Wednesday, October 28, 2009

Hakikat Wanita


Oleh : Aishahtur R


Ciptaan
Perempuan yang pertama dicipta Allah ialah isteri Adam. Dia dicipta untuk menjadi pasangan bagi Adam, atas kehendak Allah sendiri, Yang mencipta semuanya berpasangan. Daripada Adam dan isterinya, lahirlah kaum lelaki dan perempuan. Mereka dicipta agar takut kepada-Nya. Firman-Nya, "Wahai manusia, takutilah Pemelihara (Tuhan) kamu Yang mencipta kamu daripada jiwa yang satu, dan daripadanya Dia menciptakan pasangannya (isterinya), dan daripada keduanya, ditaburkan di merata-rata (lelaki dan perempuan)"

Pengasihan
Antara lelaki dan perempuan, Allah mengadakan pertalian persahabatan. Namun, yang paling manis sekali yang diadakan-Nya pada mereka ialah perasaan cinta dan pengasihan, seperti firman-Nya yang berbunyi "Dia mengadakan di antara kamu, cinta dan pengasihan". Perasaan cinta dan pengasihan ini selanjutnya mengikat kedua-dua jantina ini dalam ikatan perkahwinan agar mereka dapat hidup bersama, dengan halal, dan bersatu dalam kebahagiaan.
Perkahwinan, yang disuruh Allah, adalah lawan bagi amalan zina. Ini disimpulkan setelah diperhati tiap-tiap ayat al-Qur'an yang mengandungi kata ikatan perkahwinan, di mana kata ini sentiasa dituruti kata lawannya, iaitu perzinaan. Sebagai contoh ialah ayat yang berbunyi "Maka kahwinilah mereka dengan izin keluarga mereka .... sebagai wanita-wanita dalam ikatan perkahwinan”

Kesopanan
Perzinaan tidak berlaku sekiranya kesopanan dijagai, dan Allah ditakuti. Kesopanan bagi lelaki dan perempuan semasa mereka berinteraksi sebagai sahabat telah disebut, iaitu mereka diperintah supaya mengawal pandangan dan menjaga kemaluan mereka. Akan tetapi, bagi kaum wanita (kerana kewanitaannya) ditambah lagi dan tambahannya adalah seperti yang tersurat di dalam sebuah ayat yang panjang berbunyi,

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan menjaga kemaluan mereka, dan tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang nampak daripadanya”

“Dan hendaklah mereka meletakkan tudung mereka pada dada mereka, dan tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa suami mereka, atau anak lelaki mereka, atau anak lelaki suami mereka, atau saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara perempuan mereka, atau perempuan mereka, atau apa yang tangan kanan mereka memiliki (hamba daripada rampasan perang),

Ayat ini menggesa kaum wanita supaya tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada orang-orang yang rapat seperti yang telah disebut. Kata perhiasan selalu dituju kepada barang-barang kemas. Akan tetapi perhiasan perempuan di sini bermaksud bahagian anggotanya yang di dada, yang digesa supaya ditutup dengan tudung. Maka, pakaian wanita haruslah labuh dan menutup bahagian dada mereka. Atau dada ditutup dengan sehelai kain lain yang dipanggil khumur.


Sama
Beralih kepada soal sama ada lelaki dan perempuan itu sama. Sebenarnya, mereka adalah sama di sisi Allah. Kesamaan mereka adalah pada:
1. usaha untuk mencari pemberian daripada Allah. Firman-Nya, "Bagi orang lelaki, sebahagian daripada apa yang mereka mengusahakan, dan bagi orang perempuan, sebahagian daripada apa yang mereka mengusahakan. Dan mintalah kepada Allah pemberian-Nya" (4:32).

2. keimanan dan ganjaran daripada Allah. Firman-Nya, "Lelaki yang muslim dan perempuan yang muslim, dan lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, dan lelaki yang patuh dan perempuan yang patuh, dan lelaki yang benar dan perempuan yang benar, dan lelaki yang sabar dan perempuan yang sabar, dan lelaki yang merendah hati dan perempuan yang merendah hati, dan lelaki yang bersedekah dan perempuan yang bersedekah, dan lelaki yang berpuasa dan perempuan yang berpuasa, dan lelaki yang menjaga kemaluan mereka dan perempuan yang menjaga, dan lelaki yang mengingat Allah dengan banyak dan perempuan yang mengingat - bagi mereka, Allah menyediakan keampunan dan upah yang besar" (33:35).

Pendek kata, seperti kata Allah juga, "Sesiapa membuat kerja-kerja kebaikan, lelaki atau perempuan, dan dia seorang mukmin, mereka akan masuk Taman (syurga), dan tidak dizalimi satu bintit pun" (4:124). Kata mukmin bererti believer dalam bahasa Inggeris.

3. jodoh masing-masing, iaitu yang jahat bagi yang jahat dan yang baik bagi yang baik. Firman-Nya, "Wanita-wanita yang buruk untuk lelaki-lelaki yang buruk, dan lelaki-lelaki yang buruk untuk wanita-wanita yang buruk; wanita-wanita yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik" (24:26), dan,

4. hukum, seperti hukum zina yang berbunyi, "Perempuan yang berzina, dan lelaki yang berzina, sebatlah tiap-tiap seorang daripada mereka dengan seratus sebatan" (24:2), dan hukum bagi pencuri, berbunyi "Dan pencuri lelaki dan pencuri perempuan, potonglah tangan keduanya sebagai satu balasan ke atas apa yang mereka mengusahakan" (5:38).

Hak
Begitulah juga dengan hak. Kaum wanita mempunyai hak yang sama dengan kaum lelaki. Hak yang sama ini diberikan Allah kepada mereka dengan firman-Nya yang berbunyi, "Bagi perempuan ada hak yang baik seperti yang ke atas lelaki" (2:228).

Perbezaan
Namun begitu, mungkin kerana perbezaan pada kromosom antara lelaki dan perempuan membuatkan ada sedikit perbezaan, dan perbezaannya adalah dalam tanggungjawab. Ayat-ayat al-Qur’an yang menjelaskannya adalah seperti di bawah:
1. "Tetapi para lelaki mereka adalah satu darjat di atas mereka” (2:228). Darjat di sini, menurut konteksnya, adalah hak suami untuk mengambil balik isteri yang diceraikan apabila mereka ingin membetulkan antara mereka.

2. "Lelaki-lelaki adalah pengurus-pengurus urusan perempuan, dengan sebab Allah melebihkan sebahagian mereka di atas sebahagian yang lain, dan kerana mereka menafkahkan (membelanjakan) daripada harta mereka" (4:34). Kaum lelaki dipertanggungjawabkan sebagai pengurus urusan perempuan kerana kaum lelakilah yang membelanjakan. Kaum lelaki menyara hidup kaum perempuan, dan bukan sebaliknya.
Pada sebuah ayat yang lain pula, Allah menyatakan, "Adalah atas bapa untuk memberi rezeki dan pakaian mereka dengan baik" (2:233). Ayat ini bersangkut hal perceraian; sehingga dalam keadaan begini pun bapa dipertanggungjawabkan menyara anak-anaknya.

3. "Atau jika kedua-duanya bukan lelaki (saksi-saksi dalam perjanjian perdagangan yang tidak bertulis), maka seorang lelaki dan dua orang perempuan, saksi-saksi yang kamu berpuas hati, bahawa jika salah seorang daripada keduanya sesat, yang lagi seorang akan mengingatkannya" (2:282). Walaupun dua tetapi hanya seorang yang memberi kesaksian. Yang seorang lagi mengingatkannya jika dia sesat, seperti berkahwin dengan saksi lelaki, atau kerana hormon yang mudah mempengaruhi emosi. Kesaksian terdedah kepada tekanan pihak lelaki, dan dengan Allah menetapakan dua perempuan, Dia memberi perlindungan kepada mereka daripada manipulasi kaum lelaki. Inilah satu-satunya kesaksian yang memerlukan dua perempuan (perjanjian perdagangan tanpa tulis). Dalam yang lain tidak, seperti "Dan orang-orang yang membalingkan kepada isteri-isteri mereka tanpa saksi-saksi, kecuali diri-diri mereka sendiri, maka kesaksian seorang daripada mereka ialah menyaksikan dengan Allah empat kali, bahawa dia termasuk orang-orang yang benar." (24:6)

