Saturday, February 13, 2010

Hanya Allah dan Jihad

SAYUP suara angin bertiup. Bunyi yang sayu itu membawa hawa yang menggigit, haba yang bersisa hilang bersama tenaga yang berbaki untuk menahan getar kesejukan. Namun keperitan mengharung dingin ini tiada apa jika dibanding dengan kehangatan air mata yang setiap hari membasahi bumi yang dipijak. Maisa’ berbungkus dengan kelubung tebal sulaman Afghanistan berbelang hijau dan hitam. Kelubung itu sudah bertampal dengan perca sebagaimana hati Maisa’ bertampal dengan pedih kehidupan.

Kematian bukan lagi perkara besar dalam agenda hidupnya. Kebanyakan kenalannya telah menjadi kenangan yang berlalu. Baik yang bergelar adik, kakak, abang atau pak cik mahupun mak cik apatah lagi datuk dan nenek. Mereka semua telah pergi dalam satu tragedi. Bangsa mereka dicemburui oleh yang pernah bergelar jiran, pernah mereka tumpangkan masa diburu. Kini jiran dan penumpang itu merampas sebuah kalimah yang berbunyi ketenangan. Maisa’ sedang mencari sesuatu untuk mengisi kantung penghadamannya, mencari sesuatu yang mampu menutup pedih perutnya. Sejak Ghaza dibedil selepas pengepungan berbulan-bulan, roti bukan lagi tetamu setia yang menjengah kerongkongnya. Memiliki roti bagai menjadi orang berada. Mendapat secekak tepung sudah memadai untuk melarik senyum di kanvas wajah mereka. Bangsa Maisa’ menerima hukuman ini atas satu kesalahan. Berdegil menjual tanah mereka beserta agama kerana kebendaan yang sementara. Mereka mempertahankan maruah dan cita-cita bangsa mereka.

Mereka dihukum oleh satu dunia. Maisa’ baru berumur enam belas tahun tetapi mindanya sudah matang menjangkau propaganda yang ditebar di Tebing Barat mahupun dalam Ghaza. Dia sedar kerajaan Islam di Ghaza bukan kerajaan yang memperjudikan kebajikan mereka. Tetapi kerajaan ini kerajaan yang tidak diredhai Yahudi seperti kerajaan-kerajaan lain yang wujud di muka bumi ini. Maisa’ terlalu faham apa kemahuan bangsa yang dilaknat Tuhan itu. Dia faham kerana dia melihat dan mendengar dari langit dan bumi. Dia melihat kelancangan Yahudi dan mendengar suara Tuhan dalam bantuan dan kiriman langit. Dia mendengar pembohongan Yahudi dan membaca kalam Tuhan dalam al Quran. Maisa’ yakin kerajaannya berada dalam tindakan yang benar teori dan praktis. Tiada apa yang diyakininya itu datang dari media pro kerajaannya tidak pula dari siaran televisyen atau corong radio. Masakan tidak tenaga elekterik sahaja sukar didapatinya.

“Hai saudariku! Mahu ke mana dalam dingin begini?” Satu suara menegurnya.
“Aku mengikut langkah yang tiada arah, menanti rezeki Tuhan untuk perut yang sudah pedih.”
“Mari, aku hantarkan ke rumah. Aku punya sedikit makanan.”
“Aku tiada rumah, bumi ini rumahku.”
“Jika begitu , mari aku bawakan kepada ibumu yang baru.”
Maisa’ tidak berfikir apa-apa yang telah pasti lelaki itu berbangsa Palestina dan bahasanya slanga Ghaza.

“Siapa namamu?”
“Maisa’ azzuhri, kamu?” ungkap Maisa’ sambil mengunyah kurma kering yang dihulurkan kepadanya.
“Ismail.”
“Terima kasih.”

Rumah Ismail jauh dari kancah perang kali ini. Sejauh 30 kilometer sudah cukup untuk berasa sedikit selamat buat penduduk Ghaza sejak sebulan lalu.

“Dari mana asalmu?”
“Aku dari Tah Tuffah.”
“Rumahmu, bagaimana ia berlaku?”
“Aku di sekolah ketika itu, ketika kembali semuanya diambil Tuhan.”
“Hasbukillahu wa nikmal wakil.” Kalimah inilah ucapan yang tersebar seluruh Ghaza ketika ini. Kata-kata penyerahan dan penguat jiwa.
“Kita telah tiba.”
Rumah berbatakan pasir dengan jendela kayu yang sudah tanggal catnya kelihatan lusuh dengan sepuhan debu-debu melekat. Pintunya yang bertampal papan lapis itu melengkapkan wajah tua rumah dihadapan mereka. Pintu itu terkuak lalu keluarlah seorang ibu tua bersama sebatang tongkat terhencot-hencot mendekati Maisa’. Tongkat dari dahan zaitun itu membantu kaki kanannya yang telah lemah untuk memikul badan yang agak gempal. Maisa’ kini dalam pelukan perkenalan. Terpapar kemewahan hati di muka pintu keluarga ini. Ismail mencium dahi wanita tua separas dagunya itu.

“Ibu, kini punyai dua anak gadis yang jelita.”
“Terima kasih, ibu.”
“Ismail, panggilkan Ahmad!”

Ismail beredar keluar mencari gerangan adiknya. Maisa’ kini mengemas makan malam yang disantapnya penuh berselera bersama Ismail, Ummu Ismail dan Aisyah.

“Ibu bagaimana di rumah ini punyai bekalan yang baik?”
“Inilah rezeki Allah untuk keluarga syuhada, kelak Maisa’ juga akan mendapat bekal yang lebih baik.”
“Siapa yang telah gugur?”
“Rumah ini dahulu ada Sepuluh lelaki. Kini tinggal dua.”
Mata bundar Maisa’ bersinar ingin mendengar lebih dari orang tua ini.

“Mulanya, Abu Ismail di tangkap kerana menjadi ustaz di masa Ghaza masih bawah kerajaan Palestin yang lama.”

Maisa’ melihat ke gambar keluarga besar yang kini di tangannya. Jari Ummu Ismail membelai imej lelaki berjambang lebat dan bermisai nipis dengan kebanggaan.

“Kemudian, empat putera ibu diambil Allah sekaligus semasa mereka menuntut di sekolah dalam serangan dua tahun lepas. Diikuti pula oleh anak ketiga ibu, Abduh.” jari telunjuknya kini di wajah anak muda belasan umur sedang ibu jarinya masih di wajah lelaki berjambang tadi.

“Abduh terpilih untuk misi serangan hendap ke atas lori bekalan ubatan yang dirampas Israel di sempadan Rafah. Dia bijak dalam memasang perangkap. Seminggu lepas dua lagi anak ibu gugur di Tah Tufah ketika bertugas memindahkan penduduk ke sini.”

“Ismail, tidak menyertai briged al Qassam?” Soal Maisa’ tiba-tiba.

“Ismail umurnya panjang. Sudah berpuluh misi berjaya dalam pimpinannya, tetapi cita-citanya belum tercapai.”
“Syahid atau membebaskan bumi ini bukan cita-cita dia sahaja.” Maisa’ merenung imej Ismail dengan penuh rasa kagum.
“Abu Ismail masih hidup?”
“Ya, sudah lima tahun dalam tawanan, tetapi khabarnya masih kukuh bersama saudara yang lain. Cuma setahun dia di tahan di Ramallah, kini di sempadan Lubnan dipindahkan ke kem tahanan di bawah seliaan Yahudi.”
“Ahmad anak ibu yang ke berapa?” Maisa’ kembali kepada foto yang berada di tangannya.
“ Ahmad yang ke dua. Pakar propaganda.”
“Berkahlah rahim ibu melahirkan pejuang semuanya.” Maisa’ mengukir senyum yang mengharukan.
“Ibu belum bercerita tentang kita.” Aisyah gadis sepuluh tahun kini bersuara.
“Aisyah, kita bukan berbakti untuk dipuji.” Ummu Ismail mengingatkan.
“Tetapi, tak salah jika kita memuji kebaktian.” Maisa’ membela Aisyah dan mengumpan cerita.
“Masakan anak ibu tidak terkesan dengan jiwa juang abang-abangnya. Dia sering menyertai kumpulan jururawat semasa cuti. Tetapi kini Ismail menyerahkan tugas menjaga ibu di sini kepadanya.” Aisyah tersenyum apabila Maisa’ mengusap belakangnya.
“Sungguh meriah semangat jihad di rumah ini? Tidakkah ibu berasa sedih dengan kematian mereka? Saya merasakan sayalah yang paling hebat diuji. Rupanya tidak...”
“Sedih itu perasaan tetapi bangga itu keimanan.”
Maisa’ merapatkan Aisyah ke samping dikucup kepala adiknya, ingin mengawal hiba yang hinggap dari ungkapan seorang ibu yang benar-benar menghayati kalam Tuhan. Dia cuba membayangkan, bagaimanakah keadaan keluarga pimpinan kerajaan Ghaza sekiranya keluarga tenteranya pun sudah sehebat ini.

“Kakak! cuba baca ini.” Aisyah mengeluarkan risalah yang bertajuk ‘Hanya Allah dan Jihad.’
“Siapa yang menulis?”
“Abang Ahmad. Ini risalah terbarunya. Belum dicetak untuk sebaran. Aku diarah mengulang semak bahasa dan susunannya.”
“Benarlah dia pakar propaganda.”
“Cuba baca sini.”
‘Seluruh dunia bersimpati dengan kita. Sedangkan kita bangga wujud di tanah ini dengan Islam dan ruh mempertahankan agama ini bersama jihad. Seluruh dunia menangis pilu menghantar Syuhada’ kita sedangkan kita mengiringi mereka dengan keimanan akan ganjaran akhirat. Tetapi seluruh dunia berpeluk tubuh melihat kezaliman ke atas kita sedang kita bermandi darah menghentikannya. Seluruh dunia tiada apa-apa kerana segalanya hanyalah Allah dan jihad sahaja harapan kita.’
Perenggan itu dibaca dengan genangan air mata. Walaupun ringkas ia mewakili suara seluruh Ghaza. Kemudian Aisyah menuding ke perenggan lain yang ditandakannya.

