Thursday, June 11, 2009

Double Standard yang Diharuskan ; Edisi ke 3


Disediakan oleh : Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman
Disunting dan diedit oleh : Ahmad Sabiq Abd Rahman



Cukup hangat perkembangan politik tanah air sejak kebelakangan ini. Pihak media tentunya yang paling gembira kerana jualan mereka meningkat, bagi media elektronik pula lawatan meningkat.

Politik Negara menjadi semakin bercelaru dan kucar-kacir, caci maki dan umpatan carutan menjadi zikir ahli politik di negara kita kini, menjadi semakin panas dengan kekecohan yang timbul di Perak apabila ada ADUN yang melompat parti menyebabkan parti pemerintah di Perak kehilangan majoriti.


SEKITAR ISU LOMPAT PARTI
Ini isu pertama yang patut kita fikirkan. Isu ini sangat hangat diperkatakan sejak dimulakan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim menjelang 16 September 2008, dan kemudiannya 24 Sept 2008 dan terus tertangguh.

Reaksi rakyat yang pelbagai semenjak 16 September 2008 yang lalu, ada yang mencela ‘lompat' sebagai keji, tidak bermoral dan khianati pengundi, sebahagiannya tidak bersetuju tetapi tidak membantah, ada pula yang tidak bersetuju tetapi menyerahkannya kepada keadaan, tidak kurang juga ramai yang sangat bersetuju, ada yang pening lalat dan ‘confius’ dan mengikut sahaja keputusan pemimpin masing-masing.

Apa sebenarnya pendirian anda dan mengapa anda berpendirian begitu?

Kebiasaannya, pihak yang mendapat manfaat beserta penyokongnya akan bersetuju dan mempertahankannya. Namun demikian, tidak dinafikan ada sebahagian penyokong dan pendokongnya yang termasuk dalam salah satu kelompok di atas tadi.

Pihak yang akan menerima kesan negatif pula kebiasaannya akan menentang habis-habisan. Namun ada juga penyokong dan pendokongnya dari kelompok di atas juga.

Sebelum kita berbincang lagi berkenaan pendirian wajar atau tidak. Ditakdirkan Allah swt, tanggal 16 dan 24 September 2008 menemui kegagalan secara fizikalnya, namun justifikasi segera pemimpin PR mengatakan mereka tidak gagal malah berjaya menembus minda rakyat untuk terbayang kerajaan persekutuan boleh berpindah tangan. Tidak mustahil atau paling kurang memberikan sedikit ‘feel'. Sama ada justifikasi ini rasional, bertaraf tadika atau bertaraf dunia, terpulang kepada anda semua untuk menentukan.

Apa yang berlaku tiba-tiba adalah pada awal Februari 2009, beberapa orang ADUN Pakatan Rakyat Negeri Perak pula melompat parti sehingga membawa kekecohan yang masih panas hingga ke hari ini.

Majoriti kelompok pendokong dan penyokong Pakatan Rakat tentunya berang sekali, dan seribu satu macam hujah dan rasional dihamburkan bagi mengecam tindakan keempat-empat ADUN terbabit [ 3 PR + 1 UMNO (PKR) ]

Hasilnya kita dapat melihat beberapa fakhta menarik yang menjadi bahan bualan ramai, antaranya ialah :
1) Double Standard ; Pimpinan PR mengamalkan sikap ‘double standard' ; kerana bila dahulu dikempen dan diusahakan lompatan 16 September 08, dipersetujui mereka, namun bila berlaku di Perak, mereka kutuk dan kecam. Bermakna, lompat masuk PR adalah terpuji, tetapi lompat masuk BN adalah celaka dan khianat. Adakah wajar ?
2) Strategi makan tuan ; strategi menubuhkan kerajaan hasil ‘lompatan' YB yang dipopularkan oleh DSAI dikatakan makan tuan apabila isu di Perak berlaku.
3) Mandat pilihan patut diberikan semula kepada rakyat : iaitu bubar DUN dan pilihanraya semula di negeri Perak. Secara asasnya saya setuju dengan cadangan ini tetapi artikel ini hanya akan menyentuh sedikit sahaja berkenaan perkara ini.
4) Isu perlembagaan; Isu lompat bukan yang paling utama, tetapi isu utama adalah MB Perak tidak dijatuhkan melalui saluran undang-undang yang sah menurut perlembagaan. Sultan tiada kuasa eksekutif memecat Menteri Besar tetapi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tempatnya melalui undi tidak percaya.


LOMPAT DAN ‘DOUBLE STANDARD'
Justeru itu, apakah respon dari pihak PR berkenaan perkara pertama dan kedua ?. Apa pula agaknya pandangan Islam berkenaan hal lompat melompat parti ini?.
Tajuk ini layak dibuat kajian terperinci dalam tesis PhD atau M.A. Dari sudut Islam pula, Majlis Fatwa Kebangsaan wajar membincangkan dan menetapkan fatwa berkaitan hukum wakil rakyat melompat parti. Jika bimbang Majlis Fatwa tidak telus dalam hal ini, mungkin boleh diperolehi bantuan kepakaran dan ketelusan Majlis Ulama Indonesia. Majlis Syura PAS, ulama UMNO dan PKR turut wajar membincangkannya.


KHIANAT ATAU TIDAK?
Terdapat beberapa jenis lompat yang wajar manakala terdapat pula yang amat tidak wajar. Ada yang sememangnya mengkhianati rakyat, manakala ada yang bersifat amanah kepada rakyat. Tidak wajar untuk dipukul sama-rata dengan mengatakan, semua lompat adalah baik, atau semua lompat adalah celaka, khianat lagi memalukan.

Tidak wajar juga kita menentang semua jenis lompat, atau menolak semua jenisnya juga.
Jika diguna pakai kaedah menentukan hukum dalam Islam, setiap satu tindakan adakalanya bergantung kepada situasi dan keadaan semasa, ia berubah dari satu masa ke satu masa, satu keadaan kepada keadaan yang lain. Satu orang kepada satu orang yang lain. Dalam Islam, bukan semua jenis ‘double standard' adalah salah tetapi adakalanya ia adalah keperluan. Contoh mudah, Islam melarang penganutnya murtad, tetapi Islam menggalakkan penganutnya berdakwah kepada penganut agama lain untuk memasuki Islam bererti keluar dari agama mereka.

Bukankah nanti ada yang mengatakan mengapa ‘double standard'? keluar agama lain dan masuk Islam kamu setuju, tapi keluar Islam masuk agama lain kamu tidak dan berasas dari al-Quran dan hadith.


MARI LIHAT BEBERAPA DALIL.
Telah dinyatakan sebelum ini, terlalu banyak hujah dan dalil jika ingin dikemukakan, dan banyak pula bantahan dalil dan hujah, tetapi tulisan ini tidak akan menghurai semuanya, ia hanya pembuka minda dan jalan berbincang agar jelas di mana letak duduknya isu ini jika kita cuba melihat dari perspektif hukum Islam.

Berikut adalah dalil ringkas dari kesimpulan saya di atas :-
1) Satu ayat Al-Quran, firman Allah swt berkenaan arak :
Erti : Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: ""Pada keduanya, itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.. ( Al-Baqarah : 219 )
Dari ayat ini jelas Islam sentiasa mengajar kita untuk memperhati hasil kesan baik dan buruk dari sesuatu perkara. Neraca kebaikan dan keburukan pula disandarkan kepada kandungan al-Quran serta hadith, bukan hawa nafsu. Dengan cara ini, kita boleh mengenalpasti hukum atau pendirian Islam terhadap sesuatu tindakan termasuk tindakan melompat parti.

Ringkasnya, jika sabit bahawa melompat membawa lebih kepada nilai kebaikan dan mendekatkan kepada ketaatan kepada Allah swt. Ia dikira wajar dibuat, namun jika lompatan membawa kepada parti yang jauh dari Allah swt maka ia tidak wajar. Ia memang double standard tetapi ia dari jenis yang dibenarkan.

Saya faham, untuk mengenalpasti kebaikan dan keburukan adalah terlalu subjektif tetapi kunci mulanya adalah dengan menyandarkan kepada dua rujukan utama tadi dan disusuli dengan penilaian akal masing-masing. Namun demikian, ayat ini sahaja tidak akan mencukupi untuk menentukan keputusan berkenaan hukum lompat. Ia cuma salah satu dari kumpulan hujah yang perlu dilihat sekali.

2) Firman Allah swt :-
Ertinya : Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu. ( Az-Zariyat : 51)
Ayat ini jelas menyuruh sesiapa jua agar berhijrah atau melompat dari yang menderhakai Allah swt kepada apa jua cara dan jalan yang membolehkannya kembali mentaati Allah swt. Jika satu jalan kepadanya adalah dengan melompat parti, tentunya ia juga tergolong dalam ayat ini.

3) Sabda Nabi s.a.w
Erti : Seseorang yang berhijrah itu adalah mereka yang berhijrah meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah swt ( Riwayat Al-Bukhari)
Asal hadith ini disebutkan oleh baginda Nabi s.a.w kepada kaum Muhajirin agar mereka tidak silap faham akan erti ‘Hijrah' hanyalah terhad kepada perpindahan dari Mekah ke Madinah, tetapi lebih jauh dari itu adalah meninggalkan segala maksiat kepada ketaatan. (Awnul Ma'bud, no 2481, hlm 128 )

Kaitan dengan isu lompat parti adalah, jika lompat adalah kepada ketaatan kepada Allah swt ia adalah tergolong dalam muhajir yang dimuliakan Islam.

4) Sebuah hadis :-
Ertinya : Sabda Baginda : Sesungguhnya aku dahulu melarang kamu dari menyimpan daging korban disebabkan oleh daffah ( kumpulan pelawat Madinah yang memerlukan makanan), maka sekarang ini (di ketika tiada mereka yang memerlukan), bolehlah kamu makan daging itu, atau sedeqahkannya dan menyimpannya" ( Riwayat Al- Bukhari)
Imam al-Qurtubi menyatakan kedatangan pelawat miskin yang memerlukan makanan di musim raya haji, mereka tiada punyai makanan kecuali mengharap daging sembelihan, maka di waktu ketiadaan keadaan ini, Nabi Muhammad s.a.w membenarkan simpan walaupun melebihi 3 hari. (Al-Jami' li ahkam al-Quran, 12/48 )

Kaitan dengan isu lompat adalah hukum melompat dari parti tertentu kepada yang lain turut mempunyai hukum berbeza, melihat kepada keadaan dan kebaikan parti-parti terbabit. Jelas dari hadith, menunjukkan sasaran Rasulullah s.a.w adalah membantu orang miskin, agihan makanan dengan sempurna dan mendekatkan diri kepada Allah swt.

5) Dan satu lagi hadis adalah : -
Ertinya : Kami bersama Nabi, tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan! tiba-tiba datang seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ya ( tiada masalah), kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata, Aku tahu mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu) (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, namun hadisnya bertaraf Hasan namun sebahagian ahli hadis mengganggapnya dhoif)

Pengajaran dari hadis ini adalah hukum yang disebut oleh Nabi s.a.w bukannya ‘double standard' tetapi ia adalah bergantung kepada keadaan orang yang bertanya dan Rasul s.a.w sendiri mengajar kita mengapa hukum berbeza, iaitu adakah ia menuju kepada sesuatu yang mendekatkan ketaatan kepada Allah swt dan menjauhkan diri dari maksiat.
Sekali lagi kaitannya dengan isu lompat parti adalah hukum melompat berbeza antara satu parti dengan parti yang lain.


6) Satu kaedah fiqh menyebut :-
Erti : Tidak dapat disangkal bahawa beberapa jenis hukum berubah dengan perubahan masa (dan tempat). ( Majallah al-Ahkam Al-Adliyah)

Ibn Qayyim dan Syeikh Dr. Mustafa Az-Zarqa berkata, para ulama mazhab telah sepakat akan kaedah ini dalam hal-hal hukum cabang dan ijtihad, adapun hukum asas dan prinsip umum Islam tidak boleh berubah. ( Ighathah al-Lahfan, 1/330 ; Majalah Al-Muslimun, hlm 553 )

Ibn Qayyim dalam kitabnya ‘ilam al-Muwaqqien menyatakan lima sebab hukum furu' boleh berubah iaitu tempat, masa, ‘uruf, situasi dan keadaan, serta niat.
Kaedah ini memberikan input kepada kita bahawa hukum lompatan boleh berbeza dari satu keadaan kepada keadaan yang lain.


ADAKAH YB KHIANAT UNDIAN RAKYAT APABILA MELOMPAT ?
Tidak semestinya. Ini adalah isu yang kerap disebutkan termasuk oleh pelbagai tokoh agama di Malaysia., ia boleh dilihat dari pelbagai bentuk, tidak boleh dipukul sama rata.
Ia hanya menjadi khianat dan celaka apabila wakil rakyat ini melompat dari parti yang elok kepada yang tidak elok dan bukan sebaliknya.
Mengapa?

Sama seperti kes murtad tadi juga. Ia adalah double standard berasas.


Bagaimana hak rakyat ? Terdapat dua perkara di sini :

Pertama : Wakil Rakyat (YB) adalah wakil kepada rakyat dalam membuat sebarang keputusan yang terbaik untuk rakyat yang diwakilinya. Jika yang terbaik untuk rakyat adalah melompat maka mandat sebagai wakil rakyat (YB) tadi telah cukup untuk sang YB melompat demi melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil kepada rakyat dengan lebih berkesan. Para pengundinya patut reda dan rela jika lompatan itu difikirkan oleh YBnya bakal membawa kebaikan buat rakyatnya bukan untuk diri YB.

Kedua : Masalah sistem demokrasi ; Dalam Islam, sistem pemilihan demokrasi itu sendiri terdapat beberapa masalah, antaranya adalah membiarkan pemilihan pemimpin dibuat oleh semua jenis rakyat tanpa mengenal tahap kemampuan mereka dan baik buruk mereka. Ini adakalanya boleh membahayakan kerana jika orang tidak baik lebih ramai dalam kumpulan rakyatnya, maka pastinya orang tidak baik akan sentiasa menang kerana memilih sang tidak baik sebagai YB.

Dalam Islam sistem asal pemilihan adalah majlis ahli al-hal wal al'qad ( kumpulan cerdik pandai, berpengalaman dan bertaqwa). Di zaman Khulafa ar-Rasyidin dahulu mereka digelar Majlis Syura. Majlis ini sepatutnya yang akan menentukan siapa khalifah seterusnya dan ia dianggotai oleh individu terbaik dalam Negara.

Justeru itu, ketika ini kita sedang mengguna pakai sistem demokrasi dan dalam masa yang sama cuba membawa cara Islam dalamnya. Atas asas itu, bagi saya adalah dibenarkan dan tidak dikira khianat untuk sang YB melompat kepada parti yang lebih baik demi kebaikan rakyatnya.
Dengan anggapan sang YB sepatutnya mempunyai kelayakan lebih baik dari kebanyakan rakyatnya. Namun, sekali lagi diingatkan kebaikan ditimbang atas asas Al-Quran dan As-Sunnah dan bukan atas asas kerakusan nafsu.

Jika kedua-dua parti atau kumpulan, lebih kurang sahaja jauh dari Islamnya, maka pemilihan adalah atas dasar pilihan yang kurang mudarat. Berdasarkan kaedah :
Erti : Mengambil yang kurang mudarat.

Tatkala itu, melompat kepada parti yang kurang mudarat adalah tergolong dalam hal ini. Adapun mana satu parti yang kurang mudarat atau lebih mudarat terserah kepada penilaian anda sekalian. Tidak perlu dibincangkan di sini.

Tidak dinafikan, secara realiti, masalah berlaku kerana rakyat tidak lagi memilih YBnya atas dasar kelayakan tetapi atas dasar parti. Ini menyebabkan terdapat ramai YB yang jauh kurang cerdik dari majoriti rakyat. Ketika itu, anda akan dapati kesukaran kerana YB akan melompat kepada parti yang jauh dari kebaikan. Lalu tatkala itu barulah pengkhianatan boleh diperbincangkan.



KESIMPULAN
Berdasarkan hujah dan dalil yang dikemukakan diatas, kita mungkin dapat melihat beberapa kemungkinan dan kewajaran lompat parti ini suatu yang dibenarkan dan diharuskan, atau menjadi suatu yang dicela :

1- MELOMPAT DAN MENGAJAK LOMPAT YANG DIBENARKAN
Dibenarkan dalam beberapa keadaan antaranya :-
Untuk Kebaikan Rakyat : Melompat kerana kepentingan dan kebaikan rakyat, bukan hasil kerakusan mengaut imbuhan untuk diri atau menyelamatkan diri dari tuduhan rasuah atau dakwaan kejahatan yang dilakukan oleh diri sendiri. Lalu kerusi wakil rakyat digadaikan.

Membawa kepada taat Allah ; Jika menurut fakta, statistik dan pengalaman umum yang jelas bahawa sesebuah gabungan parti itu lebih membawa kepada pelbagai maksiat dan ketidakadilan manakala parti yang lain lagi membawa kepada ketaaatan yang lebih kepada Allah, lebih kebaikan dan kesaksamaan, maka ‘lompat' boleh menjadi harus malah mungkin ada ketikanya ia adalah sunat atau wajib.

Mengurangkan mudarat ; Jika kedua-dua parti adalah tidak baik, namun demikian satu darinya kurang mudarat dan tidak baiknya. Maka boleh malah wajar untuk lompat kepada yang kurang membawa mudarat untuk diri dan rakyatnya.

Tiada potensi mudarat lebih besar ; Telah ditinjau potensi bantahan rakyat tidak akan membawa mudarat yang lebih besar. Jika telah dikenalpasti rakyat terdiri dari mereka yang ganas dan boleh mencetus mudarat lebih besar akibat lompat. Maka lompatan wajar dijauhi.

Pilihanraya korup sepenuhnya atau sebahagian besarnya ; Tatkala itu usaha mengajak lompat dibenarkan jika tiada cara untuk menang dalam pilihanraya biasa kerana korupsi amat dahsyat dan rasuah bermaharajalela menyebabkan pilihanraya tidak adil sama sekali.

Pilihanraya dimonopoli majoriti pengundi tidak baik ; Melompat dan mengajaknya dibenarkan apabila rakyat dikenalpasti majoriti terdiri dari orang yang sangat cenderung kepada kejahatan dan pastinya akan sentiasa memilih yang tidak baik sebagai wakil mereka. Justeru, bagi menyelamatkan Negara dan kebaikan rakyat sebegini, jemputan dan mengajak lompat adalah dibenarkan.


2- MELOMPAT YANG KHIANAT DAN TIDAK DIBENARKAN.
Dilarang sama sekali apabila :-
Kerana manfaat diri sendiri ; Melompat kerana mendapatkan imbuhan untuk diri (seperti wang berjuta dan sebagainya) atau menyelamatkan diri dari tuduhan rasuah atau dakwaan kejahatan yang dilakukan oleh diri sendiri. Lalu kerusi wakil rakyat digadaikan.

Timbul mudarat lebih besar ; seperti pengundi memberontak dan punyai potensi berlaku pertumpahan darah dan sebagainya.

Pilihanraya semula lebih diredhai oleh semua ; ini dalam keadaan sistem pilihanraya masih boleh dipercayai dan pengundi bercampur antara yang suka kejahatan dan kebaikan.

Dari yang baik kepada tidak baik ; melompat dari kumpulan yang baik kepada yang tidak baik dan membawa semakin jauh dari ketaatan Allah.

Menuruti pandangan kumpulan pengundi tidak baik ; tunduk kepada permintaan pengundi tidak baik sehingga mengabaikan tuntutan pengundi baik dalam kawasannya.




PENUTUP
Keputusan mana satu parti yang lebih membawa manfaat dan kurang mudarat, terpulang kepada anda untuk menilainya sendiri dari tulisan dan liputan berkenaan ahli-ahli politik semasa.

Bayangkan, amat kucar kacir dan menariknya sejarah politik Malaysia jika tiba-tiba ada YB BN tiba-tiba melompat parti pula selepas ini. Menjadikan MB yang baru angkat sumpah terpaksa batal pula, sehingga terpaksa angkat sumpah MB baru lagi, tiba-tiba selepas sebulan, seorang YB dari Pakatan lompat kepada BN pula, maka terpaksa angkat sumpah lagi dan beterusan adegan ‘kartun' ini. Justeru, bukankah lebih baik dibubar sahaja.

Dosa-Dosa Besar Dan Tujuh Kemusnahan.

Disediakan oleh: Ahmad Khalid Syukri.
Diterjemah oleh: Nur Khalida Osman.


“Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar, diantara dosa-dosa yang dilarang mengerjakannya, nescaya Kami ampunkan dosa-dosa kamu dan akan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (Syurga).” (An-Nisa’:31)

“(Yaitu) mereka yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji, kecuali kesalahan-kesalahan kecil. Sungguh, Tuhan-mu Maha Luas ampun-Nya. Dia mengetahui tentang kamu, sejak Dia menjadikan kamu dari tanah lalu ketika kamu masih janin dalam perut ibumu. Maka janganlah menganggap dirimu suci. Dia mengetahui tentang orang yang bertaqwa.” (An-Najm:32)

“Sabda Rasulullah s.a.w: Solat lima waktu dari jumaat ke jumaat, dari ramadhan ke ramadhan diampunkan untuknya semua dosa diantaranya, jika dia meninggalkan dosa-dosa besar.” (Riwayat Muslim)

“Sabda Rasulullah s.a.w.:Sesungguhnya Allah mewajibkan fardhu-fardhu dan tidak menyempitkannya,dan menghadkan batasan dan tidak menzaliminya,dan mengharamkan sesuatu perkara dan tidak mencabulinya,dan diam tentang sesuatu perkara itu merupakan rahmat ke atas kalian tanpa sebarang keterlupaan dan tidaklah perlu untuk kalian mencari tentangnya.” (Riwayat Addaruqutni)



Apakah dosa-dosa besar itu?

“Setiap dosa yang diakhiri Allah dengan azab neraka di akhirat, atau kewajipan yang ada padanya batasan di dunia.”
(Ibnu Abbas dan Imam Ahmad dan Al-mawardhi r.a)


Dan berkata Imam Abu Talib Al-Makki: Telah aku kumpulkannya dari himpunan kata-kata para sahabat,maka aku dapatinya seperti berikut:


• Di Hati:Syirik kepada Allah, berterusan melakukan maksiat,dan berputus asa dengan rahmat Allah,serta tenteram dengan tipu daya dari Allah.
• Di Lisan:Akuan yang palsu,dan sihir
• Di Perut:Minum arak dan makan harta anak yatim serta memakan riba yang dia ketahui.
• Di Kemaluan; Zina dan liwat.
• Di Kedua Belah Tangan: Membunuh dan mencuri.
• Di Kaki:Melarikan diri dari berperang.
• Di Seluruh Badan: Derhaka kepada kedua Ibu Bapa.


Hindarilah Tujuh Kemusnahan.

“Sabda Rasulullah s.a.w: Jauhilah kalian dari tujuh kemusnahan.Mereka berkata:Wahai Rasulullah,apakah tujuh kemusnahan itu? Berkata Rasululllah:Syirik kepada Allah,Sihir,membunuh manusia yang diharamkan Allah kecuali atas sebab-sebab yang dibolehkan,dan memakan harta anak-anak yatim,memakan riba,melarikan diri dari berperang,…”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Bersabda Rasulullah s.a.w.:(Hindarilah kalian) Bukan sahaja memaksudkan meninggalkan sesuatu perbuatan,bahkan berjaga-jaga serta tidak mendekati untuk melakukan perbuatan yang buruk. Kemusnahan itu sesuatu yang merosakkan.”


Syirik kepada Allah adalah ibu dari dosa-dosa besar.

“Dan tidak ragu-ragu lagi bahawa syirik kepada Allah adalah satu daripada dosa-dosa besar.Allah berfirman: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa-dosa hamba yang mempersekutukanNya (syirik), dan Dia mengampuni dosa-dosa selain syirik bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh, dia telah berbuat dosa yang besar.” (An-Nisa’:48)



“Allah juga berfirman dalam hadith qudsi:Wahai anak adam,sesungguhnya apa yang kamu mohon dan harapkan dari Aku,telah Aku ampunkan untukmu ke atas semua dosa-dosa kamu dan tidak Aku hampakannya.Wahai anak adam,jika telah sampai dosa-dosa kamu ke langit tinggi kemudian kamu memohon keampunan akan Aku ampunkanmu. Dan tidak syak lagi, bahawa syirik kepada Allah merupakan dosa yang paling besar kepada-Ku W.ahai anak adam,jika kamu bertemu Aku dengan dosa-dosamu yang memenuhi isi dunia ini tanpa mensyirikkan Aku dengan sesuatu apapun akan Aku datangkan kepadamu keampunan-Ku.”

“Sabda Rasulullah s.a.w.: Tidakkah telah aku sampaikan kepada kalian antara dosa-dosa yang paling besar itu ada tiga?. Mereka berkata:Telah Engkau sampaikan kepada kami ya Rasulullah.Rasulullah s.a.w. berkata:Syirik kepada Allah,derhaka kepada orang tua,kemudian Rasulullah s.a.w. bersandar dan duduk.Lalu berkata lagi:Dan sumpah yang palsu(secara berulang kali).Rasulullah mengulang-ulangnya sehingga kami berkata mudah-mudahan Rasulullah diam.”


Imam Az-Zahabi rahimahullah menyimpulkan dari kitab Al-Qaiyim(al-kabair) Dalam 70 dosa-dosa besar,yang mana didahului dengan syirik kepada Allah,kemudian membunuh diri,dan melibatkan diri dengan sihir,dan meninggalkan solat serta tidak mengeluarkan zakat,seterusnya,tidak berpuasa pada siang hari di bulan ramadhan tanpa sebarang keuzuran,dan tidak mengerjakan haji sedangkan dia berkemampuan,juga menderhaka kepada kedua orang tua,memutuskan silaturrahim sesama ahli keluarga,berzina dan liwat serta memakan harta anak-anak yatim dan menzalimi mereka,……dan diakhiri dengan merosakkan wasiat dan tertipu dengan tipu daya dunia serta mereka yang menjadi pengintip kafir ke atas islam.Mereka yang membuka aurat untuk diperllihatkan kepada yang bukan mahram dan yang memaki sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w


Taubat…Taubat
Wahai hati yang lalai dari mengingati kematian,
Apa yang akan ditinggalkan diantara banyak kematian,
Ingatlah tempat kamu sebelum dilepaskan darinya,
Bertaubatlah kepada Allah dari kesenangan dan kelalaian.


“Tiada manusia tanpa dosa, dan rahmat Allah itu tiada batasannya.Allah berfirman: Dan tetapkanlah untuk kami kebaikan di dunia ini dan di akhirat (Bertaubat) kepada Engkau. (Allah) Berfirman, “Seksa-Ku akan Aku timpakan kepada siapa yang Aku kehendaki dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu. Maka akan Aku tetapkan rahmat-Ku bagi orang-orang yang bertakwa yang menunaikan zakat dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami”
(al-‘Araf:156)



“Sabda Rasulullah s.a.w: Allah s.w.t.berfirman,wahai anak adam,jika dosamu menjangkai langit tinggi kemudian kamu memohon keampunan kepada-Ku nescaya akan Aku ampunkan untukmu.” (riwayat termizi)




Hikmah disulitkan bilangan dosa-dosa besar.

“Berkata Imam Ghazali rahimullah:…dan kemungkinan dimaksudkan syara’ menyulitkannya untuk menjadikan manusia berada dalam kekhuatiran dan kebimbangan,sepertimana telah disulitkan malam lailatul qadar untuk memperteguhkan dan melipat gandakan usaha manusia dalam mendapatkannya…. “

Sesungguhnya dosa-dosa kecil yang berterusan juga mampu menukar ia menjadi dosa besar.

Dosa apabila dianggap besar oleh seseorang hamba, sesungguhnya di sisi Allah ianya hanyalah kecil,akan tetapi apabila seseorang hamba itu memperkecilkan dosa-dosanya maka di sisi Allah ianya amatlah besar.


Dosa-dosa kecil menjadi besar disebabkan beberapa perkara :

• Melakukan dosa-dosa kecil itu secara berterusan.
• Memperkecilkan dosa-dosa yang dilakukan.
• Gembira dengan dosa yang dilakukan.
• Mengambil mudah dengan dosa yang dilakukan.
• Mengetahui akan maksiat yang dilakukan dan menjadi contoh kejahatan kepada orang lain.


“Berkata Ibnu Mas’ud r.a : sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosa-dosanya seperti asalnya sebuah bukit dan dia takut akan ditimpa bukit itu ke atasnya,dan sesungguhnya seseorang yang bermaksiat itu melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya.”



Wallahualam.

Adam Dan Hawa

Johan Pertandingan Penulisan Kreatif


Oleh : Siddiq Osman

Hujung-hujung rumput yang manakung embun disepak kasar, dua pasang kaki manusia diatur sekata seiring melangkah. Pangkal rumput dipijak ranap, namun zikir makhluk itu tiada henti. “Arman, siapakah yang lebih dahulu masuk ke syurga?” Salwa menyeluruhi wajah jejaka Jawa kacukan Bugis itu. Misainya yang dibiar nipis menjelaskan susur galur darahnya. “Apa maksudmu, sayang?” Arman mencuit hidung gadis berdarah Arab dan Afrika dengan telunjuknya yang runcing. “Ya, antara Adam dan Hawa siapa yang mula masuk ke syurga?” Arman berhenti dan mencangkung, kini dia pula yang melangut menatapi wajah gadis yang kelabu kegebuan. “Soalanmu ini, mencabar mindaku atau egoku?” Arman enggan terus ke persoalan.


Salwa membuka lipatan tikar dari kain baldu Turki lalu dibentangkan, coraknya seperti tikar sembahyang tetapi lebih luas. “Tiada perlu kaum adinda menguji ego yang telah menjadi nafas kaum Adam di depan Hawa mereka.” Salwa mengadun madah aliran bukan sastera. “Aduh, isteriku menjawab bagai menusuk keris kata ke kalbu jelata Adam, ego ini bukan lemah Adam tetapi senjata memayungi Hawa.” Arman masih enggan mengalah pada pasangan bicaranya. “Arman sayang, janganlah jauh menyimpang! Akalku tidak panjang menduga mainanmu.” Akhirnya Salwa mengangkat kalimah putih bukan mengalah tetapi memancing kemenangan pokok.


Daun-daun ketapang saling memukul sesama sendiri tatkala disapa angin yang tiada arah pasti. Begitu juga larian pelawat Taman Rekreasi Jubli Perak itu. “Arman, jangan biar Hawamu menanti terlalu lama.” Salwa menguis lengan Arman dengan kepalanya yang dilitupi kain satin hitam tidak berkilat. “Aduh pujukanmu, Abang sedang fikirkan kata terbaik untuk diungkap agar soalan ini mati dalam kefahaman. Bukan kekeliruan.” Arman memaut bahu Salwa yang jauh dari bahunya. “Pujukan Hawa bahaya yang bawa manusia ke dunia. Pujukan Hawa juga menggugat Caesar dari Roma.” Salwa mengambil peluang membela kaumnya. “ Hawa bukanlah punca angkara, Cleopatra bukanlah puteri biasa. Adam bukan tunduk pada pujukan Hawa tetapi tersalah timbang tindaknya. Caesar bukanlah terpikat pada jiwa Petra melainkan raganya.” Arman mengemaskan fakta dalam pasak teladan.


Tasik buatan yang tenang berolek kecil dek kilasan ikan. Merpati sejoli sudah melekat bahu kanan ke bahu kiri. Salwa menenggek kepala ke bahu Arman yang empuk. “Arman, bagaimana mungkin kelas sasteramu mengajar peradaban semua?” Salwa kagum dalam apungan. Gadis bila sudah berkenan ujanya mudah ditawan. “ Kelas bagi setengah pelajar hanya kotak yang diisi guru dan pelajar serta alat bantu ilmu. Tapi bagi abangmu ini kelas itu masa kosong dan alam maya.” Arman telus berkongsi falsafah. “Masa kosong? Bukankah semua masa itu kosong?” Salwa menyelongkar falsafah buah hati ulam mindanya. “Tidak, bagi Arman bin Agus masa itu kosong setelah manusia tidak perlu tidur, solat, makan, mandi dan bermain.” Salwa melopong, masih banyak yang perlu dia kenali dari suami ekspressnya ini. “Maknanya Arman bin Agus atau ABA itu jadikan belajar itu aktiviti sampingan ataupun hobi?” Salwa sudah tidak bersandar lagi, kini dadanya menghadap bahu Arman. “Ya isteriku sayang, cuba lihat apa yang manusia sanggup lakukan dengan tekun dalam masa yang paling lama? Jika bukan hobinya?” Kini Salwa mengangguk dan kembali menyandar.


“Ok, pernah Cik Salwa, eh, Puan Salwa baca ayat 35 dan 36 Surah Al Baqarah?” Arman tersenyum sambil menggosok bekas cubitan di bahu kanannya. “ Pernah, tapi manalah ingat.” Salwa merengek belum sampai tahap mengada-ngada. “Baik biar Encik Arman yang terangkan.” Salwa menyampuk “Ustaz Armanlah baru betul.” Arman menjegil sambil menggetap bibir “Jangan menyampuk orang nak mengajar, Allah berfirman :dan kami berkata wahai Adam tinggallah kamu dan isterimu di dalam Syurga... jadi apa kefahaman adinda setakat ini?” Arman mencubit pipi Salwa sehingga terlepas jeritan kecil. “Erm dua-dua masuk syurga seiringan.” Balas Salwa sambil mengusap pipinya yang sedikit kemerahan. “Pandai dari sini Puan Salwa harus faham beberapa perkara, pertama Adam belum di syurga, kedua penciptaan Adam dan Hawa tiadalah berjarak terlalu lama. Ketiga Hawa dicipta selepas persengketaan Iblis dan Adam. Keempat Adam telah dikahwinkan dengan Hawa sebelum di syurga.” Arman menunjukkan empat jari dari tangan kanannya kepada Salwa. Cincin di jari kelingkingnya dipusingkan sedikit ke kiri. “Cantik cincin, kekasih bagi ke?” Salwa sempat mengusik. “Aah, cincin mahal ni makwe jauh hadiahkan tanda cinta katanya.” Arman mengeringkan senyumnya tiba-tiba. Salwa hampir berguling akibat kelucuan melihat telatah Arman.


Beberapa mata teralih ke arah mereka. Pohon ketapang turut sama mencemburui kebahagiaan mereka, daun-daunnya digugurkan mengenai Salwa. “Tengok, pokok ketapang pun dah marah dengan awak.” Arman cuba melibatkan pohon ketapang itu agar mereka lebih merasai kemeriahan alam yang menjadi saksi. “Dia bukan marahkan saya, tapi cemburukan awak.”Arman kurang mengerti sehingga terbentuk jeda yang amat sebentar. “ya lah, Awak dapat isteri cantik macam saya encik Arman oi.” Salwa menghabiskan katanya dengan kekekan yang meleret. “Err, tak elok ketawa panjang nanti hati mati.” Arman mengingatkan. “Baik Ustaz.” Salwa belum berhenti sepenuhnya. “Salwa sayang, kenapa agaknya Allah kisahkan kepada kita kejadian Adam dan Hawa?” Salwa menyimpul senyum yang berbaki. “Untuk mengkhabarkan pada lelaki pasangannya adalah wanita, mungkin.” Salwa menerjah “Betul, mungkin. Tetapi di sini jelas kepada kita bahawa Allah sahaja yang Esa, itu satu. Keduanya makhluk bernama Adam ini diberi nikmat sejak awal penciptaannya. Maka kita bangsa manusialah sepatutnya menjadi makhluk yang paling bersyukur.” Arman mengulas dengan bersungguh, Salwa mengangguk setuju. “Tetapi kenapa manusia itu kufur?” Arman menduga. “Sebab manusia tidak bersyukur.” Salwa bermain kata. “Sebab, manusia itu sering lupa. Suka main masa belajar. Suka loyar buruk.”Arman menyindir geram. “Ustaz marah?” soalan itu menderai tawa mereka berdua. Deraian itu masih dalam lingkungan mereka berdua. Pokok ketapang sekali lagi bergoyang kali ini daun tuanya luruh di belakang Arman. Salwa mengambilnya dan diusap.


“Salwa, Sal bahagia tak hidup dengan abang?” Soal Arman lembut. “Walaupun pada mulanya Sal keberatan. Tetapi selepas bersama abang, Sal rasakan mustahil untuk mengharungi hidup tanpa suami yang bernama Arman.” Jawab Salwa merenung pertengkaran dia dan abangnya semasa abangnya menyampaikan hajat Arman pada ayah mereka. “Kalau bukan jasa Abang Wael mungkin Sal tak dapat nikmat ini.” Salwa menguntumkan senyum. “Abang, bahagia tak beristerikan Sal yang kurang pengetahuan agama ni?” Soal Salwa lemah. “Tak, Abang nak kahwin seorang lagi. Tengoklah esok atau lusa.” Arman berjenaka kasar. Satu cubitan berbisa hinggap di peha Arman. Walaupun sakit derai tawa yang menghiasi ruang bunyi mereka. Salwa memuncungkan bibirnya. “Gatal.” Sepatah sudah cukup menunjukkan protesnya pada jenaka Arman.


“Ok, ok kita sambung. Nanti tak habis jawab dah panas.” Arman mencari jalan pintas untuk memujuk. “Abanglah, kalau Sal main tak boleh. Abang tak apa pula.” Arman tersengih tangannya masih mengusap bekas cubitan padu isteri kesayangan.


“..firman Allah lagi: ... dan makanlah kamu berdua dari syurga itu mana mana yang kamu mahu tetapi janganlah kamu dekati pohon ini nescaya kamu akan menjadi dari kalangan orang yang zalim.Apa yang Sal faham di sini?” Arman kembali menyambung perbincangan ayat 35 Surah al Baqarah. “Di sini al Quran menceritakan bahawa pedoman untuk Adam dan Hawa di syurga itu ada walaupun mereka hanya berdua.” Salwa menelah. “Betul cakap Sal, Allah takkan menciptakan sesuatu itu sia-sia. Allah jadikan pada Adam satu syariat agar dia dan Hawa patuhi apabila berada di syurga, dan satu lagi syariat Allah itu tidaklah bersifat beban yang sangat. Ini sememangnya ciri khusus yang Allah letakkan pada syariatNya untuk manusia.” Arman menerangkan dengan gaya-gayanya sekali.


“ Kurang fahamlah macam mana abang kaitkan syariat Allah tidak membebankan manusia dalam ayat ini.” “Baik, Adam dan Hawa boleh makan apa sahaja dan sebanyak mana pun yang mereka mahu, Jadi ini menunjukkan pilihan yang sangat luas. Pengecualiannya adalah satu pohon sahaja. Jadi beratkah syariat itu pada akal yang waras?” barulah Salwa mengangguk perlahan.


“Macam mana abang boleh faham sedalam itu?” Salwa menuntut tips kefahaman. “Sebenarnya al Quran adalah kalam Allah. Kalam Allah ini adalah mukjizat. Jadi sekali kita baca kita akan faham sedikit bertambah bilangan bacaan kita maka bertambahlah kefahaman kita. Satu lagi ilmu itu datang dari Allah jadi selain usaha kita kenalah berdoa.” Salwa tersenyum setuju sambil mengenangkan pengajian suaminya sebelum ini bagai mana Rasulullah mendoakan Abdullah Ibnu Abbas agar Allah tajamkan kefahamannya dalam urusan agama dan ajarkannya ilmu tafsir.


Hujung rumput sudah tegak menujah langit setelah ditinggalkan embun yang pergi mengikut terik matahari, riak ikan di air semakin rancak menarikkkan pentas tasik buatan. Burung sudah mula mematuk matuk tanah mencari rezeki. Pohon ketapang masih tercegat memerhati pasangan yang berdamai di perdunya, mencuri lembayung yang dikerah dari kehijauan klorofilnya yang lebar.


Arman berdiri menoleh kiri dan kanan meninjau ke sekitar taman, “abang cari apa?” Salwa melihat penuh persoalan. “Cari bakal madu awaklah.” Arman menggugat kewarasan isterinya. Salwa bangun cuba mendapatkan Arman namun bekas atlit universiti itu pantas membuang langkah, Salwa terpaksa mengejar dengan baju kurung labuh berseluar khaki. Arman yang selesa berkemeja T bertemankan seluar sukan berlari bebas. “Kalau Sal dapat siap abang.” Ugutan Salwa hanya dibalas ketawa mengejek dari Arman.


Kini tinggallah tikar baldu dari Turki dan pohon ketapang di sana. Arman dan Salwa sedang berkejaran ke tepi tasik. Bagai burung berpasangan di udara. Sekejap yang jantan dikejar sekejap lagi yang betina pula melarikan diri. Pasangan baru bercinta selepas beenikah sebulan lalu masih belum puas bercanda. Pohon ketapang semakin cemburu. Mata-mata yang memandang mentafsirkan pelbagai. Mujurlah Salwa bertudung baik jika tidak mungkin ditelah gadis murahan dan lelaki buaya. Kenapa anak Adam tidak seperti bapa mereka. Ikhlas dan tawadhuk melihat hamba. Tuhan itu Maha Mengetahui lantas mencipta Adam menghuni bumi. Sungguh Tuhan Maha Kuasa Adam diberi teman seperti Hawa. Sungguh Adil Allah menghukum Adam yang alpa.

Umar Bin Abdul Aziz


Umar Bin Abdul Aziz
Amanah Dalam Kepimpinan

Oleh : ukhtie abdullahs


Latar Belakang


Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz merupakan anak kelahiran Halwan,Mesir. Beliau dilahirkan pada tahun 61 hijrah bersamaan 628 Masihi. Ayah Beliau bernama Abdul Aziz bin Marwan yang merupakan gabenor Mesir pada suatu ketika dahulu.Manakala ibunya pula bernama Laila binti Asim atau lebih dikenali dengan panggilan Ummu Asim. Beliau adalah cicit kepada Khalifah ar-Rashidin kedua, Umar Al-Khattab.Beliau juga pernah menyandang jawatan Khalifah Bani Umaiyah ke-6. Beliau wafat pada hari jumaat,bulan Rejab tahun 101 Hijrah ketika umur beliau menjangkau 40 tahun.Beliau meninggal dunia kerana diracun oleh pembantunya.

Umar bin Abdul Aziz merupakan salah seorang tokoh islam yang unggul dan berpendidikkan tinggi.Beliau telah menghafal al-Quran sejak masih kecil lagi. Beliau juga merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka seperti Imam Malik bin Anas, Urwah bin Zubair, Abdullah bin Jaafar,dan Yusuf bin Abdullah. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir. Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan apabila bapa beliau meninggal dunia.beliau juga seterusnya dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah binti Abdul Malik yang juga merupakan sepupu beliau sendiri.Beliau mempunyai 17 orang anak hasil dari perkkahwinannya bersama 4 orang isteri.

Umar bin Abdul Aziz juga mempunyai sifat-sifat yang sangat mulia dan terpuji.Beliau merupakan seorang pemimpin yang bijaksana,adil,lagi amanah.Beliau juga sangat takut kepada Allah,tawadhuk ,warak,sabar,tegas dan seorang yang sangat zuhud dengan dunia.


Rahsia Disebalik Salasilah Kelahiran

Mengimbau kembali tabiat Umar Al-Khattab sewaktu zaman pemerintahannya, Khalifah Umar sangat terkenal dengan tabiatnya yang suka meronda pada malam hari untuk melihat kehidupan rakyat jelatanya.Pada suatu malam Khalifah terdengar perbualan seorang anak gadis dan ibunya. Kata ibu:”Wahai anakku,tambahlah air ke dalam susu ini supaya ia menjadi banyak.Lalu anak gadis itu menjawab: Kita tidak boleh berbuat begitu, ibu.Amirul mukminin melarang kita menipu dalam berniaga.Maka si ibu pun berkata:Tetapi Amirul Mukiminin tidak melihat kita.Anak gadis itu lalu menjawab:Memang benar ibu,Amirul Mukminin tidak melihat kita,akan tetapi Tuhan Amirul Mukminin Maha Melihat.Saidina Umar yang mendengar perbualan itu lantas menangis.Setibanya saidina Umar di rumah. Beliau meminta anak lelakinya Asim menikahi gadis penjual susu tersebut. Umar berkata: Semoga lahir dari keturunan gadis ini pemimpin islam yang hebat yang dapat memimpin orang-orang arab dan ajam. Asim yang patuh menurut sahaja cadangan Saidina Umar. Hasil dari pernikahan Asim dan gadis penjual susu tersebut maka lahirlah seorang puteri yang bernama Laila. Laila kemudiannya berkahwin dengan Abdul Aziz,Lalu dengan rahmat kasih sayang Allah,lahirlah dari mereka seorang anak yang diberi nama Umar bin Abdul Aziz pemimpin agung yang didoakan oleh Umar al-Khattab.


Amanah Dalam Kepimpinan


Beberapa ulama menobatkan beliau sebagai Khalifah Ar-Rashidin yang ke-5.Ini kerana kepimpinan beliau yang begitu mirip dengan kepimpinan “Khulafa’ Ar-Rashidin Al-Arbaah”.Beliau telah berjaya memimpin umat selama lebih kurang tiga tahun. Beliau adalah seorang pemimpin yang sangat adil dan saksama. Disebutkan satu kisah, ketika beliau berada di kediamannya melaksanakan tugas sebagai khalifah.Tiba-tiba anaknya datang menghampiri. Saat itu Khalifah Umar bekerja bercahayakan pelita suluh. Sebelum sempat si anak menyuarakan maksud kedatangan,khalifah Umar bertanya: apa yang ingin engkau bicarakan wahai anakku? urusan umat atau sekadar urusan peribadi. Anaknya lalu menjawab: urusan keluarga ayahku.Lalu Umar berkata:Jika begitu,biar aku padamkan dahulu pelita ini,tidak wajar kiranya kita menggunakan sesuatu yang dibiayai oleh umat.

Sifat amanah yang dimiliki Umar bin Abdul Aziz sukar dicari ganti.

Rujukan : Kitab Umar bin Abdul Aziz : Karangan Doktor Ali Muhammad Assolabi, Wikipedia

Influenza H1N1 melanda Malaysia

Oleh: Budak Kampung

Wabak yang dibimbangi oleh seluruh dunia, kini sudah menular ke negara kita berikutan seorang pelajar dari New York, Amerika Syarikat pulang bercuti ke Malaysia. Dia dikatakan sihat dan hanya mengalami demam dan sakit tekak apabila tiba di rumah. Keluarganya menghantar dia ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Selapas itu mangsa ditahan di hospital sebaik sahaja disahkan positif terhadap virus itu.


Pada masa yang sama pihak berkuasa telah menyarankan kepada mereka yang menaiki kapal terbang bersama mangsa agar membuat pemeriksaan untuk memastikan virus influ itu tidak berjangkit kepada penumpang yang lain. Gara-gara wabak itu keluarga mangsa tersebut diawasi oleh pihak bertangggungjawab daripada dijangkitan influenza A H1N1.


Peningkatan serangan virus ini menyebabkan ianya digeruni dan ditakuti oleh rakyat seluruh dunia untuk berpijak ke bumi Mexico.Sesetengah pelancong yang ingin bercuti ke negara itu terpaksa membatalkannya. Wabak tersebut telah merebak ke 34 negara dan mencatatkan sebanyak 7300 kes termasuk 65 kematian. Sebelum itu negara kita pernah dikejutkan dengan selsema burung yang mengakibatkan puluhan orang mati akibat wabak yang berbahaya itu. Kini selsema babi atau nama saintifiknya influenza A H1N1 yang disebut-sebut oleh orang ramai pula ditakuti. Punca berlaku selsema ini hanya melalui pernafasan dan penggunaan barang bersama.


Mexico yang merupakan punca berlakunya wabak virus influ, telah pun mengarahkan sekolah-sekolah, universiti, kelab-kelab malam dan sebagainya ditutup untuk langkah berjaga-jaga agar wabak tersebut tidak tersebar luas. Negara jirannya, Amerika Syarikat juga turut terkena tempias wabak itu. Di Beijing pula pelancong-pelancong yang datang ke situ ditahan dan dikuarantinkan di sebuah hotel selama seminggu. Malah banyak negara membuat sedemikian demi keselamatan orang awam. Di Malaysia juga turut membuat pemeriksaan yang ketat kepada penumpang-penumpang yang sampai di lapangan terbang.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah pun menghadirkan diri ke Pertubuhan Agung Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, Switzerland untuk mengesahkan laporan kes pertama di Malaysia. Tidak sampai 24 jam berlakunya kes pertama seorang lagi rakan yang bersama dengan mangsa turut mengalami serangan virus itu. Gadis yang berusia 21 tahun dan merupakan penumpang pesawat Penerbangan Malaysia MH091 yang tiba dari New York di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari tersebut. Wanita muda itu dikuarantin dalam wad pengasingan di Pulau Pinang selepas dia datang untuk membuat pemeriksaan kerana demam. Pelajar itu dikatakan dalam keadaan stabil.


Selepas beberapa hari kemudian, dikejutkan pula sebanyak 30 pelatih di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Setia Ikhlas di Semenyih dikenal pasti mempunyai simptom influenza tetapi ia tiada kaitan dengan influenza A (H1N1). Tetapi mereka telah mengalami demam, batuk yang ringan, sakit tekak dan sakit badan. Mereka daripada sebilangan itu, 26 telah dirawat di bilik isolasi kem, tiga di Hospital Kajang seorang daripadanya di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua lagi di wad perubatan. Seorang pesakit telah keluar dari hospital. Pihaknya telah membuat pengawasan dan kawalan terhadap kes itu, dengan melakukan pengawalan vektor iaitu semburan kabus, kajian aedes dan pemantauan serta pemeriksaan harian kepada semua pelatih.


Kejadian tersebut membuatkan rakyat Malaysia lebih berhati-hati untuk keluar bercuti ke luar negara memandangkan wabak itu tersebar secara meluas. Terkini penyakit ini sudah dapat dikawal dengan baik. Mexico sebuah negara yang bermulanya pembawakan wabak selsema itu sudah pun membuka kembali persekolahan, kedai-kedai dan restoran seperti sediakala. Kemungkin yang dijangkakan bagi mendapatkan ubat bagi virus influ ini adalah pada November tahun depan. Sekarang masih dalam kajian dan pemeriksaan bagi mendapatkan ubat yang boleh mengubati pesakit apabila terkena influenza A H1N1.

Mukmin Sangat Ajaib


Dipetik dari : Kitab Sirah Rahikhul Makhtum
Diterjemah oleh : Aishahtur Raadhiyah Azman Shah

Para pemikir bertanya sesama mereka: Apakah sebab dan faktor yang membawa kaum muslimin sampai ke peringkat yang luar biasa ini? Bagaimana mereka boleh bersabar menghadapi ancaman dan penyeksaan yang menggerunkan, penyeksaan yang boleh menggoncangkan hati-hati yang berani? Memandangkan persoalan yang muncul di hati-hati naluri manusia, maka kita dapati adalah wajar untuk kita memaparkan sebahagian dari faktor-faktor ini secara ringkas:


1. Faktor utama di sini ialah keimanan dan keyakinan dengan Allah (s.w.t)
Keimanan yang teguh apabila menguasai hati-hati rijal ianya menjadi seberat gunung yang tidak mungkin dicabar. Bagaikan kiambang yang terapung di permukaan arus air laju menolak-nolak dan menghentak-hentak empangan, namun ianya tidak mungkin dapat memecahkan atau menjejaskannya, demikian orang yang memiliki keimanan yang mantap ini, langsung tidak menghiraukan ancaman yang memenatkan, malah dia akan merasai satu kemanisan dan kenikmatan iman dalam berhadapan dengan semua fitnah ini.

“Adapun buih akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada gunanya;tetapi yang bermanfaat bagi manusia akan tetap ada dibumi," (Al-Ra'd;17)


2. Pimpinan yang menarik hati-hati kepadanya.
Rasulullah merupakan pemimpin yang tertinggi bagi ummat Islam, bahkan bagi manusia sejagat, dimana Baginda dihias dengan kecantikan akhlak, jiwa yang sempurna, budi pekerti yang tinggi, tatasusila yang terpuji dan perketi yang mulia. Kesemuanya ini membuatkan hati-hati manusia tertarik dengannya, sanggup dan rela berkorban apa sahaja untuk mempertahankannya. Kesempurnaan Baginda sememangnya diidam-idamkan oleh semua manusia. Baginda merupakan lambang kemuliaan, kebaikan dan kelebihan, contoh kepada kesucian diri, amanah dan kebenaran. Baginda adalah sumber kebaikan yang diakui oleh pihak lawan lebih-lebih lagi taulan, tidak ada kalimah yang diungkapkan melainkan kesemuanya diyakini kebenarannya.


Sa'd bin Mu'az telah berkata kepada Umaiyah bin Khalaf semasa di Makkah: Aku telah mendengar Rasulullah berkata: "Mereka (kaum Muslimin) akan membunuh kamu" ini menyebabkan beliau terperanjat besar dan berjanji untuk tidak keluar dari Makkah, sebab itu bila beliau dipaksa oleh Abu Jahal supaya keluar berperang di Badar, beliau telah membeli seekor unta yang terbaik supaya beliau dapat berkejar dan pulang semula ke Makkah. Isterinya berkata kepada beliau: "Wahai Abu Sofwan, adakah kau telah lupa apa yang telah disebutkan dahulu oleh saudaramu al-Yathribi itu? Jawab beliau: Demi Allah, aku tidak ingin masuk ke tengah-tengah medan hanya dipinggirnya sahaja."



Inilah perasaan dan sikap musuh-musuh Rasulullah terhadap Baginda, manakala para sahabatnya pula mereka menjadikan Baginda sebagai roh dan jiwa mereka. Baginda adalah hati dan mata kepada mereka, jiwa-jiwa mereka tertarik kepada Rasulullah bagaikan besi tertarik kepada tarikan magnet, bak kata penyair:

Gambaran dirinya memenuhi setiap jasad, Jiwanya menarik setiap hati lelaki.



3. Perasaan tanggungjawab.
Sesungguhnya para sahabat merasakan dengan perasaan sempurna dimana tidak semua manusia memikul tanggungjawab yang berat ini. Tanggungjawab ini tidak boleh dielak atau ditolak dengan sebarang alasan, akibat penolakkan tanggungjawab ataupun melarikan diri darinya adalah sangat buruk dan berat malah lebih buruk lagi dari penyeksaan itu sendiri, kerugian yang bakal mereka alami terlalu besar jika dibandingkan dengan kepayahan yang mereka hadapi.



4.Kepercayaan dengan hari akhirat.
Mereka yakin dengan apa yang mereka lakukan semata-mata untuk Allah Rabbal Alamin, dimana mereka akan dinilai dan dihisab oleh Allah dari yang sekecil-kecil pekerjaan hinggalah yang sebesar-besar pekerjaan, balasannya sama ada ke syurga ataupun neraka jahanam. Mereka menghabiskan usia mereka di antara ketakutan dan harapan, mengharapkan rahmat Tuhan mereka dan takut dengan azabNya.

"Dan mereka yang memberikan apa yang mereka berikan (sedekah) dengan hati penuh rasa takut, kerana mereka tahu bahawa sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan-Nya" (Al-Mu'minun : 60)

Mereka mengetahui Sesungguhnya dunia ini azabnya atau nikmat kesenangannya tidak lebih dari sebelah sayap nyamuk berbanding dengan balasan di akhirat kelak. Pengenalan yang mendalam ini membawa mereka merasa ringan dengan kepahitan dunia dan kesusahannya, hingga mereka tidak memberi perhatian langsung kepada dunia dan sengsaraAnNya itu.



5.Al-Quran:
Disaat yang menakutkan dan menggerunkan ini, turunlah ayat-ayat al-Quran memberi sokongan dan keterangan-keterangan mengenai ajaran dasar Islam, dimana dakwah di peringkat itu berkisar di sekitarnya, dengan uslub bahasa yang menarik pada masa yang sama menunjuk ajar kepada kaum muslimin jalan yang sebenar kepada dasar pembinaan sebuah masyarakat contoh di dunia ini, iaitu masyarakat Islam . Ayat-ayat al-Quran menyemarakkan perasaan kaum muslimin dan menyegarkan emosi kesabaran dan kecekalan yang telah menjadi contoh unggul kepada umat manusia sejagat.






"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkata mereka yang beriman dengannya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Maka jawab Rasul: Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)". (al-Baqarah: 214)

Sebagaimana juga ayat-ayat al-Quran menolak tomahan-tomahan orang-orang kafir dan orang-orang yang ingkar dengan hujah-hujah yang kemas, hingga tidak memberi peluang langsung kepada mereka untuk menjawab. Al-Quran juga memperingatkan mereka kepada akibat-akibat buruk yang bakal mereka hadapi, tetapi mereka masih berdegil dan tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah. Peringatan yang jelas berdasarkan kepada hari-hari Allah yang penuh dengan azabNya di masa silam dan bukti-bukti sejarah yang menjelaskan sunnah-sunnah Allah kepada wali-waliNya dan musuhNya, dan ada ketika ayat al-Quran berlembut dengan mereka dan bertegas memberi kefahaman serta bimbingan, sehingga mereka sedar dari kesesatan mereka yang nyata itu.

Dari sudut yang lain al-Quran membawa kaum muslimin ke suatu alam yang lain, membawa mereka melihat dan menikmati keindahan ciptaan Ilahi, kesempurnaan sifat ketuhanan Allah dan kesan-kesan belas kasihan Allah yang tidak dihalang oleh mana-mana pendinding.

Di dalam ayat-ayat ini tersemat percakapan yang ditujukan kepada kaum muslimin memberitahu mereka tentang berita-berita gembira dari Tuhan mereka mengenai rahmat, keredhaan dan syurga-syurga didalamnya, nikmat yang berkekalan. Al-Quran juga mendedahkan kepada kaum muslimin kedudukan seteru-seteru mereka, kafir, penzalim, mereka yang dihukum, dihalau dan diseret untuk disumbat ke dalam neraka.

Intifadah Pertama



Oleh : MUABO


Perjuangan Palestin yang mulanya melibatkan kebanyakan negara Arab telah bertukar menjadi perjuangan bangsa Palestin semata-mata. Perjuangan untuk membebaskan Palestin dari Israel. Walaupun Palestin dicengkam sejak 1948 lagi namun intifadah hanya bermula pada tahun 1987 iaitu selepas empat tahun penubuhan HAMAS. Abdullah Azzam pernah menyuarakan hasratnya untuk melihat pejuang-pejuang Palestin menggalas senjata memerangi Zionis dan mengusirnya dengan kudrat mereka.

Sebenarnya intifadah kini telah sampai kegelombang ketiga. Sejak bermulanya Intifadah pertama dalam tahun-tahun 1987 hingga 1994. Dalam gelombang pertama ini kita boleh bahagikannya kepada tiga peringkat. Peringkat pertama digelar intifadah Batu. Dalam peringkat ini HAMAS di bawah pimpinan Syeikh Yassin mengumpul kekuatan persenjataan bagi menubuhkan sayap ketenteraan. Ia berlaku selama hampir 3-4 tahun.

Setelah itu penentangan berkembang secara sedikit demi sedikit. Dalam peringkat pertama HAMAS berjaya melancarkan 16 serangan dan menyebabkan kematian di pihak Zionis seramai 77 orang. Peringkat kedua menyusul dengan serangan lebih hebat iaitu sebanyak 46 serangan dan mengakibatkan kematian 187 orang Israel.

Dalam gelombang pertama ini beberapa perkara penting berlaku, iaitu peperangan Sakakin atau Pisau Pisau yang telah meragut nyawa dua orang tentera Israel dan enam orang rakyat Palestin. Selain itu Kataib Izzuddin al Qassam juga ditubuhkan dalam era ini. Sayap ketenteraan HAMAS ini diambil namanya sempena mujahid Palestin yang tersohor Syeikh Izzuddin al Qassam.

Dapat kita ringkaskan Intifadah pertama ini adalah perintis kepada perjuangan membebaskan Palestin dari dalam. Selain HAMAS sebenarnya berpuluh lagi sayap perjuangan Palestin yang melancarkan peperangan terhadap Zionis dalam era intifadah ini. Walaupun begitu penyumbang terbesar terhadap kemajuan penentangan ke atas Israel ini dimonopoli oleh HAMAS dan diikuti pula Jihad Islamiy. Perlu bagi kita untuk mengetahui betapa mujahid di Palestin ingin memerdekakan tanah mereka. Biarpun nyawa mereka perlu dijadikan senjata mereka akan menggunakannya.

Tetapi kita juga perlu mengetahui bahawa semua yang mereka lakukan adalah mengikut penyusunan yang sangat teliti dan meraih sasaran yang paling maksima.

Kelak kita akan berbicara mengenai gelombang kedua dan kesan-kesannya terhadap penjajahan Israel. Sampai jumpa lagi.

Muhammad Qutb



Mukadimmah Muhammad Qutb Sebagai Renungan

Nukil beliau dalam buku ‘Salah Faham Terhadap Islam’ :
Di sini biar kita memberi peluang kepada Tuan Gladstone Perdana Menteri lnggeris di zaman Queen Victoria menerangkan polisi itu dengan jelas dan terus terang. Beliau mengangkat al-Quran dan berkata kepada para anggota-anggota Parlimen Inggeris, Selama kitab ini berada di tangan orang Mesir, maka selama itulah kita tidak akan menikmati keamanan di negeri itu.”


Jadi, yang menjadi sasaran-sasaran polisi Inggeris ialah melemahkan ilmu agama Islam, mengikiskan kesuciannya pada hati penganut, memusnahkan imejnya di dalam fikiran dan hati kecil mereka agar mereka keluar dari agama itu dan menjauhi diri dari undang-undang dan peraturannya, supaya dengan langkah demikian penjajah-penjajah Inggeris dapat bertapak kukuh di negeri itu.


Demikianlah polisi yang dijalankan Inggeris di Mesir. Di samping itu Inggeris mengatur pula satu polisi pendidikan yang mengabaikan pengajian dan penjelasan tentang hakikat agama Islam. Apa yang diajar di sekolah-sekolah hanya ibadat-ibadat, sembahyang-sembahyang, zikir-zikir dan ucapan-ucapan tasbih, tarikat-tarikat sufi. Cara membaca Quran untuk mengambil berkat dan ajaran-ajaran akhlak secara teori saja.


Penuntut-penuntut tidak pernah diajar tentang Islam sebagai satu sistem ekonomi dan sosial, sebagai satu sistem pemerintahan atau sebagai satu sistem pendidikan dan pengajaran atau sebagai satu cara hidup dan pemimpin kehidupan.


Apa yang diajar kepada mereka ialah keraguan-keraguan dan kekeliruan-kekeliruan faham terhadap Islam yang diatur oleh para orientalis dan lain-lain pendokong-pendokong perjuangan salib dan Eropah. Mereka berbuat demikian agar umat Muslimin terkeliru dengan agama mereka sendiri dan agar politik penjajahan Inggeris yang keji itu terlaksana.


Dan sebagai pelajaran ganti mereka mengajar anak-anak muda Islam tentang keagungan Eropah. Mereka diajar bahawa sistem-sistem kemasyarakatan yang sebenar ialah sistem-sistem kemasyarakatan yang telah berjaya membangun negara-negara Eropah. Mereka diajar bahawa sistem ekonomi yang tulin ialah sistem ekonomi yang telah disusun oleh otak-otak orang Eropah, mereka diajar bahawa perlembagaan pemerintahan yang paling baik ialah perlembagaan yang telah dihasil dan dikembangkan oleh pengalaman orang-orang Eropah, mereka seterusnya diajar bahawa hak-hak manusia itu adalah hasil deklarasi revolusi perancis, dan sistem demokrasi adalah diasas dan dimajukan oleh bahasa Inggeris, sedangkan tamaddun hari ini adalah dibatu asaskan oleh Empayar Rome.


Pendeknya orang-orang Inggeris menggambarkan negeri Eropah kepada pelajar-pelajar Islam sebagai satu-satunya negeri raksasa yang tiada siapa yang boleh menandinginya dan meng gambarkan negeri Timur sebagai negara Awang Kenit yang kerdil yang tidak boleh berdiri di atas kaki sendiri, malah pasti selama-lamanya tunduk dan menumpang kemajuan negeri Eropah.


Dan akhirnya politik yang diaturkan oleh Inggeris telah membawa hasil yang baik, di mana generasi-generasi muda Mesir tidak lagi merasa mempunyai kewujudan dan keperibadian sendiri, mereka seluruhnya telah diperhambakan Eropah dan mereka telah terbenam sedalam-dalamnya di dalam perbudakan Eropah, mereka tidak dapat melihat dengan mata hati mereka sendiri, mereka tidak dapat berfikir dengan akal fikiran mereka sendiri, mereka melihat mengikut apa yang dilihat oleh orang-orang Eropah dan mereka hanya mendokong fikiran-fikiran yang dikehendaki oleh orang orang Eropah.


Kaum intelek hari ini merupakan buah-buah hasil dan politik yang disusun oleh penjajah. Mereka tidak mengetahui sesuatu darihal Islam kecuali fahaman-fahaman dan gambaran-gambaran yang menimbulkan keraguan, malah mereka tidak memahami seluruh ajaran Islam kecuali mengikut apa yang diajar oleh guru-guru Eropah. Dan justru kerana itu mereka turut menganjur persis seperti orang-orang Eropah supaya agama dipisahkannya dan pemerintahan dan dipisahkan dan sains.


Akibat kejahilan dan kelalaian, mereka lupa bahawa agama yang telah ditinggalkan oleh Eropah itu suatu agama yang berlainan dan agama yang diperjuangkan pengembang-pengembang Islam. Suasana-suasana yang melingkupi Eropah dan yang telah memaksakannya bertindak memusuhi dan memencilkan agama adalah suasana-suasana yang khusus bagi orang-orang Eropah di sana saja. Suasana-suasana itu tidak berlaku di negeri-negeni Islam di Timur, malah tidak mungkin berlaku di sini. Justru kerana itu apabila kaum intelek kita menyeru agar kita menepikan saja agama atau memisahkan agama dan pentadbiran sosial, politik dan ekonomi negara, maka sebetulnya mereka telah mengimpotkan fikiran-fikiran yang telah disediakan oleh orang orang Eropah dan mengulangi seperti burung kakak tua apa yang diucapkan oleh orang-orang eropah di negeri negeri mereka.



(Muhammad Qutb, e-book – Salah Faham Terhadap Islam)]

Oleh : Othman

Al-Qasas dan Perjalanan Musa.

Kisah hidup Nabi Musa dari tafsir surah al-Qasas
Oleh : zan_jabeel





Allah telah memulakan surah ini dengan lafaz huruf potong (thaa,siin,miim), hanya Allah yang mengetahui maknanya. Surah ini dikenali sebagai golongan surah makkiyyah, salah satu tandanya ialah surah yang dimulai dengan huruf-huruf potong adalah surah makkiyyah. Para mufassirin (ahli tafsir) menyatakan kisah Nabi Musa hampir lengkap di dalam surah ini, dan antara nama lain surah ini ialah “surah Musa”.



Nama Nabi Musa ialah Musa bin Imran dari keturunan nabi Ya’qub bin Ishak bin Ibrahim al-Khalil ‘alaihimussalam. Baginda dilahirkan di bumi Mesir pada tahun 1407-1527 sebelum masihi. Baginda digelar ‘KALIMULLAH’ kerana keistimewaan baginda bercakap dengan Allah secara langsung di puncak bukit Thur. Kisah nabi Musa disebut di dalam al-Quran sebanyak 136 kali, dan inilah bilangan yang terbanyak yang melebihi angka 100 berbanding Nabi-nabi yang lain. Apakah keistimewaan Nabi Musa sehingga begitu banyak kisahnya disebut di dalam al-Quran?



Musa a.s diutuskan oleh Allah kepada firaun dan Bani Israel di bumi mesir. Firaun adalah seorang manusia yang mengaku dirinya ‘ala (tinggi) dan dialah Tuhan yang patut disembah. Pengikut-pengikutnya adalah dari bangsa Qibthi, oleh itu dia menjadikan Bani Israel sebagai buruh paksa, hamba abdi dan sebagainya. Firaun juga antara orang yang mula-mula mengamalkan budaya perkauman dengan meninggikan bangsa qibthi, dijadikan mereka tentera-tenteranya dan orang yang menyiksa buruh paksaan dari kalangan Bani Israel.



Tabiat firaun juga ialah suka memiliki tukang tilik serta tukang-tukang sihir yang hebat. Satu ketika dikhabarkan oleh tukang tiliknya bahawa akan muncul seorang lelaki dari kalangan Bani Israel yang kelak akan menjatuhkan kerajaannya. Dengan sebab itu firaun memerintahkan agar dibunuh semua kanak-kanak lelaki yang lahir dari keturunan Bani Israel dan kanak-kanak perempuan dibiarkan hidup. Maka firaun dengan bantuan perdana menterinya, Haman terus menerus melakukan kezaliman itu terhadap Bani Israel setiap kali lahirnya bayi lelaki.



Dengan itu tidak hairanlah bahawa ilmu sihir yang didalangi oleh syaitan memang telah wujud sejak beberapa kurun yang lalu. Bahkan sihir diwaktu itu sangat hebat kerana kekufuran mereka memuja syaitan.







Saat-saat kelahiran Musa a.s.



Seperti yang kita ketahui Nabi Musa dilahirkan pada tahun kanak-kanak lelaki dibunuh oleh Firaun, berbanding dengan adiknya Nabi Harun, atau nama sebenarnya Harun bin Imran bin Qahith bin ‘Azir bin Lawi dari keturunan Nabi Ibrahim a.s. Nabi Harun dilahirkan setahun selepas kelahiran Nabi Musa iaitu pada tahun yang dilepaskan (tidak dibunuh) kanak-kanak lelaki. Ini kerana pada awalnya Firaun membunuh setiap kanak-kanak lelaki dari kalangan Bani Israel yang lahir pada setiap tahun.



Disebabkan oleh nasihat daripada tukang tilik firaun supaya mereka tidak membunuh kanak-kanak lelaki yang lahir pada setiap tahun, sebaliknya selang satu tahun. Ini kerana mereka bimbang akan kehilangan pekerja paksaan atau hamba dari kalangan Bani Israel di masa akan datang



Dengan izin Allah dan kehendakNya jua telah ditakdirkan manusia di sekeliling tidak sedar atau tidak dapat melihat dengan mata kasar bahawa ibu nabi Musa sedang mengandung. Maka sampailah pada hari kelahiran nabi Musa, ibunya merasa sangat takut kerana anak yang lahir itu seorang lelaki dan sudah pasti akan dibunuh anak itu sekiranya sampai ke pengetahuan Firaun. Kemudian datanglah petunjuk dari Allah dengan firmanNya:



“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa, susuilah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya, maka jatuhkan dia ke sungai Nil. Dan janganlah kamu bersedih hati, kerana sesungguhnya kami (Allah) akan mengembalikannya kepada kamu, dan menjadikannya salah seorang daripada Rasul”. (al-Qasas-7)





Seperti yang dijelaskan di dalam tafsir Ibnu Kasthir, bahawa rumah ibu nabi Musa itu berhampiran dengan sungai Nil. Maka selapas itu ibunya terus mendapatkan taabut (peti) dan diletakkan Musa ke dalamnya, kemudian diikat dengan tali dan dihanyutkan Musa hinggalah sampai ke istana Firaun. Lalu diangkat taabut itu oleh pelayan-pelayan istana, kemudian dibawa kepada isteri Firaun iaitu Asiah.



Apabila dibuka taabut itu dia mendapati seorang ghulam (budak lelaki) yang sangat baik bentuk badannya, sangat cantik rupanya dan manis bila dipandang. Maka Allah mencampakkan rasa belas dan sayang ke dalam hati Asiah. Firman Allah:



“Dan berkatalah isteri Firaun: (ia) adalah penyejuk mata bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan ia bermanfaat kepada kita atau kita ambil ia menjadi anak, sedang mereka (Firaun) tidak menyedarinya”. (al-Qasas -9)



Dalam masa yang sama hati ibu Nabi Musa tidak tenteram lagi disebabkan ‘kehilangan’ seorang anak yang baru dilahirkannya. Sehinggakan hampir dia membocorkan rahsia itu dengan mengambil langkah untuk pergi ke istana supaya dapat menemui anaknya itu.



Firman Allah: ‘Seandainya jika tidak kami teguhkan hatinya, supaya ia termasuk orang-orang yang percaya kepada janji Allah”. (al-Qasas -10).









Musa dikembalikan kepada ibunya



Setelah itu dia pun menyuruh agar anak perempuannya iaitu kakak kepada Nabi Musa supaya pergi mendapatkan khabar tentang adiknya itu. Selepas disiasat dia mendapati adiknya sangat disayangi oleh isteri Firaun. Maka dipanggil perempuan-perempuan datang ke istana untuk menyusui Musa, dengan takdir Allah tidak seorang pun diterima oleh Musa bahkan nampak kedegilannya tidak mahu disusui. Kemudian Musa pun dibawa ke souq (pasar) dengan harapan agar ditemui perempuan yang dapat menyusuinya.



Perkara demikian adalah budaya orang arab pada masa itu dengan menghantar anak-anak mereka untuk disusui oleh perempuan-perempuan yang tinggal di pendalaman kampung. Ini kerana mereka percaya bahawa orang yang tingal jauh dari kota adalah bersih dan sihat tubuh badan mereka. Begitulah juga yang berlaku kepada junjungan kita Muhammad S.A.W yang disusui oleh Halimah as-Saadiah. Apa yang berlaku kepada nabi Musa juga adalah kehendak Allah. FirmanNya:



“Dan Kami haramkan (cegah) Musa dari disusui oleh perempuan-perempuan yang hendak menyusuinya”. (al-Qasas -12)



Apabila dilihat oleh kakaknya tadi bahawa Musa sedang didukung oleh mereka (pengikut firaun) di souq, dia pun berkata ‘mahukah aku tunjukkan kamu semua kepada seorang perempuan yang boleh menyusuinya dan dapat menjaganya dengan baik?’

Mereka pun bersetuju dan terus dibawa ke rumah perempuan yang dimaksudkan tadi, iaitu ibunya sendiri sedang mereka dalam keadaan tidak menyedarinya.



Setelah diberi kepada ibunya, maka Musa pun terus menerimanya sehingga membuatkan mereka yang membawanya sangat gembira. Kemudian ibunya terus dibawa ke istana untuk dikhabarkan al-bashir (berita gembira) itu kepada Asiah.



Sebagai penghargaan ibu Musa diberi penghormatan untuk terus tinggal di istana selama dia menyusui Musa. Tetapi ditolak pelawaan itu dengan alasan dia mempunyai suami dan anak-anak di rumahnya. Akan tetapi dia meminta agar Musa dibawa pulang bersamanya ke rumah untuk disusui, maka Asiah pun bersetuju.



Pulanglah ibu itu membawa bersama anaknya Musa dengan hati yang sangat gembira. Firman Allah;



“Maka Kami kembalikan kepada ibunya, supaya senang hatinya dan tidak berduka cita dan supaya ia mengetahui bahawa janji Allah itu benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya”. (al-Qasas -13)





Dengan itu tinggallah Musa bersama ibunya sehingga tamat tempoh penyusuannya dan dia pun dihantar kembali ke istana, iaitu rumah ibu angkatnya Asiah. Di sana Musa dibesarkan dengan layanan istimewa setanding dengan layanan seorang anak raja. Inikan pula firaun yang mengaku dirinya adalah tuhan, tentu sekali layanan untuk keluarganya sangat istimewa.



Demikianlah aturan Allah yang mahu Musa dimuliakan oleh orang yang bakal menjadi musuhnya kemudian hari.



Musa membunuh Qibthi



Salah satu daripada mukjizat kurniaan Allah kepada Musa a.s. ialah dikurniakan kepadanya kekuatan tubuh badannya seumpama kekuatan sepuluh orang rijal (lelaki). Pada satu hari ketika Nabi Musa sedang berjalan-jalan di kota, dia melihat dua orang lelaki sedang bertelagah. Mereka adalah di antara dua kaum iaitu seorang dari Bani Israel dan seorang lagi dari bangsa Qibthi yang juga dari keturunan musuhnya firaun.



Nabi Musa diminta oleh lelaki Bani Israel itu supaya membantunya mengalahkan lawannya. Maka Nabi Musa cuba meleraikan pergaduhan itu, akan tetapi tanpa disengajakan Musa memukul lelaki itu. Hanya dengan sekali pukul, lelaki itu pun mati. Lantas dengan itu Nabi Musa terus menyesal atas perbuatannya memukul lelaki itu. Firman Allah:



“Dan Musa masuk ke kota ketika penduduknya sedang berlengah-lengah(tengahari, diwaktu penduduk sedang istirehat) maka didapatinya di dalam kota itu dua orang lelaki sedang berkelahi, yang seorang dari golongannya (bani israel) dan seorang lagi dari musuhnya (firaun). Maka orang dari golongannya meminta pertolongan kepadanya untuk mengalahkan lelaki dari golongan musuhnya, lalu Musa memukulnya dan matilah musuhnya itu. Musa berkata: ini adalah perbuatan syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang nyata”(al-qasas -15).



Setelah kejadian itu Musa pun merasa takut kerana dia sudah pasti akan dihukum oleh firaun atas perbuatannya membunuh seorang dari bangsa Qibthi. Keesokan harinya Musa sekali lagi berjumpa dengan lelaki yang ditolongnya itu, dan sekali lagi lelaki itu meminta tolong darinya kerana dia terlibat dalam satu lagi pergaduhan yang juga dengan bangsa Qibthi. Maka tahulah Musa bahawa lelaki itu seorang yang suka berkelahi dengan orang. Firman Allah:



“…Musa berkata, sesungguhnya kamu benar-benar orang sesat yang nyata kesesatannya” (al-qasas -18)





Kemudian lelaki dari bangsa Qibthi itu berkata kepada Musa, firman Allah:



“Wahai Musa, adakah kamu hendak membunuhku seperti kamu membunuh seorang manusia?”



Tanpa membuang masa lelaki Qibthi tadi terus menyampaikan berita pembunuhan itu kepada Firaun. Maka Firaun terus mengarahkan bala tenteranya menangkap Musa dan membunuhnya. Dalam perancangan untuk menangkap Musa, datanglah seorang lelaki menasihatkan kepada Musa agar dia segera keluar dari negeri Mesir.



Keluarlah Musa a.s. dalam keadaan ketakutan tanpa dia tahu ke mana tempat yang hendak ditujuinya. Sebahagian ulama menyatakan Musa berjalan tanpa bekalan makanan, hanya memakan daun-daun sahaja, dan ditemani oleh para malaikat, sedang Musa tidak menyedarinya. Maka Allah telah menunjukkan kepada Musa laluannya hingga sampai ke Madyan. Dengan ini, dapat kita tahu bahawa ini adalah kali pertama Musa melarikan diri dari Firaun sebelum dia lari buat kali kedua selepas diangkat menjadi pesuruh Allah.





Musa tiba di Madyan



Di sinilah diriwayatkan kehebatan dan kekuatan Nabi Musa yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Tatkala Musa tiba di Madyan, dia mendapati satu golongan yang sedang memberi minum binatang ternakan mereka. Di antara mereka ada dua orang perempuan sedang menanti-nanti giliran untuk memberi minum kepada ternakan mereka. Maka Musa datang kepada dua perempuan tadi dengan niat ingin membantu. Lalu Musa menghampiri satu telaga yang tertutup oleh batu besar dan mengangkat batu itu yang hanya mampu diangkat oleh 10 orang lelaki. Demikianlah antara mukjizat Allah kepada Nabi Musa. Setelah itu Musa beristirehat di bawah sepohon pokok sambil berdoa agar diberikan makanan kerana sangat lapar dan dalam kesusahan.



Berita Nabi Musa menolong dua perempuan tadi telah sampai ke pengetahuan bapa mereka iaitu Nabi Syuaib a.s. Maka tahulah Nabi Syuaib bahawa dia bukan seorang manusia biasa. Lalu Nabi Syuaib meminta salah seorang anak perempuannya untuk menjemput Nabi Musa ke rumahnya. Firman Allah:

"Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari wanita itu berjalan dalam keadaan malu, lalu berkata: sesungguhnya bapaku memanggil kamu agar ia member balasan terhadap kebaikanmu memberi minum ternakan kami…

(al-Qasas -25).



Diriwayatkan juga bahawa balasan yang dimaksudkan itu adalah berupa makanan kepada Nabi Musa. Inilah keberkatan doa dari seorang hamba Allah yang soleh. Juga maksud “berjalan dalam keadaan malu” itu menunjukkan akhlak seorang wanita mukminah.



Setelah berlalu, Nabi Syuaib berkenan memperisterikan salah seorang dari anak perempuannya dengan Nabi Musa iaitu kakak di antara mereka. Maka mas kahwinnya ialah dengan memelihara kambing kepunyaan Nabi Syuaib selama 8 tahun. Musa juga diberi pilihan sama ada dia hendak cukupkan tempoh itu sehingga 10 tahun, tetapi tempoh yang ditetapkan hanya 8 tahun. Kemudian Musa diberikan sebatang tongkat untuk kegunaannya mengembala kambing.





Kepulangan Musa ke Mesir



Setelah selesai perjanjian dengan Nabi Syuaib, Musa pun berhasrat untuk pulang ke Mesir dengan membawa keluarganya, kerana dia sangat merindui ibunya yang telah lama ditinggalkannya. Dalam perjalanan pulang inilah berlaku satu peristiwa yang belum pernah dialaminya.



Firman Allah:

“Maka tatkala Musa telah menyelesaikan waktu yang ditentukan dan dia berangkat dengan keluarganya, dilihatnya api di lereng gunung, dia berkata kepada keluarganya: Tunggulah di sini, sesungguhnya aku melihat api, mudah-mudahan aku dapat membawa suatu berita kepadamu dari tempat api itu atau membawa sesuluh api agar kamu dapat menghangatkan badan.”

(al-Qasas- 29)



Diriwayatkan juga, Nabi Musa berkali-kali cuba menyalakan api namun tidak berhasil, dan ketika itu juga musim sejuk yang mana selain untuk menjadi penyuluh, memasak, ia juga digunakan untuk memanaskan badan.



Apabila Musa sampai ke pinggir bukit itu, berseru satu suara dari sebatang pokok dengan menyebut “ Wahai Musa, sesungguhnya Aku adalah Allah, Tuhan semesta alam”.

Setelah berlaku beberapa kisah kepada Musa sepanjang berada di pinggir bukit itu, seperti yang tersebut jelas di dalam al-Quran, maka akhirnya Musa ditabalkan oleh Allah sebagai Nabi, dan juga sebagai salah seorang Nabi Ulul Azmi.



Kemudian Nabi Allah Musa pun terus diperintahkan oleh Allah agar menyampaikan dakwah kepada Firaun yang telah melampaui batas. Lalu Nabi Musa meminta agar dijadikan adiknya Harun sebagai pembantunya dalam menghadapi Firaun. Kerana Nabi Musa telah disenarai hitamkan oleh Firaun dengan terbunuhnya seorang Qibthi dahulu. Nabi Musa juga tidak lancar pertuturannya (gagap) kerana pernah terkunyah batu panas.



Firman Allah:

“Musa berkata, Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah membunuh seorang manusia dari golongan mereka, maka aku takut mereka akan membunuhku. Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk membenarkan perkataanku, sesungguhnya aku khuatir mereka akan mendustakanku.

Allah berfirman: Kami akan membantumu dengan saudaramu, dan kami berikan kepada kamu berdua kekuasaan yang besar, maka mereka tidak dapat mencapaimu, berangkatlah kamu berdua dengan membawa mukjizat kami, kamu berdua dan orang yang mengikuti kamulah yang menang”.

(Al-Qasas- 33-35)



Setelah sampai di Mesir, Nabi Musa dan adiknya Nabi Harun memulakan amanah dakwah untuk disampaikan kepada Firaun serta pengikut-pengikutnya. Hari demi hari Firaun tetap dengan kesombongannya menganggap diri sebagai Tuhan, melainkan sebahagian sahaja yang mahu mengikut dakwah Nabi Musa. Sehingga sampai ke satu tahap Firaun mengarahkan Haman membina satu bangunan dengan harapan dapat melihat Tuhan Nabi Musa yang didakwanya.



Firman Allah:

“Dan berkata Firaun, hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui tuhan bagimu selainku. Maka bakarlah hai Haman untukku tanah liat (membuat batu bata), kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan aku benar-benar yakin bahawa dia termasuk golongan pendusta”. (al-Qasas -38)



Begitulah kedegilan Firaun untuk menerima kebenaran, bahkan terus melakukan kezaliman teradap golongan yang lemah. Sehingga akhirnya Firaun bertekad supaya Musa dihapuskan agar tidak terus tergugat kerajaannya. Maka bala tentera pun dihimpunkan untuk memburu Nabi Musa dan membunuhnya.



Nabi Musa diwahyukan Allah agar lari bersama pengikutnya yang beriman menuju ke laut merah. Inilah kali kedua Nabi Musa lari dari Firaun seperti yang kita sedia maklum.



Firman Allah:

“Maka kami hukumkan Firaun dan bala tenteranya, lalu kami lemparkan mereka ke dalam laut. Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim.

Dan kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru manusia ke neraka dan pada hari kiamat mereka tidak akan ditolong. Dan kami ikutkanlah laknat kepada mereka di dunia ini, dan pada hari kiamat mereka termasuk orang-orang yang dijauhkan dari rahmat Allah”. (al-Qasas- 40-42)



Maka marilah kita mengambil pengajaran dari setiap peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Musa ini. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan hambaNya yang mahu menerima kebenaran.





(Dirujuk dari: Tafsir Ibnu Kathir,Atlas Tarikh al-Anbiya’ Warrasul, dan qashasul Anbiya’)