Showing posts with label Pro dan Kontra. Show all posts
Showing posts with label Pro dan Kontra. Show all posts

Wednesday, July 8, 2009

Orang Kafir Di rumah Allah


Oleh : Ahmad Sabiq

Para ulama’ berselisih pendapat tentang keharusan golongan musyrikin memasuki masjid selain Masjid al-Haram, sebahagiannya mengharuskannya, dan sebahagian yang lain pula menegahnya, namun dalam hal ini, saya lebih cenderung melihat harusnya golongan ini memasuki masjid dengan sebab dan tujuan tertentu. Seperti untuk meminta hutang daripada muslim yang enggan keluar daripada masjid, juga dengan tujuan untuk mempelajari Islam. Sedikit kesal dengan fenomena di Malaysia, kelihatannya masjid sangat tidak mesra pelanggan.

Sempat saya membuat sedikit perbandingan antara rumah-rumah ibadat di Malaysia, kelihatan masjid adalah yang paling lemah dari segi melayani dan menyantuni pengunjungnya. Anda berhak untuk tidak setuju dengan hal ini, maka andalah pencetus perubahan untuk mengembalikan fungsi masjid yang sebenar, agar benar-benar boleh digelar masjid! Bukannya lagi sekadar menjadi tempat berhimpun ‘Persatuan POP( persatuan orang pencen ).’


ORANG KAFIR DITEGAH DARIPADA MEMASUKI MASJID AL-HARAM
Diharamkan bagi orang Islam membenarkan bukan Islam untuk memasuki Masjid al-Haram dan tanah Haram disekelilingnya. Ini berdalilkan firman Allah s.w.t :

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid al-Haram sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Ayat ini menjelaskan bahawa orang kafir adalah najis, berdasarkan kaedah qias orang bukan Islam dilarang untuk memasuki semua masjid.

Namun saya merasakan pendapat ini kurang tepat berdasarkan dua hujah di bawah :

- Ibn Kathir menyatakan Allah memerintahkan hamba-hambaNya yang Mukmin, suci agama dan dirinya agar mengusir orang musyrik dari Masjid al-Haram kerana mereka adalah orang yang najis agamanya, adapun kenajisan tubuh orang musyrik, maka menurut jumhur, tubuh dan diri orang musyrik tidaklah najis (Tafsir al-Quran al-Adzim..muassasah al-kutub ath-thaqafiyah ms 331-332)

- Jika Allah mengharamkan orang kafir memasuki semua masjid, pasti Allah menyebutnya secara umum di dalam ayat tersebut sebagaimana dalam ayat-ayatNya yang lain. Ini bererti larangan dalam ayat tersebut hanya khusus untuk Masjid al-Haram. Wallahu’alam.



ORANG KAFIR DILARANG MEMASUKI MASJID LAIN SELAIN MASJID AL-HARAM?
Imam al-Bukhari di dalam kitab Sahih al-Bukhari telah meletakkan satu bab Orang Musyrik Masuk ke Dalam Masjid .

Diriwayatkan dari Sa’id bin Abi Sa’id bahawasanya dia mendengar Abu Hurairah berkata:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengutus pasukan berkuda ke arah Najd, lalu mereka kembali membawa seorang lelaki dari Bani Hanifah yang dipanggil Tsumamah bin Utsaal. Maka mereka mengikatnya di salah satu tiang masjid.

( Lihat hadith no 469 dalam Fath al-Bari syarh Sahih al-Bukhari, Dar al-Fikr jld 3, ms :136 )

Al-Hafizh Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis di atas berkata:

Ada beberapa mazhab mengenai masuknya orang musyrik ke dalam masjid. Pendapat yang dinukil dari Abu Hanifah membolehkan secara mutlak. Sementara pendapat dari mazhab Maliki dan al-Muzani melarangnya secara mutlak. Adapun mazhab Syafie membezakan antara Masjidil Haram dan masjid-masjid lainnya berdasarkan ayat al-Quran.
Ada pula pendapat yang khusus membolehkan bagi ahli kitab. Namun hadis dalam bab ini menolak pendapat tersebut, kerana Tsumamah bukan ahli kitab.

[Fath al-bari Syarh Sahih al-Bukhari Dar al-Fikr, jld 3 ms :136)

Hadis penuh yang menceritakan kisah Tsumamah bin Utsaal yang diikat di tiang masjid itu boleh dilihat di dalam bab Mandi Apabila Masuk Islam, Mengikat Tawanan di Masjid, juga di dalam kitab Sahih al-Bukhari. Dari Sa’id bin Abu Sa’id, dia mendengar Abu Hurairah berkata:

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengutus pasukan berkuda ke arah Najd, lalu pasukan tersebut kembali dengan membawa seorang lelaki dari Bani Hanifah yang dipanggil Tsumamah Ibn Utsaal. Maka mereka mengikatnya di salah satu tiang masjid. Lalu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam keluar kepadanya seraya bersabda, “Lepaskan Tsumamah”. Ia pun berangkat menuju kebun kurma yang dekat dengan masjid dan mandi. Kemudian ia masuk ke masjid dan berkata, “Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah dan bahawasanya Muhammad adalah Rasulullah.”
[Fath al-Bari Syarh al-Bukhari, Dar al-Fikr, jld 3 hadith no 462]

Hadith di atas memberi isyarat kepada kita bahawa bolehnya orang kafir masuk dan berada di dalam masjid.. Tsumamah bin Utsaal ketika diikat adalah kafir, namun para sahabat tetap mengikatnya di tiang masjid. Kemudian apabila Rasul s.a.w keluar, baginda tidak menegur apa pun yang dilakukan oleh para sahabat. Ini menunjukkan tentang keharusan orang kafir untuk memasuki masjid.
Sekadar ini yang mampu saya kemukakan, orang kafir dibenarkan memasuki masjid, Cuma kemasukan mereka itu bukanlah dengan tujuan untuk merosakkan atau mengganggu orang yang sedang beribadah di dalamnya. Sebenarnya syarat ini juga dikenakan kepada sekalian muslim yang lain juga.

Mungkin ada yang berhujah dengan firman Allah dalam surah an-Nisa’ : 43
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu shalat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekadar berlalu saja, hingga kamu mandi. ..

Allah melarang orang-orang Islam yang berjunub daripada memasuki masjid dalam keadaan junub kecuali sekadar melintas saja, ini yang dapat kita fahami daripada ayat di atas.

Allah memulakan ayat tersebut dengan lafaz “wahai orang yang beriman..” dan bukannya “wahai manusia..”

Lihat semula hadith yang dinyatakan sebelum ini yang menunjukkan tentang keharusan orang kafir memasuki masjid, juga ada dalam riwayat Abu Daud yang menceritakan orang yahudi mendatangi Nabi s.a.w yang ketika itu berada di dalam masjid, Nabi s.a.w pasti lebih mengetahui bahawa mereka tak pernah mandi junub, namun Nabi s.a.w tetap tidak melarang mereka daripada memasukinya.

Hasilnya, rasanya kita melarang orang kafir daripada memasuki masjid dengan alasan junub juga agak kurang tepat.. wallahua’lam..

Jika gereja mengalu-alukan kehadiran sesiapa sahaja, tidak mengira agama untuk berkunjung dan melihat cara pengibadatan mereka, diadakan sesi debat perbandingan agama, malah dijemput golongan muslimin menghadirinya. Saya juga ada seorang kawan dari Kemboja yang pernah cuba untuk bermalam di masjid ketika beliau masih berada di Kemboja, akan tetapi dihalau oleh ‘jaga’ masjid, akhirnya beliau menumpang untuk bermalam di tokong, malahan diberi selimut dan air panas oleh penjaga tokong tersebut..Kitalah pencetus perubahan. Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan hujah keharusan golongan kafir memasuki masjid, boleh sahaja anda menulisnya pada keluaran akan datang untuk menolak hujah yang saya kemukakan..

“Treat people the way you want to be treated.” Semoga kalian menyelami pepatah inggeris ini.

Thursday, June 11, 2009

Double Standard yang Diharuskan ; Edisi ke 3


Disediakan oleh : Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman
Disunting dan diedit oleh : Ahmad Sabiq Abd Rahman



Cukup hangat perkembangan politik tanah air sejak kebelakangan ini. Pihak media tentunya yang paling gembira kerana jualan mereka meningkat, bagi media elektronik pula lawatan meningkat.

Politik Negara menjadi semakin bercelaru dan kucar-kacir, caci maki dan umpatan carutan menjadi zikir ahli politik di negara kita kini, menjadi semakin panas dengan kekecohan yang timbul di Perak apabila ada ADUN yang melompat parti menyebabkan parti pemerintah di Perak kehilangan majoriti.


SEKITAR ISU LOMPAT PARTI
Ini isu pertama yang patut kita fikirkan. Isu ini sangat hangat diperkatakan sejak dimulakan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim menjelang 16 September 2008, dan kemudiannya 24 Sept 2008 dan terus tertangguh.

Reaksi rakyat yang pelbagai semenjak 16 September 2008 yang lalu, ada yang mencela ‘lompat' sebagai keji, tidak bermoral dan khianati pengundi, sebahagiannya tidak bersetuju tetapi tidak membantah, ada pula yang tidak bersetuju tetapi menyerahkannya kepada keadaan, tidak kurang juga ramai yang sangat bersetuju, ada yang pening lalat dan ‘confius’ dan mengikut sahaja keputusan pemimpin masing-masing.

Apa sebenarnya pendirian anda dan mengapa anda berpendirian begitu?

Kebiasaannya, pihak yang mendapat manfaat beserta penyokongnya akan bersetuju dan mempertahankannya. Namun demikian, tidak dinafikan ada sebahagian penyokong dan pendokongnya yang termasuk dalam salah satu kelompok di atas tadi.

Pihak yang akan menerima kesan negatif pula kebiasaannya akan menentang habis-habisan. Namun ada juga penyokong dan pendokongnya dari kelompok di atas juga.

Sebelum kita berbincang lagi berkenaan pendirian wajar atau tidak. Ditakdirkan Allah swt, tanggal 16 dan 24 September 2008 menemui kegagalan secara fizikalnya, namun justifikasi segera pemimpin PR mengatakan mereka tidak gagal malah berjaya menembus minda rakyat untuk terbayang kerajaan persekutuan boleh berpindah tangan. Tidak mustahil atau paling kurang memberikan sedikit ‘feel'. Sama ada justifikasi ini rasional, bertaraf tadika atau bertaraf dunia, terpulang kepada anda semua untuk menentukan.

Apa yang berlaku tiba-tiba adalah pada awal Februari 2009, beberapa orang ADUN Pakatan Rakyat Negeri Perak pula melompat parti sehingga membawa kekecohan yang masih panas hingga ke hari ini.

Majoriti kelompok pendokong dan penyokong Pakatan Rakat tentunya berang sekali, dan seribu satu macam hujah dan rasional dihamburkan bagi mengecam tindakan keempat-empat ADUN terbabit [ 3 PR + 1 UMNO (PKR) ]

Hasilnya kita dapat melihat beberapa fakhta menarik yang menjadi bahan bualan ramai, antaranya ialah :
1) Double Standard ; Pimpinan PR mengamalkan sikap ‘double standard' ; kerana bila dahulu dikempen dan diusahakan lompatan 16 September 08, dipersetujui mereka, namun bila berlaku di Perak, mereka kutuk dan kecam. Bermakna, lompat masuk PR adalah terpuji, tetapi lompat masuk BN adalah celaka dan khianat. Adakah wajar ?
2) Strategi makan tuan ; strategi menubuhkan kerajaan hasil ‘lompatan' YB yang dipopularkan oleh DSAI dikatakan makan tuan apabila isu di Perak berlaku.
3) Mandat pilihan patut diberikan semula kepada rakyat : iaitu bubar DUN dan pilihanraya semula di negeri Perak. Secara asasnya saya setuju dengan cadangan ini tetapi artikel ini hanya akan menyentuh sedikit sahaja berkenaan perkara ini.
4) Isu perlembagaan; Isu lompat bukan yang paling utama, tetapi isu utama adalah MB Perak tidak dijatuhkan melalui saluran undang-undang yang sah menurut perlembagaan. Sultan tiada kuasa eksekutif memecat Menteri Besar tetapi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tempatnya melalui undi tidak percaya.


LOMPAT DAN ‘DOUBLE STANDARD'
Justeru itu, apakah respon dari pihak PR berkenaan perkara pertama dan kedua ?. Apa pula agaknya pandangan Islam berkenaan hal lompat melompat parti ini?.
Tajuk ini layak dibuat kajian terperinci dalam tesis PhD atau M.A. Dari sudut Islam pula, Majlis Fatwa Kebangsaan wajar membincangkan dan menetapkan fatwa berkaitan hukum wakil rakyat melompat parti. Jika bimbang Majlis Fatwa tidak telus dalam hal ini, mungkin boleh diperolehi bantuan kepakaran dan ketelusan Majlis Ulama Indonesia. Majlis Syura PAS, ulama UMNO dan PKR turut wajar membincangkannya.


KHIANAT ATAU TIDAK?
Terdapat beberapa jenis lompat yang wajar manakala terdapat pula yang amat tidak wajar. Ada yang sememangnya mengkhianati rakyat, manakala ada yang bersifat amanah kepada rakyat. Tidak wajar untuk dipukul sama-rata dengan mengatakan, semua lompat adalah baik, atau semua lompat adalah celaka, khianat lagi memalukan.

Tidak wajar juga kita menentang semua jenis lompat, atau menolak semua jenisnya juga.
Jika diguna pakai kaedah menentukan hukum dalam Islam, setiap satu tindakan adakalanya bergantung kepada situasi dan keadaan semasa, ia berubah dari satu masa ke satu masa, satu keadaan kepada keadaan yang lain. Satu orang kepada satu orang yang lain. Dalam Islam, bukan semua jenis ‘double standard' adalah salah tetapi adakalanya ia adalah keperluan. Contoh mudah, Islam melarang penganutnya murtad, tetapi Islam menggalakkan penganutnya berdakwah kepada penganut agama lain untuk memasuki Islam bererti keluar dari agama mereka.

Bukankah nanti ada yang mengatakan mengapa ‘double standard'? keluar agama lain dan masuk Islam kamu setuju, tapi keluar Islam masuk agama lain kamu tidak dan berasas dari al-Quran dan hadith.


MARI LIHAT BEBERAPA DALIL.
Telah dinyatakan sebelum ini, terlalu banyak hujah dan dalil jika ingin dikemukakan, dan banyak pula bantahan dalil dan hujah, tetapi tulisan ini tidak akan menghurai semuanya, ia hanya pembuka minda dan jalan berbincang agar jelas di mana letak duduknya isu ini jika kita cuba melihat dari perspektif hukum Islam.

Berikut adalah dalil ringkas dari kesimpulan saya di atas :-
1) Satu ayat Al-Quran, firman Allah swt berkenaan arak :
Erti : Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: ""Pada keduanya, itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.. ( Al-Baqarah : 219 )
Dari ayat ini jelas Islam sentiasa mengajar kita untuk memperhati hasil kesan baik dan buruk dari sesuatu perkara. Neraca kebaikan dan keburukan pula disandarkan kepada kandungan al-Quran serta hadith, bukan hawa nafsu. Dengan cara ini, kita boleh mengenalpasti hukum atau pendirian Islam terhadap sesuatu tindakan termasuk tindakan melompat parti.

Ringkasnya, jika sabit bahawa melompat membawa lebih kepada nilai kebaikan dan mendekatkan kepada ketaatan kepada Allah swt. Ia dikira wajar dibuat, namun jika lompatan membawa kepada parti yang jauh dari Allah swt maka ia tidak wajar. Ia memang double standard tetapi ia dari jenis yang dibenarkan.

Saya faham, untuk mengenalpasti kebaikan dan keburukan adalah terlalu subjektif tetapi kunci mulanya adalah dengan menyandarkan kepada dua rujukan utama tadi dan disusuli dengan penilaian akal masing-masing. Namun demikian, ayat ini sahaja tidak akan mencukupi untuk menentukan keputusan berkenaan hukum lompat. Ia cuma salah satu dari kumpulan hujah yang perlu dilihat sekali.

2) Firman Allah swt :-
Ertinya : Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu. ( Az-Zariyat : 51)
Ayat ini jelas menyuruh sesiapa jua agar berhijrah atau melompat dari yang menderhakai Allah swt kepada apa jua cara dan jalan yang membolehkannya kembali mentaati Allah swt. Jika satu jalan kepadanya adalah dengan melompat parti, tentunya ia juga tergolong dalam ayat ini.

3) Sabda Nabi s.a.w
Erti : Seseorang yang berhijrah itu adalah mereka yang berhijrah meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah swt ( Riwayat Al-Bukhari)
Asal hadith ini disebutkan oleh baginda Nabi s.a.w kepada kaum Muhajirin agar mereka tidak silap faham akan erti ‘Hijrah' hanyalah terhad kepada perpindahan dari Mekah ke Madinah, tetapi lebih jauh dari itu adalah meninggalkan segala maksiat kepada ketaatan. (Awnul Ma'bud, no 2481, hlm 128 )

Kaitan dengan isu lompat parti adalah, jika lompat adalah kepada ketaatan kepada Allah swt ia adalah tergolong dalam muhajir yang dimuliakan Islam.

4) Sebuah hadis :-
Ertinya : Sabda Baginda : Sesungguhnya aku dahulu melarang kamu dari menyimpan daging korban disebabkan oleh daffah ( kumpulan pelawat Madinah yang memerlukan makanan), maka sekarang ini (di ketika tiada mereka yang memerlukan), bolehlah kamu makan daging itu, atau sedeqahkannya dan menyimpannya" ( Riwayat Al- Bukhari)
Imam al-Qurtubi menyatakan kedatangan pelawat miskin yang memerlukan makanan di musim raya haji, mereka tiada punyai makanan kecuali mengharap daging sembelihan, maka di waktu ketiadaan keadaan ini, Nabi Muhammad s.a.w membenarkan simpan walaupun melebihi 3 hari. (Al-Jami' li ahkam al-Quran, 12/48 )

Kaitan dengan isu lompat adalah hukum melompat dari parti tertentu kepada yang lain turut mempunyai hukum berbeza, melihat kepada keadaan dan kebaikan parti-parti terbabit. Jelas dari hadith, menunjukkan sasaran Rasulullah s.a.w adalah membantu orang miskin, agihan makanan dengan sempurna dan mendekatkan diri kepada Allah swt.

5) Dan satu lagi hadis adalah : -
Ertinya : Kami bersama Nabi, tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan! tiba-tiba datang seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ya ( tiada masalah), kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata, Aku tahu mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu) (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, namun hadisnya bertaraf Hasan namun sebahagian ahli hadis mengganggapnya dhoif)

Pengajaran dari hadis ini adalah hukum yang disebut oleh Nabi s.a.w bukannya ‘double standard' tetapi ia adalah bergantung kepada keadaan orang yang bertanya dan Rasul s.a.w sendiri mengajar kita mengapa hukum berbeza, iaitu adakah ia menuju kepada sesuatu yang mendekatkan ketaatan kepada Allah swt dan menjauhkan diri dari maksiat.
Sekali lagi kaitannya dengan isu lompat parti adalah hukum melompat berbeza antara satu parti dengan parti yang lain.


6) Satu kaedah fiqh menyebut :-
Erti : Tidak dapat disangkal bahawa beberapa jenis hukum berubah dengan perubahan masa (dan tempat). ( Majallah al-Ahkam Al-Adliyah)

Ibn Qayyim dan Syeikh Dr. Mustafa Az-Zarqa berkata, para ulama mazhab telah sepakat akan kaedah ini dalam hal-hal hukum cabang dan ijtihad, adapun hukum asas dan prinsip umum Islam tidak boleh berubah. ( Ighathah al-Lahfan, 1/330 ; Majalah Al-Muslimun, hlm 553 )

Ibn Qayyim dalam kitabnya ‘ilam al-Muwaqqien menyatakan lima sebab hukum furu' boleh berubah iaitu tempat, masa, ‘uruf, situasi dan keadaan, serta niat.
Kaedah ini memberikan input kepada kita bahawa hukum lompatan boleh berbeza dari satu keadaan kepada keadaan yang lain.


