada persoalan jodoh, aku menyatakan hasrat untuk berkahwin kepadanya, dia menjelaskan sunnah yang diajar oleh Nabi s.a.w dalam memilih calon, diajarkan aku sunnah istikharah. Katanya, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Apabila seseorang kamu inginkan sesuatu, maka hendaklah ia rukuk ( solat ) dua rak’at yang bukan solat fardhu (yakni solat sunat) kemudian berdoa”

Katanya lagi, “terdapat juga ulama yang mencadangkan si pembuat istikharah agar jangan mempunyai kecenderungan tertentu kepada salah satu antara dua(atau lebih pilihannya) sebelum membuat istikharah. Demikian pandangan Ibn Hajar Al-‘Asqolani. Berbincanglah dengan ahli keluarga dan minta pendapat orang lain.”

Tambahnya, “Dia yang menggelarkan hati kita sebagai Qalb, iaitu sesuatu yang berbolak balik, terlentang, terlangkup dengan begitu mudah di sepanjang perjalanan hidup ini. Sesungguhnya dengan segala unsur bijak yang ada di minda, kita terlupa bahawa Allah mahu menyelamatkan kesucian hati, yang tidak mampu ditanggung logik. Akal kita dengan ilmu di puncak menara gading mana sekali pun, tidaklah kuat untuk mengawal hati. Akal itu menteri, rajanya adalah hati. Sering sahaja raja yang berkuasa itu berpaling tadah dari akal kepada Nafsu.”
“Mulut kita tidak menyebut, tetapi Allah mendengar debar rasa di sebalik pergaulan itu, tubuh kamu tidak menampakkan calar, tetapi Allah melihat kesan-kesan luka panahan Iblis yang menembus daging dan tulang temulang jati dirimu. Begitulah penangan cinta terlarang di luar perkahwinan”

Terkesima aku mendengar nasihatnya, bagai dibuka segala keaiban diri. Keesokannya, aku menghantar sms kepada Sakinah tentang hasrat hatiku untuk mengambilnya sebagai isteri, aku susuli dengan istikharah memohon petunjuk Ilahi apakah benar pilihanku itu, sebelum itu, aku juga telah mendapat tahu yang Bintu ‘Imran turut menyimpan perasaan kepadaku, dia yang sebelum ini hanya aku kagumi, telah jatuh perasaan suka hatiku padanya. Umi turut menyimpan hasrat agar aku menjadi anak menantunya.

Hasil nasihat Syeikh Muneer dan Naqibku di situ, Ustaz Saufi, aku melakukan istikharah meminta petunjuk dari Tuhan sekalian alam, hari demi hari, ku dambakan diri mencari petunjuk, perbincangan dilakukan, kata seorang sahabatku yang berbangsa Sudan, Ustaz Nuruddin yang juga pendidik di al-Manar, “tanda istikharah bukanlah sekadar diperolehi melalui mimpi, boleh juga diperolehi dengan pelbagai cara, antaranya; selepas berdoa atau solat, berbincang dengan orang yang boleh dipercayai dan berpengalaman, juga melihat kepada tanda-tanda sekeliling termasuk bakal pasangan.”

Akhirnya setelah sekian lama, istikharahku semakin menjauhkan aku dengan Sakinah, hatiku hatiku lebih cenderung kepada Bintu ‘Imran, ditambah pula dengan kehadiran Bintu ‘Imran menjengah mimpiku beberapa kali menguatkan lagi pilihanku. Pada umi, aku seakan lebih selesa menjadi anak angkatnya, tidak lebih dari itu. Aku merahsiakan keputusanku ini daripada pengetahuan Sakinah, bimbang dia tidak boleh menerimanya.

Keputusan istikharahku ini dikhabarkan kepada emak, meminta pendapat dan persetujuan, Alhamdulillah emak menyetujuinya, setelah 3 bulan di al-Manar, aku memohon berhenti untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah, hasrat di hati untuk berumah tangga sebelum melanjutkan pelajaran dinyatakan kepada emak tercinta, namun emak seakan berat untuk menyetujuinya, kata emak, “janganlah tergesa-gesa, ‘ikat’ je lah dulu..” akhirnya rombongan merisik di hantar berkunjung ke rumah Bintu ‘Imran, aku dan Bintu ‘Imran diikat dengan ikatan pertunangan. Sakinah langsung tidak ku beritahu hal ini!

Seperti yang ku jangka, Sakinah tidak boleh menerima keputusanku ketika aku memberitahunya, katanya aku tidak jujur dan membohongi hatinya, dia mendakwa dizalimi, aku hanya mampu meminta maaf, aku akur kesilapanku yang tidak berterus-terang…

Aku tegar dengan keputusanku memilih Bintu ‘Imran, kini aku telah berada di Sweden menyambung pengajian di peringkat ijazah, pelbagai rintangan dan cabaran yang ku lalui, kian mematangkan pemikiranku, sentiasaku berdoa agar dijauhkan daripada fitnah wanita, semoga ‘ibrah kisah Yusof a..s berjaya ku teladani ketika digoda oleh isteri pembesar yang sering kita namakan sebagai Zulaikha, penjara menjadi pilihan hatinya daripada kemungkinan tewas dengan godaan wanita.
“Yusuf berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan tergolonglah aku dari kalangan kaum yang jahil” [Yusuf 12: 33]

Aku mesti memenjarakan diriku demi meraih cintaNYA, semoga cintaku pada isteriku kelak menjadi wasilah aku meniti jalan meraih cintaNYA..

2 comments: