Showing posts with label Ibadah. Show all posts
Showing posts with label Ibadah. Show all posts

Thursday, May 13, 2010

FADHILAT SYUKUR

Ketahuilah bahawa Allah S.W.T membandingkan kesyukuran dan zikirullah itu adalah sesuatu yang seiring dan saling berkaitan antara satu sama lain, sebagaimana firmanNya :
((ولذكر الله أكبر)) العنكبوت : 45
Maksudnya : “dan sesungguhnya mengingati Allah itu lebih besar”

Dan firmanNya lagi :
(( فاذكروني أذكركم واشكروا لي ولا تكفرون )) البقرة : 152
Maksudnya : ”maka ingatlah kamu kepadaKu nescaya aku akan mengigati kamu, dan bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu mengingkari nikmatKu”

Dan firmanNYa lagi :
((ما يفعل الله بعذابكم إن شكرتم وآمنتم )) النساء : 147
Maksudnya : “ mengapa Allah akan menyeksamu, jika kamu bersyukur dan beriman? “

Dan firmanNya lagi :
(( وسنجزي الشاكرين )) ال عمران : 145
Maksudnya : “dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur”

Dan firman Allah S.W.T tentang perkataan Iblis laknatullah :
(( لأقعدن لهم صراطك المستقيم )) الأعراف : 16
Maksudnya : “saya akan benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang lurus”
Diriwayatkan bahawa jalan yang lurus itu ialah jalan kesyukuran. Dan sesungguhnya Allah S.W.T menjadikan kesyukuran itu sebagai kunci ataupun percakapan ahli syurga sebagaimana firmanNya yang bermaksud :”dan mereka mengucapkan “ segala puji bagi Allah yang telah memenuhi janjiNya kepada kami” (Azzumar : 74), dan firmanNya lagi yang bermaksud : ”dan penutup doa mereka ialah “ segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam”
Dan adapula pengkhabaran dari hadis-hadis dan sirah junjungan mulia S.A.W, bahawasanya

Rasulullah S.A.W telah bersabda :
(( الطاعم الشاكر بمنزلة الصائم الصابر ))
Yang bermaksud : “ seseorang yang makan dan ia bersyukur atas nikmat itu maka kedudukkannya seperti seorang yang berpuasa dan ia sabar atas itu”
Dan diriwayatkan daripada seorang sahabat Baginda, bahawa sesungguhnya ia telah berkata : “ aku telah berjumpa Aisyah Radiallahu’anha, maka aku bertanya kepadanya : Khabarkan kepada kami apakah amalan yang sangat-sangat disukai oleh Rasulullah S.A.W yang telah engkau lihat? Maka Aisyah pun menangis lalu berkata : “ dan apa-apa keadaanNya yang tidak disukai? Satu malam Rasulullah S.A.W telah datang kepada ku maka Baginda telah mendampingiku -atau dikatakan datang kepadaku dalam keadaan tidak berkasut- sehingga telah tersentuh kulitku dengan kulit Baginda, kemudian Baginda berkata : (( wahai anak abu bakar aku ingin memperbanyakkan amalan-amalanku terhadap TuhanKu)), maka Aisyah telah berkata : aku lebih menyukai untuk menghampiri Engkau akan tetapi ia telah melepaskan rasa cintannya, maka Aisyah telah mengizinkan akan kehendak Rasulullah S.A.W itu, lalu Rasulullah bangun dan terus mendapat air untuk Ia berwuduk yang mana Baginda tidak menggunakan air untuk Ia berwuduk itu terlampau banyak, kemudian Baginda solat lalu menangis sehingga mengalirkan air mata ke dadaNya, kemudian rukuk sambil menangis, begitu juga dalam keadaan Baginda sujud dan kemudiannya Baginda bangkit semula dalam keadaan menangis berterusan sehingga selesai solatNya, dan telah datang bilal dan meminta izin untuk solat, maka ia berkata : “Ya Rasulullah apa yang Engkau tangiskan dan sesungguhnya Allah telah mengampunkan dosa-dosaMu apa-apa yang terdahulu dan apa-apa yang akan datang”. Maka Baginda bersabda ; “adakah aku bukan seorang hamba yang bersyukur, dan aku tidak lakukan itu demi sesungguhnya Allah S.W.T telah mewahyukan kepadaKu,
(( إن في خلق السموات والأرض)) البقرة : 164
Dan ini adalah menunjukkan bahawa tangisan itu adalah diharuskan dan tidak harus terputus selama-lamanya. Jika dilihatkan perjalanan yang ditunjukkan oleh para nabi bahawasanya sebahagian para nabi berjalan dengan batu yang kecil yang keluar darinya air yang banyak maka ia menjadi sesuatu yang disukai. Ketika aku mendengar akan firman Allah yang bermaksud ; “ Bahan bakarnya manusia dan batu”. Maka aku menangis disebabkan ketakutan terhadap itu. Maka ia telah meminta untuk berlari dari api maka ia terus berlari, kemudian setelah beberapa waktu lalu berkata : “kenapa kamu menangis sekarang?” maka ia berkata : “itu adalah tangisan ketakutan dan ini adalah tangisan kesyukuran dan kegembiraan”.
Hati seorang hamba itu adalah seperti batu atau ia sangat-sangat keras dari batu, dan kekerasan itu akan hilang dengan tangisan dalam keadaan takut dan syukur. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : “Pujian itu pakaian ar-Rahman”. Allah S.W.T telah mewahyukan kepada Nabi Ayub A.S : “sesungguhnya Aku redha dengan kesyukuran itu dan ia merupakan ganjaran daripada wali-waliKu”. Dan Allah S.W.T telah mewahyukan kepadanya juga sifat-sifat orang yang sabar : bahawa rumah mereka adalah Dar as-Salam apabila mereka memasukinya, mereka diilhamkan dengan sifat-sifat syukur dan ia adalah sebaik-baik perkataan. Dan disisi kesyukuran itu akan ditambah nikmat-nikmat yang melimpah, telah bertanya saidina Umar R.A : “apakah harta yang akan kita ambil? Rasulullah S.A.W. bersabda : “akan diambil seseorang daripada kamu lidah yang berzikir dan hati yang bersyukur”. Maka oleh yang demikian diperintahkan agar mengumpulkan hati-hati yang bersyukur mengantikan dari harta. Ibn mas’ud berkata; kesyukuran itu adalah sebahagian dari iman.