4. "Allah mewasiatkan kamu mengenai anak-anak kamu; bagi lelaki serupa dengan bahagian dua perempuan ..." (4:11). Ini adalah bunyi permulaan ayat yang menetapkan bahagian-bahagian yang diterima oleh kaum lelaki dan perempuan dalam pembahagian harta pesaka. Akan tetapi, ia tidak semestinya dibahagi begitu.

Demikian beberapa ketidaksamaan antara lelaki dan perempuan yang tersurat di dalam al-Qur’an.


Perkahwinan
Perasaan cinta dan pengasihan antara lelaki dan perempuan, yang dikurniakan Allah, berjaya memujuk kebanyakan mereka untuk hidup bersama, dan bersatu, dalam ikatan perkahwinan. Perkahwinan yang disuruh Allah telah menjadi sunnah semua Rasul (13:38), termasuk Nabi Isa.
Lalu kaum wanita menjadi isteri-isteri. Isteri dicari dengan menggunakan harta. Mereka dicari bukan untuk perzinaan, tetapi untuk diikat dalam ikatan perkahwinan. Firman-Nya, "Dihalalkan bagi kamu .... adalah bahawa kamu mencari, dengan menggunakan harta kamu, dalam ikatan perkahwinan, bukan dalam perzinaan ..." (4:24).

Manakala bagi lelaki yang tidak berharta tetapi ingin mengahwini perempuan mukmin yang merdeka, mereka akan mengahwini hamba yang mukmin, atau mereka bersabar. Firman-Nya, "Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemewahan untuk membolehkan mengahwini wanita-wanita merdeka yang mukmin, maka dia mengambil pemudi kamu yang mukmin yang tangan kanan kamu memiliki .... dan lebih baik bagi kamu jika kamu bersabar" (4:25).

Isteri menjadi teman hidup dan tempat berehat bagi suami. Firman-Nya, "Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah bahawa Dia menciptakan untuk kamu, daripada diri-diri kamu sendiri, teman-teman hidup (isteri), supaya kamu berehat pada mereka" (30:21).
Keselesaan, kemesraan, dan kepuasan yang dinikmati bersama antara suami dan isteri dirakamkan lagi di dalam al-Qur’an dengan sebuah ayat yang berbunyi, "Mereka (isteri) adalah pakaian bagi kamu, dan kamu, pakaian bagi mereka" (2:187).

Halal
Orang-orang yang halal dikahwini telah disenaraikan Allah di dalam al-Qur’an. Senarai itu kini disusun seperti di bawah ini:
bujang. Firman-Nya, "Kahwinlah orang-orang yang tanpa teman hidup di kalangan kamu" (24:32),

janda. Firman-Nya, "Tidak ada kesalahan ke atas kamu mengenai lamaran kepada perempuan-perempuan (janda) yang kamu menawari" (2:235),

ahli Kitab. Firman-Nya, ".. dan menikahi wanita-wanita daripada mereka yang diberi al-Kitab sebelum kamu" (5:5),

hamba yang mukmin. Firman-Nya, "maka dia mengambil (sebagai isteri) pemudi kamu yang mukmin yang tangan kanan kamu memiliki" (4:25)

anak yatim, dan kanak-kanak yang ditindas. Firman-Nya, "... mengenai anak-anak yatim perempuan, yang kepadanya kamu tidak memberikan apa yang ditetapkan untuk mereka, tetapi kamu ingin mengahwini mereka, dan kanak-kanak yang ditindaskan" (4:127)

