Saturday, February 13, 2010

Ketenangan Ibadah Tahajud

Oleh : Haji Akmal Abd Rahman




Malam itu gelap gelita tetapi ia amat indah. Di muka langit bertaburan bintang-bintang yang berkelipan, di sisi bulan yang terang benderang. Untuk apakah Allah s.w.t jadikan malam? Ada waktu malam yang dihiasi dengan munajat kepada Allah s.w.t dan ada waktu malam yang dihiasi dengan derhaka kepada Allah s.w.t. Jadi malam itu tidak sentiasa indah dan permai kerana ia bergantung kepada penghuni-penghuninya.

Bagi orang-orang yang soleh merindui malam ibarat pengantin menanti malam pertama. Kerana pada waktu malam untuk mereka bermesra dengan Sang Kekasihnya. Pada waktu malam tiada kebisingan kecuali mereka mengadu dan bermunajat kepada Tuhannya. Kalau sepasang kekasih mencari waktu malam untuk memadu kasih, maka tidak hairanlah kalau orang-orang yang soleh juga menggunakan waktu malam untuk memadu cinta sejati dengan Allah s.w.t. Berkata Fudhail bin Al-Iyadh: “Apabila terbenam matahari maka saya gembira dengan gelap. Dan apabila terbitnya matahari maka saya berdukacita kerana datangnya manusia kepadaku!” Abu Sulaiman pula berkata: “Jikalau tidaklah kerana malam, nescaya saya tidaklah menyukai tinggal di dunia ini.”

Selain dari keheningan malam yang ada pada waktu malam, Allah juga menurunkan malaikat-malaikat pada malam hari untuk memberi rahmat kepda hamba-hambaNya yang sedang beribadah. Malaikat akan turun ke bumi mencari manusia-manusia yang menghidupkan malam dengan ibadah untuk diberi rahmat dan diaminkan doanya. Pada waktu malam juga akan ada satu detik di mana barangsiapa yang berdoa ketika itu akan dikabulkan segala hajatnya. Solat yang didirikan pada waktu malam juga lebih banyak manfaat dan lebih pahalanya. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Dua rakaat yang dikerjakan oleh hamba pada waktu tengah malam adalah lebih baik baginya dari dunia dan isinya. Dan kalaulah tidak memberi kesukaran kepada umatku, nescaya saya wajibkan kedua rakaat itu atas mereka.” Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: “Kerjakan solat dua rakaat dalam kegelapan malam untuk kesuraman kubur.”

Maka sebaik-baik pengisian waktu malam ialah dengan mendirikan ibadah solat. Allah s.w.t. memberi pandangan kepada golongan ini kerana mereka telah sanggup meninggalkan keenakan dan keselesaan beristirehat untuk bangun mengabdikan diri sebagai seorang hamba. Di tengah-tengah kesejukan dan kedinginan malam, maka golongan ini telah membasuh diri dengan wuduk dan berdiri serta sujud kepada Allah s.w.t. Untuk melakukan pekerjaan ini bukannya mudah. Ia memerlukan kegigihan pada hati serta hidup cintanya dengan Tuhan. Sebab itu Allah s.w.t. menyediakan sebuah syurga bagi hamba-hambaNya yang menghidupkan malam.

Meskipun itu adalah janji dari Allah s.w.t. kepada kita, namun kepayahan untuk menghidupkan malam lebih ketara lagi kerana syaitan turut memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh menghalang manusia dari melakukannya. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Diikat oleh syaitan di atas seseorang kamu dengan tiga ikatan apabila ia sedang tidur. Maka syaitan memukul tiap-tiap tempat ikatan tersebut sepanjang malam sehingga tertidurlah kamu. Kalau kamu terbangun dan berzikir kepada Allah s.a.w, nescaya terbukalah satu ikatan. Kalau berwuduk, nescaya terbukalah satu ikatan lagi dan kalau bersolat, nescaya terbukalah semuanya. Sehingga kamu menjadi rajin dan baik jiwanya. Kalau tidak yang demikian, nescaya menjadi keji jiwa dan malas.”