‘Semua kerajaan sudah bacul dan mandul. Hinggalah Tebing Barat yang kita pandang mereka sebangsa. Mereka menjual darah kita dan daging kita dengan janji kosong penjajah. Mesir mahukan kita lumpuh kerana ghairah ingin mendapat jiran berdarah kera dan babi. Presiden kita tidak puas tamakkan dunia untuk kerabatnya. Hanya Allah dan jihad sahaja harapan kita. Bersama saudara kita seperti Sudan, Iran dan Qatar kita bina semula jalan-jalan syahid untuk ke syurga.Walaupun semua muslimin bersama kita tetapi wehdah Islamiyah telah pupus bersama daulah Usmaniyah. Maka kita akan bina Daulah baru dari tanah ini.’

“Sungguh besar keyakinan anak ibu.”
“Dia banyak membaca kisah pejuang badar. Dia mengenali kesemua tiga ratus empat belas pejuang badar, nama mereka dan posisi mereka. Dia menghadam semua sejarah Palestin. Politik, budaya, ekonomi dan hubungan luar tanah ini dalam mindanya. Dia sangat istimewa.”
“Ismail pula bagaimana?”
“Anak sulung ibu itu tidak habis sekolahnya. Tetapi sungguh taat dan konsisten dalam agama. Dia sangat tangkas dan cekap mengendali senjata. Dari kecil sering bersama jiran-jiran yang berjihad ke medan membantu keperluan ringan. Dia panglima yang dihormati. Tugasnya berbagai.”

“Dum!” tiba-tiba letupan besar menggegarkan rumah kecil mereka. Lilin yang merupakan sinar tunggal ditiup Ummu Ismail seraya memeluk kedua gadis di hadapannya. Sunyi memenuhi ruang rumah itu.

Lima minit kemudian kedengaran bunyi sesuatu yang besar terhempas dari udara. Kampung yang terdiri dari berbelas rumah seperti bongkah-bongkah batu tersusun kini cerah dengan kebakaran objek yang baru terhempas tadi.

Setelah sepuluh minit berlalu dalam jeda kedengaran laungan takbir oleh penduduk sekitar. Sebuah bangkai pesawat tempur Hawk buatan Amerika di kerumuni. Ucapan takbir dan tasbih mengisi selang seli dialog.

Sebuah kenderaan pacuan empat roda memasuki kampung. Pejuang-pejuang turun dengan bertopeng menutup seluruh muka kecuali dua lubang menuruti kelopak mata. Seorang dari mereka menghala ke arah Ummu Ismail dan anak-anaknya.

“Ibu, berbahagialah! Seorang lagi puteramu ke pintu Syurga.”

“Hasbiyallahu wanikmal wakil.” Ummu Ismail menangis sambil memeluk puteranya.

“Ismail meninggalkan nota ini katanya buat ibu.” Ahmad menyerahkan nota kecil berlipat lapan kepada ibunya di bawah pohon tamar di sisi kanan bangkai pesawat yang masih bernyala.

‘Ibu, malam ini aku berjumpa dengan gadis yang kurasakan sesuai untuk mendapat kasih sayangmu. Aku kira dia layak untuk mengharungi kehidupan berjuang dalam rumah kita. Aku juga rasakan dia mampu menjadi menantumu yang baik. Tetapi aku tidak pasti untuk siapa. Aku atau Ahmad? Kerana semalam aku bermimpi kau mengusung jenazah ke arah adik-adik yang telah lama menanti. Aku mendoakan jenazah itu diriku. Jika doaku makbul kau pujuklah Ahmad menerima calon yang kubawakan itu. Aku ingin kau merasa bahagia menerima menantu perempuan sebelum bekalan puteramu kehabisan. Aku menulis risalah ini kerana aku yakin bahawa Tuhan telah menerima cita-citaku sebagai syahid apabila keluarnya aku kali ini atas pintamu bukan izinmu. Seperti yang sebelum ini. Sampai berjumpa di Syurga.’
Ismail.
Surat itu diserahkan kepada Maisa’. Kini mereka basah dalam tangisan. Ahmad hanya memerhati. Bangkai pesawat itu sudah padam bersama dengan kelam malam. Penduduk yang berusaha memadam api dari tadi sudah kembali ke rumah masing-masing. Pejuang bertopeng masih belum selesai meyelidik bangkai pesawat itu dengan teliti.

Aisyah dipimpin Ahmad beriringan manakala Maisa’ dan Ummu Ismail melangkah lemah menuruti ke muka pintu. Hari esok belum tahu cita-cita siapa akan terkabul.

No comments:

Post a Comment