Saturday, February 13, 2010

Islam Hari Ini

Oleh : Nor Azma



Umat Islam hari ini terbelenggu dengan ancaman dari luar dan dalam. Asakan luar semenjak selepas perang salib, imperialism, setelah kejatuhan khilafah Islamiyyah dan sehinggalah dunia hari ini yang didominasi oleh hanya satu kuasa (unipolar) tidak berputus asa melumpuhkan segala kekuatan umat Islam. Kebangkitan selepas Perang salib membuatkan musuh tidak pernah lena tidur daripada meneliti kekuatan dan kelemahan umat Islam.

Hari ini propaganda demi propaganda dilihat begitu berjaya mengalihkan persepsi masyarakat dunia bahawa Islam pencetus keganasan, Islam anti-establishment, Islam itu teroris, Islam mengongkong kebebasan hak asasi, Islam mengongkong wanita dan segala yang hodoh itu ialah Islam. Perkara ini bukanlah percuma, sebaliknya ini adalah hasil kerja keras dan kajian mereka semasa meneliti pro dan kontra terhadap kekuatan Islam. Dendam kesumat yang lama membarah akhirnya berjaya membuatkan umat Islam hilang fokus dalam kehidupan ubudiyyah mereka. Segala kekuatan umat Islam menjadi lemah kerana fokus mereka telah dialihkan untuk membersihkan nama baik mereka “Islam “ itu sendiri.

Dalam masa yang sama, umat Islam selain perlu memberi penerangan demi penerangan kepada dunia untuk memulihkan kembali imej subversif yang terpalit di wajah, umat Islam juga perlu sentiasa mempertontonkan imej positif dan akhlak Islamiyyah yang sebenar sebagai bukti bahawa mereka adalah di sebalik propaganda dan tuduhan musuh Islam tadi. Kerja-kerja semakin berganda, umat Islam juga perlu berterusan memperkasakan umatnya yang semakin hanyut dengan hedonisme dan materialisme. Usaha untuk mengislahkan umat juga menghadapi tentangan dahsyat kerana ancaman dari dalam umat Islam sendiri yang hilang keyakinan terhadap Islam.

Beberapa perkara yang dianggap penyakit kronik menjangkiti umat Islam telah diteliti oleh Mujaddid Bediuzzaman Said Nursi di ambang kejatuhan khilafah semasa Perang Dunia Pertama lagi dilihat sangat signifikan sehingga hari ini. Penyakit-penyakit tersebut kian bernanah dan membarah di dalam jasad umat Islam di seluruh dunia. Ia merebak dari atas sehingga ke bawah, menular dari pemimpin sehingga ke rakyat biasa.

Beberapa penyakit kronik yang menjangkiti dalaman umat Islam sehingga melemahkan kekuatan dan menghancurkan benteng maknawiyah Islam ialah:

Berputus asa dan patah harapan

Matinya kebenaran dalam kehidupan sosial dan politik

Cintakan permusuhan

Jahil tentang signifikan ikatan ukhuwah sesama Mukmin dan mementingkan diri sendiri

Pemerintahan tirani dan kuku besi

Penyakit kronik ini perlu dirawat agar jasad besar umat Islam kembali kuat dan kukuh untuk menghadapi segala ancaman musuh dan seterusnya membina kembali kegemilangan peradaban Islam di akhir zaman.

Rawatan yang telah Bediuzzaman Said Nursi preskripsikan juga terdiri daripada beberapa jenis ubat, antibiotik ataupun vaksin yang diekstrak khusus dari gedung farmasi al-Quran al-Hakim. Rawatan ini secara pasti dapat merawat beberapa penyakit tadi kerana al-Quran itu sentiasalah benar, lantaran itu umat Islam perlu mengambil serius bagi mendapatkan rawatan segera untuk kesihatan hakiki mereka.

Rawatan untuk penyakit pertama iaitu penyakit berputus asa dan patah harap yang melanda umat Islam keseluruhannya dari timur hingga barat dapat dirawat dengan al-amaal iaitu “harapan”. Umat Islam hari ini kecewa dengan nasib yang menimpa mereka di Palestin, Patani, Kashmir, Iraq, Chechen dan sebagainya, malah di dalam kehidupan harian mereka juga dilihat seolah umat Islam tertindas dengan sistem ekonomi kapitalis dan sistem sosialis. Dalam aspek politik dan strategik, yang kuat terus mendominasi dan menindas yang lemah. Umat Islam lalu dihinggap penyakit berputus asa lantaran tidak mampu seiring dengan seluruh dunia yang terkehadapan, sehingga tidak mahu berbuat apa-apa, menyalahkan takdir dan sebgainya. Namun al-Quran menyarankan penawar mujarab iaitu dengan menetapkan harapan yang kuat dan jitu terhadap rahmat Allah dan hendaklah percaya serta yakin kepadanya.

Sesungguhnya masa depan hanyalah untuk Islam. Umat Islam perlu berlapang dada dan redha dengan segala takdir yang menimpa. Tetapi apa yang perlu ialah keyakinan dan harapan bahawa masa depan gemilang akan kembali kepada umat Islam. Umat Islam perlu konsisten dan sentiasa berpakaian akhlak Islamiyyah yang mulia serta memperkukuhkan iman, dengan ciri-ciri ini secara pasti umat-umat daripada agama lain akan terpesona dan berbondong-bondong memeluk Islam.

Sentiasa menaruh harapan dan berfikiran positif akan membuatkan umat Islam tidak berdiam diri sebaliknya terus berusaha menambahkan ilmu dan amal. Mereka percaya selepas malam akan terbit fajar. Kegemilangan Islam nanti bukan hanya menyentuh aspek rohani tetapi secara material juga akan didominasi oleh umat Islam. Kekuatan jati diri dan rohani serta keyakinan bahawa Islam agama yang benar membuatkan umat Islam bersatu seumpama satu jasad yang bergerak ke satu arah sahaja mencari redha Allah. Keyakinan yang berpunca daripada Tauhid yang solid akan menjadikan umat Islam yakin dalam segala ilmu dan bidang yang diceburinya, malah akan menemui pelbagai kejayaan seperti contoh di dalam bidang perubatan, mereka tidak akan berhenti membuat kajian kerana segala penemuan membuatkan mereka semakin kenal Allah yang bersifat al-Syafi dan al-Hakim. Begitu juga di dalam bidang-bidang lain, undang-undang, kejuruteraan, sosial dan sebagainya yang membuatkan mereka terus gigih berusaha dan mencapai kejayaan apabila menemukan pelbagai nama dan sifat Allah.

Rawatan untuk penyakit kedua iaitu penipuan hanyalah dengan kebenaran. Kebenaran adalah prinsip asal dalam Islam. Kebenaran sama sekali tidak boleh bercampur dengan tipu daya dan putar belit. Kebenaran dan penipuan mesti dijauhkan sebagaimana jauhnya Timur dan Barat. Kebenaran dan penipuan tidak bercampur seperti mana iman terpisah dari kufur. Sekiranya penipuan masih melingkari kata-kata dan tindakan umat Islam dalam segenap aspek, bantuan dan kemenangan akan terhalang daripada sampai kepada mereka. Kebenaran dan kejujuran yang bertitik tolak daripada ubudiyyah kepada Allah menatijahkan keharmonian di dalam masyarakat. Pemerintah dan umat yang hidup dengan penipuan sentiasa menimbulkan ketegangan dan rasa tidak selamat dalam kehidupan seharian, tiada rasa saling mempercayai. Umat Islam adalah umat yang sentiasa berkata dan bertindak dengan benar, namun parlu berhati-hati kerana tidak semua kebenaran perlu diperkatakan. Situasi yang tidak sesuai untuk berkata-kata haruslah berdiam diri bukan mereka-reka cerita dan menipu untuk melepaskan diri.

Rawatan untuk penyakit ketiga iaitu penyakit permusuhan, penawar yang paling mujarabnya ialah cinta. Permusuhan dan kebencian telah menatijahkan kehancuran. Peperangan demi perangan hanya membawa kerugian kepada semua pihak. Di dalam negara umat Islam hari ini, mereka sering mencari titik perbezaan yang membawa kebencian. Kebencian membuatkan manusia tidak mahu melihat kebenaran dan meneliti setiap perkara secara objektif dan adil, kerana rasa benci telah mengelabui pandangannya. Cinta dan kebencian ialah dua entiti yang berbeza sama sekali. Cinta dan benci tidak boleh bersama sebagai mana kegelapan dan cahaya tidak pernah bersama. Kebencian yang memenuhi hati membuatkan seseorang hanya ingin mencari kesalahan dan kesilapan orang lain, berbeza dengan cinta, seseorang akan berusaha melihat segala kebaikan orang lain. Kebencian dan hasad dengki membuatkan seseorang melupakan sepuluh kebaikan saudaranya disebabkan hanya satu kesilapan yang telah dilakukan. Mana-mana pihak yang sengaja menyuburkan rasa benci terhadap sesama Islam sebenarnya telah melakukan suatu kesilapan dan permusuhan yang nyata. Cinta yang benar akan menukarkan rasa permusuhan kepada belas kasihan dan kasih sayang kepada sesama Islam.

Rawatan untuk penyakit keempat iaitu melalui ukhuwah yang berlandaskan kebenaran. Di zaman ini, satu kejahatan dan kebaikan akan berganda dengan mudahnya. Ia tidak kekal satu sedemikian sahaja. Begitu juga dengan ikatan suci ukhuwah Islamiyah yang mengikat antara hati-hati umat Islam ini menjadikan seumpama sebuah keluarga. Setiap orang saling menguatkan antara satu sama lain. Sekiranya seorang yang membuat kebaikan dan melaksanakan satu amalan terpuji, yang akan mendapat nama dan mendapat pujian ialah seluruh kelompok tersebut. Misalnya seorang rakyat Malaysia telah berjaya memecahkan rekod dunia di dalam bidang Matematik, bukan setakat individu tersebut akan dipuji, malah Malaysia sebagai sebuah negara seluruhnya mendapat pujian tersebut begitu juga dengan kejahatan. Seorang yang telah melakukan jenayah di luar negara akan membawa sekali nama negaranya sehingga penghinaan dan cacian akan dirasa oleh keseluruhan rakyat negara tersebut.

Begitulah ikatan sesama umat Islam, sebenarnya mereka diikat oleh suatu rantaian nurani. Sikap tidak ambil kisah atau mencipta pelbagai alasan untuk menyelamatkan diri tentang apa yang menimpa umat Islam hari ini adalah tidak berasas. Alasan bahawa mereka tidak berdaya melakukan apa-apa adalah alasan yang tertolak. Sikap malas dan tidak mengendahkan sesama Islam sebenarnya memburukkan lagi keadaan umat Islam pada hari ini.

Umat Arab suatu masa dahulu pernah gemilang, menyumbang kepada dunia dalam pelbagai aspek. Kebaikan mereka ini berganda-ganda dan dapat dikecapi oleh semua, namun sifat malas mereka pada hari ini serta bersikap acuh tidak acuh juga merupakan keburukan dan dosa yang besar kepada seluruh umat Islam. Golongan ‘ajam selain Arab pula perlu menyambung dan berganding bahu tidak hanya tahu menyalahkan sebaliknya merasa bahawa Islam itu miliknya yang perlu dia perjuangkan.

Ikatan nurani di dalam ukhuwah Islamiyah lebih tinggi dan lebih mulia daripada mana-mana strategi politik dan siyasah. Sekiranya mati seorang pejuang Islam yang dicintai umatnya, percayalah dia sebenarnya masih hidup di dalam hati umatnya, kerana kehidupan itu kekal. Sebaliknya bagi manusia yang hanya mementingkan diri, dia tidak memberi dan menyumbang kepada umat sekiranya dia mati, ketahuilah dia sememangnya bersendirian. Hilangnya nanti bersama namanya. Manusia yang mementingkan dirinya semata-mata sebenarnya boleh diumpamakan sebagai haiwan rakus.

Rawatan untuk penyakit kelima iaitu melalui syura. Allah memerintahkan umat islam berbincang dalam membuat keputusan. Dunia menggambarkan negara-negara Islam diperintah oleh pemimpin zalim dan kuku besi. Mungkin ada benar dan salahnya. Namun bila diperhalusi rata-rata pemimpin umat Islam menggunakan kekerasan dan kekuatan untuk mendiamkan rakyatnya. Perbezaan pendapat menimbulkan perpecahan dan kebencian. Al-Quran menyarankan prinsip syura, para pemimpin perlu menyediakan ruang dan peluang kepada umat Islam memberi pendapat dan kritikan. Tekanan dan kekerasan yang digunakan untuk menutup mulut hanya akan membarahkan kebencian dan dendam kesumat. Sebaliknya Syura akan menambah kekuatan dan rasa saling percaya. Syura mengukuhkan ikatan dan menambahkan kejayaan berganda. Persepakatan yang berlandaskan iman pasti menatijahkan kejayaan dengan izin Allah. Persepakatan dan persefahaman sangat penting diterapkan daripada sekecil institusi seperti kekeluargaan, kampung, organisasi, negeri, negara, serantau sehinggalah di antara benua.

Umat Islam adalah pewaris kepada peradaban Islam yang mewarisi kedalaman hati, tamadun spiritual yang sentiasa memberikan makna kepada seluruh alam dan seluruh kejadian. Umat Islam merupakan penyelamat kepada tamadun manusia daripada hidup tanpa panduan dan terumbang ambing tanpa haluan, malah umat Islam memperlihatkan kepada seluruh manusia tentang tanggungjawab penting lagi mulia yang setiap individu itu pikul. Lantaran itu, umat islam seharusnya tidak hilang fokus walaupun diasak bertubi-tubi oleh musuh luaran dan dalaman mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment