Showing posts with label feqah. Show all posts
Showing posts with label feqah. Show all posts

Sunday, June 20, 2010

Khilaf dalam Islam

MUQADDIMAH

Manusia bebas untuk berfikir dengan anugerah akal kurniaan Allah S.W.T. Menggunakan nikmat akal dengan cara yang betul dapat membawa kepada kebaikan. Manusia juga dikurniakan nafsu sebagai satu keperluan, tetapi nafsu banyak mengarah kepada kejahatan. Akal dan nafsu sentiasa berlawanan antara satu sama lain. Akal semata-mata tidak menjamin sebarang kebaikan, jika tidak dipandu oleh Syariat Allah S.W.T.

Umat Islam hari ini bukan sahaja menghadapi serangan berbentuk fizikal, tetapi yang amat membimbangkan ialah pertembungan yang bersifat perdebatan. Sehingga apa yang telah dinyatakan oleh Nabi S.A.W bahawa ‘Perselisihan di kalangan umatku adalah satu rahmat’ kadang-kadang berlaku sebaliknya iaitu menjadi perpecahan. Ini bukan sahaja akan membinasakan kefahaman umat Islam terhadap agamanya sendiri, malah pemikiran dan ritual ibadah mereka juga turut menjadi sasaran.


PENGERTIAN KHILAF

Khilaf membawa maksud: tidak sependapat atas sesuatu perkara. Dalam ertikata lain, setiap orang mempunyai perbezaan samada dalam perkataan mahupun pendapat.
Khilaf juga memberi erti tidak sama. Oleh itu setiap yang tidak sama dikatakan khilaf.
Para Fuqaha telah mentafsirkan al-Khilaf dengan makna:
"Sesuatu yang tidak disepakati oleh para fuqaha dalam masalah-masalah ijtihadiyah ( masalah yang tida nas ) tanpa memandang betul, salah atau ganjil pendapat yang dikemukakan".
Jika ijtihad itu betul, maka akan mendapat dua pahala dan jika salah mendapat satu pahala. Menjadi satu adab yang dilakukan oleh mereka bahawa mereka tidak menyalahkan diantara satu sama lain bahkan menghormati pandangan sesama mereka.

Dr. Yusof Al-Qardawi telah memberikan pandangan bahawa memberikan kefahaman yang diharapkan mestilah diserahkan kepada ulama' yang jauh dari pemerintah pada sudut pengaruh kuasa dan penghormatan. Mereka lebih dipercayai melalui ketulenan ilmu dan kekuatan mereka terhadap pegangan agama.
Oleh yang demikian Syariat Islam telah meletakkan prinsip-prinsip bermuzakarah, berdailog dan berbincang dalam sesuatu perkara. Perbincangan mestilah beasaskan akal yang sihat, disiplin ilmu, sumber hukum syariat dan bukan secara agakan, sentimen, kepentingan sesuatu dan emosi.


SEBAB-SEBAB KHILAF DALAM ISLAM

Islam memerintahkan kepada kita supaya bersatu dan bermuafakat serta melarang berpecah belah dan berselisih pendapat. Dalam Al-Quran Allah S.W.T telah menyatakan:
"Berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai dan hendaklah kamu menjadi hamba Allah yang bersaudara".
Islam tidak melarang khilaf tetapi perlu dijaga adab dan etikanya. Jangan sampai membawa kepada perpecahan dikalangan umat Islam. Namun khilaf pasti berlaku, tetapi jika tidak dijaga disiplin dan adabnya ia akan menimbulkan implikasi yang buruk dan mengaibkan dalam masyarakat Islam. Di antara perkara yang berlaku ialah:
1. Sibuk menimbulkan masalah-masalah kecil yang bersifat ijtihadiyah dan melupakan masalah-masalah besar.
2. Berdebat dengan melakukan pendekatan yang emosional dan tidak mengakui kebenaran yang dikemukakan oleh orang lain.
3. Cenderung untuk memilih pendekatan yang keras bukan pada tempatnya, memberatkan diri dan mempersulit kaedah-kaedah dalam menentukan hukum.
4. Sikap taksub terhadap pegangan tertentu sehingga mereka banyak disibukkan dengan perdebatan sesama sendiri dan menganggap pendapatnya sahaja yang betul.
5. Jahil dalam memahami Sumber-sumber Hukum syara' yang telah disepakati oleh para Fuqaha' iaitu Al-Quran, Hadis, Ijma' dan Qias serta sumber-sumber hukum syara' yang tidak disepakati oleh Fuqaha.
6. Banyak terjebak dengan masaalah yang berbentuk terminologi, masalah-masalah istilah sehingga membahayakan pemikiran umat Islam.


BEBERAPA ETIKA DAN ADAB KETIKA BERLAKU KHILAF

Di saat berbeza pendapat baik dalam suatu majlis atau bukan, sebagai seorang muslim kita berupaya untuk menjaga adab-adab berikut:
1. Ikhlas dan mencari yang hak serta melepaskan diri dari hawa nafsu.
2. Berlapang dada menerima kritikan dan memahami bahawa ia adalah nasihat dari saudara seagama.
3. Menghindari sikap menonjolkan diri, membela diri serta mencari kemasyhuran publisiti murahan.
4. Berbincang dan bermuzakaran dengan cara dan kaedah yang terbaik.
5. Tidak menuduh orang yang mengamalkan amalan yang kita tidak sependapat sebagai sesat, bid'ah dan khurafat jika kita tidak mempunyai nas-nas syara' yang menyatakan kesalahan mereka.
6. Hendaklah memberikan ruang kepada orang lain mengemukakan pendapat atau hujjah samaada dari pihaknya atau pihak yang membangkang. Tidak boleh memotong percakapan orang lain atau menyakitinya.
7. Menghormati pandangan orang lain sebagaimana peristiwa Saidina Abu Bakar menerima cadangan tentang pengumpulan Al-Quran dari Saidina Umar.
8. Menghormati dan menghargai segala usaha yang dicurahkan oleh para ulama' mujtahin dalam pelbagai mazhab.
9. Tidak perlu memaksa orang lain menerima pandangan kita dalam perkara khilafiah kecuali amalan-amalan yang bercanggah dengan hukum-hukum yang disepakati oleh para ulama'.
10. Berbaik sangka kepada orang yang berbeza pendapat dengan kita dan tidak menuduh buruk niatnya, mencela dan menganggapnya cacat.
11. Berusaha untuk tidak memperuncing perselisihan, iaitu dengan cara menafsirkan pendapat yang keluar dari lawan atau yang dinisbahkan kepadanya dengan tafsiran yang tidak baik.
12. Tidak mudah menyalahkan orang lain, kecuali sesudah penelitian yang mendalam dan difikirkan secara matang.
13. Sedapat mungkin menghindari permasalahan-permasalahan khilafiyah dan fitnah. Berpegang teguh dengan etika berdialog dan menghindari perdebatan, bantah-membantah dan kasar menghadapi lawan.


PENUTUP

Perbahasan masalah khilafiyyah ini tidak wajar diperbesarkan dan saling menyalahkan antara satu sama lain, lebih-lebih lagi menghukum bid’ah, khurafat dan kafir. Ini kerana khilaf dalam masalah furu’ suatu yang tidak dapat dielakkan. Apa yang penting bagi umat Islam ialah berganding bahu menegakkan Syariat Islam dalam diri, rumahtangga, masyarakat dan negara. Seterusnya memerangi kemaksiatan dan kemungkaran yang disepakati dan bekerja keras menegakkan yang ma’ruf yang diijma’ ulama’ di samping berlapang dada dan bertolak ansur ketika menghadapi perkara-perkara khilafdalam semangat persaudaraan Islam dan kesatuan ummah.