Bila dilihat dari segi halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang yang mahu menghidupkan malam dengan ibadah, maka tidak salah kalau diletakkan mereka dalam golongan manusia yang berjiwa gigih dan hidup cintanya dengan Allah s.w.t. Golongan ini juga telah mewarisi pekerjaan orang-orang soleh. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Haruslah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya bangun malam adalah mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla, menutup segala dosa, menghilangkan segala penyakit pada tubuh dan mencegah daripada dosa.”

Sabda Rasulullah s.a.w., daripada Umar bin al-Khattab yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan solat malam, dan dia membangunkan solat, maka Allah memuliakan dia dengan sembilan perkara: Lima perkara di dunia dan yang empat lagi di akhirat.
Oleh itu, marilah sama-sama kita menyahut tawaran Allah untuk bangun menunaikan qiamullail iaitu ganjarannya terlalu besar nilainya, lebih besar dan bernilai dari dunia ini dan segala isinya. Janganlah sampai ayam yang tidak berakal itu lebih pintar dan lebih baik daripada kita. Seperti nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya, “Wahai anakku, janganlah engkau tidur di kala ayam jantan berkokok pada waktu fajar.”
9 kemuliaan solat Tahajud
1- Dia dijaga oleh Allah daripada beberapa bencana.
2- Berkat ketaatannya, akan nampak pada wajahnya.
3- Dia disukai oleh hamba Allah yang soleh dan oleh semua manusia.
4- Ucapannya mampu mengeluarkan kata-kata yang penuh hikmah.
5- Diberi cepat mengerti dan mendapat ilmu pengetahuan.
6- Dia dibangunkan dari kubur dengan wajah yang putih berseri.
7- Diringankan hisabnya.
8- Melalui titian siratul mustaqim bagaikan kilat yang menyambar.
9- Diberi buku catatan amalannya melalui tangan kanannya di hari kiamat.
(Raudhatul Ulama)
Sembahyang tahajud iaitu sembahyang sunat dua rakaat, merupakan di antara pelbagai shalat sunat yang disyariatkan oleh Allah. Ia ditunaikan apabila seseorang itu terjaga daripada tidur sementara waktu yang paling sesuai melakukannya adalah di antara sepertiga malam iaitu kira-kira dari pukul 2:30 pagi hingga menjelang subuh. Kalau nak sembahyang sebelum tidur, iaitu selepas sembahyang isyak pun boleh, tapi lebih eloklah pada sepertiga malam kerana waktu itulah yang paling sesuai untuk seseorang itu membersihkan jiwa serta mendekatkan diri dengan Allah.
Wahai Allah.. baikilah keadaan orang-orang Islam di Malaysia dalam negeri-negeri dan setiap negara orang-orang Islam. Keseluruhan bumi ini panjang dan lebar nya, bantulah kami untuk menunaikan amanah dalam dakwah dan menyeru pada-Mu. Jadikan kami dari golongan yang membantu-Mu dan membantu Rasul-Mu serta tulus dalam mencintai-Mu dan mencintai Rasul-Mu dengan Rahmat-Mu wahai yang Maha Pengasihani. Tetapkanlah Keselamatan dan `Afiat untuk kami dan mereka, juga hamba-hambaMu yang sedang menunaikan Haji, para Perjuang, para penziarah, orang-orang yang sedang melakukan perjalanan di darat, laut dan udara dari kaum Muslimin, dan Peliharalah kami dari kejahatan orang-orang yang zalim. Dan Bantulah kami terhadap orang-orang yang kafir, wahai Allah, Dzat yang Mengabulkan permohonan orang-orang yang meminta. Akhirilah hidup kami dengan kebaikan, wahai Allah, wahai yang Maha Pengasih di antara yang pengasih.
Wallahu’lam..

No comments:

Post a Comment