ADAKAH YB KHIANAT UNDIAN RAKYAT APABILA MELOMPAT ?
Tidak semestinya. Ini adalah isu yang kerap disebutkan termasuk oleh pelbagai tokoh agama di Malaysia., ia boleh dilihat dari pelbagai bentuk, tidak boleh dipukul sama rata.
Ia hanya menjadi khianat dan celaka apabila wakil rakyat ini melompat dari parti yang elok kepada yang tidak elok dan bukan sebaliknya.
Mengapa?

Sama seperti kes murtad tadi juga. Ia adalah double standard berasas.


Bagaimana hak rakyat ? Terdapat dua perkara di sini :

Pertama : Wakil Rakyat (YB) adalah wakil kepada rakyat dalam membuat sebarang keputusan yang terbaik untuk rakyat yang diwakilinya. Jika yang terbaik untuk rakyat adalah melompat maka mandat sebagai wakil rakyat (YB) tadi telah cukup untuk sang YB melompat demi melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil kepada rakyat dengan lebih berkesan. Para pengundinya patut reda dan rela jika lompatan itu difikirkan oleh YBnya bakal membawa kebaikan buat rakyatnya bukan untuk diri YB.

Kedua : Masalah sistem demokrasi ; Dalam Islam, sistem pemilihan demokrasi itu sendiri terdapat beberapa masalah, antaranya adalah membiarkan pemilihan pemimpin dibuat oleh semua jenis rakyat tanpa mengenal tahap kemampuan mereka dan baik buruk mereka. Ini adakalanya boleh membahayakan kerana jika orang tidak baik lebih ramai dalam kumpulan rakyatnya, maka pastinya orang tidak baik akan sentiasa menang kerana memilih sang tidak baik sebagai YB.

Dalam Islam sistem asal pemilihan adalah majlis ahli al-hal wal al'qad ( kumpulan cerdik pandai, berpengalaman dan bertaqwa). Di zaman Khulafa ar-Rasyidin dahulu mereka digelar Majlis Syura. Majlis ini sepatutnya yang akan menentukan siapa khalifah seterusnya dan ia dianggotai oleh individu terbaik dalam Negara.

Justeru itu, ketika ini kita sedang mengguna pakai sistem demokrasi dan dalam masa yang sama cuba membawa cara Islam dalamnya. Atas asas itu, bagi saya adalah dibenarkan dan tidak dikira khianat untuk sang YB melompat kepada parti yang lebih baik demi kebaikan rakyatnya.
Dengan anggapan sang YB sepatutnya mempunyai kelayakan lebih baik dari kebanyakan rakyatnya. Namun, sekali lagi diingatkan kebaikan ditimbang atas asas Al-Quran dan As-Sunnah dan bukan atas asas kerakusan nafsu.

Jika kedua-dua parti atau kumpulan, lebih kurang sahaja jauh dari Islamnya, maka pemilihan adalah atas dasar pilihan yang kurang mudarat. Berdasarkan kaedah :
Erti : Mengambil yang kurang mudarat.

Tatkala itu, melompat kepada parti yang kurang mudarat adalah tergolong dalam hal ini. Adapun mana satu parti yang kurang mudarat atau lebih mudarat terserah kepada penilaian anda sekalian. Tidak perlu dibincangkan di sini.

Tidak dinafikan, secara realiti, masalah berlaku kerana rakyat tidak lagi memilih YBnya atas dasar kelayakan tetapi atas dasar parti. Ini menyebabkan terdapat ramai YB yang jauh kurang cerdik dari majoriti rakyat. Ketika itu, anda akan dapati kesukaran kerana YB akan melompat kepada parti yang jauh dari kebaikan. Lalu tatkala itu barulah pengkhianatan boleh diperbincangkan.



KESIMPULAN
Berdasarkan hujah dan dalil yang dikemukakan diatas, kita mungkin dapat melihat beberapa kemungkinan dan kewajaran lompat parti ini suatu yang dibenarkan dan diharuskan, atau menjadi suatu yang dicela :

1- MELOMPAT DAN MENGAJAK LOMPAT YANG DIBENARKAN
Dibenarkan dalam beberapa keadaan antaranya :-
Untuk Kebaikan Rakyat : Melompat kerana kepentingan dan kebaikan rakyat, bukan hasil kerakusan mengaut imbuhan untuk diri atau menyelamatkan diri dari tuduhan rasuah atau dakwaan kejahatan yang dilakukan oleh diri sendiri. Lalu kerusi wakil rakyat digadaikan.

Membawa kepada taat Allah ; Jika menurut fakta, statistik dan pengalaman umum yang jelas bahawa sesebuah gabungan parti itu lebih membawa kepada pelbagai maksiat dan ketidakadilan manakala parti yang lain lagi membawa kepada ketaaatan yang lebih kepada Allah, lebih kebaikan dan kesaksamaan, maka ‘lompat' boleh menjadi harus malah mungkin ada ketikanya ia adalah sunat atau wajib.

Mengurangkan mudarat ; Jika kedua-dua parti adalah tidak baik, namun demikian satu darinya kurang mudarat dan tidak baiknya. Maka boleh malah wajar untuk lompat kepada yang kurang membawa mudarat untuk diri dan rakyatnya.

Tiada potensi mudarat lebih besar ; Telah ditinjau potensi bantahan rakyat tidak akan membawa mudarat yang lebih besar. Jika telah dikenalpasti rakyat terdiri dari mereka yang ganas dan boleh mencetus mudarat lebih besar akibat lompat. Maka lompatan wajar dijauhi.

Pilihanraya korup sepenuhnya atau sebahagian besarnya ; Tatkala itu usaha mengajak lompat dibenarkan jika tiada cara untuk menang dalam pilihanraya biasa kerana korupsi amat dahsyat dan rasuah bermaharajalela menyebabkan pilihanraya tidak adil sama sekali.

Pilihanraya dimonopoli majoriti pengundi tidak baik ; Melompat dan mengajaknya dibenarkan apabila rakyat dikenalpasti majoriti terdiri dari orang yang sangat cenderung kepada kejahatan dan pastinya akan sentiasa memilih yang tidak baik sebagai wakil mereka. Justeru, bagi menyelamatkan Negara dan kebaikan rakyat sebegini, jemputan dan mengajak lompat adalah dibenarkan.


2- MELOMPAT YANG KHIANAT DAN TIDAK DIBENARKAN.
Dilarang sama sekali apabila :-
Kerana manfaat diri sendiri ; Melompat kerana mendapatkan imbuhan untuk diri (seperti wang berjuta dan sebagainya) atau menyelamatkan diri dari tuduhan rasuah atau dakwaan kejahatan yang dilakukan oleh diri sendiri. Lalu kerusi wakil rakyat digadaikan.

Timbul mudarat lebih besar ; seperti pengundi memberontak dan punyai potensi berlaku pertumpahan darah dan sebagainya.

Pilihanraya semula lebih diredhai oleh semua ; ini dalam keadaan sistem pilihanraya masih boleh dipercayai dan pengundi bercampur antara yang suka kejahatan dan kebaikan.

Dari yang baik kepada tidak baik ; melompat dari kumpulan yang baik kepada yang tidak baik dan membawa semakin jauh dari ketaatan Allah.

Menuruti pandangan kumpulan pengundi tidak baik ; tunduk kepada permintaan pengundi tidak baik sehingga mengabaikan tuntutan pengundi baik dalam kawasannya.




PENUTUP
Keputusan mana satu parti yang lebih membawa manfaat dan kurang mudarat, terpulang kepada anda untuk menilainya sendiri dari tulisan dan liputan berkenaan ahli-ahli politik semasa.

Bayangkan, amat kucar kacir dan menariknya sejarah politik Malaysia jika tiba-tiba ada YB BN tiba-tiba melompat parti pula selepas ini. Menjadikan MB yang baru angkat sumpah terpaksa batal pula, sehingga terpaksa angkat sumpah MB baru lagi, tiba-tiba selepas sebulan, seorang YB dari Pakatan lompat kepada BN pula, maka terpaksa angkat sumpah lagi dan beterusan adegan ‘kartun' ini. Justeru, bukankah lebih baik dibubar sahaja.

Sunday, May 10, 2009

AURAT WANITA, WAJIBKAH MENGHIJAB MUKA ?


OLEH : DUPAHANG
DISUSUN DAN DIRINGKASKAN OLEH : ARAS

Dimanakah batas aurat perempuan? Ada sebahagian yang mengatakan bahawa seluruh tubuh perempuan adalah aurat, sehingga wajahnya juga wajib ditutup. Sebahagiannya pula menganggap wajah dan tapak tangan bukanlah aurat bagi wanita.
Khilaf dan perbezaan pendapat dikalangan para ulama' tentang batas aurat wanita itu akan selalu ada, selama nas-nas itu sendiri memang mengandungi khilaf dan perbezaan pentafsiran serta variasi istinbath( cara mengeluarkan hukum dari sesuatu nas ).

Namun di sebalik khilaf dalam masalah ini, tidak ada salahnya kita kemukakan dalil-dalil dari kedua-dua pihak, baik yang mewajibkan niqab ( penutup muka ) bagi wanita mahupun yang tidak mewajibkannya.

1. DALIL YANG MEWAJIBKAN NIQAB
Mereka yang mewajibkan setiap wanita untuk menutup muka (memakai niqab) diangkat dari pendapat bahawa wajah itu sebahagian dari aurat wanita yang wajib ditutup dan haram dilihat oleh orang lain yang bukan muhrim.

Antara dalil yang mereka kemukakan ialah :

a. Ayat Hijab (Surat Al-Ahzab : 59)

“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu’min: “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”(QS. al-Ahzab : 59)

Ayat ini adalah ayat yang paling utama dan paling sering dikemukakan oleh pendukung wajibnya niqab. Mereka mengutip pendapat para mufassirin terhadap ayat ini bahawa Allah mewajibkan para wanita untuk menjulurkan jilbabnya keseluruh tubuh mereka termasukkepala, muka dan semuanya, kecuali satu mata untuk melihat.