Wallahu A’lam.

Thursday, May 13, 2010

Pandangan Islam Terhadap Muzik

Penulis: ALOxs ibn Shafiee

Nyanyian yang lunak adalah santapan jiwa manusia, menyegarkan otak dan disukai oleh pendengaran. Ia adalah kelazatan bagi telinga sepertimana makanan yang menjadi kelazatan bagi mulut dan perut; Pemandangan yang indah menjadi kelazatan bagi mata; bauan yang harum menjadi kelazatan bagi hidung dan sebainya.Adakah perkara-perkara yang baik dan lazat ini haram bagi Islam?!

Daripada beberapa dalil Qur'an,setiap benda yang baik lazimnya halal. Oleh itu setiap yang baik dipandang oleh jiwa dengan baik. akal manusia yang sejahtera adalah halal sebagai kerahmatan kepada umat Islam ini dan juga kerana kesyumulan, kelengkapan, dan keberkekalan risalah Islam.

Firman Allah (maksud):
"Mereka bertanya kepadamu:Apakah yang dihalalkan bagi mereka?Bagi menjawabnya katakanlah: Dihalalkan bagi kamu yang lazat-lazat serta baik. "(Maaidah: 4)

Hak mutlak menghalal/mengharam sesuatu adalah milik Allah saja: (maksud):
"Katakanlah:' Sudahkah kamu nampak baik buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfa'at kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram dan sebahagian lagi halal?Katakanlah lagi (kpd mereka):Adakah Allah mengizinkan kepada kamu hanya mengada-ngadakan secara dusta terhadap Allah?" (Yunus:59)

Firman Allah (maksud):
"Sesungguhnya merugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan lagi tidak berilmu (sedang Allah memberi rezeki kepada sekelian makhluk) dan rugilah (mereka) yang mengharamkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka dengan berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya sesatlah mereka dan tiadalah mereka mendapat petunjuk." (al An'am: 140)

Firman Allah (maksud):
"Dan kehidupan dunia ini hanyalah LAHWUN dan permainan belaka.." (Ankabut: 64)
Rasulullah S.A.W pernah menasihati Handzalah, Wahai Handzalah, bergurau ada masanya dan serius ada masanya. Saidina Ali ada menasihatkan: Rehatkan hatimu dari masa ke semasa kerana hati jika dipaksa akan menjadi buta. Juga dari Ali KW: Hati juga merasa jemu sepertimana juga badan merasa jemu; maka carilah perkara-perkara yang menarik untuk menghiburkannya. Telah berkata Abu Darda':Aku menghiburkan diriku dengan sedikit al Lahwu untuk menguatkan diriku dalam melakukan perkara-perkara kebaikan.



KATA IMAM AL GHAZALI:
Apabila diajukan kepada Imam Al Ghazali apakah nyanyian termasuk al Lahwu? Beliau berkata:Ya begitulah sebenarnya. Sesungguhnya seluruh dunia adalah al lahwu dan permainan..dan semua guarauan bersama isteri adalah al lahwu melainkan jima' yang bertujuan melahirkan zuriat. Begitu juga setiap gurauan yang tidak mengandungi kejahatan dan kemaksiatan, maka ia adalah halal. Sebab itulah ada waktu-waktunya makruh mengerjakan solat nawafil (sunat) untuk memberi kerehatan kepada orang yang sering melakukannya. Kerehatan sebenarnya menolong untuk terus beramal. Sedikit dalam al lahwu dapat menolong seseorang dalam situasi tegang oleh kerana kita tidak akan mampu untuk sentiasa dalam keadaan serius dan kepahitan sepanjang masa kecuali jiwa para Anbiya'.

Maka al lahwu (berhibur seketika) adalah ubat juga bagi jiwa. Maka Al Lahwu sudah semestinya Harus. Tapi Al Lahwu seperti mana ubat-ubatan yang lain ia tidak boleh diambil secara berlebihan.

Jika al lahwu disertai dengan niat ibadah, ia menjadi ketaatan kepada Allah. Sesiapa yang mendengar nyanyian dan muzikal janganlah menganggapnya sebagai sifat terpuji! Tapi hanya sekadar mendapatkan kelazatan dan kerehatan semata-mata.

Manusia mempunyai tingkatan: perkara-perkara yang harus kepada golongan martabat ABRAR (golongan yang baik) adalah kejahatan kepada golongan muqarrabin ( mereka yang sangat hampir dengan Allah) dan seterusnya.

Oleh itu kita mesti mengambil hukum 'am/pada kadar yang biasa. Bagi yang mengetahui selok belok cara untuk mengubat hati, cara untuk melembutkan hati dan mendorongnya kepada kebenaran, secara pasti dia juga akan tahu bahawa merihatkan hati dengan perkara-perkara begini (lahwun dan la'ibun) adalah ubat yang berguna yang mesti digunakan (al Ghazali).
Nyanyian adalah Harus (dibolehkan) tapi dalam Acuan Islam . Muzik adalah termasuk dalam perkara tabi'iy (asasi) di sisi fitrah manusia. Ia juga termasuk bab Urf (adat resam sesuatu bangsa) ada bangsa yang amat suka kepada muzik dan nyanyian; Islam tidak menghalang sesuatu yang selari dengan fitrah dan diterima oleh urf (adat) atau cara hidup budaya setempat. (Prof Qardhawi, halal, haram juga Fatwa Mu'asirat) Bermain gambus dan nyanyian oleh hamba sahaya sudah diamalkan sejak zaman Ali bin Talib dan tiada yang menegahnya..

Malangnya industri musik seperti juga bidang-bidang lain, ia diterajui oleh Barat yang mempunyai muslihat yang jahat terhadap Islam terutama remajanya. Apabila industri muzik; nyanyian itu diterajui oleh Barat, maka umat Islam perlulah berhati-hati, unsur-unsur yang diketengahkan oleh mereka adalah bertujuan melalaikan manusia, menjatuhkan mereka kepada maksiat dan menjurus kepada manusia meninggalkan kehidupan beragama. Industri muzik Barat juga memperkenalkan pelbagai jenis muzik yang melampau seperti heavy metal, rap, rock, super dance dan lain-lain yang bertentangan dengan fitrah. Ini bertentangan dengan hiburan dalam Islam yang bertujuan memberi sedikit kerehatan kepada jiwa manusia.



Oleh itu rumusannya industri musik dan nyanyian yang harus ialah yang sesuai dengan fitrah manusia, menghibur dan memberi ketenangan kepada jiwa dan mematuhi adab-adab Islam ; ini menuntut kesedaran Islam yang tinggi dari pemuzik dan pencipta lagu Muslim supaya membentuk arah-aliran industri musik yang tersendiri dan terpisah drpd pengaruh jahat Barat. Sebarang percubaan Barat untuk menghanyutkan umat Islam kepada kemaksiatan, kemudharatan dan kefasikan, mestilah dihalang, menetapi kaedah Masoleh Mursalah (kepentingan awam), Sadd Adz Dhara'iy (menutup pintu-pintu kejahatan) dan Istiqra' (pungutan suara rakyat) juga Urf (adat budaya tempatan.)


PANDANGAN ULAMA" TERHADAP MUZIK

Pandangan yang diutarakan pada keluaran lalu merupakan hujahan daripada beberapa tokoh Ulamak’.Dan pada keluaran ini dipaparkan beberapa fatwa berkaitan hukum muzik didalam islam.Ulamak yang paling berautoriti dalam hukum-hukum yang baru untuk abad ini ialah al marhum Syaikh Mahmud Syaltut, bekas rektor al Azhar dalam koleksi Fatwanya, alFatawa menjelaskan dengan tegas empat perkara tentang muzik:

Pertama: Mendengar dan bermain alat muzik adalah sama (hukumnya) dengan merasa makanan yang lazat, menghidu bau yang harum, melihat pemandangan yang cantik atau mencapai pengetahuan yang tidak diketahui adalah semuanya keseronokan naluri yang dianugrahkan Tuhan kepada manusia. Semuanya memberi kesan menenangkan fikiran apabila kepenatan jasmani dan memberi kesan dalam memulihkan semula tenaga. (Syaikh Syaltut menggunakan hujah Imam alGhazali dalam Ihya Ulumiddin)

Kedua: AlQur'an yang mendasari segala peraturan dan perundangan di atas dasar kesempurnaan dalam Tujuan sentiasa menjaga supaya tidak berlaku keterlaluan dipihak yang tidak menggunakan muzik dan pihak yang menggunakan muzik secara berlebihan. Islam mahukan kesederhanaan.

Ketiga: Fuqaha' terdahulu membenarkan musik apabila mempunyai konteks yang sesuai seperti muzik iringan ke medan perang, hajji, perkahwinan, perayaan id. Mengikut fuqaha' Hanafi muzik yang dilarang ialah dengan bersyarat jika ia bercampur dengan sebutan alkohol, gadis penyanyi, fusuq, perzinaan dan keberhalaan. Aku (Syaltut) berpendapat larangan terhadap muzik adalah berdasarkan kpd konteks dan iringannya dengan yang lain dan bukanlah suatu reaksi terhadap muzik itu sendiri.

Keempat: Syaltut memberi amaran bahawa sesiapa yang berani melarang sesuatu perkara yang tidak jelas dilarang oleh Allah. Dalilnya ialah firman Allah:. “Siapakah yang berani mengharamkan perhiasan drpd Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan rezki yang baik-baik?”..... hingga akhir. dalam surah (al A'raf: 32-33)


Kesimpulannnya: secara 'amnya muzik dibenarkan, jika ada larangan terhadapnya adalah kemalangan atau pengecualian disebabkan perlaku penyalahgunaan terhadap muzik itu sendiri.
Hukum mengenai muzik, pemuzik dan alat muzik mengikut Hujjatul Islam alGhazali (Ihya' Ulumidin) menjelaskan ada tiga komponen penting yang mempengaruhi hukum muzik yang mungkin berubah dari masa kesemasa: zaman, makan dan ikhwan. 'Zaman' merujuk kepada masa, apakah muzik itu melalaikan daripada jihad dan ibadah. 'Makan' merujuk kepada suasana, situasi, occasion atau upacara di mana muzik itu dipersembahkan. 'Ikhwan': merujuk kepada aktiviti muzik itu; jika dengan muzik itu boleh menyebabkan mereka terdedah kepada manusia yang jahat atau membawa kepada kejatuhan moral.

Menurut al Ghazali inilah tiga komponen yang menjadi neraca bagi muslim di setiap zaman menghukum muzik: zaman, makan dan ikhwan.

Berbalik kepada soalan asal: apakah alat muzik yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan dalam Islam?

Al Ghazali menjelaskan (Ihya' Ulumiddin): tidak ada keterangan yang jelas dari sunnah yang melarang alat-alat muzik bahkan setengah alat muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak dilarang, ia tidak lebih daripada seperti kemerduan suara burung. Ianya dilarang jika ada hubungan atau dikaitkan dengan kumpulan peminum arak, homoseks dan lain-lain yang diarang.
Menurut Prof Lamya' alfaruqui hukum hudud Islam jika seseorang didapati mencuri alat muzik ini berbedza-bedza mengikut madzhab. Misalnya menurut Syaikh Ibn Abu Zaid Al Qairawan, Bakhurah Al Sa'ad menjelaskan pencuri alat muzik tidak boleh dipotong tangannya. Imam Syafi'i dalam al Umm menjelaskan seseorang yang didapati bersalah memecahkan peralatan muzik tidak boleh dihukum. Manakala menurut sebahagian ulamak sesiapa yang memecahkan seruling atau sebarang alat muzik, ia layak dkenakan hukuman kerana menjual peralatan muzik itu sah di sisi undang-undang Islam.