Terjemahan kitab : Ihya’ ulumuddin, Imam abu hamid al-Gazali

KEPENTINGAN SOLAT ISTIKHARAH

Betapa pentingnya Solat Istikharah dalam kehidupan harian kita…

Bila di sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja.

Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Kita kadang-kadang tidak diberikan peringatan dalam soal ini. Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;

Mahfum Hadis: Dari Jabir r.a., ia berkata: “Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:
“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.”
Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita mempelajari al-Quran.
Sebagai satu iktibar dan renungan ada beberapa contoh kisah benar yang berlaku dalam kalangan hamba-hamba Allah yang terlupa mengamalkan solat istikharah. Nama dalam kisah ini bukan nama sebenar.

Kisah-1
-Setelah berpindah randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa, akhirnya tergerak hati Salim untuk memiliki rumah sendiri. Lalu dia melihat iklan di surat khabar dan berkenan dengan tawaran rumah yang agak munasabah harganya. Rumah tersebut masih belum dibina lagi tetapi pihak pemaju telah menawarkan pakej jualan yang istimewa. Pihak pemaju perumahan memberi jaminan rumah tersebut akan siap dalam masa dua tahun. Salim berminat dengan rumah tersebut lalu terus membelinya. Kini lima tahun telah berlalu, projek perumahan itu telah terbengkalai kerana pemaju telah bankrupt. Salim terpaksa membayar ansuran bulanan hutang kepada bank walaupun rumah yang diidamkan masih tidak wujud.

Kisah-2
-Abu dan Salmah telah berkahwin selama 4 tahun. Mereka dikurniakan dengan dua orang cahaya mata. Anak yang sulung telah berumur 3 tahun dan yang kedua masih 8 bulan. Mereka berasa agak susah hendak ke sana kemari kerana hanya memiliki motosikal. Satu hari Salmah mencadangkan kepada Abu untuk membeli kereta. Abu lalu terus pergi ke Perodua Show room untuk melihat-lihat kereta. Dia berkenan dengan model Kelisa lalu terus membelinya. Selang sebulan keretanya kena curi. Dah enam bulan berlalu keretanya masih tidak ditemui, tetapi dia masih membayar ansuran bulanan dengan pihak bank kerana pampasan yang pihak insurans bagi tidak mencukupi untuk melangsaikan bayaran baki hutang dengan pihak bank.