Riwayat ini disandarkan kepada Ibnu Abbas, Ibnu Mas`ud, Ubaidah as-Salmani dan lainnya, meskipun tidak ada kesepakatan diantara mereka tentang makna ‘jilbab’ dan makna ‘menjulurkan’.

Namun bila diteliti lebih jauh, ada keraguan yang boleh ditimbulkan dalam pendapat Ibnu Abbas tentang wajibnya niqab. Kerana dalam tafsir di surat An-Nuur yang berbunyi "kecuali yang zahir darinya,"( al-Nur : 31) Ibnu Abbas berpendapat sebaliknya.

Para ulama yang tidak mewajibkan niqab mengatakan bahwa ayat ini sama sekali tidak berbicara tentang wajibnya menutup muka bagi wanita, baik secara bahasa mahupun secara `urf (kebiasaan). Kerana yang diperintahkan menjulurkan kain ke dadanya, bukan ke mukanya. Dan tidak ditemukan ayat lainnya yang memerintahkan untuk menutup wajah.

b. Surah Al-Nuur : 31

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang nampak daripadanya.”
(QS. Al-Nur : 31)

Menurut mereka dengan mengutip riwayat pendapat dari Ibnu Mas`ud bahawa yang dimaksudkan dengan perhiasan yang tidak boleh dinampakkan adalah wajah, kerana wajah adalah pusat kecantikan.Sedangkan yang dimaksud dengan `yang biasa nampak` bukanlah wajah, melainkan selendang dan baju. 
Namun riwayat ini berbeza dengan riwayat yang sahih dari para sahabat termasuk riwayat Ibnu Mas`ud sendiri, Aisyah, Ibnu Umar, Anas dan lainnya dari kalangan tabi`in bahawa yang dimaksudkan dengan ‘yang biasa nampak darinya’ bukanlah wajah, tetapi al-kuhl (celak mata) dan cincin. Riwayat ini menurut Ibnu Hazm adalah riwayat yang paling sahih.

c. Surah Al-Ahzab : 53

“Apabila kamu meminta sesuatu kepada mereka, maka mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka. Dan tidak boleh kamu menyakiti Rasulullah dan tidak mengawini isteri-isterinya selama-lamanya sesudah ia wafat. Sesungguhnya perbuatan itu adalah amat besar di sisi Allah.”
(QS. Al-Ahzab : 53).

Para pendukung kewajiban niqab juga menggunakan ayat ini untuk menguatkan pendapat bahawa wanita wajib menutup wajah mereka dan wajah termasuk didalam bahagian aurat wanita. Mereka mengatakan bahawa meskipun khitab ayat ini kepada isteri Nabi s.a.w, namun kewajipannya juga terkena kepada semua wanita mukminah, kerana para isteri Nabi itu adalah teladan dan contoh yang wajib diikuti.

Selain itu mengenakan niqab itu alasannya adalah untuk menjaga kesucian hati, baik bagi lelaki yang melihat ataupun buat para isteri nabi. Sesuai dengan firman Allah dalam ayat ini bahawa cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka (isteri nabi s.a.w).

Namun bila disemak lebih mendalam, ayat ini tidak berbicara tentang masalah kesucian hati yang berkait dengan zina mata antara para sahabat Rasulullah SAW dengan para isteri beliau. Kesucian hati ini dikaitkan dengan perasaan dan fikiran mereka yang ingin menikahi para isteri nabi nanti setelah beliau wafat. Dalam ayat itu sendiri dijelaskan agar mereka jangan menyakiti hati nabi s.a.w dengan mengahwini para janda, isteri Rasulullah SAW sepeninggalnya. Ini bertepatan dengan asbabun nuzul (sebab turun ayat) ayat ini yang menceritakan bahawa ada sahabat yang ingin menikahi Aisyah bila kelak Nabi wafat. Ini tentu sangat menyakitkan perasaan nabi s.a.w.

Adapun makna kesucian hati itu bila dikaitkan dengan zina mata antara sahabat nabi dengan para isteri beliau adalah pentafsiran yang terlalu jauh dan tidak sesuai dengan konteks dan kesucian para sahabat nabi yang agung.

Sedangkan perintah untuk meminta dari balik tabir, jelas merupakan pengkhusususan dalam bermuamalah dengan para isteri Nabi. Tidak ada kaitannya dengan kaedah usul fiqh, al-Ibratu bi `umumil lafzi laa bi khushushil ayah’. (sesuatu hukum dikeluarkan degan makna umum ayat, bukan dengan khusus sebab turunnya ayat). Kerana ayat ini memang khusus membicarakan tentang akhlak pergaulan dengan isteri nabi. Dan mengqiyaskan antara para isteri nabi dengan seluruh wanita muslimah adalah qiyas yang tidak tepat, qiyas ma`al fariq. Kerana para isteri nabi memang memiliki standard akhlak yang khusus. Ini ditegaskan dalam ayat Al-Quran.

“Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara( suara lunak yang menggoda ) sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik,” (QS. Al-ahzab : 32)

d. Hadits Larangan Berniqab bagi Wanita Muhrim

  Para pendukung kewajiban menutup wajah bagi muslimah menggunakan sebuah hadits yang diambil mafhum mukhalafanya, yaitu larangan Rasulullah SAW bagi muslimah untuk menutup wajah ketika ihram.