Kesimpulan dan tarjih:
1. Menurut Fatwa Syaltut, muzik adalah harus selagi bukan untuk tujuan melalaikan dan maksiat.
2. Menurut al Ghazali, tidak ada perincian syara' tentang peralatan muzik yang halal dan haram. Ia bergantung kepada zaman, makan, dan ikhwan. mana-mana alat muzik yang baik dan lunak di dengar adalah harus, dan mana-mana alat muzik yang jelik dan dihubungkan dengan kumpulan manusia yang jahat akhlaknya adalah ditegah.
3. Hukum muzik, pemuzik dan peralatan muzik akan sentiasa berubah mengikut keadaan umat dan ulamak semasa.

AURAT BUKAN PERKARA CABANG

Di dalam syariat Islam, Allah swt telah memerintahkan hambaNya agar menutup aurat mengikut apa yang ditetapkan. Seperti yang kita ketahui, menutup aurat adalah perkara asas yang wajib seperti solat, puasa, zakat dan haji. Ia adalah satu hukum yang sedia kita maklum. Bagi sesetengah orang, perkara ini adalah satu perbincangan yang biasa yang tidak perlu dibangkitkan.

Namun sedarkah kita masih ramai yang tidak memahami atau sengaja mengabaikannya. Tidak perlu kita pergi terlalu jauh untuk membincangkan masalah aurat ini. Tidak perlu kita melihat kepada kaki judi, arak dan sebagainya. Cukup jika kita memerhatikan masyarakat kita yang sememangnya belajar agama dan mengetahui hukum hakam. Sebahagian mereka yang kerap solat berjemaah di masjid, mengikuti usrah dan lain-lain. Namun mereka sangat tidak mengendahkan soal aurat.

Sedia kita maklum bahawa aurat lelaki adalah dari pusat hingga ke lutut, dan aurat perempuan adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan dua tapak tangan. Bagi lelaki, ulama’ telah bersepakat mengatakan auratanya adalah pusat hingga ke lutut. Cuma berlaku khilaf yang terlalu kecil dari segi tafsiran makna rukbah (lutut). Sebahagiannya mengatakan tempurung lutut tidak diketegorikan sebagai makna rukbah. Namun pendapat yang ramai mengatakan tempurung lutut itu termasuk sebagai makna rukbah terutama di sisi mazhab syafei.

Berbeza dengan penafsiran makna surrah (pusat), telah ijma’ ulama mengatakan pusat lelaki adalah aurat dan haram lagi berdosa jika membukanya. Khilaf yang berlaku tadi terlalu sedikit bezanya sekalipun pendapat yang mengatakan tempurung lutut bukan aurat itu adalah pendapat yang juga kuat. Ada lagi pendapat yang menegah membuka aurat bagi lelaki sekalipun di hadapan saudara seibu sebapa. Malangnya kebanyakan kita mengabaikan hukum ini, pusat seolah-olah menjadi pameran kepada orang lain. Ini bukan masalah cabangan seperti qunut, zikir jahar selepas solat, tahlil, talqin dan sebagainya. Ini adalah perkara pokok yang wajib. Lebih-lebih malang lagi mereka ini terkadang memakai jubah dan serban dan ke masjid malah berkopiah putih apabila keluar dari rumah yang menjadi simbol kepada sunnah Nabi.