anak tiri daripada isteri yang belum dimasuki. Firman-Nya, "... dan (diharamkan berkahwin) anak-anak perempuan yang dalam penjagaan kamu daripada isteri-isteri kamu yang kamu telah memasuki - tetapi jika kamu belum memasuki mereka, maka tidaklah bersalah ke atas kamu" (4:23),

bekas isteri anak angkat. Firman-Nya, "tidak ada kesalahan ke atas orang-orang mukmin dalam hal isteri-isteri anak-anak angkat mereka" (33:37),

wanita mukmin yang lari daripada suami yang kafir. Firman-Nya, "... dan tiada kesalahan ke atas kamu untuk mengahwini mereka (yang lari daripada suami yang kafir)" (60:10), dan

sepupu, seperti yang disebut di dalam sebuah ayat yang khusus bagi Nabi berbunyi, "Wahai Nabi, Kami telah menghalalkan untuk kamu isteri- isteri kamu yang kamu telah memberikan upah mereka, dan apa yang tangan kanan kamu memiliki, daripada rampasan perang yang Allah memberikan kamu, dan anak-anak perempuan bapa-bapa saudara kamu sebelah bapa kamu dan emak-emak saudara sebelah bapa, bapa-bapa saudara kamu sebelah ibu dan emak-emak saudara sebelah ibu, yang berhijrah bersama kamu, dan mana-mana perempuan yang mukmin, jika dia menyerahkan dirinya kepada Nabi dan jika Nabi menghendaki untuk mengahwininya, yang untuk kamu khasnya, bukan untuk orang-orang mukmin yang lain" (33:50). Kelebihan Nabi dalam memilih isteri ialah dia dibenarkan berkahwin dengan perempuan yang menyerahkan dirinya kepada dia.


Haram
Begitu juga Allah telah menyenaraikan beberapa golongan yang haram dikahwini. Mereka terdiri daripada:
1. yang enggan. Firman-Nya, "tidak halal bagi kamu untuk mewarisi perempuan-perempuan dengan paksa" (4:19),

2. bekas isteri bapa. Firman-Nya, "Dan janganlah mengahwini perempuan-perempuan yang bapa-bapa kamu telah mengahwini" (4:22),

3. ibu bapa, anak-anak sendiri, adik-beradik, ibu atau bapa saudara dan anak-anak saudara. Firman-Nya, "Diharamkan kepada kamu adalah ibu-ibu kamu, dan anak-anak perempuan kamu, dan saudara-saudara perempuan kamu, dan ibu-ibu saudara kamu sebelah bapa dan sebelah ibu kamu, dan anak-anak perempuan saudara lelaki kamu dan saudara perempuan kamu" (4:23),

4. perempuan yang menyusukan, dan yang sesusuan. Firman-Nya, "dan ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu, dan saudara-saudara perempuan kamu yang sesusuan" (4:23),
5. mertua, dan anak-anak tiri yang ibunya sudah dimasuki. Firman-Nya, "dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak perempuan yang dalam penjagaan kamu daripada isteri-isteri kamu yang kamu telah memasuki" (4:23),

6. menantu. Firman-Nya, "dan isteri anak-anak kamu yang daripada pinggang kamu" (4:23),

7. dua adik-beradik. Firman-Nya. "dan kamu himpun dua perempuan adik-beradik” (4:23),
8. isteri orang. Firman-Nya, "Dan perempuan-perempuan yang bersuami, kecuali apa yang tangan-tangan kanan kamu memiliki" (4:24),

9. penzina. Firman-Nya, "Lelaki yang berzina tidak mengahwini kecuali perempuan yang berzina, atau perempuan yang menyekutukan; dan perempuan yang berzina, tiada yang mengahwininya kecuali lelaki yang berzina, atau lelaki yang menyekutukan; itu diharamkan kepada orang-orang mukmin" (24:3),

10. yang jahat bagi yang baik. Firman-Nya, "Wanita-wanita yang buruk untuk lelaki-lelaki yang buruk, dan lelaki-lelaki yang buruk untuk wanita-wanita yang buruk; wanita-wanita yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik" (24:26),

11. yang ditalak (dicerai) sebanyak dua kali. Firman-Nya, "Jika dia menceraikannya (buat kali kedua), dia (isteri) tidak halal baginya sesudah itu sehingga dia berkahwin suami yang lain" (2:230),

12. yang menyekutukan Allah (yang mengadakan selain daripada Allah untuk menetapkan dalam gama). Firman-Nya, "Janganlah mengahwini perempuan-perempuan yang menyekutukan sehingga mereka mempercayai; hamba perempuan yang mukmin adalah lebih baik daripada perempuan yang menyekutukan, walaupun dia menarik hati kamu. Dan janganlah mengahwini orang-orang lelaki yang menyekutukan sehingga mereka mempercayai. Hamba yang mukmin adalah lebih baik daripada orang yang menyekutukan, walaupun dia menarik hati kamu" (2:221), dan akhirnya,

13. yang tidak percaya (kafir) kepada Allah dan Kitab-Nya. Firman-Nya, "Mereka (yang mukmin) adalah tidak halal bagi orang-orang yang tidak percaya, dan tidak juga orang-orang yang tidak percaya halal bagi mereka" (60:10).

Baik
Sememangnyalah, orang-orang yang takut kepada Allah akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi orang-orang yang salih, atau orang-orang yang baik. Mengenai wanita-wanita yang disifatkan baik, Allah telah menjelaskannya dengan ayat berbunyi, "Wanita-wanita yang salih (baik) ialah yang patuh, yang menjaga yang rahsia kerana Allah menjaganya" (4:34).
Allah seterusnya menyebut di dalam al-Qur'an mengenai sifat-sifat wanita yang baik, yang antaranya, adalah yang muslim, mukmin, benar, sabar, merendah hati, bersedekah, berpuasa, mengingat Allah dengan banyak, menyuruh yang baik, melarang yang mungkar, melakukan solat, memberi zakat, atau yang membuat kerja-kerja kebaikan. Wanita-wanita ini tentu menemui kebahagian.

Akhirat
Kebahagian hidup bersama antara suami dan isteri di dunia ini akan disambung semula pada Hari Akhirat, di mana mereka akan bersatu sekali lagi, untuk duduk kekal dalam kebahagian. Inilah idaman yang sebenarnya bagi suami dan isteri, iaitu kebahagian bersama di dunia dan di akhirat. Allah menyebut mengenai kebahagian mereka di syurga di dalam beberapa ayat al-Qur'an, dan antaranya berbunyi, "Sesungguhnya orang-orang Jannah (syurga) pada hari ini sibuk dalam kegembiraan mereka. Mereka dan isteri-isteri mereka bersandar di atas sofa di tempat teduh. Bagi mereka di dalamnya buah-buahan, dan bagi mereka apa yang mereka minta. “Salam” ialah perkataan daripada Pemelihara (Tuhan) yang Pengasih" (36:55-58).
Sepertimana syurga itu kekal bagi orang-orang yang baik, begitulah juga dengan neraka bagi orang-orang yang jahat. Mereka yang dimasukkan ke dalam neraka tidak dikeluarkan darinya, walaupun mereka melafazkan persaksian terhadap Allah dan Rasul semasa mereka hidup di dunia untuk menunjukkan keislaman mereka. Lafaz sahaja tidak mencukupi. Syurga tidak semurah itu.


Doa
Kebahagian hanya datang daripada Allah, maka mohonlah kepada-Nya. Allah Yang Pemurah, dan Yang Pengasih, telah mengajar suami dan isteri sebuah doa untuk kebahagian mereka sekeluarga, dan untuk mereka mendahului dalam ketakwaan, berbunyi "Wahai Pemelihara kami, berilah kami kegembiraan daripada isteri-isteri (atau, suami) kami, dan keturunan kami, dan buatlah kami ketua bagi orang-orang yang bertakwa (takut kepada Tuhan)" (25:74). Mudah-mudahan dengannya, dan dengan usaha yang ikhlas lagi bersungguh-sungguh dalam mentakuti-Nya, para wanita, yang di dalam Islam sebenar, berbahagia hidup di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment