Thursday, April 26, 2012

Hama berdarah lagi..


Hama Berdarah Lagi.
Siddiq Osman.
Sudah lama aku tidak menjadi ‘penunggu internet’.  Bagi aku menjadi penatap ‘buku muka’ bukanlah keutamaan, walaupun aku selesa menjengah-jengah rakan-rakan di sana. Sejak Gaza sudah ditongkat untuk berjalan dalam capik-capik, aku mula hilang selera untuk menjamah berita di internet.
Mungkin aku bukanlah penulis blog yang terkenal di mana-mana, tetapi blog usang itulah tempat aku berkongsi rasa dan membuah jasa-jasa kecil dalam bertatih-tatih melalui lorong suram untuk menjadi penterjemah.
Kini aku sudah mula mengetik punat-punat aksara untuk menyusun bahasa yang sekian lama aku rindukan. Bukan tidak aku ketik langsung papan kunci ini, tetapi bukan bahasa yang aku tarikan di layarnya. Aduh, hampir kekok minda ini mahu kembali menarikan irama-irama syahdu bahasa kalbu dan mengatur soldadu aksara dalam perang pena.
Tetapi kekekokan ini kulenturkan juga untuk terus berkokok bagai ayam jantan yang terlihat sinar panas pagi yang jauh. Tetapi aku bukanlah ayam. Aku hanyalah anak melayu yang tahu berbahasa Nabi. Aku hanya Muslim yang belajar untuk mengenal agama sendiri. Mungkin ramai anak melayu muslim seperti aku. Tetapi yang sangat aku pasti, terlebih ramai mereka yang tidak kisah tentang ini semua.
Oleh kerana aku ini cuma rabun-rabun ayam, maka aku terlambat juga melihat timur tengah yang sedang membara. Orang lain menggelarnya musim bunga. Bagiku inilah musim luruh. Musim luruhnya kepala-kepala busuk. Luruh dari tampuk kuasa yang sudah buruk dengan kudis-kudis kezaliman dan penindasan. Ini telah beralamat di sana, dan pasti akan juga sampai ke sini. Sepatutnya aku sudah lihat ini sejak aku masih mencari diri di sana.
Kini giliran Namrud moden untuk merangkak turun. Basyar telah memakai persalinan Tuhan. Tetapi dia lupa yang nafasnya itu dipakaikan padanya oleh Tuhan. Dia adalah satu lagi syaitan berkepala manusia yang disanjung tinggi di alam syaitani. Dia terlupa yang neraka itu sedang dinyalakan khas untuknya. Bahkan, mungkin dia tidak pernah tahu.
Tetapi aku tahu. Di internet aku lihat tenteranya menyembahnya dan menjilat keangkuhannya. Tenteranya bakal menjadi arang-arang yang membakarnya. Mungkin kelak dia itu menjadi api yang merasai seksa daripada Yang Maha Penyeksa. Aku tahu alam Melayu sudah mendengar tangisan Homs. Tetapi aku sedar, alam aku ini kurang biasa dengan bahasa derita. Dulu Gaza menangis bertahun-tahun , setelah beberapa pertubuhan menagih simpati baru alam melayu yang aku sayang ini faham ada orang sedang menangis minta ditolong. Itupun ada yang menyangka yang mengemis itu adalah aktivis-aktivis yang tiada kerja mahu diusahakan. Aku pernah mengeluh dengan alam melayu ini, di dalam blog usangku. Sayangnya ramai yang menyokong telahanku bahkan menambah lagi sifat buruk yang aku cuba kurangkan.
Aku meneropong alam sana dalam stesyen video yang paling masyhur, Youtube. Aku kenal rupa sebenar Syiah. Mungkin ini sangat dinafikan mereka. Tetapi aku yakini dan rumuskan dalam mindaku luka Hama kali ini bukan lagi kerana ke-ikhwan-annya. Bandar ini berdarah kali kedua kerana mereka adalah manusia yang punya akal dan mahu berfikir. Mereka mahu negara yang merupakan jantung tanah Syam hanya didiami oleh manusia berakal keldai ataupun tunggangan berwajah manusia. Mereka mahu satu bangsa yang disuruh mencabul ibunya, lalu mereka melakukannya sambil ketawa. Mereka mahu rakyat yang apabila disembelih, mereka senyum berterima kasih. Agar semangat menjadi Tuhan tidak terpadam dari pemimpinnya.
Mungkin kalian merasai tarian saya sudah pincang. Sudah tidak menurut rentak rima bahasa. Sebenarnya bukan salah lantai yang tidak rata atau jemari saya yang tidak runcing. Tetapi itulah tanda minda kalian yang sudah reput kerana diasak anai-anai hedonisme  seperti  acara-acara realiti yang lebih menipu dari alam fantasia. Kononnya berjaya menjadi johannya adalah nikmat yang sangat mahal dari Tuhan. Bukankah setiap yang menang semakin senang mendampingi dosa? Apakah nilainya nikmat, kalau pinggirannya neraka?
Hama berdarah sedang lukanya yang lama masih berbalut. Dulu lukanya ditores kerana kemahuannya untuk berusrah dan beribadah dalam arus politik dan urus tadbir. Kini lukanya parah kerana dia ingin bernafas dalam alam bebas dari racun pemerintah mata-mata. Setiap yang menjilat keindahan Syria akan turut terasa kelatnya cengkaman yang mereka terpaksa tanggung hanya kerana pemimpin mereka mahu menjadi Tuhan. Hama semakin parah bila ulamanya berpecah belah. Yang paling masyhur sudah luntur. Yang masih kendur sudah perlu berjuang dalam lumpur. Aku sangat sedih walau telaga airmataku sudah kering aku tumpahkan pada kematian arwah datukku suatu masa dahulu. Tetapi atmaku meraung bersama setiap tinta yang mereka titiskan untuk berkhilaf dalam membela nasib ummat yang berjuta.
Aku merindui umat melayu yang sangat lembut jiwanya bangkit bersama dunia Islam dalam luka dan suka. Aku mencari herba-herba melayu untuk dibawa sebagai ubat merawat luka Homs yang sudah merebak rekah ke seluruh tetangganya. Tetapi herba di alam melayu ini hampir habis dikutip untuk dibuat menjaja dalam perdagangan bertingkat-tingkat. Tiada banyak yang boleh dihulur ke sana. Bahkan di sana mereka perlukan lebih dari herba. Mereka juga perlukan kapas-kapas panas dari nusantara bagi menenun kain-kain yang menutupi tubuh mereka. Tetapi sayang , kapas nusantara sudah habis diguna membuat kain pelikat yang dipakai untuk ibu-ibu berkemban atau bapa-bapa untuk berlengging.
Di mana aku mahu mulakan cinta dan kasih hati ini dalam merawat luka Hama ini. Luka lamanya sempat aku tahu bila sudah kering. Luka baru ini mesti aku balut dan bungkus dengan ubatan dan kapas yang dapat kupetik di perkarangan rumahku. Sayangnya rumahku hanyalah rumah sewa. Bila-bila rumahku boleh dipindah sewakan pada penghuni lain. Sayangnya jiranku hanyalah melayu yang lupa mereka itu boleh menjadi Hama , Gazza ataupun Bosnia. Tetapi , aku tahu aku ada segalanya kerana aku masih memiliki doa.
Ya inilah doaku, doa mulus yang lahir dari kalbu yang kalut:
“Ya Allah! dia ingin menjadi sekutuMu kami hanya ingin terus menjadi hambaMu dan takkan kami mampu tanpa nusrahMu, Kau bantulah saudara kami yang lebih tulus dari kami dalam mahu menjadi hambaMu. Mereka menyubur al Quran dalam lubuk hati mereka sedang kami menyumbatnya dalam kerongkong kami. Ya Allah mereka berbahasa dengan bahasa nabiMu sedang kami lebih banyak merapu. Ampunkanlah kami selamatkanlah mereka hamba-hambaMu.”
Inilah ceritaku yang ingin kembali menari.

Friday, August 12, 2011

kepatuhan kepada ibubapa

NABI Sulaiman dikurniakan Allah dengan pelbagai keistimewaan bagi meyakinkan umatnya pada masa itu kepada kekuasaan dan kebesaran-Nya. Baginda bukan saja mampu berinteraksi sesama manusia, malah dengan haiwan dan jin.Inilah keistimewaan yang diberikan Allah kepada Nabi Sulaiman dalam melaksanakan misinya menyebarkan ajaran Islam kepada umatnya.

Dikisahkan, Nabi Sulaiman berkelana antara langit dengan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, Baginda memerintahkan angin agar tenang, dan tenang pula samudera itu. Kemudian Nabi Sulaiman memerintahkan jin menyelam dalam lautan itu hingga ke dasarnya. Di situ, jin melihat sebuah kubah daripada permata putih tanpa lubang, kubah itu diangkat ke atas lautan itu dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman.

Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan. “Kubah apakah gerangan ini?" fikirnya. Nabi Sulaiman kemudian meminta pertolongan Allah untuk membuka tutup kubah itu. Baginda terkejut, apabila melihat seorang pemuda dalamnya.

“Siapakah kamu? Adakah kamu kelompok jin atau manusia?" tanya Nabi Sulaiman kehairanan.

"Saya adalah manusia," jawab pemuda itu perlahan-lahan.

“Bagaimana engkau berada dalam keadaan begini,” tanya Nabi Sulaiman lagi. Pemuda berkenaan kemudian menceritakan riwayatnya hingga boleh tinggal dalam kubah dan berada dasar lautan.

Diceritakan, ibu pemuda itu sudah dan tidak berdaya untuk bergerak. Pemuda itulah yang memapah dan mengendong ibunya ke mana saja dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya dan ibunya pula tidak putus-putus mendoakannya.
Antaranya, ibu itu selalu mendoakan anaknya diberi rezeki dan perasaan puas diri. Antaranya, ibu itu selalu mendoakan anaknya diberi rezeki dan perasaan puas diri.
Pemuda itu meneruskan ceritanya : “Selepas ibuku meninggal dunia. saya berjalan di pantai. Dalam perjalanan. saya melihat sebuah tempat yang diperbuat daripada permata.
Saya mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu. saya masuk ke dalamnya.”

Nabi Sulaiman kagum dengan cerita pemuda itu. Baginda ingin mengetahui lebih lanjut latar belakang pemuda ini. “Kamu hidup pada zaman mana?” tanya Nabi Sulaiman.

Jawabnya: “Saya hidup pada zaman Nabi Ibrahim.”

Nabi Sulaiman mengira-ngira berapa usia pemuda itu. Alangkah terkejutnya kerana umur pemuda itu hampir mencecah 1,400 tahun. Namun wajahnya berseri-seri, tiada uban pada rambutnya, kulitnya masih tegang.

“Bagaimanakah saudara dapat merasai nikmat dan mendapat rezeki daripada Tuhan dalam kubah ini?” tanya Nabi Sulaiman.

Pemuda itu menjawab: “Selepas saya berada di sini, barulah saya tahu Tuhan telah menjadikan syurga untuk saya dalam kubah ini.”

Nabi Sulaiman bertanya lagi “Tunjukkan pada saya syurga itu.”

Pemuda itu diam seketika, kemudian dia menadah tangannya memohon kepada Tuhan. Tiba-tiba suasana kubah yang gelap itu menjadi terang-benderang indah bercahaya. Terpampang pemandangan yang begitu indah di depan Nabi Sulaiman dan tenteranya. Sungai mengalir tenang, kebun bunga yang subur, pohon merendang, kolam madu dan susu terpancar indah.

“Wahai pemuda, ini syurga! Saudara mendapat anugerah daripada Tuhan,” kata Nabi Sulaiman.

“Ini kurnia Tuhan kepada saya. Saya mendapat rezeki daripada pelbagai sumber dan buah-buahan beraneka rasa dan jenis. Semua makanan yang saya ingini terhidang,” jawab si pemuda.

Nabi Sulaiman yang dikenali boleh berjalan antara bumi dengan langit kagum dengan pemuda itu. “Bagaimana engkau boleh hidup dalam kubah di dasar lautan itu?" tanya Nabi Sulaiman ingin mengetahui lebih lanjut.

Pemuda itu menjelaskan: “Dalam kubah itu sendiri. saya tidak tahu di mana saya berada. Di langit atau di udara.Namun, Allah tetap memberi rezeki kepadaku ketika tinggal dalam kubah itu."

Nabi Sulaiman bertanya lagi: “Bagaimana Allah memberi makan kepadamu?"

Pemuda itu menjawab: "Jika saya lapar, Allah menciptakan pohon dalam kubah, dan buahnya yang saya makan. Jika saya haus, maka keluarlah air yang teramat bersih. Lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu."

Nabi Sulaiman ingin mengetahui lagi: “Bagaimana engkau mengetahui perbezaan siang dan malam?"

Jawab pemuda itu: “Apabila terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih.
Dari situ saya mengetahui kalau hari itu sudah siang. Apabila matahari terbenam, kubah akan menjadi gelap dan saya mengetahui hari sudah malam."

Nabi Sulaiman mendengar penerangan pemuda itu dengan penuh kagum. Baginda seolah-olah tidak mahu berhenti mendengarnya.

“Cukuplah sampai di sini. Sekarang saya harus bersembahyang bagi mengadap Tuhan,” kata pemuda itu mengakhiri perbualannya. Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali. Pemuda itu terus tinggal dalamnya. Itulah balasan Allah terhadap seorang pemuda yang berbakti kepada kedua-dua orang tuanya.

Allah memberikan kedudukan tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada mereka. Ini jelas diterangkan melalui firman Allah bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa." (Surah al-Isra’, ayat 23)

Berbakti kepada ibu bapa adalah berbuat baik, mentaati, melaksanakan hak, jauh daripada perilaku menyakiti hati dan kehidupan mereka. Taat kepada ibu bapa adalah amalan wajib ditunaikan setiap anak. Ketaatan itu, adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintah-Nya juga.

Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat. Daripada Anas bin Malik, Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturahim."

ramadhan karem

Assalamualaikum w.b.t.Pertama sekali ingin saya mengajak rakan-rakan pembaca sekalian untuk sama-sama kita merafakan rasa syukur kita kepada Allah,kerana didalam jutaan manusia yang hidup di atas muka bumi ini kita yang terpilih untuk memahami islam dan hidup dengan cara hidup islam.Seharusnya kita berasa ‘izzah’ dengan apa yang kita ada dan kita iringi rasa izzah itu dengan menjadi hamba Allah yang mentaati perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Hanya insan yang bergelar muslim yang akan mengucap dua kalimah syahadah,menunaikan solah fardhu 5 waktu sehari semalam,berpuasa di bulan ramadhan ,menunaikan zakat dan mengerjakan haji bagi yang mampu.Inilah rukun islam yang wajib kita patuhi. Janganlah kita menjadi orang islam yang hanya islam pada nama sahaja.Ambillah islam itu keseluruhannya.

Di kalangan makhluk Allah yang ada di muka bumi ini,kita orang islam adalah yang paling beruntung.Mengapa?Kerana kita di anugerahkan Allah satu bulan yang mulia.Bulan ini dikenali sebagai bulan Ramadhan Al-Mubarak.Diantara keistimewaan bulan ini ialah Allah telah membelenggu syaitan-syaitan,Allah menutup pintu-pintu neraka dan Allah membuka seluas-luasnya pintu syurga.Allah melipatgandakan pahala bagi orang yang beribadah di bulan ini.Allah memberi ruang untuk hamba-hambanya beribadah dan bertaubat untuk mencari redhNYA.Allah telah berfirman di dalam surah albaqarah ayat 183 yang bermaksud((Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana di wajib atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa)).Jelas menunjukkan bahawa berpuasa dapat memupuk ketaqwaan kita kepada Allah.Tetapi puasa yang bagaimanakah yang di maksudkan??Adakh sekadar puasa tidak makan dan tidak minum dapat meningkatkan ketaqwaan kita??jika begitu tentu ramai dikalangan kita apabila tamatnya ramadhan menjadi orang yang bertaqwa .Puasa yang dimaksudkan ialah bukan hanya menahan diri dari lapar dan dahaga tetapi kita harus menjaga setiap perilaku dan tindak tanduk kita supaya ia sentiasa berlandaskan apa yang islam hajatkan.

Di dalam bulan ramadhan yang bakal hadir ini marilah sama-sama kita tingkatkan kualiti puasa kita dengan persiapan ilmu dan iman.seterusnya mempertingkatkan kualiti ibadah solah dari segi kesempurnaan dan banyak melaksanakan solah berjemaah.membaca dan mentadabur kalammullah iaitu Al-quran didalamnya terkandung pelbagai hikmah ,punca pancaran hidayah,sumber penawar sanubari dan kaedah melembutkan hati. Menunaikan solah sunat terawih.Terawih yang membawa maksud rehat,kerehatan yang memberikan kemanisan beribadah dan menyegarkan jiwa kepada sesiapa yang melaksanakan dengan ikhlas.Perbanyakkan muhasabah diri,kerana ini adalah amalan para nabi,para sahabat dan generasi salaful soleh sebelum mereka melelapkan mata bagi melahirkan rasa kekerdilan diri dan membina jiwa kehambaan kepada Allah.Isilah waktu terluang kita dengan zikrullah,sekiranya waktu kita tidak di isi dengan kebaikan nescaya ia akan terisi dengan kemaksiatan dan kemungkaran.Zikrullah juga dapat menyucikan dan menenangkan hati.Memberi sedeqah kepada yang memerlukan mengikut kemampuan dalam bentuk apa sekalipun.Bukankah memberi itu lebih baik dari menerima?Allah menyukai hamba-hambanya yang pemurah.segala yang kita ada hari ini adalah hak Allah,Allah pinjamkan pada kita dan Allah suka hamba-hambanya yang berkongsi dan tolong –menolong.Bila-bila masa Allah boleh ambil balik.Tetapi Allah telah berjanji siapa yang memberi kerana Allah akan Allah tambahkan untuknya 10 kali ganda dari apa yang telah dia beri.Maha Baik nya Allah.Sedangkan apa yang kita beri itu bukanlah hak kita pun kerana hakikatnya semua yang ada di muka bumi ini adalah hak Allah.Di bulan ini juga Allah menyuruh kita berdoa dan bermunajat kepadanya kerana Allah akan mengabulkan permintaan hamba-hambanya.Sememangnya kita hamba yang lemah yang memerlukan tempat sandaran dan sebaik-baik tempat sandaran orang yang beriman hanyalah kepada Allah.Hal ini kerana Dia yang maha mengetahui dia yang menciptakan kita dia yang mengatur urusan hidup kita,jadi siapa lagi yang lebih layak untuk kita bergantung harap kalau bukan Dia Allah Azzawajalla???

Selain itu terdapat ayat Al-Quran yang meyebut mafhumnya;

((Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-quran pada malam qadar[1]

Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?[2]

Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan[3]

Pada malam itu turun para malaikat dan ruh (jibril)dengan izin tuhannya untuk mengatur semua urusan [4]

Sejahteralah (malam itu)sehingga terbit fajar[5]))

Surah Al-Qadr.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud “carilah lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir.jika salah seorang diantara kalian tidak mampu atau lemah ,maka hendaklah dia tidak ketinggalan untuk mengejar tujuh malam yang tersisa”(hr Bukhari dn Muslim)

Ayuh kita suburkan hati kita yang telah lama dibiarkan gersang tanpa siraman dengan kita perbanyakkan solah sunat, kita kerjakan solah di sepertiga malam( qiamullail) dan kita ambil semua peluang untuk buat kebaikan agar kita tidak termasuk dalam golongan orang yang rugi. Harapannya semoga kita terus konsisten dengan amal soleh dibulan ramadhan walaupun ramadhan sudah meninggalkan kita.Ramadhan adalah madrasah pendidikan bagi orang yang beriman,jadi bila tamatnya madrasah maka kita perlu bekerja.Semoga Allah memberi kebaikan kepad kita semua.Berbekallah dengan kesabaran,keikhlasan ,keimanan dan ketaqwaan .

hadith ke2 dari arbain Nawawi

Suatu hari ketikamana kami (para sahabat) sedang duduk bersama Rasul SAW telah datang kepada kami seorang lelaki yang berpakaian yang sangat putih kainnya, bersangatan hitam rambutnya,dan tiada kelihatan padanya kesan-kesan orang yang sedang dalam bermusafir, malah tiada seorang dari kami yang mengenalinya.

Kemudian lelaki tadi, terus duduk berdekatan dengan Rasul SAW. menemukan lututnya dengan lutut Rasul SAW, dan meletakkan kedua telapak tangannya di atas paha Rasul SAW.

Bertanya si lelaki itu kepada Rasul SAW, ya Muhammad! khabarkanlah kepadaku perihal Islam. jawab Rasul SAW, Islam itu kamu mengakui dan meyakini bahawa tiada Ilah selain Allah SWT, dan sesungguhnya Muhammad itu pesuruhnya (rasulnya), kemudian kamu mendirikan solat, kamu mengeluarkan zakat, dan kamu berpuasa sebulan di bulan Ramadhan dan akhirnya kamu menunaikan haji ke Baitullah apabila sudah berkemampuan. Kata lelaki tadi, benarlah kamu.

Tercengang-cengang kami , dia bertanya dia juga yang membenarkan..

(rujukan, hadis 40 imam nawawi. hadis yang ke3. dikenali sebagai hadis jibril)

Bismillahirrahmanirrahim,
Dengan nama Allah aku mulakan, dengan nama Allah juga akan aku akhiri, moga beroleh rahmat, hidayah dan redha Dia.

Bila kita tanyakan kepada majoriti ummah kita sekarang, apakah agama kalian? Majoritinya akan menjawab islam lah agamaku. Tapi cukupkah sekadar mengakui islam sebagai agama tanpa kita laksanakan segala rukunnya?

Imam Nawawi dalam syarahan kitabnya hadis arbain menyatakan hadis diatas inilah merupakan rukun yang menjadikan seseorang itu beragama Islam. Oleh itu, apakah yang kita fahami dengan makna Islam itu sendiri?

Islam itu ialah agama, malah ia juga merupakan cara hidup bagi kita yang menganutinya. Islam itu tunduk dan patuh kepada setiap apa yang telah digariskan oleh Allah melalui utusannya Muhammad sw. Islam itu satu-satunya agama yang diredhai Allah SWT,

Dalam firmannya yang bermaksud :

“sesungguhnya agama disisi Allah ialah Islam”

(Surah Ali- Imran : 19)

Dalam firmannya yang lain juga :

Dan aku telah redha Islam itu sebagai agama untuk kamu”

(Surah Al-Maidah : 3)

Kawan-kawan yang dikasihi, Islam menjaminkan syurga. Marilah bersama kita mengislamkan diri kita dengan sebenar-benar Islam, tidak cukup sekadar memaktubkan agama di atas kad pengenalan, tetapi islam itu perlu dilaksanakan dengan amalan.

Cuba kita laksanakan kelima-lima rukun yang telah disebutkan diatas, mudah-mudahan kita mampu membina satu asas yang qawi untuk kita bangunkan satu bangunan yang mampu berdiri megah. Berbanggalah dengan Islam yang kita ada, dan peliharalah ia dengan seluruh tenaga, harta dan nyawa.

Moga-moga, kita semua beroleh jannah allah di akhir kelak.