Bagi wanita, perbincangan ulama’ tentang aurat mereka terlalu luas. Tidak perlulah dinyatakan di sini satu-persatu. Cukup sekadar kita memahami di antara yang wajib mutlak dan wajib yang datang selepas sesuatu. Contohnya, lengan wanita adalah aurat dan wajib ditutup. Namun ramai wanita yang mengutamakan memakai niqab menutup muka lebih dari menutup lengannya. Maka menutup lengan itu adalah wajib yang mutlak yang tidak boleh dinafikan lagi. Manakala menutup muka itu wajib yang datang selepas beberapa perkara seperti wanita yang cantik wajahnya atau lain-lain yang boleh mendatangkan fitnah.
Malang juga mereka yang tidak melihat kepada yang lebih aula di sisi syara’ yang membezakan di antara yang wajib mutlak dan wajib yang datang selepas sunat ataupun harus.

Bagi kita, untuk membicarakan soal hukum aurat ini biarlah mereka yang bergelar ulama’ atau ahlinya. Kita tidak layak tapi wajib menuruti apa yang ditetapkan di dalam agama. Persoalannya, berakhlak kah jika seseorang itu mengatahui hukum-hukum agama, dalam masa yang sama membuka aurat menjadi satu perkara biasa. Memang manusia tidak sempurna dan tidak mampu melakukan semua ibadat. Akan tetapi perlu kita faham sekali lagi bahawa aurat bukan perkara sunat atau perkara cabang dalam agama. Ianya hukum mutlak yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim dan hukumnya tidak akan berubah sekalipun kepada seorang mayat. Bayangkan jika mayat pun wajib ditutup auratnya, apatah lagi kita yang masih hidup.

Marilah kita sama-sama sedar bahawa kita selama ini terlalu banyak mengabaikan hukum Allah. Apa yang wajib kita abaikan, yang harus atau sunat kita dahulukan dan kita berusaha melakukannya. Kerana setiap manusia itu berhajat kepada peringatan. Sungguhpun sebahagian dari mereka memang melaksanakan perintah Allah, namun yang dikatakan manusia itu selalu lupa atau sengaja melupai. Lihatlah betapa cacatnya jika kita memakai kopiah keluar dari rumah, di lain masa pusat atau lutut kita terbiar. Begitu juga bagi wanita, betapa cacatnya jika mereka memakai niqab, di masa yang sama nampak lengan hingga ke siku.

Juga perlu ditekankan di sini, ulama fiqh menyatakan bahawa wanita itu sendiri pada dasarnya adalah perhiasan. Maka bentuk tubuh mereka wajib dijaga dan tidak sama sekali diizinkan oleh syara’ memakai pakaian yang ketat sekalipun mereka menutup kepala.

Pendapat saya, kebanyakan kita pada hari ini tidak kira lelaki atau perempuan telah mengetahui hukum ini. Namun sejauh mana pengetahuan ini berada di dalam diri kita. Apakah kita menyedari bahawa ini adalah hukum agama yang ditetapkan oleh Allah? Sedarkah kita bahawa azab yang pedih sedia menanti bagi yang melanggar perintah ini? Kenapa kita masih tidak mahu menutup aurat? Dalam erti kata yang lain kenapa kita masih tidak menutup aurat sepenuhnya seperti yang dikehendaki oleh agama.

Jawapannya bermacam-macam. Apa yang boleh disimpulkan di sini antaranya ialah seseorang perempuan itu malu untuk memakai baju yang tidak ketat kerana ia bukan lagi fesyen zaman sekarang. Seseorang lelaki itu pula sudah terbiasa dengan menyalin baju di depan sahabat-sahabatnya tanpa segan silu menunjukkan pusat atau lutut.

Marilah kita melihat artikel ini sebagai tazkirah yang dperintahkan oleh Allah dan disampaikan melalui lisan hambanya yang mulia iaitu Nabi Muhammad SAW. Jangan kita melihat artikel ini sebagai satu tohmahan terhadap individu atau kelompok. Kerana yang demikian itu akan merosakkan
lagi iman yang ada.
lagi iman yang ada.