Kisah-3
-Munirah akhirnya terpikat dengan pujukan rakan satu ofisnya Hafsah untuk melabur dalam satu skim pelaburan di internet. Dia akhirnya mengeluarkan sehingga RM10,000 untuk pelaburan tersebut. Dua tahun telah berlalu duit pelaburannya lesap tak nampak bayang.

Kisah-4
-Rashid dan Zakiah telah mempunyai tiga orang anak. Mereka bercadang untuk mengambil pembantu rumah Indonesia . Mereka pergi ke agensi pembantu rumah dan terus memilih seorang pembantu rumah yang terdapat dalam senarai biodata. Selang dua bulan pembantu rumah pun sampai dan berkhidmat kepada mereka seperti yang dijangkakan. Tiga bulan berlalu tiba-tiba pada satu hari didapati pembantunya telah lari dari rumah.
Kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar di mana penulis sendiri bertanya kepada mereka adakah mereka telah melakukan Solat Istikharah sebelum memilih atau membuat keputusan. Mereka kata langsung tak terfikir hendak melakukannya.

Kisah -5
-Iskandar berumur 40 tahun telah berkahwin dan mempunyai enam orang anak. Suatu hari dia mendapat telefon dari kawan baiknya Jaafar. Jaafar hendak memberikan satu hadiah istimewa kerana jasa Iskandar yang telah menyelesaikan masalah keluarganya. Jaafar hendak menawarkan kepadanya perbelanjaan pakej menunaikan haji untuk suami isteri ditanggung sepenuhnya iaitu RM15,000 setiap orang. Hati Iskandar gembira bukan kepalang kerana sudah lama dia mengidam untuk menunaikan haji. Lagipun duit simpanan dalam tabung hajinya baru RM3000. Iskandar tidak terus menerima hadiah tersebut sebaliknya dia memberi tempoh tiga hari untuk membuat keputusan. Iskandar melakukan Solat Istikharah tiga malam berturut-turut. Pada hari keempat dia berjumpa Jaafar mengatakan dia sangat berat untuk menerima hadiah tersebut. Dia mengatakan ingin pergi menunaikan haji dengan duit pendapatan sendiri. Jaafar agak kecewa, dipujuknya namun Iskandar tidak terima juga. Selang dua bulan selepas itu baru Iskandar mendapat tahu duit yang hendak diberikan kepadanya itu adalah dari duit riba iaitu interest bank konvensional akaun simpanan tetap Jaafar. Jaafar telah tersalah sangka. Disangkanya bahawa duit riba boleh dihadiahkan kepada orang lain tetapi tidak boleh digunakan sendiri.

Kisah-6
-Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam ke Sandakan. Bila menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana ingin memberi khidmat di kawasan pedalaman. Baginya tidak ada masalah sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke Sabah . Dia solat Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian kepadanya. Dia berdoa “Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik untukku dan agamaku maka permudahkanlah jika tidak kau gantikanlah dengan yang lebih baik dan sempurna”. Selang dua minggu Pengetua disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik balik disebabkan masalah teknikal. Dia rasa agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira kerana telah melakukan solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di pilih oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia bertemu Jodoh dengan Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman tempat dia tinggal.

Semua kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar yang boleh kita ambil iktibar dan pengajaran. Yang pastinya kita tidak akan rugi di dunia dan akhirat bila beramal dengan Solat Istikharah ini.

Dewasa ini ramai di kalangan kita hendak membeli rumah yang berharga lebih RM200,000. Bayaran balik mungkin mengambil masa selama 20 hingga 25 tahun. Dalam tempoh tersebut macam-macam perkara boleh terjadi. Jika sekiranya kita melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah tersebut, pasti Allah akan mendorongkan kita membuat pilihan yang tepat dan memudahkan segala urusan. Penulis ada bertemu dengan beberapa sahabat yang melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah, Alhamdulillah segala urusan menjadi mudah dan dapat membayar balik hutang rumah lebih awal daripada yang dijangkakan.

Seperkara lagi, supaya Allah SWT memakbulkan doa kita, jauhilah segala bentuk pinjaman yang ada unsur-unsur riba’ seperti dari sistem konvensional. Pilihlah sistem perbankan Islam semoga Allah memberikan keberkatan dan menurunkan rahmatnya sepanjang tempoh pinjaman di buat. Yakin dan percayalah jika kita mengikut suruhan Allah, pasti Allah akan membantu kita di ketika senang dan susah. Jika Allah bantu kita tiada sesiapa yang boleh menghalangnya.
Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan Solat Istikharah adalah seperti berikut;
• Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2 pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang di haruskan sembahyang contohnya selepas maghrib.
• Niatnya “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala”
• Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
• Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
• Selepas memberi salam baca doa.

Badan Dakwah & Pendidikan.

Saturday, February 13, 2010

Ketenangan Ibadah Tahajud

Oleh : Haji Akmal Abd Rahman




Malam itu gelap gelita tetapi ia amat indah. Di muka langit bertaburan bintang-bintang yang berkelipan, di sisi bulan yang terang benderang. Untuk apakah Allah s.w.t jadikan malam? Ada waktu malam yang dihiasi dengan munajat kepada Allah s.w.t dan ada waktu malam yang dihiasi dengan derhaka kepada Allah s.w.t. Jadi malam itu tidak sentiasa indah dan permai kerana ia bergantung kepada penghuni-penghuninya.

Bagi orang-orang yang soleh merindui malam ibarat pengantin menanti malam pertama. Kerana pada waktu malam untuk mereka bermesra dengan Sang Kekasihnya. Pada waktu malam tiada kebisingan kecuali mereka mengadu dan bermunajat kepada Tuhannya. Kalau sepasang kekasih mencari waktu malam untuk memadu kasih, maka tidak hairanlah kalau orang-orang yang soleh juga menggunakan waktu malam untuk memadu cinta sejati dengan Allah s.w.t. Berkata Fudhail bin Al-Iyadh: “Apabila terbenam matahari maka saya gembira dengan gelap. Dan apabila terbitnya matahari maka saya berdukacita kerana datangnya manusia kepadaku!” Abu Sulaiman pula berkata: “Jikalau tidaklah kerana malam, nescaya saya tidaklah menyukai tinggal di dunia ini.”

Selain dari keheningan malam yang ada pada waktu malam, Allah juga menurunkan malaikat-malaikat pada malam hari untuk memberi rahmat kepda hamba-hambaNya yang sedang beribadah. Malaikat akan turun ke bumi mencari manusia-manusia yang menghidupkan malam dengan ibadah untuk diberi rahmat dan diaminkan doanya. Pada waktu malam juga akan ada satu detik di mana barangsiapa yang berdoa ketika itu akan dikabulkan segala hajatnya. Solat yang didirikan pada waktu malam juga lebih banyak manfaat dan lebih pahalanya. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Dua rakaat yang dikerjakan oleh hamba pada waktu tengah malam adalah lebih baik baginya dari dunia dan isinya. Dan kalaulah tidak memberi kesukaran kepada umatku, nescaya saya wajibkan kedua rakaat itu atas mereka.” Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: “Kerjakan solat dua rakaat dalam kegelapan malam untuk kesuraman kubur.”

Maka sebaik-baik pengisian waktu malam ialah dengan mendirikan ibadah solat. Allah s.w.t. memberi pandangan kepada golongan ini kerana mereka telah sanggup meninggalkan keenakan dan keselesaan beristirehat untuk bangun mengabdikan diri sebagai seorang hamba. Di tengah-tengah kesejukan dan kedinginan malam, maka golongan ini telah membasuh diri dengan wuduk dan berdiri serta sujud kepada Allah s.w.t. Untuk melakukan pekerjaan ini bukannya mudah. Ia memerlukan kegigihan pada hati serta hidup cintanya dengan Tuhan. Sebab itu Allah s.w.t. menyediakan sebuah syurga bagi hamba-hambaNya yang menghidupkan malam.

Meskipun itu adalah janji dari Allah s.w.t. kepada kita, namun kepayahan untuk menghidupkan malam lebih ketara lagi kerana syaitan turut memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh menghalang manusia dari melakukannya. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Diikat oleh syaitan di atas seseorang kamu dengan tiga ikatan apabila ia sedang tidur. Maka syaitan memukul tiap-tiap tempat ikatan tersebut sepanjang malam sehingga tertidurlah kamu. Kalau kamu terbangun dan berzikir kepada Allah s.a.w, nescaya terbukalah satu ikatan. Kalau berwuduk, nescaya terbukalah satu ikatan lagi dan kalau bersolat, nescaya terbukalah semuanya. Sehingga kamu menjadi rajin dan baik jiwanya. Kalau tidak yang demikian, nescaya menjadi keji jiwa dan malas.”

Bila dilihat dari segi halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang yang mahu menghidupkan malam dengan ibadah, maka tidak salah kalau diletakkan mereka dalam golongan manusia yang berjiwa gigih dan hidup cintanya dengan Allah s.w.t. Golongan ini juga telah mewarisi pekerjaan orang-orang soleh. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Haruslah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya bangun malam adalah mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla, menutup segala dosa, menghilangkan segala penyakit pada tubuh dan mencegah daripada dosa.”

Sabda Rasulullah s.a.w., daripada Umar bin al-Khattab yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan solat malam, dan dia membangunkan solat, maka Allah memuliakan dia dengan sembilan perkara: Lima perkara di dunia dan yang empat lagi di akhirat.
Oleh itu, marilah sama-sama kita menyahut tawaran Allah untuk bangun menunaikan qiamullail iaitu ganjarannya terlalu besar nilainya, lebih besar dan bernilai dari dunia ini dan segala isinya. Janganlah sampai ayam yang tidak berakal itu lebih pintar dan lebih baik daripada kita. Seperti nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya, “Wahai anakku, janganlah engkau tidur di kala ayam jantan berkokok pada waktu fajar.”
9 kemuliaan solat Tahajud
1- Dia dijaga oleh Allah daripada beberapa bencana.
2- Berkat ketaatannya, akan nampak pada wajahnya.
3- Dia disukai oleh hamba Allah yang soleh dan oleh semua manusia.
4- Ucapannya mampu mengeluarkan kata-kata yang penuh hikmah.
5- Diberi cepat mengerti dan mendapat ilmu pengetahuan.
6- Dia dibangunkan dari kubur dengan wajah yang putih berseri.
7- Diringankan hisabnya.
8- Melalui titian siratul mustaqim bagaikan kilat yang menyambar.
9- Diberi buku catatan amalannya melalui tangan kanannya di hari kiamat.
(Raudhatul Ulama)
Sembahyang tahajud iaitu sembahyang sunat dua rakaat, merupakan di antara pelbagai shalat sunat yang disyariatkan oleh Allah. Ia ditunaikan apabila seseorang itu terjaga daripada tidur sementara waktu yang paling sesuai melakukannya adalah di antara sepertiga malam iaitu kira-kira dari pukul 2:30 pagi hingga menjelang subuh. Kalau nak sembahyang sebelum tidur, iaitu selepas sembahyang isyak pun boleh, tapi lebih eloklah pada sepertiga malam kerana waktu itulah yang paling sesuai untuk seseorang itu membersihkan jiwa serta mendekatkan diri dengan Allah.
Wahai Allah.. baikilah keadaan orang-orang Islam di Malaysia dalam negeri-negeri dan setiap negara orang-orang Islam. Keseluruhan bumi ini panjang dan lebar nya, bantulah kami untuk menunaikan amanah dalam dakwah dan menyeru pada-Mu. Jadikan kami dari golongan yang membantu-Mu dan membantu Rasul-Mu serta tulus dalam mencintai-Mu dan mencintai Rasul-Mu dengan Rahmat-Mu wahai yang Maha Pengasihani. Tetapkanlah Keselamatan dan `Afiat untuk kami dan mereka, juga hamba-hambaMu yang sedang menunaikan Haji, para Perjuang, para penziarah, orang-orang yang sedang melakukan perjalanan di darat, laut dan udara dari kaum Muslimin, dan Peliharalah kami dari kejahatan orang-orang yang zalim. Dan Bantulah kami terhadap orang-orang yang kafir, wahai Allah, Dzat yang Mengabulkan permohonan orang-orang yang meminta. Akhirilah hidup kami dengan kebaikan, wahai Allah, wahai yang Maha Pengasih di antara yang pengasih.
Wallahu’lam..