“Janganlah wanita yang sedang berihram menutup wajahnya (berniqab) dan memakai sarung tangan”.

Dengan adanya larangan ini, menurut mereka lazimnya para wanita itu memakai niqab dan menutup wajahnya, kecuali ketika berihram. Sehingga perlu bagi Rasulullah SAW untuk melarang mereka secara khusus. Seandainya setiap hari mereka tidak memakai niqab, maka tidak mungkin beliau melarangnya ketika berihram.

  Pendapat ini dijawab oleh mereka yang tidak mewajibkan niqab dengan logik sebaliknya. Iaitu bahawa ketika berihram, seseorang memang dilarang untuk melakukan sesuatu yang tadinya halal. Seperti memakai pakaian yang berjahit, memakai minyak wangi dan berburu. Lalu ketika berihram, semua yang halal tadi itu menjadi haram. Kalau logik ini diterapkan dalam niqab, seharusnya memakai niqab itu hukumnya hanya sampai boleh dan bukan wajib. Kerana semua larangan dalam ihram itu hukum asalnya pun boleh dan bukannya wajib. Bagaimana boleh sampai pada kesimpulan bahawa sebelumnya hukumnya wajib ?

  Memang ada sebahagian wanita yang di masa itu menggunakan penutup wajah.

Tetapi masalahnya menutup wajah itu bukanlah kewajiban. Dan ini adalah logik yang lebih tepat.

e. Hadits bahawa Wanita itu Aurat

Diriwayatkan oleh At-Tirmizy marfu`an bahwa,”Wanita itu adalah aurat, bila dia keluar rumah, maka syaitan menaikinya”.

Menurut At-turmuzi hadis ini kedudukannya hasan sahih.
Maka hadith ini menunjukkan seluruh tubuh wanita itu adalah aurat, termasuk wajah, tangan, kaki dan semua bahagian tubuhnya. Pendapat ini juga dikemukakan oleh sebagian pengikut Asy-Syafi`iyyah dan Al-Hanabilah.

 f. Mendhaifkan Hadits Asma`

Mereka juga mengkritik hadits Asma` binti Abu Bakar yang bermaksud , Nabi s.a.w bersabda kepada Asma’ “Seorang wanita yang sudah haidh itu tidak boleh nampak bahagian tubuhnya kecuali ini dan ini” Sambil beliau menunjukkan ke arah wajah dan tapak tangannya.

 2. PENDAPAT BAHAWA WAJAH WANITA BUKAN AURAT

  Sedangkan mereka yang mendukung pendapat bahawa wajah bukan termasuk aurat wanita menggunakan banyak dalil serta mengutip pendapat dari para imam mazhab yang empat dan juga pendapat salaf dari para shahabat Rasulullah SAW.

a. Para sahabat Rasulullah SAW sepakat mengatakan bahawa wajah dan tapak tangan wanita bukan termasuk aurat. Ini adalah riwayat yang paling kuat tentang masalah batas aurat wanita.

b. Para Fuqoha’ sepakat bahawa wajah bukan aurat bagi wanita.

  Al-Hanafiyah mengatakan tidak dibenarkan melihat wanita ajnabi yang merdeka kecuali wajah dan tapak tangan. Bahkan Imam Abu Hanifah sendiri mengatakan yang termasuk bukan aurat adalah wajah, tapak tangan dan kaki, kerana kami adalah sebuah kedaruratan yang tidak boleh dihindarkan.

  Al-Malikiyah dalam kitab ‘Asy-Syarhu As-Shaghir' dituliskan bahawa batas aurat waita merdeka dengan lelaki yang bukan mahram adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Keduanya itu bukan termasuk aurat.

  Asy-Syafi`iyyah dalam kitabnya ‘al-Muhazzab’,engatakan bahawa wanita merdeka itu seluruh badannya adalah aurat kecuali wajah dan tapak tangan.

Dalam mazhab Al-Hanabilah kita dapati Ibnu Qudamah berkata( kitab Al-Mughni 1 : 1-6),”Mazhab tidak berbeza pendapat bahawa seorang wanita boleh membuka wajah dan tapak tangannya di dalam solat.

c. Pendapat para mufassirin

Para mufassirin yang terkenal pun banyak yang mengatakan bahawa batas aurat wanita itu adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Mereka antara lain At-Thabari, Al-Qurthubi, Ar-Razy, Al-Baidhawi dan lainnya. Pendapat ini sekaligus mewakili pendapat jumhur ulama.

d. Perintah kepada laki-laki untuk menundukkan pandangan.
 
Allah SWT telah memerintahkan kepada laki-laki untuk menundukkan pandangan. Hal itu kerana para wanita muslimah memang tidak diwajibkan untuk menutup wajah mereka.
“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”. (QS. An-Nuur : 30).

Dalam hadits Rasulullah SAW kepada Ali ra. disebutkan bahwa,’Jangan lah kamu mengikuti pandangan pertama (kepada wanita) dengan pandangan berikutnya. Kerana yang pertama itu untukmu dan yang kedua adalah ancaman dosa”. (HR. Ahmad, Abu Daud, Tirmizy dan Hakim). الخطاب -